Browsing Tag

Masjid Raya Baiturrahman

Untitled design (3)
Jendela Dunia,

Masjid Raya Baiturrahman Terus Gagah Menentang Badai

SEPERTI kebanyakan negara Islam lain di seluruh dunia, Indonesia turut memiliki mercu tanda keislamannya yang tersendiri. Teguh berdiri di barat laut Sumatera, Masjid Raya Baiturrahman menjadi syiar agama, budaya dan perjuangan masyarakat Aceh.

Kehebatan masjid ini tidak sekadar menjadi pusat kegiatan keagamaan dan saksi kejayaan Kerajaan Aceh, bahkan juga pernah dijadikan markas pertahanan terhadap serangan para penjajah.

Masjid ini dibina oleh Sultan Iskandar Muda, Raja Aceh sekitar tahun 1612 (1607-1636). Dalam catatan sejarahnya, masjid ini tetap kukuh berdiri meskipun hampir rentung dibakar penjajah Belanda dan dibadai tsunami 2004 yang amat dahsyat.

Masjid Raya Baiturrahman Aceh memiliki keluasan sekitar 4.000 meter persegi dan mampu menampung hampir 13 ribu jemaah pada satu masa.

Pembinaannya mengambil inspirasi senibina Mughal, begitu menyerlah dengan menara dan kubah besar seperti Taj Mahal di India.

Antara keunikan lain yang terdapat di sini ialah pada tiga pintu besarnya yang diperbuat daripada kayu berukir dan  membolehkan cahaya semulajadi  menerobos menerusi setiap liang ukiran pintu.

Masjid yang berlokasi di Jalan Muhammad Jam No.1 Kota Banda Aceh tersebut awalnya hanya memiliki satu kubah. Dalam perluasan masjid pada 1935, dua kubah ditambah yang terletak di kanan-kiri kubah pertama.

Manakala sewaktu perluasan masjid yang dilakukan pada 1991 hingga 1993, jumlah kubahnya ditambah lagi menjadikan tujuh buah kubah.

POSISI STRATEGIK

Sumber sejarah menyebut bahawa Masjid Raya Baiturrahman didirikan pada 1612, semasa Kerajaan Aceh diperintah oleh Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Akan tetapi, ada pula yang meyakini bahawa masjid ini telah dibina lebih awal, iaitu oleh Sultan Alaidin Mahmudsyah pada 1292.

Bangunan asal Masjid Raya Baiturrahman pernah terbakar pada zaman pemerintahan Sultan Nurul Alam (1675-1678). Sebagai gantinya, dibangunkan masjid baharu di lokasi yang sama.

Justeru memiliki kedudukan yang sangat strategik, sebahagian bangunan masjid ini pernah dibakar oleh penjajah Belanda pada 10 April 1873.

Demi memujuk hati rakyat Aceh yang sedang diamuk kemarahan, Gabenor Belanda di Acheh pada waktu itu iaitu Jeneral Van Lansberge memberikan persetujuan untuk membina kembali sebuah masjid besar yang baharu.

Peletakan batu asas pembinaan semula masjid telah dilakukan pada 9 Oktober 1879 oleh Tengku Qadhi Malikul Adil. Manakal keseluruhan pembinaan selesai pada 27 Disember 1881 dan terus dirasmikan ketika itu juga.

Arkitek yang merancang pembinaan semula masjid yang baharu adalah seorang kapten angkatan darat Belanda bernama Gerrit van Bruins. Pada sepanjang proses pembinaan, beliau bekerjasama dengan seorang orientalis, Snouck Hurgronje dan penghulu masjid Bandung.

Sejak dirasmikan, tidak sedikit rakyat Aceh yang menolak untuk beribadah di situ dengan alasan ia dibina oleh Belanda. Sungguh pun begitu, kini Masjid Raya Baiturrahman menjadi kebanggaan rakyat Banda Aceh.

 

PERNAH DIGEMPUR PELURU, DIBAKAR BELANDA BAHKAN DIHENTAM TSUNAMI, NAMUN MASJID INI TEGUH BERDIRI MERENTASI ZAMAN

PASCA TSUNAMI

Pasca tsunami Aceh 2004, masjid ini kembali diubahsuai kerana mengalami kerosakan yang tidak terlalu parah pada beberapa sudut bangunannya.

Sepanjang sejarahnya, Masjid Raya Baiturrahman pelbagai kegiatan dijalankan di dalamnya dan tidak terbatas untuk kegiatan keagamaan sahaja. Pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda misalnya, masjid ini digunakan sebagai pusat penyebaran dakwah dan ilmu Islam.

Pelajar yang datang menuntut ilmu di sini  bukan sahaja dari kalangan warga tempatan, bahkan dari Tanah Melayu, Parsi, Arab dan Turki. Pada zaman penjajahan pula, masjid agung ini digunakan sebagai tempat ibadah dan markas pertahanan terhadap serangan musuh. Fungsi tersebut sangat terasa semasa Kerajaan Aceh dipimpin oleh Sultan Alaidin Mahmud Syah (1870-1874).

Ketika terjadi bencana tsunami pula masjid ini dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara bagi masyarakat tempatan.

Hari ini, selain menjadi tumpuan Muslimin menyempurnakan ibadah solat jemaah dan kelas pengajian harian, Masjid Raya Baiturrahman turut menyediakan pelbagai aktiviti keagamaan seperti Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan Isra’ Mi’raj, bahkan turut menjadi salah satu lokasi pelancongan keagamaan yang utama di Aceh.