Browsing Tag

maqasid syariah

Pemimpin tipu rakyat
Isu,

Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

Oleh DR HJ HIDRIS SAHRI

AMANAH yang dipikul oleh seorang pemimpin meletakkan mereka sebagai pelaksana fungsi kenabian di dalam menjaga agama ALLAH SWT dan mengatur kehidupan manusia dengan adil dan sejahtera.

Tanggungjawab pemimpin dalam organisasi dan masyarakat amat penting bagi melaksanakan syariat ALLAH, selain menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan ramai, serta mengelak berlakunya pertelingkahan antara mereka.

Rasulullah SAW amat menekankan betapa pentingnya bersifat amanah di dalam kehidupan menerusi sabdanya: “Sesungguhnya sifat amanah bertunjang dalam hati sanubari manusia, kemudian al-Quran diturunkan, maka hatinya yang bertunjangkan amanah itu akan mempelajari al-Quran dan as-Sunnah.” (Hadis riwayat Muslim)

Amanah adalah tanggungjawab yang berat lagi besar. Justeru, kepada semua bakal pemimpin, barang siapa mengkhianati amanah dan ego dengan kuasa yang ada, ingatlah pesanan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Ziyad yang mengunjungi Ma’qil bin Yasar al-Muzani, Ma’qil berkata:

“Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang dibebankan oleh ALLAH untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya ALLAH akan mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, demi menjaga dan memastikan Maqasid Syariah (objektif syariah) terlaksana, setiap pemimpin perlu menekankan lima prinsip iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan.

Baca juga Rasulullah SAW Pernah Beri Amaran Tentang Kelompok Manusia Yang Gila Kuasa

Maslahah merupakan aspek utama di dalam syariat. Ia saling melengkapi di antara satu sama lain dan sesuai sepanjang zaman.

Maqasid Syariah terangkum kepada lima perkara utama iaitu pemeliharaan agama, jiwa, akal, zuriat dan harta. Ia seharusnya ditakrif dan difungsikan sesuai dengan realiti zaman dan masyarakat dan bukan disalah ertikan serta dipinggir seolah hanya karya di rak-rak buku.

Pemimpin tipu rakyat

PARA pemimpin wajib menjauhkan diri mereka dengan perkara yang boleh membawa kemungkaran
seperti mengambil rasuah atau riba, menyembunyikan kebenaran dan mementingkan diri sendiri.

Pemeliharaan agama

Pemeliharaan agama (hifz az-din) harus diertikan sebaik-baiknya dan bukan sekadar mengawalnya daripada penyimpangan tetapi juga pembinaan masyarakat yang berpegang kepada agama. Pada masa sama pemimpin itu perlu mengetahui lebih mendalam sfat-sifat ALLAH.

Seperti kata Imam al-Ghazali dalam kitab Nasihat al-Muluk berkenaan nasihatnya kepada penguasa iaitu: “Manusia jika tidak diingatkan tentang sifat Tuhan, akan cenderung lupa akan kekuasaan Tuhan dan boleh menjurus kepada kezaliman dan penganiayaan.”

Dalam konteks Malaysia, memelihara agama (ad-din) bermakna ‘untuk mengelakkan apa-apa yang mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asas, termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan’.

Baca juga Pemimpin atau ketua yang baik perlu seimbangkan di antara kepentingan agama dan urusan duniawi

Pemeliharaan jiwa

Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs) harus diertikan sebagai usaha pencapaian kualiti hidup (terhormat, berdaulat dan bermartabat sesuai dengan darjat kemuliaan insani).

Pemimpin juga wajib menjaga kepentingan maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup dan harta, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memenuhi keperluan pekerjaan, pengagihan pendapatan dan kekayaan secara saksama, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta kestabilan negara.

Pemeliharaan akal

Pemeliharaan akal (hifz al-’aql) membawa masyarakat ke arah pembinaan daya fikir, pembangunan budaya keintelektualan dan menjauhi pemikiran mundur yang membawa kepada kemusnahan daya fikir.

Pemimpin juga perlu peka, memupuk nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur yang menjurus kepada kerosakan akal seperti arak, dadah dan filem yang merosakkan wajar dibanteras dan dihalang segera.

Pemimpin tipu rakyat

JADILAH menekankan lima prinsip iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi menghasilkan maslahah (kebaikan) kepada umat dan mencegah kemudaratan.

Pemeliharaan zuriat

Pemeliharaan zuriat atau keturunan adalah usaha penguatan institusi keluarga dan pembinaan generasi berkualiti. Konsep itu perlu difahami oleh pemimpin dengan memelihara keturunan agar dapat membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.

Pemeliharaan harta

Pemeliharaan harta (hifz al-mal) pula memelihara harta daripada ketidakadilan, penafian hak dan sebagainya. Pemerintah wajib memelihara dan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, cetak rompak, menipu hak intelek, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan.

Baca juga Kenali 21 ciri-ciri kepimpinan Islam menurut Imam al-Nawawi

Sesungguhnya, penekanan kepada lima asas Maqasid Syariah ini akan dapat memelihara kerukunan hidup masyarakat berbilang bangsa, sekali gus menyelamatkan demokrasi. Kefahaman mendalam dalam konsep maqasidi dapat membangkitkan rakyat melawan politik rasis dan seterusnya dibina bukan atas konflik antara kaum atau antara agama. Bahkan kerukunan hidup berdampingan atau at-ta`ayush as-silmiy.

Umat Islam sebagai golongan majoriti harus memimpin proses pembentukan bangsa Malaysia dalam pengertian ummah siyasiyyah yang inklusif berasaskan formula dasar kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Inilah amanah buat mereka yang telah menyiapkan diri menjadi pemimpin sepertimana ingatan Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar RA, bahawa baginda bersabda: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab atas mereka, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

***Dr Hj Hidris Sahri ialah Pengerusi Pertubuhan al Khairiah Mersing, Johor 

Foto: 123rf & Pexels

Urus tekanan
Gaya Hidup,

Kaedah Terbaik Urus Tekanan Yang Dianjur Oleh Islam

no comment

Oleh DR AZRI BHARI

LAPORAN media menunjukkan tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia perlu diberi perhatian serius. Statistik individu yang membunuh diri semakin meningkat dan ia dikaitkan dengan kesan pandemik Covid-19.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 336 kes bunuh diri dilaporkan hingga Mac lalu, berbanding 631 kes pada 2020 dan 609 kes (2019).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial telah menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun lalu. Kebanyakannya berkaitan dengan permasalahan kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga, tekanan ketika bekerja dari rumah dan sebagainya.

Secara asasnya, penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu neurosis, psikosis dan kecelaruan personaliti. Berikut penerangan secara ringkas:

Neurosis: Lazimnya seseorang akan mengalami perubahan dan gangguan dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan akal.

Psikosis: Selalunya seseorang akan mengalami perubahan yang amat ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku serta kewarasan juga terjejas. Mereka juga akan berasa keliru apabila mendengar suara-suara ghaib berkomunikasi (halusinasi).

Kecelaruan personaliti: Situasi ini menunjukkan seseorang mengalami kecacatan perwatakan.

Urus tekanan

IKUTILAH panduan Islam apabila mengalami tekanan supaya kita tidak mudah lari daripada landasan agama. -Gambar hiasan

Dalam Islam, punca berlaku tekanan bukan hanya dari aspek tekanan mental semata-mata, bahkan boleh berlaku akibat kecelaruan dan kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan manusia dengan ALLAH.

Apabila itu terjadi, kehidupan seseorang akan menjadi sempit dan seolah-olah tiada jalan keluar daripada setiap masalah hidup.

Sesungguhnya, Islam merupakan agama yang sangat mengambil berat terhadap kesihatan mental. Hal tersebut dapat dilihat melalui penentuan objektif syariah (maqasid syariah) yang digariskan oleh ALLAH SWT untuk dicapai dalam kehidupan manusia bagi mendatangkan kemaslahatan dan menolak kemudaratan.

Baca juga Usah Terjebak Dengan Perkara Yang Mengundang Kebinasaan, Ikuti Panduan Islam Tangani Tekanan

Pendekatan paling wajar

Maqasid syariah terbahagi kepada tiga tahap dari aspek keutamaan iaitu daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.

Pada peringkat daruriyyat, pemeliharaan atau penjagaan terhadap agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu diberi perhatian dalam kehidupan manusia. Terdapat beberapa solusi dalam menyelesaikan isu tekanan dan kemurungan.

Antaranya melalui beberapa tindakan positif dan berlandaskan ajaran Islam dalam memastikan nyawa serta akal terpelihara dengan baik.

1. Memahami dan menerima hakikat kehidupan adalah suatu ujian.

Sewajarnya, seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional, positif dan yakin dengan ketentuan YANG MAHA ESA. ALLAH SWT telah memberi panduan terbaik dalam menghadapi ujian dan tekanan hidup melalui firman-NYA: “Demi sesungguhnya! KAMI pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, (merasai) kelaparan, kekurangan daripada harta benda dan jiwa (kehilangan nyawa) serta buahbuahan (kehilangan hasil usaha) dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.“ (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Ujian dan tekanan hidup adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kepada ALLAH SWT. Apabila seseorang yakin, dengan izin ALLAH SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya dapat diselesaikan dengan tenang.

2. Kembali kepada ALLAH SWT dengan sentiasa mengingati dan memohon bantuan serta panduan.

Menunaikan solat, berdoa, membaca al-Quran dan berzikir adalah amalan yang perlu dilazimi dalam kehidupan seharian. Ia adalah terapi secara kerohanian untuk merawat penyakit tekanan dan kemurungan.

ALLAH SWT sentiasa mengingatkan manusia agar sentiasa mengingati-NYA bagi mendapatkan pertolongan sebagaimana dalam ayat yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada ALLAH) dengan sabar dan solat.“ (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Seterusnya, amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan ALLAH SWT dalam ayat yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, dapat menenteramkan hati manusia.“ (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Urus tekanan

SENTIASA mengingati ALLAH SWT walaupun perit dugaan yang diterima. Yakinlah bahawa DIA pasti akan memberikan jalan keluar atas segala kesulitan yang dialami.

3. Memelihara hubungan dan komunikasi yang baik bersama masyarakat di sekeliling.

Masyarakat terutama ibu bapa, ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga berperanan sebagai tempat meluahkan permasalahan dan membantu memberi sokongan moral atau emosi dalam menghadapi ujian dan tekanan.

Sikap suka bersendiri adalah petunjuk atau petanda kepada kecenderungan penyakit mental yang menyebabkan kurangnya berasimilasi, berkomunikasi dan berkongsi permasalahan bersama pihak lain.

Saranan Nabi Muhammad SAW untuk membantu golongan yang menghadapi ujian dan tekanan terkandung dalam hadis Riwayat Muslim yang bermaksud:

“Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia, maka ALLAH akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat.“

4. Berusaha mengatur strategi dan langkah penyelesaian.

Lakukannya secara bijaksana dan sabar dalam menyelesaikannya. Setiap kemelut hidup pasti disusuli dengan solusi yang telah dijanjikan oleh ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “Setiap kesulitan pasti disusuli kemudahan.“ (Surah al-Sharh, ayat 5)

Ia telah diulang sebanyak dua kali berturut-turut untuk memberi isyarat bahawa janji ALLAH adalah pasti dan benar.

Kesimpulannya, segala masalah, kemelut atau kerumitan yang ditempuhi perlu diselesaikan dengan pendekatan yang berlandaskan syarak. Yakinlah bahawa setiap masalah yang timbul, pasti ada penyelesaian dan ALLAH SWT akan sentiasa membantu.

DIA tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung hamba-NYA. Ketahuilah bahawa kemurungan boleh menggugat keimanan dan menjadikan manusia berada dalam posisi yang tidak baik.

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor

Foto: Unsplash