Browsing Tag

lifestylesinarharian

cicak1
Berita Semasa, Hukum,

[VIDEO] Cicak berbunyi lepas kita bercakap, benarkah ia petanda haiwan itu mengiyakan percakapan kita?

ORANG tua-tua pada zaman nenek moyang kita memang kuat dengan pantang larangnya. Walaupun kedengaran pelik, tetapi ada juga yang memberi manfaat kepada diri kita.

Cuma, perkara mana yang menjadi pertikaian dan ada percanggahan dengan syariat itu perlulah kita elakkan untuk mempercayainya bulat-bulat. Bukan apa, bimbang jika ia boleh merosakkan akidah kita.

Antara kepercayaan yang sering kali kita dengar adalah tentang bunyi cicak. Ada segelintir orang masih percaya bahawa apabila cicak berbunyi ketika kita sedang bercakap, itu petanda haiwan itu mengiayakan percakapan kita.

Malah, kadangkala selepas selesai berdoa juga, pada masa itulah cicak tiba-tiba sahaja berbunyi seolah-olah mengiyakan apa yang didoakan sebenar tadi.

Persoalannya, adakah memang benar bunyi cicak itu menunjukkan suatu petanda atau kebetulan?

Pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, kebanyakan manusia sering kali berhadapan dengan situasi tersebut. Ia termasuklah apabila kita berkata-kata dalam hati ataupun mengganggu tumpuan kita apabila sedang berdoa.

DA’I ZAHIRAH

“Mitos tentang cicak ini memang tidak boleh dinafikan oleh logik akal manusia kerana ia melibatkan satu kategori perkara ghaib.

Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh

“Perkara ghaib adalah perkara yang hanya ALLAH sahaja yang MAHA MENGETAHUI,” katanya.

Ujar beliau, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas. Hadis itu tidak ada kena mengena langsung dengan bunyi cicak mengiyakan percakapan kita, tetapi hadis ini berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW memerintahkan kita untuk membunuh cicak.

“Ini kerana cicak itu ialah binatang fuwaisiq iaitu binatang yang membawa kerosakan sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat Muslim.

Bunyi cicak

CICAK ialah binatang fuwaisiq iaitu membawa kerosakan dan kita disunatkan untuk membunuhnya.

“Maka, jelaslah bahawa kita sebagai manusia disunatkan untuk membunuh cicak kerana haiwan itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita. Malah, cicak itu juga sering kali membuang najis di dalam rumah kita dan di dalam masjid,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa mitos tentang bunyi cicak itu memang tidak wujud sama sekali dalam mana-mana ayat suci al-Quran ataupun dalam mana-mana hadis sahih.

“Sebagai manusia dan umat Islam, tidak boleh kita mempercayai benda-benda yang tidak sahih seperti ini.

“Bukan apa, takut-takut jatuh syirik kepada ALLAH SWT. Jangan percaya benda yang tak sahih,” nasihat beliau.

Foto: Freepik & Unsplash

ben-mullins-oXV3bzR7jxI-unsplash
Berita Semasa, Gaya Hidup, Panduan,

Ini tip kerohanian yang dianjurkan Islam ketika menghadapi peperiksaan

Oleh NURUL HAJAR JAMALUDDIN 

DALAM tempoh hampir setahun, sistem pendidikan di seluruh dunia telah berubah sama sekali ekoran pandemik Covid-19.

Di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan metod Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) iaitu menerusi medium dalam talian dalam usaha mengekang penularan wabak.

Perkara tersebut dilihat sedikit sebanyak mengganggu emosi dan mental para pelajar di sekolah mahupun mahasiswa di universiti terutamanya mereka yang bakal dan sedang menghadapi peperiksaan penting pada tahun ini.

Namun begitu, ALLAH SWT telah berfirman: “Janganlah engkau bersedih, ALLAH bersama kita.” (Surah at-Taubah, ayat 40)

Oleh yang demikian, sandarkanlah segala permasalahan hanya kepada YANG MAHA ESA dan ‘suntiklah vaksin’ kerohanian dalam diri.

Tip kerohanian menjelang peperiksaan saya bahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum menghadapi peperiksaan, semasa dan selepas peperiksaan.

Bercakap mengenai persiapan menjelang peperiksaan, ia merupakan masa yang agak genting bagi setiap pelajar. Oleh itu, perkara pertama yang perlu diterapkan oleh para calon adalah dengan memperbetulkan niat.

Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, perbetulkan niat kita ketika mendalami ilmu. Sandarkan (niat) belajar kerana ALLAH SWT bukan kerana sekadar mahu lulus sahaja. Dengan itu, keberkatan ilmu akan dapat dirasai.

Mengenai persiapan kerohanian sebelum menghadapi peperiksaan, para pelajar amat disyorkan untuk mengamalkan bacaan doa sebelum menelaah dan melazimi zikir mudah. Ia bertujuan bagi memohon kepada ALLAH SWT untuk mudah faham segala ilmu yang dicurahkan oleh para tenaga pengajar.

Tip kerohanian peperiksaan

Sebagai contoh, salah satu doa berkaitan ilmu yang sesuai dibaca pada setiap pagi untuk dipraktiskan berbunyi: “Ya Allah! Aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf dan al-Baihaqi)

Sesungguhnya, doa dan zikir dapat dapat memperkukuhkan lagi tahap kerohanian jiwa dan menjadi sumber ketenangan ketika menimba ilmu.

Persiapan bagi menghadapi peperiksaan sebenarnya umpama mahu pergi menuju ke medan peperangan.

Seperti kata pepatah Arab terkenal: Man Jadda Wajada yang bermaksud barang siapa yang bersungguh-sungguh, maka ia akan mendapat hasil.

Dalam konteks tersebut, dapat dirumuskan, sesiapa yang telah berusaha menimba ilmu dengan tekun, pasti akan merasa tidak sabar dan berkobar-kobar untuk bertempur.

Baca juga Ini doa ringkas ibu bapa boleh amalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Tawakal

Pun demikian, pelbagai perkara yang tidak terduga boleh berlaku semasa menghadapi peperiksaan. Misalnya, pelajar tertinggal dokumen penting, terlupa membawa peralatan alat tulis secukupnya serta pelbagai masalah lain lagi.

Bertitik tolak daripada permasalahan tersebut, antara tip berkaitan yang boleh dikongsikan adalah dengan memulakan setiap perbuatan dengan membaca Basmalah.

Bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji ALLAH, maka amalan tersebut akan terputus.” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, pelbanyakkanlah memuji ALLAH semasa sedang menjalani peperiksaan tersebut. Bukan itu sahaja, selawat ke atas baginda juga perlu dijadikan amalan semasa memulakan sesi ulangkaji atau sebelum menjawab kertas peperiksaan.

Antara kelebihan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW seperti kata Imam Muslim yang meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA,

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berselawat (memohonkan rahmat dan kasih sayang) ke atas aku sebanyak sekali, maka ALLAH akan berselawat (mencurah rahmat dan kasih sayang) ke atasnya sebanyak 10 kali.” (Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, pertajamkanlah senjata kalian dengan ilmu dan amalan amalan yang soleh agar bantuan ALLAH tiba setiap kali diperlukan.

Tip kerohanian peperiksaan

DI SAMPING berusaha, melakukan amalan yang disarankan termasuk bertawakal, kita hendaklah memohon keberkatan doa daripada ibu dan bapa.

Seterusnya, seusai sahaja menempuh ‘liku-liku’ peperiksaan, sudah semestinya para pelajar berasa lega kerana beranggapan misi sudah selesai.

Namun, hakikatnya mereka perlu menghadapi debaran sekali lagi iaitu ketika menunggu saat keputusan peperiksaan diumumkan.

Disebabkan itu, konsep tawakal perlu diterapkan di dalam diri setiap orang. ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Kepada ALLAH sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal (menyerah diri).” (Surah Ali ‘mran, ayat 122)

Berdasarkan ayat tersebut, jelaslah bahawa di samping usaha bersungguh-sungguh semasa menuntut ilmu, seiring dengan doa dan amalan, kita seharusnya menyerahkan segala ketentuan kepada YANG MAHA ESA.

Seterusnya, kita harus menerima segala keputusan dengan rasa tenang dan reda. Selain konsep tawakal, memohon keberkatan doa daripada ibu bapa sangatlah penting di dalam kehidupan kita.

Tip kerohanian peperiksaan

Daripada Abdullah bin ‘Amrin bin Ash RA, baginda bersabda: “Keredaan ALLAH itu terletak pada keredaan kedua ibu bapa dan murka ALLAH itu terletak pada murka kedua ibu bapa” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hadis berkenaan sekali gus menggambarkan betapa pentingnya keberkatan doa serta keredaan ibu bapa dalam kehidupan. Jagalah adab, patut dan taat segala arahan mereka selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Sesungguhnya, ilmu-NYA sangatlah luas. ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah, sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (Surah al-Kahf, ayat 109)

Dengan kata lain, terdapat pelbagai lagi tip kerohanian lain yang boleh dijadikan amalan. Namun, telitilah dahulu sumber amalan tersebut agar tidak terjebak dengan amalan yang sia-sia.

Di samping itu, perkukuhkanlah ilmu dan jati diri sebagai seorang mukmin semasa menimba ilmu agar menjadi insan yang produktif, berketrampilan dan menjadi bakal penyambung legasi tampuk kepimpinan negara yang mapan.

***Nurul Hajar Jamaluddin ialah Pembantu Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia

Foto: Unsplash

 

pexels-artem-podrez-5125241
Isu,

[VIDEO] Pahala dengar ceramah di masjid vs Youtube, kedua-duanya tetap ada ganjaran, tapi…

ZAMAN milenial kini memudahkan capaian maklumat diperoleh dengan cepat. Apa sahaja informasi yang diperlukan, hampir semuanya boleh diperoleh dengan hujung jari.

Meskipun nampak mudah, namun, kita perlu berhati-hati dalam proses menggali maklumat berkenaan. Maklum sahajalah, ada lambakan maklumat di samping berita palsu sedikit sebanyak mencacatkan informasi yang dikongsikan.

Disebabkan itu, kita perlu berguru dengan mereka yang benar-benar pakar dalam bidang berkenaan. Lebih-lebih lagi hal yang berkaitan dengan ilmu agama dan akhirat.

Bercakap tentang hal itu, pada hari ini, mudah untuk kita mendengar ceramah agama menerusi platform online sedia ada seperti Youtube, Facebook, Instagram dan sebagainya.

Pahala dengar ceramah di masjid dan YoutubeTambahan pula, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan kini, ramai yang terpaksa duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar.

Jika dahulu, bolehlah mereka menonton secara langsung ceramah agama di masjid-masjid. Namun, kini semuanya terpaksa dilakukan dari rumah.

Dari segi pahala pula, adakah ganjaran pahala yang diperoleh oleh mereka yang mendengar ceramah daripada Youtube sama seperti mereka yang bertandang ke masjid atau surau?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Nor Zahirah Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Da’i Zahirah menjelaskan, ganjaran pahala diperoleh adalah tidak sama. Terdapat beberapa huraian di sini.

DA’I ZAHIRAH

Sekiranya kita ke masjid untuk mendengar ceramah secara bersemuka dengan guru, ujar beliau, individu akan mendapat pahala pakej. Pahala pakej itu merujuk kepada perjalanan seseorang itu yang bermula daripada berjalan ke masjid, beriktikaf dan solat berjemaah bersama imam.

“Kemudian, menuntut pula ilmu secara berhadapan dan bersedekah. Oleh itu, individu berpeluang memperoleh bermacam-macam pahala termasuklah, pahala sampingan dan pahala pakej apabila bertandang ke masjid ataupun surau.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

“Situasi tersebut berbeza apabila mendengar ceramah baik menerusi YouTube mahupun televisyen. Ganjaran pahala masih diperoleh, tetapi satu sahaja iaitu pahala menuntut ilmu.

Pahala dengar ceramah di masjid dan Youtube

GANJARAN pahala mendengar ceramah di rumah ALLAH lebih besar berbanding menonton menerusi Youtube ataupun televisyen.

“Ibaratnya, manusia bekerja, namun tidak mendapat elaun sampingan seperti elaun makan, elaun kerajinan dan elaun tahunan,” katanya.

Pun begitu, Da’i Zahirah menjelaskan, tidak menjadi masalah jika individu memilih sama ada ingin menuntut ilmu menerusi YouTube ataupun pergi ke masjid.

“Bagaimanapun, apa yang menjadi masalah, adakah kesungguhan dan keinginan belajar tersebut dapat dilakukan secara konsisten?,” soalnya.

Sebelum mengakhiri bicaranya, beliau mengajak kita kita merenung satu hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, maka ALLAH akan mempermudahkan jalan baginya menuju ke syurga ALLAH SWT.” (Riwayat Muslim)

“Justeru, marilah kita bersama-sama berbuat kebaikan. Biarpun kebaikan dilakukan itu ganjaran pahalanya tidak banyak, tetapi berkemungkinan kebaikan dan pahala yang sedikit itulah membawa insan ke dalam syurga ALLAH SWT. Insya-ALLAH,” nasihatnya.

Foto: Freepik & Pexels

berkin-uregen-9X9r3WobP9E-unsplash
Berita, Berita Semasa,

Kisah Rasulullah SAW dengar tapak kaki Bilal bin Rabah di syurga bukan cerita dongeng. Ini rupanya amalan yang dilakukan oleh muazin pertama…

APABILA masuk sahaja waktu solat, tukang azan tidak pernah alpa sesaat pun dengan tugasnya. Pantas sahaja azan dilaungkan dengan suara yang merdu dan mendayu-dayu memanggil semua umat Islam untuk meninggalkan apa sahaja tugas yang dilakukan untuk menghadap Tuhannya.

Mereka itulah yang dipanggil muazin. Malah, gelaran bilal sering kali meniti pada bibir kebanyakan masyarakat berbanding muazin.

Panggilan bilal sudah tidak kedengaran asing lagi pada halwa telinga masing-masing. Bilal ialah muazin pertama yang dilantik oleh Rasulullah SAW untuk mengumandangkan azan pada zaman baginda.

Pemilik nama penuh Bilal bin Rabah itu melakar sejarah tersendiri. Namanya sentiasa disebut-sebut sehingga kini.

Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memanggil semua umat Islam untuk menunaikan solat ada dirakamkan dalam sejarah. Bahkan, penyeksaan yang diterimanya ketika mula-mula memeluk agama Islam juga dinukilkan dalam lembaran historiografi.

Sesungguhnya, kisah Bilal RA yang pernah ditindas itu menyentuh hati sesiapa yang membacanya. Namun, apa yang dilaluinya sedikit pun tidak menggugat keimanannya kepada ALLAH SWT.

Apakah ibrah yang boleh dijadikan suri teladan dalam kisah tokoh Islam terbilang itu? Apakah amalan yang dilakukan oleh Bilal sehinggakan tapak kakinya didengari oleh Rasulullah SAW di syurga?

Menjejaki sisi peribadinya, Sinar Islam menemu bual pendakwah Nourul Iman Nia’mat.

NOURUL IMAN

Ujar beliau, Bilal bin Rabah RA merupakan antara sahabat terawal memeluk agama Islam. Beliau ialah hamba kepada Umaiyah bin Khalaf yang dilahirkan di Kota Makkah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah.

“Bapanya, Rabah berketurunan Arab, manakala ibunya bernama Hamamah pula berketurunan Habsyah. Namun, Bilal menjadi yatim piatu sejak kecil lagi.

“Setelah beliau memeluk agama Islam dan diketahui oleh tuannya, Bilal diseksa dengan begitu kejam sekali hinggakan peristiwa itu dirakamkan dalam sejarah,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Baca juga Sunat laungkan azan, iqamat di rumah sama ada solat sendiri atau berjemaah

Seksaan berat

Beliau kemudian mengajak umat mengimbau penyeksaan demi penyeksaan yang pernah dilalui oleh Bilal semata-mata mahu mengembalikannya semula kepada agama asal yang pernah dianutinya.

Bayangkan dalam suasana yang begitu terik, Umaiyah bin Khalaf bersama segerombolan kafir Musyrikin menanggalkan pakaian Bilal dan memakaikannya dengan baju besi.

Lalu, di bawah terik matahari dan padang pasir yang panas membakar, mereka menjemur Bilal di situ.

“Tidak berpuas hati lagi, mereka memukul Bilal menggunakan cemeti dan memerintahkan supaya beliau mencaci Nabi Muhammad SAW agar kembali kepada agamanya sendiri. Malangnya, semua bentuk seksaan yang dilakukan ke atas Bilal hinggakan badannya kurus dan kudratnya tidak berdaya, tetapi ia langsung tidak berjaya mengembalikan Bilal kembali kepada suasana jahiliah.

“Ini kerana hatinya lebih kental dan berani sekalipun saat itu Bilal menerima seksaan dahsyat apabila dengan diikat pada leher menggunakan tali yang besar sebelum diseret keliling Makkah.

“Begitupun, bibir Bilal tidak pernah kering daripada menyebut perkataan Ahadun Ahad. Itulah tanda kekuatan hatinya berpegang keesaannya kepada ALLAH SWT yang satu dan MAHA ESA,” katanya.

Menyambung hujahnya, jelas Nourul Iman, penyeksaan yang diterima Bilal membuatkan Abu Bakar terkesan. Lalu, beliau membeli Bilal bin Rabah dengan harga 9 tahil emas, nilai yang agak tinggi ketika itu.

Bilal bin Rabah

KETOKOHAN Bilal sebagai muazin pertama yang dilantik oleh Rasulullah SAW memang tidak boleh disangkal. Bahkan, namanya sering meniti pada bibir masyarakat yang menggelar tukang azan sebagai bilal.

“Lalu Bilal dibebaskan. Beliau terlalu gembira dengan kemerdekaan tersebut. Apabila masuk Islam yang bererti aman. Maka dengan aman tersebut, merdekalah beliau daripada kehambaan kaum Musyrikin,” ujarnya.

Ujar Nourul Iman, Bilal kemudian dilantik oleh Rasulullah SAW sebagai muazin. Peristiwa itu ketika pembukaan Kota Makkah pada tahun 8 Hijrah.

Jelasnya, ia merupakan satu bentuk penghormatan dan kemuliaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada Bilal.

“Saat Bilal mengumandangkan azan, suaranya sangat merdu, lantang dan mudah difahami. Ia menjadi kelebihan Bilal ketika itu untuk menarik hati-hati umat Islam untuk menunaikan kewajipan solat.

“Azan yang menyapa halwa telinga umat Islam ketika itu menimbulkan keharuan, sebak dan rasa terharu kepada mereka yang mendengarnya,” katanya.

Kerap berwuduk dan memperbaharuinya

Pendakwah itu meneruskan perkongsian ilmunya. Beliau memerihalkan amalan Bilal sehinggakan tapak kaki beliau didengari di dalam syurga.

Ujar Nourul Iman lagi, ia bukanlah suatu kisah dongeng. Sebaliknya, peristiwa itu merupakan kisah benar bersumberkan sebuah hadis yang sahih.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai Bilal, khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah engkau lakukan sejak memeluk Islam? Sesunguhnya, aku pernah mendengar gerakan kakimu di sisiku di dalam syurga.”

Maka Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut, di samping solat-solat yang diwajibkan ke atas aku.” (Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Nourul Iman menjelaskan, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil iaitu menetapkan waktu beribadah.

Bilal bin Rabah

CONTOHI amalan Bilal yang sentiasa dalam keadaan berwuduk, selain sentiasa menunaikan solat setiap kali memperbaharui wuduknya.

Dengan kata lain, menetapkan waktu khusus dalam sesuatu ibadah adalah dibenarkan kerana Bilal telah melakukan perkara itu terhasil daripada istinbatnya sendiri, lalu Nabi Muhammad SAW membenarkan.

“Hadis itu juga menjadi menjadi satu dalil atau tuntutan untuk umat Islam menunaikan solat sunat selepas berwuduk.

“Bukan itu sahaja, perbuatan Bilal sangat menepati sunah Rasulullah SAW sepertimana disebut dalam satu hadis yang mana sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya, lalu dia mendirikan solat sebanyak dua rakaat dalam keadaan hati dan wajahnya khusyuk melainkan dijamin syurga kepadanya.

“Ia menunjukkan ketinggian kedudukan Bilal bin Rabah RA disebabkan beliau menjaga dan mengamalkan sunah yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Bukti Islam antirasisme

Bagi menjelaskan tentang keistimewaan Bilal, Sinar Islam mendapatkan pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa untuk berbicara lanjut mengenainya.

USTAZ MOHD FAUZI

Ujar beliau, muazin pertama dalam sejarah itu tidak pernah gagal berjihad mengikuti peperangan.

“Beliau sentiasa mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam mana-mana peperangan,” katanya.

Perbuatannya itu sehinggakan Rasulullah SAW bersabda: “Bilal penunggang kuda yang hebat dari kalangan orang Habsyah.” (Riwayat Ibnu Asakir)

Satu lagi sifat Bilal yang wajar dicontohi, Mohd Fauzi menjelaskan, beliau sangat mencintai Nabi Muhammad SAW.

“Semua sikap yang ditonjolkan selama ini antaranya tidak menolak ketika dilantik oleh nabi menjadi muazin, rajin beribadah dan berwuduk adalah disebabkan kecintaannya pada Rasulullah SAW.

“Begitu juga penglibatannya dalam peperangan. Tidak lain tidak bukan untuk menjaga keselamatan nabi,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Mohd Fauzi, paling menjentik emosi tatkala kewafatan Rasulullah SAW. Sebelum baginda dimakamkan, Bilal melaungkan azan dengan penuh kesyahduan.

“Sehinggalah tiba lafaz Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah (Aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad ialah pesuruh ALLAH), suara Bilal tersangkut-sangkut menyebutnya. Orang lain yang mendengarnya begitu sebak.

“Selepas itu, Bilal membawa diri ke Syam (kini dikenali sebagai Syria) sehinggalah pada satu malam, beliau bermimpikan Rasulullah SAW. Dalam mimpinya itu, baginda bersabda: ‘Keringnya hatimu padaku. Di manakah kerinduanmu padaku?’

“Apabila Bilal terjaga daripada tidur, beliau dihambat rasa sedih. Lalu, beliau menunggang kuda menuju ke Madinah untuk ke Masjid Nabawi yang menempatkan makam baginda,” katanya.

Tatkala melihat kelibat Bilal, ujar Mohd Fauzi, Hassan dan Hussein, cucu Rasulullah SAW lantas memeluknya dan menangis.

“Saat itu, Bilal diminta untuk melaungkan azan setelah sekian lama baginda wafat. Lalu, beliau naik ke menara dan melaungkan azan. Ternyata suaranya merdu masih seperti dulu. Apabila tiba lafaz Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah, suara Bilal kembali tersekat-sekat.

“Pada hari tersebut, semua orang yang mendengar azan Bilal seolah-olah rasa kembali ke zaman nabi semula. Ramai yang berlari-lari ke masjid saat mendengar suara Bilal melaungkan azan,” jelasnya.

Bilal bin RabahMeskipun Bilal mempunyai wajah yang agak gelap dan berbibir tebal, namun Mohd Fauzi mengingatkan, Islam tidak memandang fizikal berkenaan. Bahkan, agama suci itu berkembang tidak mengira darjat dan kasta.

“Dalam Islam, tiada perbezaan warna kulit kerana agama ini bersifat universal. Bilal antara tokoh Islam yang membuktikan bahawa agama Islam adalah antirasisme.

“Bahkan, nabi juga memberikan Bilal kedudukan sebagai ‘orang kanan’ apabila dilantik menjadi muazin. Ia jelas membuktikan bahawa Islam meraikan semua bangsa dan kulit,” tegasnya.

Jaga hubungan dengan ALLAH, sesama manusia syarat masuk syurga

Ramai yang mengimpikan untuk masuk ke dalam syurga milik ALLAH. Namun begitu, impian tanpa usaha sahaja tidak cukup untuk kita merealisasikan hasrat berkenaan.

Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, bagi meraih syurga-NYA, umat Islam perlu menjaga hubungan dengan ALLAH, selain sesama manusia.

PU FAIZ

Ujar beliau, menjaga hubungan dengan ALLAH SWT lebih mudah berbanding dengan manusia.

“Masakan tidak, kita hanya perlu menjaga akidah yang sahih, melakukan semua suruhan ALLAH SWT dan tidak menyekutukan-NYA.

“Jika cukup semua perkara itu, insya-ALLAH boleh masuk ke dalam syurga,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam baru-baru ini.

Ujar PU Faiz lagi, apa yang merisaukan adalah hubungan sesama manusia. Apa tidaknya, walaupun banyak amalan dilakukan seperti bersedekah, berpuasa dan sebagainya, namun ia tiada gunanya lagi seandainya kita menyakiti jiran tetangga.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dalam sebuah hadis masyhur daripada Abu Hurairah berkata: “Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah, tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar PU Faiz, ALLAH hanya akan mengampunkan dosa kita dengan hamba-NYA yang lain sekiranya mendapat keampunan daripada tuan punya badan.

Beliau kemudian mengajak kita mengambil iktibar daripada kisah yang dinukilkan dalam sebuah hadis masyhur.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW menyatakan bahawa sebentar lagi akan datang seorang penghuni syurga.

Apabila para sahabat melihat seorang lelaki Ansar berkenaan, Abdullah bin Amru meminta keizinan untuk mengikutnya pulang ke rumahnya.

“Namun, sepanjang pemerhatiannya di rumah lelaki itu, perlakuan orang Ansar itu biasa sahaja. Bahkan, tidak melakukan solat sunat dan seumpamanya. Disebabkan tidak berpuas hati, Abdullah lantas bertanyakan kepada lelaki itu tentang amalan apakah yang dilakukan hinggakan beliau disebut sebagai ahli syurga.

“Lelaki Ansar itu menyatakan bahawa pada setiap malam, beliau akan memaafkan orang lain dengan harapan dosanya kepada orang lain juga akan mudah dimaafkan. Subhanallah, sampai begitu sekali beliau menjaga hubungannya dengan manusia,” ujarnya.

Seperkara, PU Faiz turut menitipkan pesan agar kita tidak bersifat takabbur iaitu merasakan diri lebih baik daripada orang lain.

“Pada masa sama, janganlah mengumpat, mengadu domba dan membuka aib orang sesuka hati. Semua itu antara perbuatan yang boleh menghalang kita masuk ke syurga,” tegas beliau.

ANEKDOT

IBRAH daripada kisah Bilal bin Rabah RA

Bilal bin Rabah1. Berdisiplin.

Antara sebab mengapa Bilal bin Rabah dilantik sebagai seorang muazin adalah kerana beliau sangat menjaga waktu solatnya sebanyak lima waktu. Untuk menjaga jadual solat dengan azan, ia memerlukan seorang yang sangat tepat dan selalu bersedia untuk mengumandangkan azan.

2. Menghayati bait-bait azan.

Bilal mampu berbuat demikian kerana keimanan yang ada pada dirinya. Sejarah menceritakan bagaimana penyeksaan yang berlaku ke atasnya langsung tidak menjadi asbab kepada Bilal untuk kembali kepada agama lamanya. Bahkan, beliau tetap kental walaupun diseksa.

3. Memiliki suara yang merdu dan lantang.

Disebabkan pakej suara yang ada pada Bilal menyebabkan Rasulullah SAW tanpa ragu memilihnya menjadi muazin. Ini kerana suara yang lantang dan jelas boleh memberikan kefahaman kepada orang yang mendengar.

4. Keberanian.

Sikap berani yang ditonjolkan Bilal ketika menerima seksaan menujukkan kekentalan beliau untuk menaggung apa jua risiko dan menyahutnya tanpa berdolak-dalik dengan agama ALLAH.

5. Pemaaf.

Pernah berlaku satu peristiwa apabila seorang sahabat bernama Abu Dzar al-Ghifari berselisih faham dengan Bilal. Maka secara tidak sengaja Abu Dzar mencela tentang kulit Bilal yang hitam. Apabila perkara itu dikhabarkan kepada Rasulullah SAW, baginda sangat marah  kepada Abu Dzar.

Saat itu, Abu Dzar memohon kemaafaan Bilal dengan meletakkan mukanya ke tanah supaya dipijak oleh Bilal. Namun, Bilal tidak tergamak berbuat demikian. Lantas memaafkan perbuatan Abu Dzar.

Sumber: Pendakwah Nourul Iman Nia’mat

Foto: Freepik & Unsplash

afiq-fatah-_xJsyhwPzlA-unsplash
Isu,

Jangan suka tangguhkan amalan. Ini sebabnya…

JIKA kita sudah berniat atau berazamkan sesuatu, pasti apa yang dihajatkan tadi akan cuba diusahakan dengan sebaiknya.

Masakan tidak, jika tidak dilaksanakan, tindakan kita berazam tadi seolah sia-sia. Lebih memalukan jika orang tahu niat kita, tetapi apabila ia tidak dilakukan, orang akan mengata kita seorang yang cakap tidak serupa bikin pula.

Lazimnya, apa yang diniatkan itu pastilah melibatkan sesuatu perbuatan yang baik. Umpamanya, hendak pergi ke masjid, membantu orang dan sebagainya.

Begitupun, sekadar niat sahaja tidak cukup jika kita menangguh-nagguhkan amalan berkenaan. Namun, masih ada segelintir masyarakat yang lebih gemar mengambil pendekatan sedemikian apatah lagi selepas berkali-kali ditegur oleh orang lain supaya tidak menangguhkan amalan.

Tangguhkan amalan“Nantilah aku taubat, sedekah banyak-banyak. Ada banyak masa lagi nak buat semua ini.”

Barangkali itu yang terlintas dalam fikiran mereka. Hakikatnya, kita tidak boleh menangguh-nangguhkan amalan kebaikan tersebut.

Pendakwah Elyas Ismail menjelaskan, ada implikasi akibat daripada sikap kita itu ketika di akhirat kelak iaitu semasa meniti titian sirat.

ELYAS

Ketahuilah, pada masa itu, ada golongan yang begitu pantas meniti titian sirat berkenaan. Ada juga yang sebaliknya, ungkapnya.

“Ada golongan sepantas kilat dan sekelip mata melaluinya seperti burung dan kuda.

“Namun, paling menyedihkan, ada manusia yang terlalu lambat. Lambatnya dia meniti titian itu seolah-olah dirinya mengengsot dengan perut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Baca juga Beramal tanpa ilmu dan kefahaman, betul ke amalan kita tak akan diterima…

Pada masa itu, ujar Elyas, hamba ALLAH berkenaan bertanyakan kepada ALLAH mengapa dirinya lambat melalui titian berkenaan.

“Ya Tuhan, kenapa ENGKAU melambatkan aku? Kenapa ENGKAU melambatkan pergerakan aku di atas titian sirat ini?

“Lalu, ALLAH SWT menyebut: “AKU tidak melambatkanmu, akan tetapi amalan-amalanmu yang telah melambatkan pergerakanmu pada hari ini”,” ceritanya.

Melihat ungkapan itu, Elyas meminta kita mengambil pengajaran daripada kisah berkenaan.

Ujar beliau, ulama mengatakan bahawa sesiapa yang menunda-nunda amalan ketika hidup di dunia, maka lambatlah kelak dirinya di atas titian sirat.

Tunda amalan“Apabila disuruh pakai tudung, dia kata nantilah. Jika disuruh bersedekah, dia kata nantilah. Berjaga-jagalah, kita kena ingat implikasinya di akhirat kelak,” katanya.

Justeru, usahlah menangguh-nagguhkan amalan di dunia ini. Lagipun, kita sendiri tidak tahu berapa lama masa yang kita ada untuk melayari kehidupan di alam yang fana ini.

Sumber: Instagram @ustazelyasismail

Foto: Freepik & Unsplash

jeremy-yap-eCEj-BR91xQ-unsplash
Agama,

Ada sebab tertentu kenapa doa tadi masih belum dimakbulkan, ini penjelasan pendakwah Wadi Anuar

SEMUA orang maklum bahawa doa ialah senjata bagi orang Mukmin. Disebabkan itulah ramai yang tidak pernah gagal berdoa saban hari.

Paling tidak pun, selepas menunaikan solat fardu, ramai yang sanggup meluangkan sedikit masa untuk bersunyi-sunyian dan berdoa kepada ALLAH SWT.

Lazimnya, butir doa yang dipanjatkan sudah pastilah melibatkan kebaikan untuk diri, keluarga, orang lain dan juga agama. Jarang sekali kita mahu mendoakan keburukan kecuali jika diri dianiaya.

Kadangkala kita berulang kali mengungkapkan doa yang sama. Namun, entah mengapa ALLAH SWT masih belum mengabulkannya.

Walaupun tidak pernah jemu dan tetap terus berdoa memohon kepada ALLAH, namun dalam hati, terdetik rasa sedikit kecewa dan tertanya-tanya mengapa permintaan itu seolah-olah tidak didengari oleh-NYA.

Ketahuilah bahawa tiada doa yang sia-sia diungkapkan oleh seorang hamba, kata pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub.

WADI ANNUAR

Beliau yang sinonim dengan panggilan Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, mana-mana orang Islam di dunia yang berdoa, ALLAH SWT pasti tidak akan menolaknya.

Ia sebagaimana disebutkan menerusi firman-NYA: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu…” (Surah Ghafir, ayat 60)

“Demikianlah janji Tuhan. Ia bukan macam janji ahli politik. Janji ALLAH, mustahil akan dimungkiri.

“Bila Tuhan berfirman sedemikian, kita pelik pula mengapa kadang-kadang apa yang kita minta (selama ini) tidak dapat pula,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan dalam Instagram jom_kuliah baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, ada sebab tertentu kenapa doa tadi masih belum dimakbulkan.

Doa belum makbul

Baca juga Jangan sombong, berdoalah hanya ALLAH SWT mampu memenuhi kehendak manusia

Beliau menambah, para ulama berkata, apabila kita meminta (berdoa), doa tadi boleh terus dimakbulkan atau ditangguhkan.

“Boleh jadi juga doa itu ditukarkan dengan permintaan yang lain.

“Satu lagi sebab ialah ALLAH SWT akan makbulkan di akhirat kelak, ganti dengan ganjaran di akhirat,” jelasnya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Berdasarkan hujah berkenaan, jelaslah bahawa tiada doa yang sia-sia apabila kita benar-benar bersungguh-sungguh ketika meminta kepada ALLAH SWT.

Doa belum makbul

Insya-ALLAH sampai masanya, ia akan dimakbulkan atau digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Justeru, usah pernah berhenti berdoa pada setiap hari. Jangan lupa titipkan sekali doa agar wabak Covid-19 segera dinyahkan dari muka bumi ini.

Sumber: Instagram jom_kuliah

Foto: Freepik & Unsplash

boris-stefanik-wxJscL5ZzDA-unsplash
Agama, Gaya Hidup,

Benarkah roh orang jahat tak diterima bumi dan merayau-rayau? Ini penjelasannya…

Oleh: NURULFATIHA MUAH

CERITA tentang hantu dan roh orang jahat memang tidak lari daripada radar perbualan masyarakat.

Apatah lagi, kawasan perkuburan sering menjadi tempat laluan utama penduduk di kawasan setempat.

Apabila begitu situasinya, memang sukar untuk kita elak daripada berbicara mengenainya.

Kemudian, mulalah timbul cerita orang itu ‘diganggu’ ketika melalui kawasan perkuburan terutama pada waktu tengah-tengah malam.

Tidak kurang pula yang mengaitkan perihal itu dengan roh jahat yang berkeliaran akibat tidak diterima oleh bumi. Benarkah pernyataan itu?

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Azhar Idrus menjelaskan, tidak disebut secara jelas perihal tentang roh yang merayau-rayau akibat tidak diterima oleh bumi sama ada ia melibatkan orang Islam atau kafir.

“Cuma yang disebut dalam hadis itu adalah roh orang beriman akan dinaikkan ke langit.

“Dalam satu lagi hadis berkaitan roh yang jahat, para ulama ada berbeza pendapat mengenainya. Ada pendapat menyatakan, ia hanya melibatkan roh orang kafir yang tidak dibenarkan naik ke langit.

“Malah, ada juga ulama yang berpendapat, roh jahat itu termasuklah orang Islam yang banyak melakukan kejahatan.

“Maka, para ulama bersepakat, kedua-dua roh berkenaan tidak boleh naik ke langit,” jelasnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram @serantaumuslim.

Di manakah roh berkenaan ‘duduk’ jika tidak dapat naik ke langit?

Ujar Azhar Idrus, terdapat tiga tempat roh berkenaan ‘duduk’ sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih.

Tempat berkenaan termasuklah di bumi (ada pendapat yang menyatakan di dalam kubur), telaga Barhut (di Yemen) dan duduk di dalam lubang pada bumi.

“Tiada tafsiran hakikat mana satu yang detil. Justeru, kita perlu beriman dengan perkara ini.

“Begitupun, tanggapan yang menyatakan roh balik rumah atau jadi zombie, ja tidak boleh diterima sama sekali. Itu tidak sahih,” tegasnya.

Seandainya kita melihat sesuatu di tanah perkuburan, tegas Azhar Idrus, ia merupakan roh dan bukannya hantu.

“Andai ia melibatkan kubur milik orang Islam, segelintir ulama menyatakan bahawa ua adalah roh orang Islam yang jahat kelakuannya hingga tidak naik ke langit. Contohnya, roh orang bunuh diri, dosanya sangat besar dan roh orang yang tidak pernah menunaikan solat, tidak suka agama dan seumpamanya.

“Ingatlah, apa yang ada di kubur bukanlah syaitan, tetapi roh. Jika kita lalu di kawasan berkenaan, nampak (kelibat) atau dengar suara orang menangis, jangan lari. Itu adalah roh, biarkan dia menangis,” ujarnya.

Andai kata, kita berada di luar rumah ketika waktu Maghrib, ujar beliau, itu adalah kerja syaitan kerana itu waktu mereka berkeliaran.

“Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita membawa anak-anak masuk ke rumah sebelum Maghrib kerana syaitan berkeliaran pada waktu berkenaan.

“Seperkara lagi, jangan lupa untuk membaca bismillah apabila masuk ke dalam tandas. Ia supaya aurat kita terpelihara daripada pandangan syaitan ketika sedang membuang air kecil atau besar,” nasihat beliau.Sumber: Instagram @serantaumuslim

Foto: Unsplash
pexels-raul-infante-gaete-8853182
Isu,

[VIDEO] Anak sindrom down juga wajib berkhatan. Ibu ayah kena ambil tahu perkara ini…

DIKURNIAKAN anak yang sihat merupakan satu rahmat buat buat pasangan suami isteri. Masakan tidak, setiap anak ada rezekinya masing-masing.

Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik mereka agar menjadi insan berguna kepada agama dan negaranya.

Ya, tugasan itu bukan mudah dilakukan. Namun begitu, amanah yang telah diberikan oleh ALLAH SWT perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

Andai kita dikurniakan anak sindrom down, kita perlu reda dan menerima ketentuan-NYA. Jalankanlah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa sama sepertimana kita dikurniakan anak yang lain.

Dalam perihal berkhatan pula, bagaimana? Perlukah anak sindorm down tadi berkhatan seperti kanak-kanak normal yang lain?

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris menjelaskan, mengikut Mazhab Imam Syafie, umat Islam diwajibkan berkhatan baik lekai mahupun wanita.

DR MOHAMAD FITRI

“Malah, penghidap sindrom Down itu tidak mengira jantina sama ada lelaki atau perempuan.

“Apa-apapun, kita perlu ingat bahawa berkhatan itu begitu signifikan.

“Berdasarkan kajian saintifik dan seumpamanya, apabila kita berkhatan, ia dapat mengurangkan ataupun dapat mengelakkan daripada terkena penyakit-penyakit kronik, selain menjaga kebersihan,” katanya.

Justeru, kepada mereka yang dikurniakan anak sindrom down, Dr Mohamad Fitri menyarankan agar ibu bapa membawa anak tersebut berkhatan.

“Ia selagai kanak-kanak itu tidak teruk meronta atau masih boleh lagi dibawa ke klinik untuk tujuan berkhatan.

“Insya-ALLAH kita dapat hikmah dan manfaat daripada ibadah khatan itu,” katanya.

Foto: Freepik & Pexels

pexels-janko-ferlic-590491
Isu,

[VIDEO] Wanita berhadas besar tak boleh masuk ke masjid walaupun untuk menimba ilmu dalam majlis agama

BAGI wanita yang berhadas besar, masing-masing sudah maklum tentang batasan mereka ketika itu terutama dalam perihal ibadah.

Begitu juga perihal pergi ke masjid. Rata-ratanya tidak akan bertandang ke rumah ALLAH sepanjang tempoh mereka dalam keadaan sedemikian. Maklum sahajalah, semua tahu tentang larangan masuk ke masjid ketika berhadas besar.

Namun begitu, apabila ada majlis ilmu atau meraikan pernikahan saudara-mara di masjid, ada segelintir mereka yang mengabaikan ketetapan berkenaan.

Ini kerana ada yang beranggapan tidak mengapa mereka berbuat demikian hanya sekadar untuk menimba ilmu atau memenuhi jemputan.

Dalam dua situasi berkenaan, adakah haram wanita memasuki masjid berkenaan?

Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia yang juga pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris memulakan jawapan dengan memetik sepotong ayat al-Quran.

DR MOHAMAD FITRI

Firman ALLAH SWT: “…Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci…” (Surah an-Nisa’, ayat 43)

Baca juga Wanita period boleh amalkan doa ini untuk dapat pahala macam solat

“Melihat kalamullah berkenaan, jelaslah bahawa wanita yang berhadas besar seperti haid, nifas dan seumpamanya tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Mereka haram berbuat demikian kerana dikhuatiri najis atau darah kotor berkenaan mungkin menitis di dalam rumah ALLAH itu, di ruang-ruang solat dan sebagainya,” katanya.

Bahkan, ujar beliau, fakta itu juga selari dengan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-49 yang memutuskan demikian.

“Fatwa berkenaan menyebut, bagi perempuan yang dalam keadaan haid, haram berada atau duduk di dalam masjid walaupun untuk tujuan pembelajaran dan program-program keagamaan,” katanya.

Justeru, peliharalah diri masing-masing untuk memenuhi peraturan berkenaan. Bukan apa, ia demi memelihara kesucian masjid sebagai rumah ALLAH.

Foto: Freepik & Unsplash

pexels-mentatdgt-1078740
Berita, Berita Semasa,

Ayuh imarahkan program kerohanian RICH setiap Sabtu, jam 4.30 pagi di rumah masing-masing

Oleh FOUZIAH AMIR

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas mengajak masyarakat Islam untuk menyertai program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 1442H secara online pada setiap Sabtu, 4.30 pagi bermula 5 Februari.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, RICH dianjurkan dengan kerjasama Rumah Ngaji kini memasuki tahun kelapan untuk membudayakan sikap umat Islam dengan al-Quran, solat dan infak.

MARHAINI

Bermula tahun 2014, program RICH diadakan di pejabat WUIF, Shah Alam, Selangor pada jam 4.30 pagi. Di sebalik hikmah pandemik Covid-19, RICH memberi peluang kepada umat Islam berkumpul menerusi platform digital Zoom Meeting dan Facebook World Quran Hour.

“Tahun ini, WUIF bersama warga kerjanya mengadakan RICH menerusi Google Meet pada 6 Februari lalu dan kini setiap hari Rabu bermula 10 Februari lalu khas untuk staf kami. Kami menggunakan pendekatan sistem buddies untuk kejutkan sahabah seawal jam 4.30 pagi.

“Sementara untuk orang awam pula, program RICH diadakan pada setiap Sabtu, jam 4.30 pagi. Harapan kami semoga lebih ramai umat Islam di dalam dan luar negara bersama untuk bersujud kepada ALLAH untuk menguatkan kerajaan diri dan keluarga, seterusnya menjadikan negara sebagai Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur,“ katanya.

Aktiviti bermula dengan Tahajud Call, pembukaan majlis, sinopsis surah, bacaan dan terjemahan ayat, diikuti dengan istighfar, selawat dan munajat. RICH kemudian berehat sebentar pada jam 5.30 pagi bagi memberi laluan kepada peserta untuk bersolat tahajud, hajat, witir dan solat Subuh di tempat masing-masing.

Baca juga Jauhi Maksiat Dan Dosa Dengan 3 Amalan Ampuh Ini

Peserta kembali dalam talian bermula jam 6.40 pagi untuk mengikuti sesi tadabbur surah pilihan yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.

Turut sama memberi pengisian Ketua Penyelidik WUIF, Safri Muhammad Zein dan Mustafar Mohd Suki, selain penyelidik, Muhammad Iqbal Mohd Rosdi dan Hos TickTalk TV, Halim Zainudin.

Dalam pada itu, RICH 2.0 yang berlangsung pada 13 Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan menerima lebih 400 peserta dari seluruh Malaysia.

Mereka terdiri daripada penggerak dan ahli Rumah Ngaji dan orang ramai. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

NAMANZEE

Namanzee berkata, sepanjang beliau berkhidmat dalam bidang penyiaran, program RICH disifatkan sebagai antara inovasi pendekatan yang terbaik, malah ramai yang sebenarnya tercari-cari program seperti itu.

“Antara hikmah ketika Perintah Kawalan Pergerakan apabila kita tidak mampu bersama dalam keadaan seperti dahulu, pergi masjid, surau dan majlis ilmu.

“Justeru, program seperti ini bukan sahaja membawa rakan-rakan setaman, tetapi membawa rakan satu negara bersama-sama dalam majlis ilmu yang lebih besar. Saya harap RICH dapat diteruskan dan diperluaskan dalam kalangan rakan yang bertahajud,“ katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RICH, boleh layari https://www. facebook.com/WorldQuranHour.

Foto: Pexels