Browsing Tag

masjid

subuh_challenge
Gaya Hidup,

Subuh ‘challenge’ Masjid Temerloh terima jemaah luar biasa

JARANG sekali untuk melihat masjid berada dalam keadaan sesak ketika waktu awal pagi, di mana ketika azan Subuh sedang dilaungkan.

Perkara tersebut tidak menjadi masalah bagi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang terletak di Taman Temerloh Jaya.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik oleh @fendibinismail, ia menunjukkan suasana di rumah ALLAH itu ketika masuk waktu Subuh.

Dalam video tersebut boleh dilihat kehadiran para jemaah dari pelbagai peringkat umur yang memenuhi barisan saf di masjid itu pada setiap kali solat Subuh.

Baca Juga Menghadap ilahi ketika beri kuliah subuh, ini coretan sahabat lama Ustaz Dr Soberi Awang

Biarpun bagi sesetengah orang, ia menjadi cabaran untuk menunaikan solat Subuh di masjid namun tidak untuk para jemaah di Temerloh.

“Ini solat Subuh, jam sekarang 6.30 pagi, baru sahaja selesai solat Subuh di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya.

“Seluruh Malaysia tengok jemaah solat Subuh ini, penuh. Seolah-olah anda melihat jemaah sedang menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Video tersebut memaparkan keadaan di masjid itu ketika para jemaah sedang menunaikan solat Subuh.

 

@fendibinismail #SubuhChalangge2023 #JomImarahMasjid #MasjidTJMasjidKita ♬ original sound – FBI

 

Seperti masjid yang lain, ruang solat masjid itu juga boleh menempatkan puluhan jemaah dan semasa solat Subuh tersebut, setiap barisan saf dipenuhi jemaah hingga ada yang terpaksa solat di hadapan pintu masuk.

Perkara itu merupakan satu perihal yang membanggakan kerana ia menunjukkan masyarakat di situ bersemangat untuk melakukan solat jemaah walaupun pada waktu awal pagi hari.

Disebabkan ia adalah perkara yang baik, adalah wajar untuk para jemaah di negeri lain mencontohi masjid berkenaan yang sentiasa dipenuhi dengan jemaah yang luar biasa ketika Subuh.

Turut Disyorkan Tiada istilah sedekah Subuh? Ini fakta yang wajib diketahui

“Sahut cabaran ini, share seluruh Malaysia. Sama-sama kita imarahkan masjid, penuhkan masjid solat jemaah di masjid,” ujarnya.

Keutamaan solat Isyak dan Subuh berjemaah

Seringkali kita mendengar perumpamaan “orang yang paling kuat adalah orang yang mampu mengalihkan selimutnya untuk bangun subuh”.

tinggal solat jemaah

SABDA Nabi SAW, “Luruskan saf-saf kalian, kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah).” (Hadis Riwayat al-Bukhari) Foto:123RF

Demikian betapa kuatnya seseorang itu apabila berjaya bangkit meninggalkan tidur demi melaksanakan subuh terutamanya untuk solat berjemaah.

Seperti dikongsi Portal myHadith Jabatan Kemajuan Islam Malaysia iaitu sebuah matan hadis mengenai keutamaan solat Isyak dan Subuh berjemaah.

Artikel Berkaitan 

Daripada ‘Uthman bin ‘Affan katanya: Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa menghadiri solat Isyak berjemaah, maka dia mendapat pahala solat separuh malam. Sesiapa solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka dia mendapat pahala seperti pahala solat sepanjang malam.

Abu ‘Isa berkata: Pada bab ini terdapat riwayat daripada Ibn ‘Umar, Abu Hurairah, Anas, ‘Umarah bin Ruwaibah, Jundab bin ‘Abdullah bin Sufyan al-Bajali, Ubaiy bin Ka‘ab, Abu Musa dan Buraidah.

Abu ‘Isa berkata: Hadis ‘Uthman adalah hadith hasan sahih. Hadith ini juga telah diriwayatkan daripada ‘Abd ar-Rahman bin Abi ‘Amrah daripada ‘Uthman secara mauquf. Diriwayatkan juga melalui sanad lain daripada ‘Uthman secara marfu’.

solat berjemaah

DIRIKAN solat berjemaah kerana darjat pahalanya 27 kali lebih baik berbanding solat bersendirian. – Foto: Pexels 

Pengajaran Hadis

1. Hadis ini menceritakan kelebihan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Dalam hadis lain Nabi SAW pernah bersabda “Solat yang paling berat bagi orang munafiq ialah solat Isyak dan Subuh. Jika kamu mengetahui apa yang terdapat di dalamnya maka kamu akan mendatangi keduanya walaupun dengan merangkak”.

2.Perumpamaan dengan sesuatu tidak mengharuskan sesuatu itu dilakukan. Perumpamaan Nabi SAW bahawa sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah maka seolah-olah dia solat sepanjang malam. Ini tidak bermaksud solat sepanjang malam dibolehkan.

Apa yang dimaksudkan ialah dari segi pahala yang diperolehi daripada solat Isyak dan Subuh berjemaah. Terdapat riwayat menyebutkan bahawa Aisyah pernah berkata bahawa Nabi SAW menghidupkan keseluruhan malam.

Menghidupkan malam bukan dengan solatnya semata-mata tetapi juga dengan berzikir, bersahur dan seumpamanya. Malah, Nabi SAW pernah melarang ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘as solat sepanjang malam.

JAIS
Berita Semasa,

MAIS larang jadikan masjid sebagai medan politik

MAIS larang jadikan masjid sebagai medan politik..

TANGGAL 12 Ogos merupakan tarikh yang penting buat enam buah negeri di Malaysia yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), kehangatan berkempen juga semakin rancak dijalankan oleh setiap parti.

Rentetan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengingatkan larangan menggunakan masjid dan surau di negeri itu sebagai medan politik kepartian sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu sudah banyak kali dikeluarkan MAIS selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sejak 2008 lagi.

Justeru, ahli politik yang didapati menggunakan masjid dan surau di Selangor dengan tujuan yang tidak dibenarkan dianggap menghina, mengingkari dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan MAIS.

Beliau berkata, pelanggaran itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

PENGARAH JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.

“Dalam tempoh berkempen 14 hari di mana parti-parti akan menggunakan apa sahaja peluang dan ruang dalam apa juga bentuk untuk berkempen termasuklah berucap, berceramah, berkhutbah, menyebarkan risalah parti, mengedar poster calon dan lambang parti di dalam ruang dan di kawasan masjid atau surau.

“Pentadbir masjid atau surau di negeri Selangor adalah diingatkan sekali lagi bahawa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor telah menitahkan sedemikian sejak 2008 lagi.

“Arahan MAIS melarang perbuatan yang menggunakan masjid atau surau sebagai medan politik kepartian dan propaganda politik telah banyak kali dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Artikel Berkaitan 

Sehubungan itu, Mohd Shahzihan mengingatkan pihak pentadbir untuk sentiasa mematuhi dan menguatkuasakan larangan yang ditetapkan MAIS untuk menjadikan masjid dan surau sebagai zon aman serta bebas pengaruh politik kepartian.

“Kegagalan atau sebarang kecuaian mematuhi ketetapan MAIS, pegawai masjid boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor 2017.

“Semua edaran titah DYMM Sultan Selangor dan arahan MAIS yang dikeluarkan oleh JAIS berkaitan perkara ini kepada seluruh pentadbir masjid atau surau negeri Selangor hendaklah dirujuk,” katanya.

TULAR beberapa keping gambar berhubung tindakan Fahmi sebagai ahli politik yang dikatakan berucap di masjid tanpa sebarang tauliah.

Isu YB Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama masjid

Baru-baru ini, tular gambar di media sosial Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil yang sedang berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada 30 Julai 2023.

Dalam satu kenyataan, Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menerima aduan berkaitan perkara tersebut. Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

Turut Disyorkan Demi sebar dakwah, ustazah Asma’ Harun gigih dapatkan tauliah setiap negeri 

Pihak JAIS telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid berkenaan bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan.

JAIS turut mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon dan parti yang bertanding supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan kawasan masjid atau surau bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan yang melanggar titah DYMM Sultan Selangor dan ketetapan MAIS.

Tegas JAIS lagi, tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Arahan Majlis Agama Islam Selangor.

Tahiyatul Masjid duduk
Ibadah,

Bolehkah solat Tahiyatul Masjid walaupun telah duduk?

Bolehkah solat Tahiyatul Masjid walaupun telah duduk?

APABILA berkunjung ke rumah sesiapa pun, pastinya kita akan memberi salam kepada penghuninya terlebih dahulu sebagai tanda hormat. Tidak boleh terus meluru masuk sahaja, itu biadab namanya.

Jika dengan orang biasa pun ada adab tertentu yang perlu dipatuhi, apatah lagi ketika melawat rumah ALLAH SWT.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Rasulullah SAW pernah bersabda, sesiapa yang memasuki masjid perlu mengerjakan solat sunat Tahiyatul Masjid terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa.

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga menunaikan solat dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, kita disunatkan mendirikan solat sunat tersebut sebagai tanda menghormati dan memuliakan masjid sebagai rumah ibadah untuk ALLAH SWT.

Turut disyorkan Islam tidak benarkan memasang pembesar suara masjid dengan kuat di luar waktu solat

Tahiyatul Masjid duduk

RATA-rata ulama berpendapat bahawa setiap umat Islam yang memasuki masjid disyariatkan menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Foto: Pexels

Orang yang perlu solat Tahiyatul Masjid

Mengulas tentang solat sunat Tahiyyatul Masjid, terdapat ulama berpendapat bahawa bahawa ibadah itu disyariatkan kepada mana-mana umat Islam yang masuk ke dalam masjid.

Sebahagian ulama pula berpandangan bahawa arahan berkenaan hanya melibatkan orang yang ingin masuk dan duduk di dalam masjid sahaja. Namun, bagi orang yang ingin masuk sebentar tanpa niat untuk duduk, mereka dikira tidak termasuk dalam tuntutan itu.

Baca juga Solat sunat wuduk, antara amalan ahli syurga

Tahiyatul Masjid duduk

SELEPAS memasuki masjid, umat Islam disarankan menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid terlebih dahulu sebelum menegur jemaah lain mahupun melabuhkan punggung ke lantai. Foto: Unsplash

Baca juga Amalan sunat berbaring sebentar selepas menunaikan solat sunat fajar

Namun begitu, bagaimana pula jika seseorang itu masuk ke dalam masjid kemudian telah duduk kerana terlupa mendirikan solat sunat dua rakaat terlebih dahulu? Adakah dia boleh menunaikan semula solat sunat Tahiyatul Masjid?

Jawapannya, dia masih boleh menunaikan ibadah tersebut selagi tempoh masa antara dia duduk dan bangun semula itu sebentar sahaja.

Hal itu disandarkan kepada satu kisah yang berlaku pada sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernama Sulaik al-Ghatafani. Beliau hadir ke masjid pada hari Jumaat, lalu terus duduk.

Rasulullah SAW lantas menyuruhnya bangun dan mengerjakan solat sunat Tahiyyatul Masjid.

DIRIKANLAH solat sunat Tahiyatul Masjid sebagai tanda menghormati serta memuliakan rumah ALLAH SWT. Foto: 123RF

Turut disyorkan Bersendirian di saf belakang atau berada lebih tinggi dari imam, antara posisi makruh makmum perlu elak ketika solat berjemaah

Telah datang Sulaik-Alghatafani pada hari Jumaat, dan Rasulullah SAW sedang duduk di atas minbar. Sulaik duduk sebelum mengerjakan solat, lalu berkata Nabi SAW: “Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat?” Sulaik menjawab: “Tidak”. Kemudian Baginda SAW bersabda: “Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis tersebut menunjukkan, dibolehkan untuk bangun semula menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.

Dalam pada itu, Imam Al-Nawawi ketika mengulas hadis itu menyebut, jika seseorang meninggalkan solat sunat Tahiyatul Masjid kerana lalai atau jahil, maka dia dituntut semula menunaikannya setelah disedari dengan syarat tempoh antara duduk dan bangun itu tidak lama.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF & Unsplash

Masjid Minneapolis terbakar
Antarabangsa,

Susulan insiden 2 masjid di Minneapolis terbakar, komuniti Muslim di AS bimbang

Susulan insiden 2 masjid di Minneapolis terbakar, komuniti Muslim di AS bimbang

SAAT seluruh umat Islam di dunia bergembira menyambut Syawal, dua buah masjid di Minneapolis yang terletak di bandar Minnesota, Amerika Syarikat (AS) pula dibakar dalam dua kejadian berasingan.

Insiden itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Islam.

Menurut portal About Islam, kejadian malang itu buat pertama kalinya berlaku Ahad lalu ketika kita meraikan Hari Raya Aidilfitri kedua.

Masjid Omar Islamic Center yang terletak di dalam 24 Somali Mall mengalami kebakaran di bilik airnya dan polis Minneapolis menerima laporan kira-kira jam 7.16 malam.

Majis Minneapolis terbakar

DUA masjid di Minneapolis, AS terbakar dalam dua kejadian berasingan kini sedang dalam siasatan pihak polis dan FBI. -Foto: About Islam

Kurang 24 jam kemudian, kebakaran dilaporkan berlaku di Masjid Al Rahma yang terletak di bangunan Mercy Islamic Center yang terletak kira-kira 1.6 kilometer (km) dari lokasi kejadian pertama.

Kali ini, tingkat tiga masjid yang menempatkan pejabat perniagaan yang disewakan menjadi sasaran penjenayah pada petang Isnin.

Komuniti Islam Minnesota menyifatkan, insiden kebakaran itu merupakan salah satu contoh peningkatan serangan ke atas tempat ibadah mereka.

Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) Minnesota, Jaylani Hussein pula berkata, kejadian tersebut merupakan serangan ketiga membabitkan sebuah masjid di Minnesota pada tahun ini.

“Kita tidak mahu masyarakat Islam setempat menjadi takut dan tidak datang ke masjid atau bersikap sangat berbeza akibat insiden berkenaan.

Baca juga Imam cedera ditikam ketika menunaikan solat Subuh dalam masjid di Amerika Syarikat

“Apa yang kami mahu mereka lakukan adalah supaya lebih berwaspada dan meningkatkan keselamatan masing-masing. Kami ingin mereka sedar bahawa kita berada di bawah ancaman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal twincities.com.

Sementara itu, portal berita berpengaruh Indonesia, Republika melaporkan, kamera keselamatan Masjid Omar Islamic Center sempat merakam kelibat seorang lelaki bertopeng di tingkat dua 24 Somali Mall.

Majis Minneapolis terbakar

IMEJ yang memaparkan suspek yang dipercayai polis memulakan kebakaran di bilik air Masjid Omar Islamic Center di dalam 24 Somali Mall di selatan Minneapolis. -Foto: Jabatan Polis Minneapolis

Lelaki yang memakai ‘hoodie’ hitam dan bercelana jeans biru muda itu dilihat membawa beg kertas berwarna coklat.

“Dia dilihat memasuki pekarangan masjid sekitar jam 6.55 petang waktu tempatan sebelum menanggalkan kasut dan terus ke bilik air.

“Tidak lama kemudian, kebakaran bermula dari bahagian bilik air itu. Lelaki yang mencurigakan tadi kemudian kelihatan berlari keluar dari bangunan itu pada jam 7.04 malam tanpa alas kaki dan beg,” katanya.

Bagi Ketua Polis Minneapolis, Brian O’Hara, pihaknya memandang serius kejadian tersebut.

Baca juga 14 jemaah cedera ketika sedang solat Isyak, siling menara masjid di Indonesia runtuh

“Siasatan masih di peringkat awal. Kami sedang menyiasat kemungkinan kebakaran tersebut mempunyai kaitan sehingga ia dibuktikan sebaliknya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi republika.co.id.

Malah, polis Minneapolis kini bekerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat segala kemungkinan motif di sebalik cubaan membakar dua buah rumah ALLAH itu dalam jarak yang berdekatan.

Sinar Islam Plus difahamkan, insiden kebakaran itu berlaku sejurus selepas percubaan pergolakan umat Islam di Minneapolis.

Majis Minneapolis terbakar

KOTA Minneapolis menjadi bandar raya pertama di AS yang membenarkan laungan azan menerusi pembesar suaran sebanyak lima kali sehari sejak 14 April lalu. -Foto: Republika

Pada 14 April lalu, kota Minneapolis menjadi bandar raya pertama di AS yang membenarkan siaran azan tanpa had.

Dasar baharu itu menyaksikan azan dibenarkan dikumandangkan melalui pembesar suara sebanyak lima kali sehari sepanjang tahun.

Baca juga Semakin banyak masjid di Amerika dibenarkan laungan azan

Sebelum ini, ordinan bunyi di bandar berkenaan menghalang bunyi azan pagi dan petang pada waktu tertentu dalam setahun.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: About Islam

pembesar suara masjid
Berita Semasa,

Islam tidak benarkan memasang pembesar suara masjid dengan kuat di luar waktu solat

BOLEH dikatakan setiap tahun ada sahaja isu yang timbul berkaitan pembesar suara masjid.

Melihat kepada luahan masyarakat di alam maya, ada yang mengatakan penggunaannya di luar waktu azan akan mengganggu ketenteraman penduduk setempat, contohnya memasang kuat pembesar luar masjid pada waktu malam untuk bacaan surah al-Mulk atau memperdengarkan ceramah sehingga bergema ke seluruh taman perumahan.

Manakala, sebahagian lain merasakan bahawa ia tidak menjadi masalah kerana ayat suci ALLAH SWT sememangnya perlu diagungkan.

Baca juga Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

pembesar suara masjid

Baca juga Makruh tak jawab azan lebih-lebih lagi bila kita dengar dengan jelas

Syariat benarkan tinggi suara hanya untuk azan

Mengulas persoalan itu, terdahulu Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai MAZA mengatakan bahawa perkara yang disyariatkan dalam Islam untuk dikuatkan suara hanyalah azan.

“Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain,” katanya dipetik menerusi artikel Sinar Harian.

DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

Baca juga Selangor lantik wanita pertama sebagai nazir masjid, namun apa tugas nazir?

Walaupun kalam al-Quran dan zikir merupakan perkara baik tetapi menurutnya, kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan tersebut.

Bahkan, ada satu kisah daripada hadis yang sahih ketika Nabi SAW beriktikaf di masjid. Baginda mendengar para sahabat menguatkan suara bacaan al-Quran sedangkan baginda berada di tempat ibadah ketika itu. Baginda mengangkat langsir dan bersabda, “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Justeru, beliau menegaskan umat Islam seharusnya menghentikan bacaan-bacaan selain azan yang dibuat melalui pembesar suara kerana dibimbangi boleh mengganggu orang ramai di luar dan di dalam masjid.

Jelas MAZA, “Perbuatan itu dilarang oleh Nabi SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

Baca juga Jawab azan di radio dan TV, perlu atau tidak?

pembesar suara masjid

PIHAK pengurusan masjid sepatutnya mengambil kira keadaan penduduk setempat sebelum melakukan sebarang aktiviti. Foto: Unsplash

Baca juga Kuwait larang imam baca al-Quran guna telefon bimbit semasa solat berjemaah, ini tatacara sebenar melihat mushaf ketika solat

Beri imej buruk kepada umat Islam
Turut senada adalah Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang berkata, aktiviti lain seperti bacaan al-Quran, zikir, qiamullail, ceramah dan kuliah dengan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau adalah dilarang menurut hukum syarak.

Ini kerana, ujarnya, perbuatan tersebut boleh mengganggu orang ramai sama ada muslim atau bukan muslim. Apalagi Islam memang melarang umatnya daripada menyakiti orang lain sama ada secara fizikal mahupun emosi.

“Ini termasuklah memaki hamun, mencerca, mempersenda, menghina, mengganggu ketenteraman dan sebagainya.

“Larangan ini boleh difahami daripada banyak nas al-Quran dan hadis, antaranya firman ALLAH SWT dalam ayat 55 surah al-A’raf yang bermaksud: “Serulah TUHAN kamu (melalui doa, zikir, munajat dan lain-lain) dalam keadaan menghina diri dan memperlahankan suara, sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampau,”” ucapnya kepada Sinar Harian sebelum ini.

pembesar suara masjid

DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR

Baca juga Hati-hati ketika berdakwah, jangan sampai merosakkan pahala

Selain itu, Wan Salim berkata, melihat dari sudut dakwah, penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau boleh menjejaskan imej Islam dalam kalangan orang bukan Islam.

“Mereka mungkin salah faham terhadap agama Islam dan beranggapan ia adalah agama yang mengajar umatnya bersikap keakuan, eksklusif dan tidak sensitif kepada kepentingan orang lain.

“Ini boleh menghalang mereka daripada mendekati agama Islam dan cuba memahaminya sebagai agama rahmat untuk sekalian manusia.

“Kesemua ini merugikan usaha-usaha dakwah untuk menarik lebih ramai lagi penduduk Malaysia yang bukan Islam kepada agama kita,” ulasnya.

Turut disyorkan [Video] Isteri ‘menderita’ suami berbuka di masjid

UMAT Islam dilarang mendengarkan bacaan al-Quran atau zikir melalui pembesar suara masjid sehingga menganggu ketenteram penduduk sekitar. Foto: Pexels

Baca juga Dosa diampunkan sejauh bunyi azan. Kelebihan tok bilal yang ramai tak tahu

Jangan melaungkan terlalu kuat

Manakala, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa penggunaan pembesar suara dibenarkan untuk zikir atau bacaan-bacaan sekiranya masa antara zikir dan azan tidak mengambil masa yang lama, dan dengan kadar yang tidak terlalu kuat.

Memetik portal tersebut, jika perbuatan memasang bacaan al-Quran dan zikir di corong pembesar suara sampai mengganggu orang yang berada di rumah, terutama yang mempunyai anak kecil yang ingin tidur atau orang sakit yang ingin berehat, ia jelas menjadi suatu gangguan yang dilarang dalam Islam.

Tegas pihaknya, al-Quran mengajar umat Islam supaya bersederhana dalam membaca doa dan beribadah sehingga tidak mengganggu jiran setempat.

Oleh itu, ahli jawatankuasa masjid turut memainkan peranan penting bagi meninjau serta mendapat respon daripada jemaah dan penduduk di sekitarnya sebelum melaungkan apa-apa bacaan menggunakan pembesar suara di luar waktu azan.

Sumber: Sinar Harian & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels & Unsplash

MADAD
Berita Semasa,

Selepas pendidikan percuma, MADAD bakal buka masjid lengkap dengan kapsul hotel tanpa bayaran

NAMA Murtadha Dakwah Centre (MADAD) tidak asing lagi dengan inisiatif pendidikan percumanya kepada masyarakat.

Sejak ditubuhkan tiga tahun lalu, lebih 40 pelajar berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dilahirkan. Ia benar-benar satu pencapaian begitu mengagumkan.

Selepas keberhasilannya mengendalikan projek itu, Pengarah Urusannya, Ustaz Mohamad Ya’akub Yusra Mohd Yusof mengumumkan, masjid yang terletak di MADAD di Sungai Petani, Kedah dijangka bakal memulakan operasinya menjelang 1 Ramadan ini.

“Alhamdulillah kita sudah mencapai tahap 90 peratus siap. Ia merupakan projek paling laju apabila hanya mengambil masa sekitar kurang 12 bulan untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui pada majlis Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pada April tahun lalu, media tempatan melaporkan, MADAD bakal membangunkan pusat komuniti Islam bertaraf antarabangsa yang merangkumi kemudahan sebuah pusat tahfiz integrasi, masjid berasaskan ilmu falak, kapsul hotel dan pengurusan jenazah yang siap sepenuhnya pada tahun 2025.

Lebih menarik lagi apabila semua kemudahan itu disediakan secara percuma.

MADAD

USTAZ Mohammad Ya’akub Yusra (kanan) ketika menerima Anugerah Usahawan Islam Moden 2023 yang disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada majlis anugerah BISA di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Usahawan Islam Moden 2023 itu menjelaskan, istimewanya masjid itu apabila ia turut dilengkapi dengan taman permainan kanak-kanak seumpama pusat hiburan berbayar sedia ada di Malaysia.

Baca juga Enam anugerah bernuansakan Islam ungguli anugerah BISA

“Kita ada penaja khas untuk kemudahan ini. Selain itu, masjid ini juga menyediakan kemudahan tandas yang cantik ibarat seperti berada di pusat beli-belah, di samping 26 buah katil hotel.

“Di situ juga kita sediakan kapsul hotel dalam masjid yang menggunakan sistem automasi. Mudah-mudahan, ia memberi satu penjenamaan kepada masjid.

“Kita bukan sahaja mahu (menyemarakkan) dari sudut pengimarahan (masjid), tetapi kita mahu (orang memandang) Islam itu cantik, ALLAH SWT juga cantik dan DIA suka kepada kecantikan,” ungkapnya.

Difahamkan, masjid yang akan dibuka tidak lama lagi itu akan beroperasi selama 24 jam sebagai pusat sehenti. Malah, kapsul hotelnya boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir secara percuma.

Berhubung dengan kejayaan diraih dalam anugerah BISA, Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra yang dikenali ramai sebagai Ustaz Saham tidak menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab yang besar buatnya.

Baca juga Lepak minum kopi tepi pantai cuma ‘release’ sikit saja. Masjid ialah lokasi ‘healing’ terbaik

“Ini kerana orang memberi kepercayaan, maka sudah pastilah ada sesuatu yang kita akan diamanahkan oleh ALLAH SWT.

MADAD

MASJID MADAD akan beroperasi selama 24 jam sebagai pusat sehenti. Malah, kapsul hotelnya boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir secara percuma. -Foto: madadcentre.com

“Sudah tentu penghargaan ini saya anggap untuk membawa MADAD lebih baik sama ada menerusi platform bisnes, pendidikan mahupun aspek dakwah,” katanya.

Menurutnya, MADAD mempunyai 14 anak syarikat untuk membantu penjanaan dalam perbelanjaan khususnya pendidikan percuma menerusi pusat tahfiznya, selain pengurusan jenazah dan misi-misi banjur.

“Ini termasuklah projek terbaharu kami untuk memberikan pendidikan percuma di Lubnan dan Syria.

“Sudah pastilah kita mengharapkan ALLAH SWT memberikan kebaikan terhadap apa yang diusahakan,” ungkapnya.

Menelusuri penubuhannya MADAD dahulunya dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha diasaskan oleh abang Ustaz Mohammad Ya’akub Yusra iaitu Allahyarham Ustaz Murtadha Mohd Yusof pada Januari 2018 di Kampung Teluk, Sungai Petani.

Selain ditubuhkan dengan matlamat memberikan pendidikan percuma, MADAD berhasrat untuk menjadi organisasi yang menyediakan dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah.

Lhasa-Mosque-1
Antarabangsa,

Masjid Hebalin di China antara tertinggi di dunia, ketahui fakta hebat ini

TERLETAK pada ketinggian melebihi 3,650 meter atas paras laut, Masjid Besar Lhasa yang terletak di Wilayah Autonomi Tibet, China merupakan salah satu masjid tertinggi di dunia.

Memetik portal About Islam, rumah ALLAH yang juga dikenali sebagai Masjid Hebalin itu dibina pada tahun 1716. Namun, rupa bentuk masjid yang dapat dilihat kini adalah hasil daripada suatu pengubahsuaian pada tahun 1959.

Baca juga 6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

masjid China

DIANGGARKAN ada sekitar 40 ribu masjid di China.

Baca juga Sembahyang di masjid Quba’ sama pahalanya seperti mengerjakan umrah

Dari segi susun atur binaan, masjid Hebalin mempunyai sebuah halaman seluas 2,600 m2 yang boleh diakses melalui tiga pintu masuk berbeza. Manakala, bangunan masjid itu sendiri terdiri daripada dewan solat, kawasan bunker, ruang wuduk, bilik air serta beberapa kemudahan lain.

Dalam pada itu, dewan solat terletak di sebelah barat masjid meliputi kawasan seluas 285 m2 dan terbahagi kepada ruang dalam, ruang luar dan pelantar utama.

Turut disyorkan Letupan bom di masjid Peshawar ketika Muslimin sedang solat Zuhur, ini fakta-fakta yang perlu diketahui

masjid China

MASJID Besar Lhasa menggunakan gabungan seni bina tradisional Tibet dan motif Islam. Foto: About Islam

Baca juga Aidiladha di China disambut berbeza di setiap wilayah

Gabungan seni bina Cina-Islam

Menariknya, seni bina Masjid Hebalin menggabungkan ciri-ciri keagamaan bersama corak tempatan.

Bahagian luar masjid menggunakan gaya tradisional Tibet dikenali sebagai Zang, manakala ruang dalam bangunan dihiasi seni Islam bermotifkan bunga dan tumbuhan.

Di China, dianggarkan hanya satu hingga tiga peratus daripada penduduk tempatan yang beragama Islam.

Baca juga Inilah 10 Muslim hebat yang mengubah dunia

WALAUPUN Hui merupakan kumpulan Muslim terbesar, namun kepadatan masyarakat Islam tertinggi adalah di wilayah Xinjiang.

Baca juga Muslimin dilarang menghadiri dan menyertai upacara perayaan bukan Islam, fatwa baru dikeluarkan

Di samping itu, kumpulan Muslim terbesar di negara tersebut adalah orang Hui. Menurut bancian yang dijalankan kerajaan China pada tahun 2000, ada kira-kira 9.8 juta penduduk Hui diikuti dengan golongan Dongxiang yang terdiri daripada 514 ribu orang. Seterusnya, etnik Salar membentuk kira-kira 105 ribu orang, manakala kaum Bonan mempunyai 17 ribu penduduk.

Komuniti-komuniti Cina Muslim berkenaan berbeza dengan masyarakat Uighur di wilayah Xinjiang yang dijadikan sebahagian daripada China berikutan perang saudara China pada tahun 1949.

Sumber & Foto: About Islam

Imam
Antarabangsa,

Muslimin di Utah bantu bina rumah untuk imam masjid

SEORANG imam di Utah, Amerika Syarikat (AS) berulang-alik selama tiga jam untuk ke tempat kerjanya di Masjid Khadeeja.

Tempoh masa itu mungkin dianggap biasa oleh kebanyakan masyarakat di negara kita lantaran terpaksa meredah kesesakan jalan raya yang dahsyat saban hari.

Namun, rutin tersebut sebenarnya begitu sukar dan memenatkan. Demikianlah juga yang dirasai oleh Imam Pusat Islam Khadeeja, Habib Sarfraz setiap hari demi melaksanakan tugasnya untuk ummah.

Ketika ditemubual Fox 13 News baru-baru ini, Sarfraz berkata, tugas sebagai imam menuntut komitmen tinggi dan tanggungjawab berat.

“Imam mempunyai begitu banyak tanggungjawab. Seperti yang anda tahu, dia perlu berada di sini (masjid) untuk (mengimamkan) solat lima waktu.

Imam

IMAM HABIB SARFRAZ (gambar bawah, kanan) terharu dengan usaha komuniti Muslim di Utah yang membina rumah untuk memudahkannya menjalankan tanggungjawabnya. -FOTO: FOX 13 NEWS

“Saya terutamanya, tinggal di Lehi, jauh dari sini,” katanya ketika diwawancara di Masjid Khadeeja, Utah.

Baca juga Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana tegur?

Untuk duduk di kawasan berhampiran masjid, ia suatu yang agak sukar untuk mendapatkan kediaman mampu milik memandangkan kos perumahan yang melambung tinggi.

Perkara itu turut diakui oleh Presiden Persatuan Islam Greater Salt Lake, Aden Batar.

“Sewa di sini melebihi AS$2,000 (RM9,152), sedangkan komuniti di sini tidak mampu membayar sebanyak itu. Kami merupakan komuniti yang kecil,” katanya.

Meskipun demikian, masyarakat Islam di Utah tetap berusaha memikirkan solusi supaya imam lebih dekat dengan mereka.

Akhirnya, pemegang amanah persatuan tersebut, Ghulam Patel berkata, timbul idea ‘mari kita bina rumah’.

Menurut Fox 13 News, keseluruhan projek pembinaan rumah itu menelan belanja kira-kira AS$400,000 (RM1.83 juta). Setakat ini, Persatuan Islam Greater Salt Lake berjaya mengumpulkan lebih AS$100,000 (RM457,600) untuk membantu membayar rumah berkenaan.

Imam

PROJEK pembinaan rumah berkenaan menelan belanja sebanyak RM1.83 juta. -FOTO: FOX 13 NEWS

Mereka juga sedang mengumpul dana dan meminta sumbangan komuniti untuk membayar baki kos yang tinggi.

Baca juga Imam di United Kingdom digugurkan jawatan kerana anjur protes filem ‘The Lady of Heaven’

Usaha keras dan sikap baik yang ditonjolkan komuniti Muslim di Utah membuatkan Imam Sarfraz tersentuh.

“Ini adalah isyarat yang baik daripada masyarakat untuk mengatakan ‘Hei, kami di sini untuk menyokong anda’,” kata imam berkenaan.

Menurut Ghulam Patel, bermula dengan hanya 120 orang Islam sekitar 1980-an, komuniti Muslim di Utah kini semakin bertambah.

DARI kiri, Ghulam Patel dan Aden Batar.

“Sekarang sekurang-kurangnya terdapat 12 buah masjid di Utah dan ia berkembang. Saya rasa kita ada hampir 100,000 Muslim,” katanya.

Selepas projek perumahan itu disiapkan, mereka merancang untuk membangunkan sebuah pusat komuniti bersebelahan dengan Pusat Islam Khadeeja.

***Foto: Fox 13 News

masjid india tenggelam
Antarabangsa,

Masjid di India muncul selepas ditenggelami air selama 30 tahun.

SEBUAH masjid di India mencuri perhatian orang ramai apabila bangunan itu muncul semula setelah ditenggelami air, tiga dekad lalu.

Menurut laporan Kashmir Media Service, masjid tersebut yang dikenali sebagai Masjid Noori timbul di dasar Empangan Phulwaria, Bihar berikutan air takungan yang menyusut disebabkan kemarau.

Masjid setinggi 30 kaki berkenaan ditenggelamkan oleh Empangan Phulwaria pada tahun 1985.

Baca juga 6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

masjid india

ADA lebih 3,000 ribu masjid yang aktif di India.

Terdahulu, hanya sebahagian kecil daripada kubah masjid kelihatan setiap kali air mengering menyebabkan warga tempatan tertanya-tanya seni bina yang wujud di bahagian dasar empangan.

Oleh itu, kawasan tersebut kini dipenuhi orang ramai yang tertarik untuk melihat Masjid Noori walaupun perlu meredah lumpur yang ada sekitar bangunan lama itu.

Menariknya, struktur masjid berada dalam keadaan elok dan masih berdiri teguh meskipun sudah dibanjiri air selama bertahun-tahun.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

masjid india

INDIA adalah negara ketiga dengan jumlah populasi Muslim terbanyak, iaitu sebanyak 200 juta orang.

Tulis portal itu lagi, masjid India tersebut dipercayai sudah wujud seawal abad ke-20 dan berusia sekitar 120 tahun. Kesimpulan dibuat berdasarkan reka bentuk kubah masjid yang jauh lebih baik daripada kubah lain yang ada pada zaman Mughal.

Ketika Empangan Phulwaria dibina pada tahun 1979, masjid Noori dibiarkan begitu sahaja sehingga bangunan itu akhirnya ditenggelami air takungan empangan.

Foto dan Sumber : Kashmir Media Service, Muslim Mirror, Pexels & Unsplash

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam
Antarabangsa,

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya…

MASJID boleh hadir dalam pelbagai rupa, daripada sebuah bilik kecil di suatu bangunan hinggalah sebuah binaan besar dengan reka bentuk kompleks. Ini kerana al-Quran tidak pernah menggariskan rupa bentuk yang khusus bagi sesebuah masjid.

Mengikut sejarah, masyarakat Islam terdahulu biasanya mengadakan solat berjemaah dengan berkumpul secara rahsia di rumah masing-masing. Namun, semakin Islam berkembang, keperluan ahli komunitinya juga berubah.

Kebanyakan masjid terawal dibina hanya mempunyai reka bentuk yang ringkas. Bahkan, ia tidak memiliki sebarang kubah atau menara sebagaimana yang ada pada masjid-masjid sekarang. Sebagai tanda masuknya waktu solat, muazzin akan berdiri melaungkan azan di atas bumbung masjid yang rata.

Baca juga Laksanakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sebagai tanda memuliakan rumah ALLAH

Kini, di seluruh dunia, masjid telah dibina menggunakan pelbagai reka bentuk tradisional dan unik bagi mencerminkan budaya masyarakat tempatan.

Portal agensi berita, Middle East Eye menyenaraikan enam masjid dari pelosok dunia berbeza yang memperlihatkan warisan unik komuniti Islam di sana.

1. Masjid Raya Sumatera Barat, Indonesia

Islam mula tersebar secara beransur-ansur di Indonesia bermula abad ke-12 melalui pedagang Arab.

Masjid Raya Sumatera Barat di Indonesia yang dibina oleh arkitek tempatan, Rizal Muslimin tidak mempunyai kubah atau menara. Sebaliknya, ia memiliki bumbung dengan struktur lengkung yang dikenali sebagai minang.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian islam

PEREKA Masjid Besar Sumatera Barat berkata beliau mendapat inspirasi kain yang dipegang oleh kaum Quraisy ketika ingin meletakkan Hajar Aswad ke Kaabah (Creative Commons)

Rumah ibadah berkenaan mula dibuka pada tahun 2014 dan mampu memuatkan hampir 20,000 jemaah sepanjang tiga tingkat.

Kata Muslimin, beliau mendapat inspirasi menerusi penyelesaian kepada pertikaian yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Dalam peristiwa itu, berlaku pergaduhan antara puak Quraisy ketika ingin menempatkan Hajar Aswad pada Kaabah. Lalu, baginda meletakkan batu hitam tersebut di atas kain sambil bahagian sudut kain dipegang oleh seorang wakil daripada setiap puak. Dengan ini, masing-masing berpeluang meletakkan Hajar Aswad ke kiblat umat Islam itu.

Dengan gabungan ukiran minang tradisional dan kaligrafi Islam menghiasi dinding luar masjid, struktur megah itu menjadi tumpuan utama daerah Padang di Sumatera.

Baca juga ALLAH sangat mencintai masjid dan membenci pasar

2. Masjid Sepanyol, India
Dikenali sebagai Masjid Iqbal Ud Daula dalam masyarakat setempat, masjid ini terletak di bandar Hyderabad, India.

Masjid Sepanyol mula dibina sekitar tahun 1900 di bawah arahan Iqbal Ud Daula yang merupakan anak kepada pemerintah pada waktu itu.

Daula yang baru sahaja pulang ke India selepas menghabiskan masa di Sepanyol dikatakan mendapat inspirasi daripada seni bina negara Eropah berkenaan.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Sepanyol di Hyderabad mempunyai ciri-ciri reka bentuk Sepanyol disebabkan pemerintah pada waktu itu yang meminati budaya berkenaan (Sriharsha/Creative Commons)

Dari segi reka bentuk masjid, bangunan itu mempunyai hujung menara yang tajam bermodelkan gereja-gereja di semenanjung Iberia. Selain ruang solat utama, terdapat juga dua bilik di kedua-dua sisi masjid yang disambungkan melalui tingkap gaya Perancis.

Walaupun tidak mempunyai kawasan untuk berwuduk, Masjid Sepanyol kekal sebagai tempat ibadat yang aktif bagi masyarakat Islam Secunderabad serta mampu memuatkan 3000 jemaah dalam satu masa.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

3. Masjid Sancaklar, Turkiye
Turkiye sememangnya terkenal dengan masjid-masjid besar zaman Uthmaniyyah. Namun, Masjid Sancaklar sedikit berbeza kerana ia bukan sahaja dilihat sebati, bahkan hampir tersembunyi di sebalik topografi tanah di sekelilingnya.

Pemenang Bangunan Keagamaan Terbaik di Festival Seni Bina Dunia pada 2013 itu bertempat dalam sebuah kejiranan di pinggir Istanbul, Buyukcekmece.

Kata Emre Arolat merangkap arkitek di sebalik masjid unik berkenaan, bangunan itu sengaja dibina dengan gaya ringkas menyerupai sebuah gua untuk mewujudkan hubungan mendalam bersama TUHAN.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MENURUT pereka Masjid Sancaklar di Turkiye, bangunan tersebut dibina sedemikian sebagai suatu dunia tersendiri yang mengasingkan pengunjung daripada ikatan duniawi (Creative Commons)

Dari jauh, satu bongkahan batu mewakili menara masjid menjadi mercu tanda Masjid Sancaklar. Selebihnya adalah ruang solat yang dibina bersama lereng bukit. Beberapa celahan juga diukir pada dinding kiblat untuk membolehkan sedikit cahaya masuk dari arah Kaabah.

Untuk sampai ke masjid, jemaah perlu berjalan di sepanjang anak tangga menuruni bukit. Setibanya di halaman masjid, ada sebuah kedai teh, ruang berkumpul serta perpustakaan untuk kegunaan jemaah.

Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya

4. Masjid Kruszyniany, Poland
Masjid kayu ringkas berwarna hijau ini boleh ditemui di perkampungan Kruszyniany berhampiran sempadan Belarus.

Dari sudut bentuk luarannya, masjid berkenaan dipengaruhi budaya tempatan dan menyerupai gereja-gereja kayu berhampiran. Bangunan segi empat tepat itu juga diperbuat daripada kayu pain, selain dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran pada sebelah dalam masjid.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

SATU plak batu di kawasan masuk masjid bahagian Muslimat menyatakan bahawa Masjid Kruszyniany di Poland pernah diubah suai pada tahun 1846 (Creative Commons)

Sementara itu, Masjid Kruszyniany merupakan salah satu daripada tiga masjid yang masih aktif di Poland.

Ia dikenali oleh masyarakat seawal tahun 1717 namun tiada siapa tahu tarikh sebenar masjid tersebut dibina. Plak batu yang ada di pintu masuk masjid bahagian Muslimat pula menyatakan bangunan itu pernah diubah suai pada tahun 1846.

Di Poland, 0.1 peratus daripada penduduknya beragama Islam. Dianggarkan terdapat 3,000 orang Tatar Islam termasuk 30,000 Muslim lain yang telah berhijrah dari tempat atau memeluk agama Islam di negara itu.

Baca juga Dua buku mengenai Hagia Sophia dikeluarkan Turkiye sempena ulang tahun kedua pembukaan semula masjid itu

5. Masjid Besar Djenné, Mali
Masjid Besar Djenné mula dibina pada abad ke-13 oleh Raja Koy Konboro, pemerintah Islam pertama di bandar itu. Khabarnya, Konboro sanggup merobohkan istananya untuk membina masjid di situ bagi menunjukkan ketaatannya kepada Islam.

Yang menariknya, masjid berkenaan adalah bangunan bata lumpur terbesar di dunia. Ia juga diisytiharkan sebagai tapak Warisan Dunia Unesco pada tahun 1988.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

KAWASAN Masjid Djenné di Mali sering dinaiki air ketika musim hujan, menyebabkan bangunan itu perlu diperkukuh dengan tanah lumpur baru setiap tahun (Creative Commons)

Selain dipengaruhi seni bina tradisional Sudano-Sahel, Masjid Besar Djenné mempunyai ketinggian hampir 20 meter dan dibina di atas platform sepanjang 91 meter. Ini kerana masjid itu berhampiran Sungai Niger menyebabkan ia sering dinaiki air ketika musim hujan dan strukturnya perlu ditampal semula setiap tahun.

Di samping itu, terdapat sembilan puluh tiang kayu yang menyokong bumbung dan dinding masjid. Ruang solat masjid pula boleh memuatkan seramai 3 ribu jemaah.

Islam mula tersebar di Afrika Barat pada abad ke-19 oleh pedagang Berber dan Tuareg Muslim. Kini, 90 peratus rakyat Mali beragama Islam.

Baca juga Masjid Raya Baiturrahman Terus Gagah Menentang Badai

6. Masjid Niujie, China
Dibina pada 996, Masjid Niujie adalah masjid tertua di Beijing. Ia pernah diroboh dan kemudian dibina semula beberapa kali merentasi dinasti berbeza. Masjid itu perluaskan pada tahun 1696 di bawah dinasti Qing.

Walaupun bahagian luar masjid tersebut memiliki seni bina istana kayu tradisional Cina, namun ruang dalamnya dihiasi dengan kaligrafi al-Quran serta panel kayu merah Cina, memperlihatkan pengaruh Islam dan Cina Han.

masjid unik seluruh dunia kepelbagaian Islam

MASJID Niujie mendapat namanya sempena kawasan masjid yang berhampiran dengan penjual-penjual daging di daerah Xuanwu, Beijing.

Ciri paling unik dalam Masjid Niujie adalah Menara ‘Watching Moon’ setinggi 10 meter, berbentuk heksagon serta mempunyai bumbung emas. Menara ini pernah digunakan oleh imam masjid untuk melihat bulan bagi menentukan bulan-bulan Islam termasuk permulaan Ramadan.

Di China, Islam disebarkan melalui pedagang Arab dan Parsi. 90 peratus penduduk Islam di negara berkenaan terdiri daripada etnik Hui dan Uyghur.

6 reka bentuk masjid unik seluruh dunia membuktikan Islam meraikan kepelbagaian budaya

Foto dan Sumber: Middle East Eye