Browsing Tag

Manusia gila kuasa

Manusia gila kuasa
Gaya Hidup,

Rasulullah SAW Pernah Beri Amaran Tentang Kelompok Manusia Yang Gila Kuasa

no comment

SEMUA orang mengimpikan untuk hidup aman dan harmoni. Tiada siapa yang mahu hidupnya bercelaru apa lagi dalam negara yang bergolak tanpa kesudahan.

Namun begitu, seandainya kita diuji sedemikian, bersabarlah dan terus menitipkan doa memohon kepada ALLAH SWT agar dugaan itu cepat berakhir.

Hanya DIALAH yang berkuasa menentukan dan mengakhiri segala-galanya.

Cuma apa yang begitu membimbangkan kita pada hari ini adalah apabila individu atau orang yang diberi kuasa itu tidak bersifat amanah. Malah turut menjalankan tugasnya dengan sambil lewa dan menzalimi individu di bawahnya.

Ketahuilah bahawa kuasa itu begitu memabukkan. Demikian jelas Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Ujar beliau, Rasulullah SAW pernah berpesan dalam sebuah hadis bahawa akan muncul kumpulan manusia yang sangat gilakan kuasa. Kegilaan itu mengakibatkan kepada kemusnahan.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya akan ada di kalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan dan ia akan jadi satu penyesalan di hari kiamat. Ia hanya permulaan yang menyenangkan di dunia dan pengakhiran penuh dengan penyesalan di akhirat.” (Riwayat al-Bukhari)

“Bahkan Rasulullah SAW menegaskan bahawa orang yang gilakan kuasa ini tidak seharusnya diberikan jawatan,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada hari ini.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Beliau menambah, baginda SAW pernah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan.

Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan.” (Riwayat al-Bukhari)

“Bukan itu sahaja, seorang tokoh sufi yang terkenal pernah berpesan bahawa gilakan kuasa akan merosakkan peribadi seseorang. Bahkan, sifat itu juga akan menyebabkan seseorang akan bersifat hasad dan suka mencari keaiban manusia lain.

“Fudail ibn Iyyad pernah menyatakan: ‘Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain’,” katanya.

Justeru, Dr Ahmad Sanusi berpesan supaya kita menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik iaitu dengan memilih pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat.

Manusia gila kuasa

SEBAGAI pemimpin sama ada organisasi, keluarga mahupun negara, utamakanlah kepentingan indiviu di bawah seliaan masing-masing.

“Menjadi tanggungjawab kita berbuat demikian dan bukan memilih mereka yang hanya gilakan jawatan dan mementingkan kepentingan diri sendiri sahaja.

“Dalam keadaan kesempitan hidup dan kelembapan ekonomi yang berlaku pada hari ini, kita sepatutnya mengutamakan penyelesaian dalam menangani wabak dan membangunkan semula ekonomi negara, bukan bercakaran mengejar kemusnahan. Semoga ALLAH sentiasa membimbing kita,” titipnya.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga pandemik Covid-19 yang masih mengganas ini segera diangkat dari muka bumi ini dan negara terus sejahtera.

Foto: Unsplash