Browsing Tag

Mapim

Capture
Berita Semasa, Uncategorized,

[Video] Himpunan bantah bakar al-Quran jadi perhatian di Kedutaan Sweden

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menghantar notis bantahan kepada Duta Sweden di Malaysia hari ini berhubung perbuatan membakar al-Quran oleh ahli politik ekstrem Denmark-Sweden, Rasmus Paludan di Stockholm, Sabtu lalu.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perkara yang dimahukan adalah kedamaian, berdialog dan satu perbincangan.

Nota bantahan itu diserahkan kepada wakil Duta Sweden di Malaysia Dr Joachim Bergstrom.

“Kami minta supaya mereka akur bahawa apa yang dilakukan oleh pihak sana (kerajaan Sweden) adalah berbahaya walaupun atas nama kebebasan,”

“Perkara ini sangat penting. Bagaimana pula jika ada satu kumpulan melakukan penghinaan terhadap agama yang dominan di Sweden? Ini adalah sebagai satu peringatan bahawa perkara ini bukan satu benda yang kecil.

“Perkara ini akan ada kesan di peringkat antarabangsa. Saya turut mempelawa mereka untuk berdialog bersama kami, kami bersedia,” katanya kepada media selepas menyerahkan notis bantahan kepada Kedutaan Sweden di Jalan Mayang Sari, Hampshire Park.

 

 

Kontroversi yang mengguris hati dunia Islam ini bermula apabila Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk sejumlah besar wartawan pada 21 januari lalu.

Selepas mengecam hampir sejam yang mana dia menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api.

Lebih mengecewakan, akhbar The Washington Post melaporkan, ahli politik itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu.

Tangani kebangkitan Islamofobia 

Lantaran itu dunia Islam khususnya Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia pemimpin parti politik sayap kanan Sweden-Denmark itu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menggesa Kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di negara berkenaan.

Beliau berkata, tindakan provokasi itu bukan sahaja mencetuskan sensitiviti kepada Turkiye, tetapi turut memberi kesan kepada lebih dua bilion umat Islam di dunia ini.

“Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang-ulang yang menyasarkan umat Islam di dunia serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan yang semakin meningkat kerana kepercayaan atau etnik.

“Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog, libat sama dan saling hormat-menghormati dalam menyeledaikan pertikaian.

“(Malaysia juga) menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak kebencian kaum atau agama yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan kebencian serta keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Arab Saudi turut mengambil tindakan serupa. Negara itu mengecam tindakan pihak berkuasa Sweden kerana membenarkan ahli politik sayap kanan itu membakar al-Quran.

Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Arab Saudi menekankan “pendirian tegas kerajaan yang menyeru terhadap kepentingan menyebarkan dialog, toleransi dan kewujudan bersama dan menolak kebencian serta ekstremisme.”

Kementerian Luar Mesir mengecam pembakaran al-Quran sebagai “perbuatan yang memalukan.”

Kementeriannya dalam satu kenyataan memberi amaran bahawa “perbuatan memalukan itu membangkitkan kemarahan ratusan juta umat Islam di seluruh dunia.

“Amalan ekstremis ini tidak konsisten dengan nilai menghormati orang lain, kebebasan kepercayaan, hak asasi manusia dan kebebasan asasi manusia,” tambahnya.

Baca juga : Biadapnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Qatar turut mengecam sekeras-kerasnya kebenaran Sweden membakar al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm.

“Kejadian kejam ini adalah satu tindakan menghasut dan provokasi serius terhadap perasaan lebih dua bilion umat Islam di dunia,” kata Kementerian Luar Qatar dalam satu kenyataan.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga mengutuk insiden itu dan mengulangi “penolakannya terhadap semua amalan yang bertujuan menjejaskan keselamatan dan kestabilan yang bertentangan dengan nilai dan prinsip manusia dan moral.”

UAE memperbaharui gesaannya untuk meninggalkan ucapan kebencian dan keganasan dan menekankan keperluan untuk menghormati simbol agama dan mengelakkan hasutan kebencian dengan menghina agama.

Oman menyebut pembakaran al-Quran sebagai “tindakan provokasi terhadap perasaan umat Islam dan hasutan untuk keganasan dan kebencian, oleh pelampau di Sweden.”

Ia menggariskan keperluan untuk usaha antarabangsa bagi menyatukan nilai toleransi dan kewujudan bersama serta menjenayahkan semua tindakan yang menggalakkan ideologi kebencian.

Menteri Luar Kuwait, Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah, mengecam pembakaran al-Quran, berkata insiden itu “mencederakan sentimen umat Islam di seluruh dunia dan menandakan provokasi yang serius.”

Tindakan provokatif dan tidak masuk akal

Iran juga menamakan pembakaran al-Quran sebagai cubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan terhadap umat Islam.

Tehran berkata beberapa negara Eropah dengan alasan palsu menyokong kebebasan bersuara “membenarkan unsur-unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian terhadap kesucian serta nilai Islam.”

Jordan menyertai paduan suara kecaman dan menekankan “penolakan kerajaan terhadap tindakan ini yang menyemarakkan kebencian.”

Amman menggariskan keperluan untuk menyebarkan budaya keamanan dan penerimaan lain, sambil menambah bahawa “mengutuk ekstremisme adalah tanggungjawab bersama.”

Maghribi berkata ia “terkejut” dengan kebenaran Sweden membakar kitab suci Islam.

“Perbuatan penuh kebencian ini menyinggung perasaan lebih satu bilion umat Islam, boleh menyemarakkan kemarahan dan kebencian antara agama dan rakyat,” menurut Kementerian Luar Maghribi dengan memberi amaran menerusi satu kenyataan.

Pakistan menggelar insiden itu sebagai “tindakan Islamofobia yang tidak masuk akal dan provokatif yang menyakiti sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.”

Tindakan sedemikian “tidak dilindungi di bawah sebarang ungkapan yang sah mengenai hak kebebasan bersuara atau pendapat, yang menjadi tanggungjawab di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, seperti kewajipan untuk tidak mengucapkan kata-kata kebencian dan menghasut orang ramai melakukan keganasan,” kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan.

Baca juga : Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam

Kementerian Luar Bangladesh mengecam “tindakan menghina nilai-nilai suci umat Islam di seluruh dunia dengan bertopengkan ‘kebebasan bersuara’.”

Kementerian Luar dalam kerajaan sementara Taliban di Afghanistan juga dengan keras mengutuk pembakaran dan mencemarkan Al-Quran serta menggesa kerajaan Sweden untuk menghukum pelakunya.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu turut menggesa Stockholm supaya tidak membenarkan mereka melakukan tindakan provokasi terhadap agama dan umat Islam pada masa akan datang.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga mengecam pembakaran al-Quran sebagai tindakan provokatif yang “mensasarkan umat Islam, menghina nilai-nilai suci mereka, dan menjadi contoh membimbangkan mengenai Islamofobia” dan meminta Sweden untuk menghukum mereka yang berada di belakang jenayah kebencian.

Sementara itu, Azerbaijan turut mengecam pembakaran naskhah al-Quran di Sweden.

Kementerian Luar Turki mengecam pembakaran kitab suci Islam di Stockholm sebagai “serangan keji.” “Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji terhadap kitab suci kami, Al-Quran, di Sweden, walaupun amaran diberikan berulang kali sebelum ini,” katanya.

Sebagai tindak balas kepada kebenaran Sweden untuk insiden itu, Ankara membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson yang akan berkunjung ke Türkiye.

Sekitar himpunan bantahan bakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden, Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur,

 

PENGERUSI Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Ustaz Masridzi Sat memimpin bacaan doa pada himpunan bantahan bakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden, Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur