Browsing Tag

Maksiat perut

Maksiat perut
Gaya Hidup,

Waspada Dengan Maksiat Perut, Ia Bukan Berkait Soal Makanan Sahaja

no comment

ACAP kali kita dengar tentang dosa akibat mulut dan lidah yang boleh menjebakkan pelakunya ke neraka. Maklum sahajalah, dua anggota berkenaan memang kerap digunakan.

Bukan sahaja digunakan untuk tujuan makan, tetapi juga untuk bercakap yang adakalanya boleh mengguris perasaan orang lain tanpa disedari.

Namun, ketahuilah selain mulut dan lidah, perut juga menjadi anggota yang boleh menjebloskan diri ke lembah dosa dan maksiat.

Terdapat beberapa hadis masyhur yang menceritakan tentang maksiat perut tersebut.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama dengannya.” (Riwayat al-Baihaqi)

Dalam satu riwayat yang lain, baginda SAW pernah ditanyakan tentang adakah amalan riba setengah daripada segala maksiat perut.

Nabi Muhammad SAW lantas menjawab: “Ya, bermula makan riba itu setengah daripada segala maksiat yang dibangsakan kepada perut. ALLAH telah melaknat orang yang makan riba dan yang memberi makannya dan yang menulisnya dan dua saksinya.” (Riwayat Abu Daud)

Bukan itu sahaja, pendakwah Azhar Idrus menjelaskan, memakan harta al-maksu iaitu cukai-cukai yang diambil daripada orang Islam dengan ketiadaan hak dan memakan harta hasil daripada cukai tersebut adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar.

AZHAR IDRUS

“Begitu juga halnya dengan memakan harta rampasan. Perbuatan itu haram kerana merampas bererti menguasai hak orang lain secara zalim bersandarkan kekuatan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya yang memerihalkan tentang Dosa Perut – Riba, Cukai dan Rampasan.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

Ketahuilah bahawa semua perbuatan itu sangat berkait rapat dengan derhaka berkaitan perut iaitu salah satu daripada tujuh anggota badan yang disebut maksiat zahir, ungkapnya.

“Separuh daripada maksiat perut adalah apabila seseorang makan sesuatu yang telah diharamkan oleh ALLAH SWT. Ia bukanlah bermaksud kita makan dengan memasukkan makanan ke dalam perut sahaja.

“Sebaliknya, skopnya begitu luas termasuklah mengambil manfaat yang menggunakan sesuatu yang diharamkan oleh-NYA.

“Ia termasuklah dosa memakan harta yang haram yang banyak dilakukan oleh orang Islam sama ada orang fasik mahupun dalam kalangan orang yang baik. Ini kerana umat Islam hanya tahu bahawa memakan harta yang haram itu dilarang oleh syarak.

“Namun, hakikatnya mereka tidak mengetahui bagaimanakah yang dikatakan dengan harta yang haram tersebut,” jelasnya.

Beliau menambah, disebabkan itulah kadangkala kita melihat orang menjaga solat lima waktu, sentiasa beribadah di masjid, menunaikan haji dan umrah, bersedekah, berzikir, membaca al-Quran serta seumpamanya, tetapi masih terlibat dengan memakan harta yang haram.

“Semuanya disebabkan oleh sifat jahil kerana tidak tahu bagaimana hendak membezakan antara harta yang dihukumkan sebagai halal dan haram,” katanya.

Maksiat perut

ELAKKAN diri daripada terlibat dalam
mendapatkan wang dan harta dengan cara menyalahi syarak.

Menyambung hujah, Azhar memperbetul persepsi ramai tentang larangan memakan harta haram. Ramai yang menyangka kita hanya diharamkan untuk memakannya sahaja.

“Hakikatnya, larangan itu termasuklah untuk tujuan digunakan selain daripada makanan.

“Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan larangan makan haram dalam al-Quran dan as-Sunnah itu adalah mengambil manfaat dengannya.

“Sebagai contoh, menggunakannya seperti menaiki kenderaan daripada harta yang haram atau memakai pakaian yang haram dan seumpamanya,” katanya.

Dalam hal itu, ujar beliau, para ulama menjelaskan: “Yang dikehendaki dengan maksud makan dalam bab ini adalah menggunakannya sama ada makanan yang masuk ke dalam perut atau dipakai sebagai pakaian atau penggunaan yang selainnya dari pelbagai jenis penggunaan dengan bermacam manfaat.”

Justeru, sesiapa yang menggunakan harta haram, nescaya dirinya telah berbuat maksiat kepada ALLAH SWT. Maka, nerakalah tempat yang layak baginya di akhirat kelak.

“Bukan itu sahaja, dalam sebuah hadis riwayat Muslim, ada diceritakan bahawa seorang lelaki yang bermusafir dalam keadaan berdebu pakaiannya mengangkat tangan berdoa kepada ALLAH.

Maksiat perut

JANGAN sesekali menerima hasil pemerolehan daripada sebarang perkara yang diharamkan oleh agama atau mengandungi unsur syubhah.

“Semua maklum orang bermusafir antara individu yang mudah dikabulkan doanya.

“Namun, lelaki tadi, Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Wahai Tuhan. Wahai Tuhan sedangkan makanannya haram dan minumannya haram dan pakaiannya haram dan diberi makan dengan yang haram sungguh bagaimana ALLAH akan makbulkan doanya itu?’

“Hadis itu jelas memberitahu bahawa amalan orang yang memakan harta haram tidak akan diterima oleh ALLAH SWT,” jelasnya.

Foto: Freepik