Browsing Tag

Manfaat dan keberkatan bersahur

Berita Semasa,

Jangan liat bangun sahur, banyak maanfaat dan keberkatan yang kita dapat

SEGELINTIR orang begitu liat untuk bangun bersahur. Barangkali hanya pada awal Ramadan saja bersemangat untuk melakukan sunah berkenaan, kemudian langsung tidak nampak ‘bayang’.

Sedar atau tidak, sahur sebenarnya bukan sekadar untuk menghidupkan sunah Rasulullah SAW sepanjang berpuasa pada bulan Ramadan. Manfaatnya begitu besar kepada diri kita.

Ketahuilah bahawa bersahur itu ada keberkatan. Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Anas bin Malik.

Beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, jelaslah bahawa umat Islam yang berpuasa digalakkan bersahur dan hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut.

Bahkan, ada dua keberkatan bersahur yang ditunjukkan dalam hadis berkenaan iaitu:

Pertama: Keberkatan syar’iyyah

– Ia merupakan keberkatan dalam mengikut sunah Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa serta beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu mustajab berdoa.

Kedua: Keberkatan badaniyah

– Keberkatan pada sahur itu sendiri memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan dan menguatkan semangat kita untuk berpuasa serta menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

Manfaat dan keberkatan bersahur

USAH malas bangun sahur kerana ia mengandungi keberkatan di dalamnya, selain memberi kebaikan kepada kita.

Walaupun hukumnya hanya sunat yang dituntut dan tidak jatuh hukum wajib, sebagai seorang Muslim, seharusnya kita tidak meninggalkan sahur sekalipun dengan hanya segelas air atau sebiji tamar.

Bahkan, sahur yang paling afdal adalah dengan air dan tamar sahaja!

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik sahur orang Mukmin adalah dengan buah tamar.” (Riwayat Abu Dawud)

Bukan itu sahaja, sahur juga merupakan perbezaan antara puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab.

Sabda baginda SAW: “Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.” (Riwayat Muslim)

Waktu sahur pula bermula dari akhir malam sebelum waktu Subuh hingga terbit fajar al-sadiq. Bagaimanapun, kita disunatkan untuk melewat-lewatkan sahur sehingga hampir ke waktu Subuh.

Zaid bin Thabit RA berkata: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk mendirikan solat. Aku telah bertanya: ‘Berapa jarak antara keduanya?’ Maka baginda SAW bersabda: “50 ayat.” (Riwayat Muslim, al-Nasaie dan Ibn Majah)

Maksud 50 ayat dalam hadis itu adalah kadar tempoh bacaan al-Quran yang lebih kurang persamaannya dengan kadar waktu antara imsak (waktu berhati-hati) dengan waktu subuh.

Justeru, janganlah jadikan malas itu sebagai alasan untuk tidak bangun sahur. Kalaulah kita tahu begitu di situ ada banyaknya keberkatan, pasti peluang keemasan itu tak akan dilepaskan.

(Sumber: Keberkatan pada Sahur, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)