Browsing Tag

Light Art VR

ve2
Gaya Hidup,

Pengarah Jordan hasilkan filem, berdakwah menggunakan VR

BERBICARA tentang dakwah, pastinya antara perkara pertama yang hadir di fikiran adalah seperti khutbah, golongan tabligh dan beberapa wajah ustaz selebriti terkenal.

Namun, siapa sangka peralatan elektronik canggih dikenali sebagai realiti maya atau ‘virtual reality’ (VR) yang kini giat berkembang dalam dunia teknologi turut boleh digunakan untuk menyebarkan syiar Islam.

Menariknya, itulah yang sedang dilakukan oleh seorang pengarah dan penerbit filem dari Jordan yang kini menetap di Amerika Syarikat bernama Samah Safi Bayazid.

SAMAH Safi Bayazid. Foto: Anadolu Agency

Baca juga Kod QR, mural hadis: Qatar perkenalkan Islam kepada peminat Piala Dunia FIFA 2022

Samah dan suaminya, Muhammad adalah pemilik syarikat LightArt Media Productions dan Light Art VR yang berusaha mengubah persepsi dunia terhadap Islam dengan menghasilkan filem sejarah Islam untuk tontonan realiti maya.

Kata Samah, idea untuk menghasilkan filem berasaskan realiti maya yang menceritakan budaya Islam timbul setelah mereka melawat sebuah taman tema.

“Kami sangat seronok (berada di taman tema) jadi saya terfikir, mengapa kita sebagai orang Islam tidak ada sesuatu yang menyeronokkan seperti ini.

“Bagaimana jika kita juga boleh menceritakan kisah dan budaya kita (sebagai Muslim) termasuk sejarah Islam dengan cara yang menghiburkan? Dengan menggunakan teknologi terkini, kami hasilkan perisian kami sendiri,” katanya kepada Anadolu Agency.

Turut disyorkan Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye

dakwah vr

ANTARA filem VR yang dihasilkan oleh LightArt Media Productions termasuk ‘Mecca: A Journey Through Time’ yang memaparkan sejarah kelahiran Islam. Foto: Light Art VR

Penonton dibawa ke zaman silam

Ujar Samah lagi, pihaknya mempunyai matlamat untuk menghiburkan serta mendidik orang ramai dalam masa yang sama.

“Kami ingin menghasilkan suatu bentuk hiburan buat penonton Islam di seluruh dunia,” jelas pengarah filem tersebut.

Sehingga kini syarikat itu telah menghasilkan empat filem VR mengenai sejarah dan budaya Islam serta dalam proses menerbitkan filem kelima dan keenam untuk tahun hadapan.

Selain mampu ditonton dalam lapan bahasa berbeza, filem-filem yang dihasilkan juga didapati dalam tiga format, iaitu 360°,8K dan VR.

dakwah vr

MENONTON filem menggunakan alat VR membuatkan penonton berasa seolah-olah mereka sedang berada di mana detik bersejarah itu berlaku. Foto: Light Art Vr

Dengan bantuan teknologi VR, penonton akan ‘dibawa’ ke masa silam dan berasa seolah-olah mereka di tanah Arab sambil menyaksikan bagaimana Islam terbentuk apabila menonton filem-filem tersebut.

Dari segi reaksi penonton setelah menyaksikan filem mereka, Samah memberitahu bahawa ada penonton Islam yang ketawa dan menangis. Bagi penonton bukan Islam pula, mereka mempelajari banyak perkara baru tentang Islam yang sebelum ini tidak diketahui.

Hapus stereotaip palsu tentang Islam

Di samping itu, Samah juga pernah mengadakan projek di New York yang mana mereka memberikan alatan VR kepada golongan bukan Islam untuk menonton salah sebuah filem syarikatnya.

“Mereka (orang bukan Islam) menyukainya dan berkata mereka mendapat banyak maklumat baru. Sebagai contoh, ada yang menganggap Islam sebagai sebuah agama yang ganas. Malah, sebelum menonton filem VR kami, mereka juga menyangka wanita dikawal oleh lelaki dalam Islam,” katanya.

Baca juga Covid-19 tingkatkan permintaan makanan halal di negara bukan Islam

Hasil daripada projek itu, Samah percaya bahawa perlu ada usaha berterusan daripada umat Islam untuk bukan sahaja menyebarkan ajaran agama, bahkan bantu menghapuskan stereotaip palsu mengenai para Mukmin.

“Ini sebabnya kita perlu mendidik orang ramai tentang adat dan budaya Islam. Kita tidak boleh membiarkan orang luar menceritakan kisah kita (orang Islam) menggunakan cara mereka.

“Sebaliknya, ia adalah tugasan umat Islam untuk menceritakan kisah kita sendiri dengan cara yang betul.” Tegas Samah.

Sumber: Anadolu Agency & Light Art VR

Foto: Light Art VR