Browsing Tag

main

pexels-selim-çetin-2042108
Gaya Hidup,

Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

no comment

KEBIASAANNYA menjelang sahaja waktu senja, ramai ibu bapa mula memanggil anak-anak yang leka bermain supaya pulang ke rumah. Kata mereka wajib berada di dalam rumah sebelum berkumandangnya azan Maghrib.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya, pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun berpandangan, pada zaman dahulu, ramai dalam kalangan ibu ayah kebiasaannya sentiasa berpesan supaya jangan balik lewat Maghrib. Apabila Maghrib pastikan sudah berada di dalam rumah dan bersiap-siap untuk mandi dan sebagainya serta perlu memastikan semua pintu dan tingkap ditutup rapat.

Menurut Ustazah Asma’, sebenarnya kata-kata ibu bapa itu ada asasnya di dalam agama kita.

Beliau turut berkongsi sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama ALLAH kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”

 

Waktu Maghrib hingga ke Isyak biasanya digunakan untuk membaca al-Quran dan melakukan akiviti ilmiah.

Jelas beliau lagi, daripada hadis di atas terdapat tiga pesanan yang Nabi Muhammad SAW ingin sampaikan kepada umat Islam hari ini iaitu yang pertama tahanlah anak-anak ketika Maghrib daripada berada di luar rumah, yang kedua tutuplah pintu-pintu rumah dan yang ketiga sebutlah nama ALLAH.

“Subhanallah. Bukan sengaja ibu ayah kita dahulu berpesan. Pasti ada sebab dan alasannya.

“Sahabat, saya ingin kongsikan doa yang sangat bagus untuk diamalkan bagi mengelak daripada gangguan syaitan. Doa ini adalah petikan daripada Surah al-Mukminun ayat 97 dan 98 maksudnya: “Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku”,” kongsinya.

Ujar Ustazah Asma’, doa di atas tidaklah terikat pada sesuatu masa untuk dibaca. Ia boleh diamalkan pada bila-bila masa agar dijauhi daripada syaitan dan semoga kehidupan kita semua sentiasa di dalam perlindungan ALLAH SWT.