Browsing Tag

mahkamah

Sumpah
Berita Semasa,

Sumpah hanya laku di hadapan hakim, bukan di tempat awam

SUMPAH laknat (mubahalah) menjadi topik perbincangan dalam kalangan umat Islam muktahir ini. Graf perbualan itu semakin rancak apabila ia membabitkan institusi masjid ketika ungkapan itu dilafazkan.

Bukan mahu memanjangkan perkara yang sudah berlalu, namun sudah tiba masanya masyarakat celik tentang perbuatan sumpah itu sendiri.

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus menemubual Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Beliau membuka kalamnya dengan penggunaan sumpah (al-Yamin) sebagai salah satu cara pembuktian yang diterima pakai dalam sistem keadilan Islam. Itulah keunikan sistem perundangan syariah, berbeza dengan sivil dan Barat.

Namun begitu, jelas beliau, penggunaan sumpah hanya terpakai dalam kes-kes tertentu sahaja.

“Jumhur fuqaha menerima kaedah sumpah sebagai salah satu cara pembuktian atau keterangan di mahkamah dalam kes tuntutan mal.

“Bagaimanapun, dalam kes jenayah syariah, tidak semua fuqaha menerimanya. Sesetengah fuqaha hanya bersetuju dalam kes tertentu saja,” terangnya ketika diwawancara secara maya baru-baru ini.

Baca juga 4 Sumpah ALLAH SWT Dalam Surah Al-Buruj, Berikut Penjelasannya

MUSA AWANG

Secara umumnya, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, amalan sumpah yang diterima dalam kes jenayah adalah sumpah al-Qasamah. Ia bermaksud bersumpah dengan nama ALLAH SWT yang akan dilakukan oleh pihak keluarga orang yang maut dalam kes pembunuhan bagi membuktikan hak mereka terhadap tertuduh.

“Contohnya, dalam satu kes pembunuhan, tidak ada orang yang melihat (insiden itu), sedangkan keluarga yang dibunuh berkata si A yang membunuh. Maka keluarga ini boleh sumpah al-Qasamah mengatakan si A ini yang bunuh.

“Satu lagi sumpah yang diterima adalah sumpah mubahalah. Ia lebih kepada isu yang berkaitan dengan akidah atau sumpah dalam pendebatan untuk menyokong hujah yang benar, bukan kesalahan jenayah berkaitan kes hudud atau rasuah,” jelas beliau.

Hak bagi pihak yang mendakwa

Menyambung hujah, Musa menjelaskan tentang prinsip umum dalam pendakwaan Islam. Pihak mendakwa perlu membuktikan dakwaannya, manakala orang yang kena dakwa boleh diminta bersumpah bagi menafikan tuduhan berkenaan andai pihak yang membuat aduan tersebut gagal membuktikannya.

“Mudah kata, sumpah orang yang kena dakwa itu adalah hak bagi pihak mendakwa, yang mana ia boleh diminta mereka apabila dia tidak mampu membuktikan dakwaan itu melalui keterangan atau bukti.

“Tujuan sumpah adalah sama ada untuk menguatkan keterangan dalam keadaan tidak cukup bukti dan saksi; atau bertujuan untuk menafikan tuntutan seseorang; atau untuk tujuan mengembalikan beban pembuktian itu kepada pihak yang menuntut.

“Cuma dalam Islam, bukan semua orang boleh menuntut atau mendakwa sesuatu yang bukan haknya. Tuntutan atau dakwaan perlu didatangkan dengan bukti dan saksi,” ungkapnya.

Sumpah

SUMPAH mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. -Gambar hiasan

Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

Andai seseorang didakwa di mahkamah, tetapi melakukan sumpah di luar institusi kehakiman dengan menjunjung al-Quran misalnya dan menamakan ia sebagai sumpah mubahalah, peguam syarie itu menjelaskan, perbuatan tersebut tidak tepat dan tidak betul dari segi konsep atau namanya.

Ini kerana, katanya, maksud sumpah mubahalah sebagaimana disebutkan dalam ayat 61, Surah Ali Imran, ia tidak merujuk kepada sistem perundangan Islam. Sebaliknya kategori sumpah dalam perdebatan untuk menyokong hujah yang benar.

“Mubahalah tidak menjadi satu tuntutan sekiranya kes sedang dibicarakan di mahkamah. Bahkan, proses keadilan di mahkamah tidak eksekutif pada sumpah sahaja, tetapi juga pada pembuktian yang lain seperti pengakuan, penyaksian, pembuktian di hadapan hakim, rayuan dan sebagainya.

“Dalam prinsip perundangan Islam, sumpah hanya diambil kira atau dilakukan apabila diminta oleh kadi atau hakim. Ia dilaksanakan selepas pendakwaan dilakukan, bahan bukti dikemukakan dan keterangan saksi didengari. Sumpah itu disebut sebagai al-yamin al-qadha’iyyah.

“Kesimpulannya, sumpah perlu dibuat di hadapan hakim (mahkamah), bukan di tempat awam atau secara berbalas sumpah,” tegas beliau.

9 jenis sumpah di mahkamah

Musa menambah, terdapat sembilan jenis sumpah yang diterima di mahkamah syariah. Perinciannya adalah seperti berikut:

Sumpah

TERDAPAT sembilan jenis sumpah yang diterima di mahkamah syariah.

i. Al-Yamin al-Istizhar – Sumpah dibuat oleh al-muda’ii (plaintif) atas perintah hakim setelah memberikan keterangan mencukupi dalam kes muda’i alaih (defendan) yang ghaib atau mati. Turut terpakai juga defendan tersebut merupakan kanak-kanak belum baligh, al-safih (bodoh), al-mahjur (dihalang mentadbir hartanya), gila atau orang yang tidak sempurna akal. Fakta itu dinyatakan dalam Kitab Mughni Muhtaj, al-Muhazzab, Nihatul Muhtaj dan al-Fiqh al-Islami wa Adilatuh.

ii. An-Nukul – Enggan bersumpah setelah diarahkan oleh hakim.

iii. Al-Yamin Mardudah – Sumpah yang dijalankan oleh plaintif setelah ditolak oleh defendan.

iv. Al-Yamin al-Mutammimah – Sumpah dilakukan oleh mana-mana pihak setelah diarahkan oleh hakim untuk menguatkan perintahnya.

v. Al-Yamin al-Hasimah – Sumpah yang dilaksanakan oleh salah satu pihak atas permohonan pihak lain.

vii. Yamin al-Takmilah – Sumpah yang dilakukan oleh plaintif di samping keterangan oleh seorang saksi.

viii. Yamin Nafyi al-’Ilmi’ – Sumpah seseorang menafikan bahawa dia mengetahui sesuatu perbuatan mengenai orang lain.

viii. Yakin al-Nafyi – Sumpah penafian yang dijalankan oleh defendan.

ix. Sumpah li’an – Suami bersumpah menuduh isteri melakukan zina atau mengandungkan anak zina.

Sementara itu, peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, kesemua sumpah berkenaan bertujuan untuk membantu hakim dalam mengeluarkan keputusan bagi setiap kes di mahkamah syariah.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

“Bagaimanapun, suka saya ingatkan bahawa sumpah berkenaan perlu dilakukan dalam prosiding kehakiman dengan menggunakan lafaz kalimah ALLAH SWT berserta sifatnya,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang syariah itu menjelaskan, tidak semua prosiding memerlukan pendekatan tersebut. Sebaliknya, hanya terdapat kes-kes tertentu sahaja yang boleh menerima pakai penggunaan sumpah. Ia termasuklah dalam kes pertunangan, perkahwinan, cerai, rujuk, perceraian, nusyuz atau apa-apa sahaja perkara yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

Baca juga Tuntut Balik Cincin Selepas Putus Tunang, Ketahui Pandangan Agama Dalam Hal Ini

“Di samping itu, lafaz sumpah juga boleh digunakan dalam kes nafkah orang tanggungan, kesahtarafan, penjagaan kanak-kanak (hadanah), pembahagian atau tuntutan harta sepencarian.

“Selain itu, ia juga diterima jika melibatkan perkara-perkara lain yang dibenarkan oleh hukum syarak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah yang dinyatakan oleh mana-mana undang-undang bertulis,” jelas beliau.

Penyelesaian terakhir

Dalam Islam, sememangnya terdapat sumpah laknat dengan matlamat khusus menerusi kaedah yang betul untuk tujuan perbicaraan dan mencari kebenaran.

Bagaimanapun, Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengingatkan, ia bukan sekadar kata-kata untuk memperkukuh kebenaran menerusi ungkapan yang dilafazkan, tetapi juga sanggup menerima laknat ALLAH SWT jika individu tersebut berbohong.

DR MOHD NOR

Meskipun sumpah laknat dibenarkan dalam Islam untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan atau pertikaian, namun pensyarah itu menyarankan, sebaiknya kita membudayakan berkata benar dan jujur tanpa memerlukan sumpah sebegini.

“Jika perlu (sumpah mubahalah) sekalipun, biarlah ia menjadi penyelesaian yang terakhir apabila tiada pilihan lain.

“Sebenarnya, dalam perundangan Islam, sumpah mubahalah bukanlah satu keperluan, sebaliknya hanya diperlukan sumpah penyaksian sekiranya diminta oleh pemerintah atau penguat kuasa kehakiman,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Begitupun, Dr Mohd Nor mengingatkan umat Islam agar menghindari masjid andai ingin melakukan sumpah berkenaan kerana ia bukanlah tempat yang sesuai.

“Elakkan dilakukan di dalam masjid kerana ia bukanlah institusi kehakiman,” katanya.

Ahli akademik itu kemudiannya menceritakan kisah masyhur yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW berkaitan sumpah mubahalah.

“Baginda pernah mengajukan cabaran untuk melakukan sumpah mubahalah kepada kaum Nasrani dari Najran sekiranya mereka berkata benar. Namun begitu, ia tidak disambut oleh mereka.

SUMPAH perlu dibuat di hadapan hakim di mahkamah, bukannya di tempat awam atau dilakukan secara berbalas sumpah.

“Ini kerana ternyata mereka berbohong. Para sahabat seperti Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas juga pernah menggunakan sumpah mubahalah untuk memperkukuh kebenaran kata-kata dan fatwa mereka,” ungkapnya.

Walaupun sumpah dalam masyarakat kita kadangkala bukanlah bersifat sebagaimana dalam syarak, namun Dr Mohd Nor mengingatkan agar kita tidak mempermainkan lafaz suci berkenaan.

“Ya, ada orang begitu mudah melafazkan ungkapan seperti ‘sumpah aku pernah kurus’ atau ‘sumpah aku tak buat, kalau aku tipu nanti, bengkok tangan aku’ dan sebagainya, namun ia tidak sewajarnya dijadikan mainan atau bahan sendaan.

“Apatah lagi jika bersumpah menggunakan nama ALLAH SWT,” ujarnya.

Foto: 123rf, AFP & Freepik

 

Gaya Hidup,

Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Masih Ramai Yang Keliru Tentang Hal Ini

MESKIPUN sering kali isu faraid atau pembahagian harta pusaka sering dibangkitkan, namun masih ramai yang kurang cakna mengenainya.

Hakikatnya semua orang perlu mengambil maklum tentang perkara tersebut. Ini kerana kita pasti akan menemui Sang Pencipta apabila tiba saatnya.

Tiada siapa pun yang tahu siapa yang akan pergi meninggalkan alam yang fana ini. Masakan tidak, ajal boleh sahaja datang menjemput pada bila-bila masa waima dalam usia muda sekalipun.

Namun begitu, ada sesuatu yang perlu kita fahami tentang perihal faraid terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, mengikut undang-undang syariah, kedudukan harta sepencarian adalah mendahului faraid.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Ini kerana lazimnya dalam alam rumah tangga, hanya suami dan isteri saling mengenali pasangan masing-masing.

“Kedua-dua mereka lebih mengetahui sumbangan dan pengorbanan masing-masing berbanding ahli keluarga sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantarannya di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan, meskipun isteri tidak bekerja dan hanya bergelar suri rumah, wanita tersebut masih berhak menuntut harta sepencarian berdasarkan takat sumbangan tak langsung dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

“Isteri perlu memfailkan pengistiharan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu selepas kematian suami.

“Ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan ahli waris kelak. Bukan apa, takut sekiranya harta-harta yang sepatutnya menjadi milik isteri jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya,” terangnya.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Isteri berhak tuntut harta sepencarian dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

Begitu juga halnya dengan si suami, Nurain Akmal Khairunnisa menambah, sekiranya kaum Adam ada membuat sumbangan secara langsung terhadap mana-mana pemilikan harta dalam perkahwinan, maka mereka boleh juga memfailkan harta sepencarian sebelum harta difaraidkan andai isteri meninggal dunia.

Faraid

KUMPULKAN segala dokumen berkaitan termasuklah penyata bank, kontrak jual beli dan sebagainya untuk memudahkan urusan faraid andai kita sudah meninggal dunia.

“Selepas mahkamah memutuskan harta si mati mengikut bahagian harta sepencarian, maka baki harta tersebut boleh diwasiatkan dan dihibahkan sekiranya ada serta difaraidkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang syariah itu turut berkongsi ilmu tentang perkara yang perlu dilakukan waris dengan harta si mati jika meninggal dunia.

Berikut adalah turutan sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam:

  1. Kos perbelanjaan pengebumian si mati.
  2. Langsaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang dengan ALLAH SWT atau hutang kepada manusia.
  3. Uruskan wasiat si mati sekiranya arwah ada mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris dan urus hibah jika ada.
  4. Pengisytiharan harta sepencarian.
  5. Faraidkan harta si mati.

Semoga dengan perkongsian ini akan menambah lagi ilmu kita berkaitan faraid.

Foto: 123rf, Unsplash, Freepik & Pexels

CGTN
Jendela Dunia,

Umat Islam Belgium Bantah Keputusan Mahkamah Larang Aktiviti Penyembelihan

no comment

PERSATUAN Muslim akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah terhadap keputusan Mahkamah Perlembagaan Belgium yang melarang umat Islam menyembelih haiwan sebagai makanan halal.

“Teknik penyembelihan mengikut syariat Islam merupakan langkah terbaik bagi menentukan haiwan yang disembelih itu sesuai untuk keperluan kesihatan, keselamatan makanan dan kesejahteraan haiwan.

“Selain itu, tanggapan mereka bahawa aktiviti penyembelihan hanyalah simbolik emosi semata yang diamalkan oleh Islam sebagai golongan minoriti di Eropah. Kenyataan itu sekadar mahu mengaburi realiti sebenar bahawa haiwan adalah sumber makanan dan industri sahaja,” katanya.

Pada tahun 2019, undang-undang baharu mengenai perlindungan dan kesejahteraan haiwan mula diperkenalkan di wilayah Wallonia dan Flanders negara itu. Undang-undang itu melarang aktiviti penyembelihan yang diamalkan oleh Islam dan Yahudi, namun mewajibkan tukang daging untuk memukul binatang sebelum memotongnya.

Organisasi Muslim dan Yahudi menentang undang-undang tersebut, dengan alasan bahawa larangan penyembelihan bertentangan dengan kebebasan beragama.

Pada bulan Disember 2020, Mahkamah Keadilan Eropah memutuskan agar binatang perlu dipegunkan (kaku) sebelum disembelih. Keputusan itu juga dianggap oleh kumpulan Islam dan Yahudi sebagai menyekat kebebasan beragama mereka.

Mahkamah menyokong peraturan yang dikuatkuasa di wilayah Flemish di Belgium yang mengakui kepercayaan beragama oleh Islam yang menuntut makanan halal daripada penyembelihan berkesan untuk kesihatan manusia.

“Mahkamah menyimpulkan bahawa langkah-langkah yang terkandung dalam ketetapan tersebut akan membawa kepada keseimbangan yang adil antara kepentingan kesejahteraan haiwan dan kebebasan penganut agama Islam dan Yahudi,” katanya.

Sumber: The Muslim News

103199000_172189350996463_8357880004672966776_n
Personaliti,

Wanita Muslim Bertudung Pertama Dilantik Sebagai Hakim di UK

PENERIMAAN masyarakat terhadap Islam semakin di terima kebanyakan negara di dunia khususnya di negara barat. Agama yang membawa kepada pengertian kehidupan dan keadilan yang sebenarnya telah memberi keyakinan kepada masyarakat amnya.

Begitu juga yang terjadi di United Kingdom (UK) apabila buat kali pertama seorang wanita Muslim yang memakai tudung, Raffia Arshad, 40 dilantik menjadi Hakim mahkamah di negara itu.

Sudah tentu situasi itu akan mendorong lebih ramai wanita Muslim ingin mengejar cita-cita mereka berlandaskan ajaran agama yang menuntut seseorang Islam itu untuk menjaga aurat dan tingkah laku akhlak mereka.

Kejayaan dirinya bukan untuk pencapaian peribadinya.

Raffia Arshad telah menjadi inspirasi ribuan wanita Muslim yang berpendapat bahawa dengan memakai tudung, masyarakat di barat tidak lagi akan memandang serong terhadap wanita Islam apatah lagi dia yang memiliki jawatan yang besar di dalam negara.

Sejak kecil, Raffia sangat berminat untuk menceburi bidang hukum dan memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang dan kini dia telah berjaya mencapai cita-cita itu.

Menurut Raffia yang juga ibu kepada tiga anak, berkata, kejayaannya dilantik sebagai hakim bukan hanya mengenai dirinya semata, tetapi untuk semua wanita khususnya Islam.

“Saya tidak hanya melihatnya sebagai pencapaian peribadi, malah ia lebih besar daripada itu. Saya ingin ingin menjadi inspirasi untuk memimpin wanita Islam berjaya dalam undang-undang.

“Saya dibesarkan di West Yorkshire dan dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam. Di barat kehidupan sebagai seorang Muslim tidak sama dengan negara-negara lain. Kita akan sentiasa berasa bimbang terhadap penerima masyarakat luar yang memandang serong terhadap kita.

“Sentimen perkauman terhadap keluarga Muslim itu biasa dan telah saya lalui sejak kecil apabila memakai tudung ketika pergi ke sekolah.

“Sehinggakan pernah suatu ketika apabila saya ingin pergi menghadiri temuduga untuk mendapatkan biasiswa di Inns of Court School Of Hukum, keluarga menasihati saya agar tidak memakai tudung ketika temuduga itu di buat,” katanya.

Raffia Arshad yang kini menyertai anggota St Mary’s Chambers di Nottingham, menerima surat pelantikannya sebagai hakim pada tahun lalu.

“Pada awalnya saya merasa hampir ingin berputus asa diatas kemampuan diri saya, namun memaksa diri untuk menjadi kuat dan menghabiskan pengajian saya dalam bidang undang-undang. Saya juga sedar, kejayaan saya nanti akan pasti menjadi inspirasi kepada orang lain, tidak kira latar belakang mereka,” katanya.

Raffia turut menasihati golongan wanita Muslim agar jangan bimbang dengan penampilan anda, jangan bimbang tidak sesuai dengan acuan, pecahkan tradisi itu dan capai apa yang anda mahukan dalam hidup.

 

Sumber: BBC/Muslim News Online