Browsing Tag

Makan awal malam

Makan awal malam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

HARI ini merupakan minggu kedua kita bertarawih. Pastinya ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah sunat itu di masjid dan surau.

Maklum sahajalah, kebanyakan rumah-rumah ALLAH itu sudah boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, di samping merapatkan saf.

Usai menunaikan solat berkenaan, lazimnya hidangan moreh akan disajikan. Ada yang mengambil peluang untuk menjamahnya, selain boleh merapatkan silaturahim dengan jemaah yang lain.

Begitupun, terdapat juga sebilangan individu yang menjadikan moreh tersebut sebagai waktu bersahur. Ini kerana mereka bimbang tidak dapat bangun awal pada keesokannya.

Ketahuilah bahawa jika kita makan terlalu awal, ia tidak dianggap sebagai sahur.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, waktu sahur hanya bermula pada pertengahan malam yang kedua.

DR ZULKIFLI

“Justeru, sesiapa yang makan sebelum masuknya separuh malam yang kedua, ia tidak dikira sebagai bersahur.

“Hanya mereka yang makan pada atau selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur. Bukan itu sahaja, golongan ini juga bakal mendapat kelebihan bersahur tidak kiralah sama ada mereka makan banyak atau sedikit disertakan dengan air,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini 

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, umat Islam disunatkan untuk melewat-lewatkan sahur sebelum terbitnya fajar. Malah, perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam perkara yang afdal dilakukan.

“Kadar melewatkannya adalah kira-kira 50 bacaan ayat al-Quran,” katanya.

Ia berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit RA. Beliau berkata: “Kami bersahur bersama Nabi Muhammad SAW. Kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bercakap tentang kadar 50 ayat al-Quran, ramai yang berbeza tafsiran tentangnya. Apatah lagi ia melibatkan juadah yang kita makan. Memberi panduan mudah, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mencadangkan supaya kita makan kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh jika makan makanan yang berat seperti nasi.

Makan awal malam

JANGAN sesekali mengabaikan waktu bersahur kerana ia merupakan sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda serta para sahabat.

“Andai juadah ringan seperti kurma, air dan sebagainya, boleh mula makan kira-kira 15 minit sebelum azan Subuh,” terangnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menitipkan pesanan agar kita berusaha bersahur pada waktunya meskipun dalam kadar yang sedikit seperti memakan sebiji kurma atau seteguk air.

“Ia supaya kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan dan fadilat bersahur,” katanya.

Baca juga Jangan liat bangun sahur, banyak maanfaat dan keberkatan yang kita dapat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Justeru, janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air, kerana sesungguhnya ALLAH ‘AZZA WA JALLA dan para malaikat-NYA mendoakan ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Foto: Freepik