Browsing Tag

luqatah

Hukum,

Jumpa barang di mana-mana, jangan sesuka hati ambil terus buat harta sendiri… Baca dulu penjelasan pendakwah ini

JUMPA barang di mana-mana, jangan sesuka hati ambil terus buat harta sendiri…

Terjumpa wang tercicir sewaktu sedang berjalan-jalan kadangkala sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Lazimnya, wang berkenaan akan diserahkan kepada pihak yang mengendalikan tempat berkenaan.

Jika tiada pihak terlibat atau tidak tahu siapa pemilik wang berkenaan, segelintir orang akan menyerahkan kepada pihak surau. Apatah lagi jika nilai wang berkenaan tidaklah sebesar mana.

Baca juga Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya

Andai wang yang keciciran itu dalam dompet, mudahlah untuk kita mencari pemiliknya jika ada dokumen pengenalan diri di dalamnya. Jika sebaliknya pula, memang sukar untuk dijejak pemilik berkenaan.

Ya, itu situasi yang biasa kita lihat. Namun begitu, seandainya barang yang kita jumpa tadi bukan melibatkan wang pula bagaimana?

Adakah ia boleh diambil begitu sahaja? Bagaimana pula jika barangan tadi berbentuk makanan yang tidak tahan lama? Apakah ia boleh dimakan? Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

Menjelaskan tentang hal itu, pendakwah Dr Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed memetik sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Zaid bin Khalid al-Juhani RA bagi menjawab persoalan tersebut.

Saidina Zaid berkata, seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW bertanyakan tentang barang yang dijumpai, lalu baginda bersabda: “Kenalilah ikatannya dan bungkusannya, kemudian umumkan pada orang ramai selama setahun, jika kamu tidak mengetahui (pemiliknya) maka kamu boleh memilikinya dan ia menjadi simpanan kamu. Jika suatu hari pemiliknya datang hendaklah kamu serahkan ia padanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis itu, ujar Dr Syed Shahridzan, jika seseorang itu menemui barang yang berharga misalnya emas, perak, pakaian dan jam, maka dia boleh mengambilnya jika berniat untuk mencari pemilik barang itu.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

Baca juga Jangan letak al-Quran, buku Yasin atas lantai

“Seterusnya dia perlu mengenali tanda-tanda barangan itu supaya dapat membezakan antara barang-barang yang lain agar mudah mengesan pemilik barang itu melalui tanda-tanda barang tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di Facebook miliknya baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, masalah berkenaan turut dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh dalam bab luqatah.

Menurut ahli-ahli fiqh, orang yang menemui barang itu mestilah mengumumkan barang yang ditemui tersebut selama setahun melalui wacana yang ada pada ketika itu, terang beliau.

“Antara wacana yang tercatat di dalam kitab-kitab fiqh klasik seperti memaklumkan di pintu masuk masjid dan pasar mengikut adat atau ‘uruf setempat ketika itu. Namun, dalam konteks zaman sekarang ia boleh diumumkan di media sosial, surat khabar atau wacana komunikasi yang lain seperti aplikasi Whatsapp Group dan Telegram.

Turut disyorkan Terlelap ketika solat. Batal atau tidak?

“Dalam hal ini, disunatkan untuk menyebut hanya sebahagian sifat-sifat barang yang ditemui ketika ia dihebahkan. Tidak wajib menyebut keseluruhan sifat-sifat barang yang ditemui itu, bahkan ditegah untuk kita menerangkan kesemua sifat barang itu kerana dikuatiri akan diambil kesempatan oleh individu-individu yang cuba menipu,” katanya.

Seandainya selepas tempoh setahun masih belum ditemui pemiliknya, Dr Syed Shahridzan yang juga Setiausaha Agung Ikatan Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia berkata, barang tersebut boleh dimiliki oleh pihak yang menemukannya.

“Dia berhak untuk menggunakannya, malah boleh menjual barang itu. Namun, hak milik barang yang dijumpai itu bukan menjadi hak mutlak si penemu.

“Jika pemilik barang itu datang menuntut barangnya, maka penemu wajib memulangkan kepada tuannya.

“Sekiranya barang itu sudah tiada lagi sama ada setelah tempoh setahun atau tidak, maka si penemu wajib menggantikan barang itu semula sama ada dengan bayaran atau ganti barang yang sama sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi,” jelasnya.

Baca juga 3 perkara ini sering dianggap remeh, tetapi boleh merosakkan rumah tangga!

Jumpa barang

Baca juga Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

Bagaimana pula jika barang luqatah tadi merupakan barang yang tidak dicari tuannya semula contohnya sebiji tamar atau buah dan seumpamanya?

Menjawab persoalan itu, jelas Dr Syed Shahridzan, si penemu tidak wajib mengiklankannya, malah individu berkenaan boleh memilikinya.

“Permasalahan ini boleh dibandingkan seperti wang syiling satu sen atau 10 sen, namun lebih baik disedekahkan di tabung masjid atau kebajikan menurut sebahagian guru-guru kami.

“Jika barang luqatah termasuk dalam kategori yang mudah dan cepat rosak seperti nasi lemak, roti dan seumpamanya, maka diharuskan melakukan dengan salah satu dari dua cara ini.

“Pertama, barang itu dijual dengan izin hakim (konsep ini tiada lagi pada zaman kini) dan dimiliki hasil jualan itu. Kedua, makan makanan itu kerana risaukan pembaziran,” ujar beliau.

Baca juga 12 penyebab pintu rezeki tidak terbuka, ini penjelasannya

Justeru, apabila terjumpa barang walaupun bukan berbentuk wang, kita tidak boleh mengambilnya dengan sewenang-wenangnya.

Namun begitu, andai kata barang ditemui itu berbentuk makanan yang tidak tahan lama, boleh sahaja kita memakannya.

Semoga penjelasan agamawan ini dapat meleraikan kekusutan kita dalam hal ini.

Jumpa barang di mana-mana, jangan sesuka hati ambil terus buat harta sendiri…

Sumber: Facebook Dr Syed Shahridzan Ben-Agil

Foto: Freepik