Browsing Tag

mahal

Harga melampau
Muamalah,

Harga Makanan Keterlaluan Aniaya Pelanggan? Berikut Penjelasan Dr Zulkifli

no comment

SEJAK kebelakangan ini, media sosial kecoh dengan cerita harga makanan mahal. Situasi itu menimbulkan perdebatan dan perbincangan hangat dalam kalangan warganet.

Masakan tidak, selepas heboh tentang harga ikan siakap ‘kayangan’, muncul pula sotong, kailan dan terbaharu roti canai kosong yang didakwa dijual pada harga kurang munasabah.

Itu belum lagi dengan isu harga barang yang dijangka akan naik dalam tempoh terdekat.

Semua situasi itu begitu menyesakkan kerana ia melibatkan hak rakyat yang membeli. Adakah kes harga keterlaluan itu satu bentuk penganiayaan kepada pelanggan?

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, sebenarnya tiada had khusus bagi keuntungan dalam Islam. Demikian hukumnya pada asalnya.

DR ZULKIFLI

Begitupun, beliau mengingatkan apabila perkara tersebut melibatkan penipuan, menganiaya orang lain dan harga terlampau tinggi bagi barang-barang keperluan, terdapat panduan fiqh yang membincangkan tentang hak khiyar.

Khiyar itu bermaksud pilihan untuk membatalkan akad. Ia bagi pihak yang terpedaya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Soal Jawab Agama #77 Harga Makanan Keterlaluan yang disiarkan menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Menyambung hujah, agamawan itu kemudian memetik sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, katanya: “Pernah terjadi kenaikan harga pada masa Rasulullah SAW, maka orang-orang berkata: “Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga untuk kami”. Lalu baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SANG PENETAP HARGA, Penggenggam, Pembentang dan Pemberi Rezeki. Aku berharap bertemu dengan Tuhanku dan tidak ada seorang pun daripada kalian yang menuntut perbuatan zalim yang aku pernah lakukan kepadanya, baik berupa darah (qisas) mahupun harta.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Dr Zulkifli kemudian menukilkan pandangan Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie yang menyatakan: “Hadis ini adalah dalil bahawa haram bagi pemerintah untuk menetapkan harga barang mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab.

“Pendapat yang lemah mengatakan bahawa dibenarkan ke atas pemerintah untuk menetapkan harga pada waktu ghala’ (gawat) bagi makanan.

“Sekiranya imam menetapkan harga barang dan peniaga menyelisihi perintah berkenaan, dibenarkan kepada pemerintah untuk mengenakan hukuman takzir kepadanya. Bagaimanapun, hukum jual beli itu adalah sahih mengikut pendapat yang asah (lebih sahih).”

Harga melampau

MENGAMBIL keuntungan berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah diharuskan asalkan tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman. -Gambar hiasan

Begitupun, kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, Syeikh Muhammad Taqi Uthmani berpandangan: “Sesungguhnya tas’ir (penetapan harga barang) tidak boleh dilaksanakan melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila manusia berada dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu tinggi pada barang-barang yang manusia berhajat kepadanya seperti makanan, minuman dan pakaian.

Jelas Syeikh Muhammad Taqi Uthmani lagi: “Jika tidak berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya hendaklah dibiarkan para peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka.

“Pada zahirnya, jika tidak berlaku ihtikar (monopoli barang), dan tidak berlaku penetapan harga barang oleh kartel perniagaan, maka ini akan membuka peluang persaingan bebas dalam pasaran sehingga para peniaga tidak mungkin menaikkan harga lebih daripada harga pasaran.

“Jika naik sekalipun, maka kesamaran sudah pun hilang. Justeru, tidak diperlukan kepada penetapan harga barang,” katanya.

Baca juga Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

Berdasarkan perbahasan tersebut, Dr Zulkifli cenderung dengan pandangan bahawa mengambil untung berlipat kali ganda dalam perniagaan adalah diharuskan. Ia selagi mana tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman.

“Ini kerana keuntungan itu bersifat relatif dan tidak boleh dibandingkan secara mutlak dengan harga pasaran sebelum ditolak hasil jualan itu dengan perbelanjaan yang ditanggung oleh peniaga sebelum mendapatkan keuntungan bersih.

“Ini berbeza mengikut zaman, tempat dan jenis barang jualan itu sendiri.

“Namun, kami ingin juga berpesan supaya para peniaga memperbanyak sedekah bagi menyucikan harta yang diperoleh,” katanya.

Harga melampau

SEBAGAI pembeli, ambil maklum tentang harga barang dan peniaga pula hendaklah memaklumkan kepada bakal pelanggan melalui paparan harga dan sebagainya.

Sebagai penyelesaian kepada isu harga yang keterlaluan, Dr Zulkifli mengemukakan lapan saranan. Ia termasuklah:

1. Mempamerkan harga dengan jelas dan tiada sebarang unsur keraguan. Sebagai contoh, RM10 bagi setiap 100 gram masih lagi terdapat keraguan padanya. Ini kerana apabila ditimbang, ikan tersebut mungkin sudah mencapai 2 kilogram (kg) dan bermakna harga ikan tersebut akan menjadi RM200. Justeru, jelaskan kepada pelanggan bahawa harga sebenar adalah RM200.

2. Konsep ‘bayar dulu sebelum makan dan sebelum diteruskan masakan’ adalah amat penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati daripada pihak pembeli dan penjual.

3. Junjunglah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.” (Riwayat al-Bukhari, at-Tirmidzi, an-Nasaie, Ibn Majah dan Ahmad)

  • Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: ”Pada hadis ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli.
  • Ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi Muhammad SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan.
  • Sementelah, kelebihan di akhirat pula, baginda SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh nabi, maka hendaklah dia mengikuti saranan Rasulullah SAW dan beramal dengannya.

4. Saling bersedekah merupakan suatu nasihat dan amalan yang baik, yakni pihak penjual sanggup melakukan sedikit pengorbanan dan dia boleh mengikat pelanggan untuk terus menggunakan khidmat dan kedainya.

5. Elakkan sifat mazmumah dalam hati seperti menipu, mengambil loba yang melampau, marah serta balas dendam kerana ini akan mengangkat berkat daripada ALLAH SWT.

6. Budayakan perniagaan dengan budaya Islam yang penuh kasih sayang mahabbah kerana kita semua adalah bersaudara.

7. Dalam perniagaan, keuntungan adalah dituntut, tetapi dalam Islam, keberkatan amat perlu dicari. Inilah yang menjadi matlamat kita.

8. Suri teladan yang terbaik dan terunggul adalah Rasulullah SAW yang boleh kita ikutinya.

Foto: Freepik & Pexels