Browsing Tag

liga perdana

Algulf
Jendela Dunia,

Taliban Larang Siar IPL di Afghanistan Kerana Kandungan Anti-Islam

PEMINAT sukan kriket antarabangsa khususnya warga di Afghanistan, tidak lagi akan dapat menonton Liga Perdana India (IPL) yang kembali bersambung tahun ini kerana mendapat tentangan oleh pemerintahan Taliban.

Mereka antara pemain kriket kelahiran Afghanistan yang bermain dalam Liga Perdana India. Gambar: Sportslightmedia

IPL 2021 yang diadakan di Emirah Arab Bersatu (UAE) dan turut disertai beberapa pemain handalan dari Afghanistan seperti Rashid Khan, Mohammad Nabi dan Mujeeb ur Rahman tidak akan disiarkan secara langsung di negara itu kerana Taliban mendakwa penyiarannya mengandungi kandungan anti-Islam.

Perlawanan pertama yang diadakan pada Ahad lalu antara Chennai Super Kings dan juara bertahan, Mumbai Indian tidak dapat disaksikan seluruh penduduk di Afghanistan atas arahan kerajaan pimpinan Taliban.

Bekas Pengurus Media Lembaga Kriket Afghanistan, M Ibrahim Momand menulis di dalam akaun media sosialnya menyatakan bahawa, kemungkinan kandungan anti-Islam, gadis menari dan kehadiran wanita yang tidak memakai tudung antara sebab utama siarannya diharamkan di negara itu.

Malah banyak media antarabangsa juga turut melaporkan bahawa pemerintah Taliban telah melarang IPL disiarkan di Afghanistan.

Salah satu pasukan Kriket Afghanistan yang banyak melakar kejayaan. Gambar: Medium

Pada bulan Ogos lalu, Taliban telah mengatakan bahawa mereka tidak akan mengganggu pasukan Kriket Lelaki Kebangsaan Afghanistan. Ia kerana kriket sering menjulang kejayaan sukan terbesar di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah Taliban juga tidak akan menghentikan penyertaan pasukan itu dalam liga utama Twenty20.

Minggu lalu, Ketua Sukan Afghanistan, Bashir Ahmad Rustamzai mengatakan bahawa Taliban akan membenarkan rakyatnya menyertai 400 jenis sukan di negara itu, namun enggan mengesahkan sama ada wanita antara dibenarkan atau tidak terlibat sama dalam antara sukan berkenaan.

“Jangan tanya lebih banyak mengenai wanita,” kata Bashir kepada agensi berita AFP.

Semasa rejim itu menindas rakyatnya dari tahun 1996 hingga 2001, wanita dilarang sama sekali bermain apa saja sukan,  sementara sukan lelaki dikawal dengan ketat. Wanita juga dilarang mendapat pendidikan dan pekerjaan.

Banyak aktivis hak wanita Afghanistan secara global takut sekiranya pemerintahan Taliban akan mengulangi dasar sebelum ini setelah kumpulan itu berjaya menggulingkan pemerintah yang disokong AS bulan lalu.

 

Sumber: The Indian Express