Browsing Tag

makanan dan minuman jin

Jin
Aqidah,

Makanan dan minuman jin yang patut diketahui, serta perlu Muslim hindari

SEPERTIMANA manusia, jin juga makan dan minum. Namun begitu, sudah tentulah ‘hidangan’ makhluk itu tidak sama seperti kita.

Barangkali ada yang pernah terfikir mengapa umat Islam tidak boleh menyentuh atau menjamah suatu tidak kiralah makanan, minuman atau apa sahaja benda yang dilarang oleh syarak.

Ternyata semua itu memang ada alasan yang kukuh. Buktinya lihat sahaja makanan dan minuman makluk itu sebagaimana dipetik daripada portal Islampos.com dan Kalam.sindonews.com.

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

Terdapat tiga makanan dan minuman yang sering dimakan atau diminum bangsa jin iaitu:

1. Tulang dan kotoran.

Perkara itu ada dinyatakan secara jelas dalam hadis sehinggakan kita dilarang sama sekali untuk beristinjak dengan menggunakan tulang.

Jin

TULANG dan kotoran merupakan antara makanan jin.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian beristinjak (membersihkan kotoran pada dubur) dengan kotoran dan jangan pula dengan tulang kerana kedua-duanya merupakan bekal bagi saudara kalian dari kalangan jin.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Dalam riwayat yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tulang dan kotoran merupakan makanan jin. Kedua-duanya termasuk makanan jin. Aku pernah didatangi rombongan utusan jin dari daerah Nashibin dan mereka adalah sebaik-baik jin. Mereka meminta bekal kepadaku. Lalu aku berdoa kepada ALLAH untuk mereka agar setiap kali mereka melewati tulang dan kotoran, mereka mendapatkan makanan padanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2. Makanan yang tidak disebut nama ALLAH SWT.

Perkara itu kelihatan remeh, namun kesannya begitu dahsyat sekali. Masakan tidak, jika kita tidak membaca Bismillah apatah lagi membaca doa sebelum makan, maka apa yang kita jamah tadi bakal menjadi hidangan jin.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dahulu iblis pernah berdoa: ‘Wahai Tuhanku, tidaklah seorang dari makhluk-MU (iaitu manusia) kecuali telah engkau tentukan rezekinya, dan juga mata pencariannya. Lalu apa yang menjadi rezeki saya, ya Rabb?’ Maka ALLAH pun menjawab: ‘Setiap rezeki yang tidak disebut nama-KU ketika dimakan manusia.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyatul Auliya)

Baca juga Terlupa baca doa makan? Gantikan dengan bacaan ini

Jabir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAw bersabda: “Jika salah seorang di antara kalian memasuki rumahnya, lalu ia berzikir pada ALLAH ketika memasukinya dan ketika hendak makan, maka syaitan pun berkata (pada teman-temannya), “Sungguh kalian tidak mendapat tempat bermalam dan tidak mendapat makan malam.” Namun ketika seseorang memasuki rumah dan tidak berzikir pada ALLAH, syaitan pun berkata (pada teman-temannya), “Akhirnya, kalian mendapatkan tempat bermalam.” Jika ia tidak menyebut nama ALLAH ketika makan, syaitan pun berucap (pada teman-temannya), “Kalian akhirnya mendapat tempat bermalam dan makan malam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jin

JANGAN lupa untuk membaca Bismillah ataupun doa sebelum makan agar ia tidak dinikmati oleh syaitan.

Selain itu, sebahagian ulama menyatakan, bangkai juga merupakan makanan syaitan. Ini kerana ia berasal daripada haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama ALLAH SWT.

3. Minuman yang memabukkan (khamar).

Ketahuilah, apa sahaja yang memabukkan termasuk arak merupakan minuman kegemaran jin dan syaitan.

Ia boleh dilihat menerusi firman ALLAH SWT dalam kalam-NYA yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan…” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Baca juga [VIDEO] Status minum minuman halal yang diletak dalam peti sejuk sama tempatkan arak. Ini penjelasannya…

Seperkara lagi yang perlu kita ambil ambil perhatian, jangan sesekali makan dengan tangan kiri kerana syaitan sebenarnya makan dengan menggunakan anggota tersebut.

Jin

UMAT Islam disunatkan untuk makan dengan tangan kanan dan makruh menggunakan tangan kiri jika tiada keperluan.

Ketika makan dan minum, berwaspadalah dengan perkara yang dinyatakan tadi. Dibimbangi kita ‘terikut-ikut’ dengan cara hidup mereka.

Foto: Freepik & Pexels