Browsing Tag

Maki hamun anak-anak

Berita Semasa,

Jangan maki hamun anak-anak, kelak ia akan berbalik kepada kita

BEKERJA dari rumah bukanlah asing lagi buat kebanyakan daripada kita. Itulah normal baharu yang perlu disesuaikan dalam keadaan sekarang dalam usaha untuk memerangi Covid-19.

Malah, anak-anak juga terpaksa membiasakan situasi itu untuk bersekolah dari rumah juga.

Maka, faham-faham sahajalah apabila ibu bapa dan anak masing-masing di rumah, riuh sakan kediaman kita dengan pelbagai ragam.

Namun, tanggungjawab hakiki terhadap kerjaya masing-masing perlu dilunaskan apalagi ketika tempoh waktu bekerja.

Semuanya terpulang kepada cara masing-masing untuk ‘mengharmonikan’ dan menyeimbangkan antara tanggungjawab mengurus keluarga dan bekerja dari rumah.

Dalam kesibukan kerja kita itu, kadangkala ibu bapa secara tidak sengaja bercakap dengan nada tinggi kepada anak-anak. Adakalanya melepaskan kemarahan kepada anak-anak dek kerana terkejar-kejar menyiapkan tugasan pejabat di rumah dan tertekan melayan macam-macam karenah anak di rumah.

Walaupun anak-anak hanya diam dan tidak membalas kata-kata ibu bapa tadi, tetapi mereka juga punya perasaan. Pasti terselit rasa sedih kerana menjadi mangsa amarah ibu bapa yang meluap-luap.

Apatah lagi jika ia melibatkan kesalahan yang kecil dan remeh. Itu belum lagi bercerita bab ibu bapa yang sampai tahap memaki hamun anak-anak dek kerana gagal mengawal emosi.

(Artikel berkaitan: ‘Didiklah anak lelaki dengan penuh sabar’ – Dr Hamid)

Dalam hal ini, pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani mengingatkan agar ibu bapa tidak marah anak-anak hingga tahap memaki hamun mereka.

Jelasnya, kata-kata yang keluar dari mulut kita bukan sahaja akan memberi kesan kepada anak-anak. Malah, ia juga akan berbalik kepada diri kita semula.

Maki hamun anak-anak

BERCAKAPLAH dengan anak dengan lemah-lembut.

“Mak ayah, cakaplah lembut-lembut dengan anak-anak. Jangan maki hamun anak-anak.

“Bila kita maki hamun anak-anak kita, maknanya kita mendoakan yang tak baik kepada mereka.

“Akhirnya, (kata-kata itu) berbalik kepada kita semula. Untuk apa kita maki hamun mereka? Ingatlah percakapan itu merupakan doa kita” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok di Instagram miliknya baru-baru ini.

Justeru, jagalah percakapan dan tutur kata kita kepada anak-anak. Apa sahaja yang keluar dari mulut kita bukan sekadar doa semata-mata.

Lebih parah lagi apabila anak-anak meniru gaya pertuturan kita. Bukankah malu seandainya anak-anak kita kelak bercakap demikian dengan orang lain?

Renungkanlah hal ini. Masih belum terlambat untuk kita memperbetulkan keadaan sebelum ia menjadi lebih buruk lagi.

Sumber: Instagram @ustazahmaddusuki

Foto: Freepik