Browsing Tag

Lupa diri

Surah al-Insan
Berita Semasa,

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

Surah al-Insan penawar sifat manusia yang mudah lupa diri

“SURAH al-Insan menjadi penawar bagi sifat manusia yang mudah lupa diri. Penyakit besar iaitu lupa diri perlu ada penetapan semula diri untuk jadi lebih baik.”

Demikian kata Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas, Coach Mohd Jamil Abdul Wahab ketika memberi pengisian dalam program Melaka River Cruise #QuranHour di Sungai Melaka, Melaka pada 24 Februari lalu.

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada penggerak dan ahli Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka mengikuti program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di atas bot sepanjang Sungai Melaka.

Program selama sejam itu julung kali dianjurkan oleh Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF). Sesi tersebut dimulakan dengan alunan bacaan Surah al-Insan dan terjemahannya yang dibimbing Coach Jamil.

COACH JAMIL

“Dalam surah al-Insan, ALLAH SWT mengingatkan siapa diri kita yang sebelum ini tidak pernah disebut atau dikenali. Kemudian ALLAH menjadi manusia daripada setitis mani, dan kehidupan manusia sentiasa diuji untuk mentaati-NYA.

“ALLAH memberi nikmat pendengaran dan penglihatan kepada manusia untuk dimanfaatkan sebagai orang yang bersyukur dalam mendapat petunjuk dan hidayah atau sebaliknya, iaitu orang kufur yang mengingkari nikmat ALLAH.”

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

“Kita perlu bersyukur melalui lisan, kalbu, perbuatan dan berusaha menjadi orang yang abrar atau berbuat kebaikan yang banyak dan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Rumah Ngaji Ummah Ikhlas Melaka, Nooratikah Amir berkata, Melaka River Cruise #QuranHour bertujuan memberi pengisian kerohanian untuk mengingatkan kita mengenai kehidupan di dunia dan akhirat, sambil berlibur.

NOORATIKAH

“Melaka River Cruise menjadi tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat keindahan di Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Pihak kami bercadang untuk memperluaskan penganjuran program tersebut secara berkala dengan menjemput Rumah Ngaji lain pada masa akan datang.”

Ketua Seksyen Unit Dakwah dan Tarbiah, Jabatan Agama Islam Melaka, Ustaz Murad Ahmat yang juga peserta berkata, pendekatan program tersebut dapat melihat kebesaran ciptaan ALLAH (ayat kauniyah) dan mendegaran ayat al-Quran (ayat qauliyah).

“Konsep pembelajaran secara tidak rasmi, santai tapi santai mampu menarik minat pelbagai golongan sasaran dalam berdakwah. Walaupun masa agak terhad untuk mengikuti tadabbur al-Quran di atas bot, namun peserta dapat ambil pengisian untuk dibawa balik dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Baca juga Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya…

Pihak JAIM sentiasa memberi sokongan dan kerjasama dengan Pertubuhan Rumah Ngaji Ummah Ikhlas dalam menjalankan pelbagai program yang menyuburkan al-Quran di Melaka.

USTAZ MURAD

Kata beliau, kepentingan surah al-Insan adalah mengingatkan manusia yang mudah lupa. Surah tersebut sunnah dibaca pada Jumaat.

“Manusia sentiasa diuji untuk bukan untuk mengeluh, tetapi untuk kita bersabar dan mensyukuri atas nikmat yang ALLAH berikan,” ujarnya.

Surah al-Insan menjadi surah pilihan yang membawa tema Memanusiakan Ummah bagi program #QuranHour termasuk World #QuranHour yang diadakan pada 22 Ramadan 1444H bersamaan 13 April 2023.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook World QuranHour.

***Artikel dan foto disediakan oleh Fouziah Amir

Berita Semasa,

Perasan hebat, lupa diri tujuan hidup di dunia ni…tunggulah balasan Tuhan!

UMPAMA malapetaka terkena jangkitan Covid-19, lupa diri ibarat seperti ‘virus’. Masakan tidak, jika tidak dikawal atau dirawat, ia akan menjebakkan seseorang itu lupa kepada Sang Pencipta yang juga pemilik segala makhluk yang ada di bumi. Na’uzubillahi min zalik.

Sikap negatif itu berpunca akibat nikmat kesenangan dan kemewahan yang diperoleh. Malah, ada juga segelintir masyarakat yang menganggap segala apa yang dikecapinya adalah hasil titik peluhnya sendiri dan menidakkan ALLAH dalam urusan berkenaan.

Sesungguhnya, sikap lupa diri itu dilarang keras dalam agama Islam. Ia sebagaimana firman ALLAH SWT:

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada ALLAH, lalu ALLAH menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri.” (Surah al-Hasyr, ayat 19)

Sebagai makhluk ALLAH SWT, sewajarnya kita tidak melupakan asal-usul kejadian diri. Tiada hak kita untuk lupa diri. Sampai kiamat sekalipun, kita tetap hamba kepada YANG ESA.

Justeru, apakah bahayanya sikap lupa diri ini? Bagaimana untuk mengekang diri daripada sifat mazmumah berkenaan?

Ujian ALLAH

Pendakwah, Ustaz Fauzi Mustafa berkata, sikap lupa diri, lupa daratan mahupun kacang lupakan kulit, semua itu merupakan sejenis penyakit negatif.

USTAZ FAUZI

Hakikatnya, kata beliau, ALLAH SWT akan menguji kita hidup di dunia yang fana ini sama ada senang atau susah. Ketahuilah bahawa ujian kesusahan itu bukanlah bermaksud ‘mendera’ atau mempermain-mainkan hamba-hamba-NYA.

“Akan tetapi, ALLAH sebenarnya hendak uji kita, siapakah antara hamba-NYA yang bersyukur ataupun kufur dalam apa jua keadaan. Sebab itu kita kena sedar diri, siapa kita. Sama ada ketika senang ataupun susah, kita tetap hamba ALLAH.

“Jadi, ALLAH SWT bagi kesenangan dan kesusahan untuk menguji apakah hamba-NYA akan ingat ALLAH ataupun sebaliknya. Hanya ingat ALLAH saat (dalam keadaan) susah, ada hajat atau tersepit, tetapi bila senang, lupa ALLAH dan lupa diri, padahal kita hanyalah hamba-NYA,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Mengulas penyebab manusia seringkali lupa diri apabila hidup senang, agamawan itu menjelaskan, perkara itu ada dijelaskan dalam al-Quran. Manusia sememangnya tidak tahan dengan dunia.

“Mereka tidak tahan dengan kemewahan dan kesenangan kecuali orang yang benar-benar bermujahadah. Barangkali ALLAH memberikan kita harta, namun bukan senang untuk kita bayar zakat dan menderma kerana kita merasakan (kekayaan) yang kita ada itu adalah (hasil) usaha kita dan milik kita.

“Ini merupakan masalah hati. Bila senang, syaitan akan berbisik; ‘Kenapa kamu dah senang nak tolong orang? Masa susah dulu, ada orang tolong kamu?’, jelas beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia diberi lembah penuh dengan emas, maka ia masih menginginkan lembah yang kedua semisal itu. Jika diberi lembah kedua, ia pun masih menginginkan lembah ketiga. Perut manusia tidaklah akan penuh melainkan dengan tanah (mati dalam kubur). ALLAH tentu menerima taubat bagi siapa saja yang bertaubat.” (Riwayat al-Bukhari)

Bermujahadah

Justeru, Ustaz Fauzi mengingatkan kita agar bermujahadah bagi mengekang sifat negatif berkenaan. Mujahadah adalah melawan perkara-perkara yang negatif dalam diri.

“(Ingatlah) Tuhan beri kepada kita kesenangan, kemewahan, kekayaan dan keduniaan untuk kita berkongsi dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. ALLAH tidak suruh kita ‘makan’ berseorangan, tetapi menzahirkannya.

“Zahirkan bagaimana? Zahirkanlah dengan mengeluarkan zakat kepada pusat zakat dan jangan sorokkan (kekayaan tadi) atau rasa takut terkurangnya harta atau jatuh miskin. Mujahadah ini termasuklah dalam mengawal hawa nafsu dan sebagainya serta istiqamah, barulah kita akan ingat ALLAH pada setiap waktu sama ada susah ataupun senang,” jelas beliau.

Lupa diri

JAUHI sifat lupa daratan dan kacang lupakan kulit kerana ia merupakan penyakit negatif. -Gambar hiasan

Beliau turut mengambil contoh sikap para sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Abdul Rahman bin Auf dan isteri baginda, Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang kaya, tetapi tidak bersikap lupa diri.

“Sebaliknya, merekalah yang ke depan dan beri sumbangan kepada fisabilillah. Bukan itu sahaja, mereka juga antara individu yang nombor satu berpuasa sunat, (mendirikan) solat sunat dan lain-lain. Jiwa mereka terdidik hasil tarbiah Rasulullah SAW,” katanya.

Ustaz Fauzi mengingatkan bahawa siapa yang lupa dirinya hamba ALLAH, mereka akan keseorangan pada hari akhirat nanti.

“Begitu juga apabila kita hidup di dunia ini, kaya dan tidak berkongsi dengan orang lain, orang pun akan lupakan dia. Sudahlah dosa tidak bayar zakat, tidak berhubung dengan orang lagi. Tak berbuat baik dengan orang, maka kita seolah-olah sempitkan ruang pahala untuk orang hendak bantu kita,” jelasnya.

Beliau menitipkan pesan agar jangan sesekali lupa kepada orang yang sudah banyak berjasa sekalipun sudah kaya dan hidup senang.

Hal itu termasuklah ibu bapa, adik-beradik, jiran, rakan sekerja dan guru kita.

“Kita kena ingat, semua kesenangan itu datang daripada ALLAH. Bila-bila masa sahaja ALLAH boleh datang tarik balik nikmat berkenaan.

“Mungkin hari ini kita kaya, tetapi esok kita miskin. Jangan terlalu yakin lupa diri dan ALLAH kerana pada hari akhirat kelak, kita memerlukan pertolongan-NYA,” terangnya.

Tidak menyanggah sunah alam

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, segala kesenangan dan kejayaan yang dikecapi dalam hidup datangnya daripada pemberian ALLAH SWT.

DR MOHD FARID

“Ya, benar kita berusaha, tetapi kalau ALLAH tidak izinkan, kita tak akan dapat apa yang dikecapi pada hari ini. Syukur perlu ada dalam diri supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawabnya terhadap ALLAH SWT.

“Ini bermakna, jangan lupa bahawa ada Tuhan yang berikan nikmat tersebut. Sedarlah bahawa Tuhan memerhatikan bagaimana seseorang membelanjakan kesenangannya, menguruskan kekayaan dan kemewahan yang dimiliki.

“Ia bertepatan dengan apa yang disarankan oleh para ulama. Imam al-Ghazali menyebut bahawa bersyukur adalah menggunakan nikmat ALLAH pada jalan yang ALLAH suka,” katanya kepada Sinar Islam.

Sabda Rasulullah SAW: “… Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh hamba yang soleh.” (Riwayat Ahmad)

Ujar Ustaz Mohd Farid, hadis itu memerihalkan, apabila orang soleh mengurus harta tersebut, mereka sedia maklum akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan iaitu mengeluarkan zakat, membantu ahli keluarga atau adik-beradiknya, bersedekah atau melakukan jariah.

Beliau turut menegur sikap segelintir masyarakat yang adakalanya menyanggah usaha yang dilakukan dengan nikmat kurniaan ALLAH.

Sebilangan masyarakat gemar mengungkapkan frasa: “Saya yang usaha. Saya bangun pagi, pergi kerja, saya jumpa orang, saya turun dan naik pejabat. Saya kena itu, saya kena ini, semua itu saya lalui.”

Begitupun, agamawan itu menjelaskan, segala usaha yang dilakukan seseorang individu sehingga membuahkan hasil itu sebenarnya membuktikan bahawa ALLAH SWT tidak pernah menyanggah sunah alam.

“Siapa yang kerja keras, bersungguh-sungguh, maka dia akan mencapai kejayaan. Sebab itu kejayaan ini ALLAH tak pilih untuk orang Islam sahaja. Orang bukan Islam pun Tuhan bagi. Itu bukti Tuhan tidak pernah menyanggah sunah alam,” kata beliau.

Kepada satu soalan, Ustaz Mohd Farid berkata: “Bukan senang kita hendak sedarkan manusia yang lupa kepada ALLAH SWT dan tanggungjawab kerana mereka merasakan apa yang dia ada pada hari ini adalah atas daya usaha dia sendiri. Dia tidak nampak ada unsur-unsur taufik ataupun pemberian daripada ALLAH SWT.

“Jadi, golongan ini perlu insaf. Ulama menyebut bahawa orang kaya yang bersyukur itu lebih baik daripada orang miskin yang bersabar.

“Ini kerana orang kaya yang bersyukur, mereka tahu untuk menggunakan wang dan kekayaan masing-masing seperti membina masjid, tolong anak yatim, golongan asnaf dan lain-lain. Orang itu lebih disukai ALLAH SWT dpd orang miskin yang sabar,” katanya.

Lupa diri

ALLAH SWT memberi kesenangan dan kesusahan untuk menguji sama ada hamba-NYA mengingati-NYA ataupun sebaliknya.

Mengakhiri perkongsian ilmunya, beliau berkata, sabar itu besar pahalanya.

“Akan tetapi sabar itu hanyalah untuk diri sendiri. Tapi, ketahuilah bahawa kekayaan yang disyukuri oleh seseorang adalah untuk dia dan masyarakat,” katanya.

Penyakit kejar keserononokan di dunia

Merasakan diri terlalu hebat daripada orang lain merupakan punca utama seseorang itu lupa diri sehingga terlupa tujuan dirinya diciptakan oleh ALLAH SWT.

Hakikatnya, segala nikmat yang dikecapi itu datang daripada-NYA. Demikian kata Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknogi Mara, Ustazah Siti Fatayihah Mahamood.

USTAZAH SITI FATAHIYAH

Jelas beliau, sifat lupa diri itu berlaku tanpa perasaan rasa bersalah walau sedikit pun. Akibatnya, seseorang itu lupa apa tujuan dia diwujudkan di dunia dan destinasi pengakhiran hidupnya nanti.

“Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW ada menyebut berkaitan penyakit wahan yang akan melanda umat akhir zaman iaitu penyakit cintakan dunia dan takutkan kematian. Bahayanya orang yang lupa diri itu bukannya takutkan kematian, tetapi dia terlupa bahawa satu hari nanti dia akan mati dan meninggalkan segala kehebatan dan nikmat yang dimikilinya di dunia ini.

“Bahkan, orang yang lupa diri ini langsung tidak bimbang kesan lupakan ALLAH SWT kerana merasakan dia masih mampu bernafas dan menjalani kehidupan di dunia ini dengan menunjukkan kehebatan kuasa dan nikmat yang dimilikinya,” katanya menerusi e-mel kepada Sinar Islam.

Mengulas lanjut tentang bahaya sikap lupa diri, tambah Ustazah Siti Fatahiyah, individu berkenaan bukan sahaja tertipu dengan dirinya sendiri, tetapi sering memandang rendah kepada orang di sekeliling yang tiada kepentingan kepada dirinya.

Justeru, beliau mengingatkan agar tidak bersikap sedemikian. Katanya, lupa diri, sombong dan lalai adalah merupakan penyakit tiga serangkai yang amat bahaya yang boleh ‘berjangkit’ dan menjadi lebih parah jika tidak dikawal dan dirawat.

Ujar beliau, ia merupakan penyakit mengejar keseronokan hidup di dunia dengan kehebatan kuasa, kekayaan dan segala nikmat. Justeru sebelum terlewat, bertaubatlah atas segala dosa yang telah dilakukan.

“Janganlah kejahatan dibalas kejahatan. Apalah kudrat yang kita ada untuk membalasnya. Serah sahaja pada kuasa YANG MAHA KAYA.

“Sebagai manusia yang diciptakan, buatlah kerja kita dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Usah rebut tugas ALLAH dalam membalas segala kejahatan atau menentukan segala hukuman. Jangan lupa kuasa ALLAH adalah amat luar biasa dalam memberikan segala anugerah atau pembalasan,” jelas beliau.