Browsing Tag

lifestylesinaraharian

Mendidik anak-anak
Isu,

Begitu besarnya pahala mendidik anak-anak. Ibu bapa jangan mudah mengeluh, jaga amanah ALLAH dengan sebaiknya

MENDIDIK anak-anak bukan kerja yang mudah. Banyak ranjau yang terpaksa direntas supaya amanah daripada ALLAH SWT itu dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Apatah lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat tempoh hari. Ramai yang bekerja dari rumah sambil menguruskan anak masing-masing.

Bukan sahaja menyiapkan tugasan pejabat di rumah, tetapi pada masa sama turut mengawasi, mendidik, mempersiapkan diri dengan kelas online anak-anak dan menyediakan keperluan mereka.

Benar, saat itu ramai yang kelelahan. Ditambah pula dengan ragam anak-anak yang pelbagai, tekanan kerja dan lain-lain.

Ketahuilah, ganjaran mendidik adalah sesuatu yang sangat besar di sisi ALLAH SWT.

Demikian kata Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Beliau memulakan hujah dengan pujian ALLAH kepada Nabi Ismail AS dan Luqman al-Hakim kerana sifat mereka mendidik keluarga masing-masing.

Firman ALLAH SWT: “Dan (Nabi Ismail itu) menyuruh keluarganya mengerjakan solat dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredai di sisi Tuhannya!” (Surah Maryam, ayat 55)

Jelas Dr Ahmad Sanusi, pahala mendidik anak merupakan ganjaran yang tidak mungkin terputus sekalipun kita telah meninggal dunia nanti.

“Ibu bapa yang mendidik anak dengan perkara kebaikan dan anak tersebut mengamalkan ilmu tersebut, maka mereka akan mendapat ganjaran pahala yang mengalir selagimana anak tersebut beramal dengan didikan tersebut.

“Bagi ibu bapa yang mendidik anak dengan ilmu al-Quran pula, ALLAH SWT akan menganugerahkan mereka satu perhiasan yang tidak boleh dihitung nilainya dengan isi dunia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Dan dipakaikan kedua ibubapanya dengan perhiasan yang tidak boleh dinilai dengan isi dunia.” Lalu kedua ibu bapanya bertanya: “Wahai Tuhan, mengapa kami diberikan nikmat ini?” Lalu dijawab kepada mereka: “Kerana engkau mengajar anakmu al-Quran.” (Riwayat al-Tabrani)

(Artikel berkaitan: Anak jadi nakal sebab doa ibu bapa… Berhati-hatilah bila berkata-kata apalagi ketika sedang marah)

Kepada mereka yang memiliki anak perempuan, usah berasa sedih kerana ada ganjaran buat mereka yang hanya dikurniakan puteri sebagai penyeri hidup.

Masakan tidak, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, ibu bapa yang membesarkan anak perempuan dengan baik, anak-anak tersebut berupaya menjadi penghalang buat mereka daripada ancaman api neraka kelak.

Perkara itu disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang diuji dengan anak perempuan, lalu dia membesarkannya dengan baik (menjaga hak-haknya), maka anak-anak tersebut akan menjadi perisai buatnya dari api neraka.” (Riwayat Ahmad)

Subhanallah, begitu besar imbalan mendidik anak-anak dengan penuh keikhlasan. Setiap keringat dan penat lelah itu sebenarnya ada ganjaran yang menanti.

Justeru, usah mengeluh apalagi melepaskan amarah kepada anak-anak kerana tekanan yang dialami. Bersabarlah dan terus cekal dalam mendidik anak-anak kita menjadi soleh dan solehah. Amin.

Sumber: Facebook Dr Ahmad Sanusi

Freepik