Browsing Tag

Makanan halal

Makanan halal
Antarabangsa, Berita Semasa,

Covid-19 tingkatkan permintaan makanan halal di negara bukan Islam

UMAT Islam sememangnya dituntut untuk mencari pekerjaan, rezeki dan termasuk makanan yang halal lagi baik. Ini kerana ia mempunyai perkaitan rapat dengan akhlak, kerohanian dan diri kita.

Lebih-lebih lagi dalam perihal makanan dan minuman. Masakan tidak, ia begitu signifikan kerana ia akan menjadi darah daging kita. Jika tersilap langkah, amat buruk padahnya.

Meskipun demikian, bukan sahaja orang Islam, tetapi juga kebanyakan masyarakat walaupun bukan beragama Islam begitu mementingkan produk halal kerana terjamin dari segi kebersihannya.

Buktinya, agensi berita Anadolu Agency pada Ahad melaporkan, permintaan terhadap produk makanan halal di negara bukan Islam meningkat ketika penularan wabak Covid-19 tempoh hari.

Demikian fakta yang dikemukakan oleh Ketua Agensi Akreditasi Halal (HAK) di Turki, Zafer Soylu.

Makanan halal

FAKTOR kebersihan dan keselamatan yang termasuk dalam piawaian halal mendorong orang ramai mencari produk halal.

“Kepentingan keselamatan, kesihatan dan makanan yang bersih telah meningkat seiring dengan pandemik berkenaan terutamanya di kawasan Timur, yang mana pengguna bukan Islam mula menunjukkan peningkatan permintaan dalam produk halal,” katanya kepada agensi berita berkenaan.

Baca juga Keluarga Rohingya Muslim Buka Trak Makanan Halal Malaysia Di Milwaukee

Pada masa kini, Soylu menjelaskan, akreditasi halal sudah digunakan secara meluas, bukan sahaja melibatkan produk berkaitan makanan, tetapi termasuk juga sektor perkhidmatan.

Mengulas tentang piawaian halal di Turki, Soylu menjelaskan, ia berdasarkan kepada 16 garis panduan yang diterbitkan oleh Institut Piawaian dan Metrologi Pertubuhan Kerjasama Islam bagi Negara Islam (SMIIC) dalam bidang tersebut.

“Piawaian ini nampaknya hanya mengandungi peraturan Islam dan fiqh, tetapi dari aspek lain juga tidak boleh dilupakan. Antaranya produk yang bersih dan sihat serta tidak memberi maklumat palsu dan mengelirukan pengguna. Malah, kualiti juga termasuk dalam skop piawaian halal.

Baca juga Bukan Sahaja Makanan Dan Minuman, Pendapatan Haram Juga Tidak Boleh Digunakan Untuk Keperluan Rutin Dan Tuntutan Wajib

“Standard SMIIC sememangnya merangkumi aspek kebersihan, kesihatan dan dimensi fiqh,” katanya.

Disebabkan itu, minat dan kecenderungan terhadap standard halal semakin dipandang oleh negara bulan Islam dan penduduk mereka.

“Justeru tidak hairanlah mengapa terdapat permintaan untuk semua produk yang disahkan halal sebelum berlakunya wabak. Malah, permintaan ini semakin meningkat sekarang kerana kepentingan faktor-faktor tersebut dengan kemunculan wabak berkenaan.

Makanan halal

BUKAN sahaja produk makanan, akreditasi halal turut digunakan dalam produk-produk lain seperti pencuci, sektor perkhidmatan dan lain-lain.

“Orang yang tinggal di negara bukan Islam telah menggunakan pensijilan halal supaya mereka berasa selamat. Bahkan, kebanyakan permohonan kepada kami adalah dari negara bukan Islam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal www.aa.com.tr.

Dalam pada itu, beliau menyeru supaya satu sistem antarabangsa diwujudkan untuk pengiktirafan bersama sijil halal yang dikeluarkan mengikut 16 piawaian ditentukan oleh SMIIC.

“Pada pandangan saya, perdagangan antarabangsa perlu berdasarkan piawaian ini. Sijil halal yang dikeluarkan di suatu negara mesti sah di negara yang lain dalam keadaan biasa.

“Bagi mencapai tujuan ini, mesti kena ada mekanisme akreditasi. Begitu pentingnya badan pensijilan halal mengeluarkan sijil mengikut akreditasi yang diberikan oleh institut akreditasi yang diiktiraf oleh SMIIC. Malah, dokumen ini mesti boleh diterima di seluruh dunia.

“Malangnya pada hari ini, negara berbeza mempunyai standard halal dna pendekatan pensijilan halal yang berlainan. Sistem akreditasi dan pemeriksaan yang berbeza meningkatkan kos kepada pengeksport kami,” katanya kepada media berpengaruh di Turki.

Baca juga Memartabat Industri Halal Negara

Untuk rekod, pasaran halal global dijangkakan akan berkembang daripada AS$3.1 trilion (RM13.03 trilion) pada 2018 kepada AS$5 trilion (RM21.88 trilion) menjelang tahun 2030.

Foto: Unsplash