Browsing Tag

lucah

Bahan bacaan
Isu,

Haram menulis atau baca bahan bacaan berunsur lucah

RADAR perbualan di media sosial agak hangat dengan kisah berkaitan novel atau bahan bacaan yang didakwa mempunyai unsur child grooming dan bersifat lucah.

Meskipun pihak penerbit sudah memberikan maklum balas terhadap perkara itu dan menhentikan penjualan buku tersebut serta-merta, namun impaknya masih dirasai.

Masih ramai pihak yang memberikan respons terhadap isu itu. Masakan tidak, bahan bacaan santai sebegitu rata-ratanya digilai oleh anak muda yang masih mentah.

Andai kandungan dan laras bahasa digunakan tidak sesuai dengan usia pembaca, sudah pastilah ia akan memberi konotasi berbeza.

Walaupun setiap orang berhak memilih bahan bacaan masing-masing, namun ia bukanlah bermaksud kita diberi kebebasan sepenuhnya sehingga menggadai prinsip agama.

Ketahuilah bahawa haram hukumnya jika seseorang menulis atau membaca sesuatu yang berunsur serta bertujuan lucah sehingga menaikkan syahwat.

Demikian tegas pendakwah Ustazah Asma’ Harun sebagaimana yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

USTAZAH ASMA’

Jelas beliau, terdapat dalil yang menjelaskan supaya kita menundukkan pandangan daripada segala perkara yang berunsurkan kemaksiatan termasuk menulis atau membaca bahan yang berunsurkan lucah.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya ALLAH Amat Mendalam Pengetahuan-NYA tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.” (Surah an-Nur, ayat 30-31)

Dalam ayat yang lain, ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’, ayat 32)

Baca juga Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam

Berdasarkan nas berkenaan, Ustazah Asma’ berkata, jelaslah bahawa menulis atau membaca sesuatu yang berunsurkan lucah adalah haram dan berdosa besar.

Bahan bacaan

SETIAP karya penulisan yang dihasilkan menjadi amanah besar sama ada pembaca terpengaruh dengan kebaikan atau perkara maksiat. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

“Ia bukan sahaja beri kesan buruk, malah setiap karya penulisan yang dihasilkan menjadi amanah besar sama ada pembaca terpengaruh dengan kebaikan ataupun perkara kemaksiatan.

“Di samping itu, berkata atau membaca perkara lucah bukan sahaja beri kesan buruk pada akhlak diri, malah setiap karya penulisan yang dihasilkan akan disoal kelak kerana pembaca terpengaruh dengan kemaksiatan. Maka taubatlah kepada ALLAH Ya Ghafur, yang MAHA MENGAMPUNI sebagai jalan keluar paling mujarab,” ungkapnya.

Perbuatan dicela dalam Islam

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menegaskan, perkataan dan perbuatan berunsur lucah turut tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan dicela dalam Islam.

Dalam hal tersebut, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang beriman itu bukanlah daripada golongan yang suka mengaibkan orang lain, bukan daripada golongan yang melaknat orang lain, bukan daripada golongan yang suka mencarut dan bukan juga daripada golongan yang suka berkata-kata keji dan buruk.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Amalan riba merosakkan iman, akidah. Jauhi sifat tercela itu

Malah, Imam al-Zahabi yang meriwayatkan dari Ahnaf bin Qais bahawa: “Elakkan majlis (perkumpulan) sesama kita daripada berbicara mengenai perempuan dan makanan. Sesungguhnya aku benci akan lelaki yang asyik berbicara mengenai seks dan keperluan perutnya.” (Lihat Kitab Siyar A’lam al-Nubala’: m/s 64)

Justeru, Ustazah Asma’ menitipkan pesan agar mereka yang terlibat dalam sesebuah penulisan supaya berkongsi sesuatu yang bermanfaat.

“Sesebuah penulisan yang baik akan mendapat pahala berterusan selagi ia dibaca dan diambil manfaat. Begitu juga halnya bagi penulisan yang mempunyai unsur maksiat.

“Menulislah kerana ALLAH dan Rasulullah SAW, atas landasan dakwah dan patuh syariah. Pahala kepada tulisan ini akan terus berjalan walaupun kita sudah tiada nanti. Sama ada ia menjadi saham pahala yang berpanjangan atau dosa yang dicatat tak berkesudahan.

Bahan bacaan

KEPADA mereka yang dikurniakan bakat menulis, usah cemari kelebihan itu dengan menghasilkan karya yang menjadi rantaian dosa, sebaliknya tulislah sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

“Jangan cemari ilham dan kelebihan yang dikurniakan dengan menghasilkan karya yang menjadi rantaian dosa,” titipnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada para ibu bapa supaya memantau bahan bacaan anak masing-masing. Ini kerana novel-novel sebegitu selalu menjadi kegemaran sebahagian anak-anak remaja.

“Bimbang bermula dengan sekadar membaca, kemudian menjadi tindakan, ketagihan dan akhirnya jadi tabiat. Na’uzubillah.

“Adakah kita jamin anak-anak kita terselamat daripada terpengaruh dan bertindak di luar kawalan? Sedangkan banyak perkara yang ibu ayah tidak sedar bahawa anak mereka telah terjebak dengan pelbagai jenis perkara yang merosakkan.

Baca juga Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

“Tersilap langkah kita, mereka boleh hanyut jauh daripada landasan agama. Ingatlah, anak yang dijaga, dididik dengan agama, diawasi, dijadikan kawan rapat, diisi keperluan jiwa mereka yang perlukan perhatian, penghargaan serta jawapan kepada pertanyaan akan jauh daripada fitnah dan terbaca bahan bacaan yang merosakkan, insya-ALLAH,” katanya.

***Foto: Freepik