Browsing Tag

malaysia #quranhour

Kemerdekaan
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Jernihkan pemikiran kufur kepada syukur, antara formula ampuh bentuk masyarakat berakhlak mulia

JERNIHKAN pemikiran kufur kepada syukur. Sesungguhnya, ia sesuatu yang mencabar untuk direalisasikan. Tidak cukup sekadar ucapan yang meniti pada bibir, tetapi ia perlu dizahirkan dalam bentuk tindakan untuk menjadi ‘insan yang merdeka’. Itulah kemerdekaan yang sebenar-benarnya.

Meskipun definisi setiap orang tentang kemerdekaan pasti berbeza, tetapi apa yang terlintas dalam fikiran kebanyakan masyarakat adalah ruang kebebasan kerana negara kita tidak lagi dijajah.

Walaupun Malaysia memasuki tahun ke-66 kemerdekaan, namun sikap yang dipamerkan masyarakat akhir-akhir ini begitu menggusarkan. Lebih-lebih lagi kita baharu sahaja melepasi pasca Pilihan Raya Negeri (PRN).

Senario seperti mencaci maki orang lain, berselisih faham kerana perbezaan ideologi, ‘menghukum’ individu lain dan banyak lagi banyak mengitari kehidupan kita kebelakangan ini. Mengertilah, semua itu melanggar norma Islam.

Tindak-tanduk sedemikian memperlihatkan betapa runcingnya masalah pemikiran dalam kalangan masyarakat. Ia seolah-olah melambangkan ‘akal’ kita masih lagi tidak merdeka dan mudah dimanipulasi, sekali gus memberi impak kepada negara kelak jika tidak segera ditangani.

Menyedari hal itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bakal mengetengahkan konsep dari pemikiran kufur kepada syukur menerusi program Malaysia #QuranHour sempena sambutan Hari Kebangsaan minggu depan.

Bertemakan ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’, program itu akan berlangsung di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada 30 Ogos ini.

Pemikiran kufur kepada syukur

SEKITAR gambar ketika program Wolrd #QuranHour yang berlangsung pada 13 April lalu di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada 13 April lalu. Kali ini, mari kita sama-sama meriahkan Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos ini. -Foto: Sinar Harian

Baca juga Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

Bukan sekadar laungan

Kepada Sinar Islam Plus, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff menjelaskan, sudah sampai masanya segala pemikiran kufur yang membelenggu diri dijernihkan dengan fikrah syukur.

“Benar, manusia sememangnya sentiasa diuji dengan kufur. Sebab itulah penting untuk kita memperbetulkan cara berfikir yang betul berpandukan al-Quran iaitu dengan pemikiran syukur.

“Dengan fikrah itu, insya-ALLAH kita boleh berubah menjadi lebih baik lagi. ALLAH SWT telah berjanji, apabila kita bersyukur, DIA akan menambah nikmat kepada hamba-NYA,” katanya baru-baru ini.

Pendekatan yang dibawa WUIF itu bertepatan dengan program #QuranHour yang hampir melepasi tempoh 10 dekad (bermula dengan #MalaysiaNgaji) dan memasuki fasa 10 tahun kedua, ungkapnya.

“Segalanya perlu dizahirkan dalam bentuk tindakan dan bukan sekadar laungan konsep semata-mata,” ujarnya.

Jelas Marhaini, program berinteraksi dengan al-Quran itu turut melakar sejarah baharu apabila Masjid as-Syakirin yang terletak di Penjara Penor, Pahang buat pertama kalinya bakal menjadi antara lokasi utama di negeri berkenaan bagi kelompok yang terpenjara. Sudah tentu bergelar banduan, memberikan naratif berbeza buat mereka lebih-lebih lagi golongan tersebut pernah tergelincir daripada landasan yang benar.

MARHAINI

“Konsep pemikiran kufur ini perlu dijernihkan kepada syukur supaya ia menjadi momentum untuk diri mereka melakukan perubahan,” katanya.

Selain Masjid as-Syakirin, Masjid Kariah Jaya Gading, Kuantan turut menjadi lokasi utama untuk orang awam di Pahang pada 30 Ogos nanti.

Fokus tiga surah

Tidak seperti acara sebelum ini yang memfokuskan hanya satu surah, Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung sehari sebelum Hari Kebangsaan itu bakal mengangkat tiga surah sebagai misinya.

Baca juga Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Kali ini, ia melibatkan Surah al-Fatihah, al-Insan dan al-‘Asr.

Mengulas lanjut, Marhaini berkata, ia ada perkaitannya dengan usia program berinteraksi dengan al-Quran itu.

“Pada 10 tahun yang pertama, misi kita adalah sebuah permulaan yang mana fokusnya adalah untuk kita baca dan faham.

“Namun, memasuki tempoh 10 tahun berikutnya ini, misi kita adalah untuk memanusiakan manusia selari dengan inti pati Surah al-Insan. Maknanya kita hendak bawa dari satu permulaan kepada satu kebangkitan,” katanya.

Lantaran itu, jelas beliau, WUIF meningkatkan lagi hasil pembangunan dan kajian untuk memandu manusia ke arah tindakan serta menterjemahkan pemikiran syukur.

Menariknya, pada acara Malaysia #QuranHour itu nanti, orang bukan Islam turut dialu-alukan menyertainya.

Pemikiran kufur kepada syukur

KONSEP pemikiran kufur kepada syukur perlu diterapkan kepada pemuda hari ini sebagai salah satu solusi untuk melahirkan pemuda-pemuda berkemahiran dalam membina projek untuk pembangunan negara sekali gus melahirkan para pemimpin untuk masa depan. -Foto: Unsplash

Golongan tersebut berpeluang mendapatkan formula melahirkan pemuda-pemuda berkemahiran dalam membina projek untuk pembangunan negara, sekali gus melahirkan para pemimpin masa hadapan.

Baca juga 8 ciri pemimpin berwibawa idaman ummah

“Mereka boleh datang dengan berpakaian sopan dan sertai program kita di masjid. Pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin ada sediakan tempat khas dan pembimbing untuk mereka mendengar solusi yang ada dalam kitab teragung, al-Quran. “Dalam kitab suci itu, banyak ayat yang menyeru bukan sahaja kepada orang beriman atau Islam, tetapi ALLAH juga menyeru kepada seluruh manusia menerusi kalam-NYA.

“Insya-ALLAH program ini akan memberi manfaat buat semua termasuklah kepada non-Muslim,” ungkapnya.

malaysia #quranhour
Berita Semasa,

Ayuh bersujud, Malaysia #QuranHour hari ini angkat surah as-Sajdah

PROGRAM Malaysia #QuranHour yang bakal diadakan hari ini mengajak rakyat amalkan bersujud menerusi surah as-Sajdah.

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2022, iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, surah itu juga boleh dijadikan teladan masyarakat melalui kerangka 5S sebagai panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara berbudi dan penyayang yang diredai ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff memberitahu Sinar Harian bahawa surah as-Sajdah dipilih bertujuan untuk mengikut model Rasulullah SAW, selain mahu mengubah pemikiran manusia supaya tidak rasa sombong dalam diri sehingga mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat dan negara.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

“Kita nak lahirkan ummah yang boleh ikut apa yang Rasulullah SAW buat. Baca surah al-Mulk dan as-Sajdah sebelum tidur. Paling penting kita nak membina kerangka fikir kita berubah dengan apa yang surah ini sampaikan.

“Jadi tema utama dalam surah as-Sajdah ini adalah dunia bersujud. Kita nak ajak semua sujud dan masing-masing merasakan penting untuk kita sujud kepada ALLAH SWT.

“Selain itu, membuang ego pada sesama manusia, sekali gus membuahkan hasil dunia berbudi dan penyayang,” katanya ketika as-Sajdah turut menjadi surah pilihan dalam program World #QuranHour pada 26 April tahun ini.

malaysia #quranhour

KERANGKA 5S berdasarkan surah as-Sajdah. Melalui tiga aspek iaitu sujud, sedekah dan sabar, negara diharapkan dapat mencapai tahap ‘Baldatun Toyyibatun was Rabbun Ghafur’ (Negeri yang Baik dan TUHAN YANG MAHA PENGAMPUN)

Kelebihan bersujud

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia bersujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka neraka untukku.”” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, sesiapa membaca surah As-Sajdah dan surah Fatir pada awal malam akan dilindungi ALLAH SWT sehingga keesokan harinya.

Jabir RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Nabi Muhammad SAW tidak akan tidur sehingga dia membaca surah As-Sajdah dan surah al-Mulk.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan KAMI hanyalah orang-orang yang diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji TUHAN mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” (Surah al-Sajdah, ayat 15)

Baca juga Elak seksaan kubur, jom sama-sama amalkan Surah al-Mulk setiap hari

Ayat di atas menerangkan salah satu tanda bagi orang yang beriman dengan ayat-ayat ALLAH adalah mereka yang bersujud apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNYA. Dalam ayat ini juga terdapat tanda sajdah dan kita disunatkan mengerjakan sujud Tilawah apabila membaca atau mendengarnya.

Sama-sama kita gemakan surah as-Sajdah serta hidupkan al-Quran dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat menerusi program Malaysia #QuranHour hari ini.

Tarikh: 30 Ogos 2022/2 Safar 1444H, Selasa
Masa: 12.00 – 1.00 tengah hari
Lokasi Perdana: Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Bagi yang boleh hadir di lokasi perdana, daftar di https://bit.ly/KEHADIRANMQH1444H2022

Penyertaan Malaysia #QuranHour di lokasi masing-masing, daftar di https://bit.ly/RegMQH1444H

Anda juga boleh muat turun panduan tadabbur dan bahan-bahan Malaysia #QuranHour di https://bit.ly/MQH2022

‘Malaysia Bersujud, Keluarga Malaysia Teguh Bersama.’

Foto & Sumber: Media sosial Yayasan Warisan Ummah Ikhlas