Browsing Tag

letak al-Quran atas lantai

Al-Quran atas lantai
Aqidah,

Jangan letak al-Quran, buku Yasin atas lantai

SELEPAS selesai mengaji, usah sesekali meletakkan mashaf al-Quran mahupun buku Yasin di atas lantai walaupun hanya sebentar.

Pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman memberi peringatan tegas terhadap perkara itu dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Jelas beliau, haram hukumnya meletakkan kalam ALLAH itu di atas lantai sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Bujairimi as-Syafie.

“Mashaf itu hendaklah diletakkan di atas walaupun tidak terlalu tinggi,” katanya.

Dalam hal itu, ujar PU Salman, para fuqaha berkata, meletakkan mashaf al-Quran di atas lantai suci dengan niat meremehkannya adalah murtad.

“Adapun jika ia diletakkan di atas lantai tanpa meremehkannya, perbuatan tersebut dilarang sama sekali, tetapi tidak jatuh murtad,” ungkapnya.

ALLAH SWT berfirman: “…Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH maka sesungguhnya hal itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj, ayat 32)

Al-Quran atas lantai

LAZIMKAN diri membaca kalam ALLAH pada setiap hari kerana ada fadilat yang bakal menanti iaitu mendapat 10 ganjaran pahala bagi pembacaan setiap huruf dalam al-Quran.

Melihat ungkapan berkenaan, jelaslah bahawa sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar ALLAH, itu adalah tanda takwa dalam hati seseorang.

Baca juga Wajarkah ayat al-Quran dijadikan sebagai nada dering? Berikut perinciannya

Ketahuilah, meletakkan al-Quran di tempat yang lebih tinggi merupakan salah satu bentuk memuliakan al-Quran.

Memetik artikel yang disiarkan dalam laman web bincangsyariah.com, Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menjelaskan beberapa gambaran cara memuliakan al-Quran dalam rangka menjaga kemuliaan dan kesuciannya.

Jelas ulama berkenaan: “Termasuk menghormati al-Quran, jika hendak meletakkan mushaf jangan meninggalkannya dengan tidak rapi. Juga jangan meletakkan di atasnya buku yang lain, sehingga al-Quran selalu berada di atas buku apa pun.

“Termasuk memuliakan al-Quran, meletakkan di pangkuan ketika membacanya, atau di tangan dan jangan meletakkannya di atas tanah.

“Termasuk menghormati al-Quran, hendaklah jangan menjadikannya bantal, menjadikannya sandaran dan jangan pula melemparkannya pada pemiliknya jika ia hendak mengambilnya.

“Jangan pula menuliskan al-Quran di atas tanah sebab ALLAH menggambarkan bawa al-Quran adalah kitab yang terpelihara dan tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.”

Baca juga Hukum mencium al-Quran, ramai yang masih keliru tentang perkara ini. Jom hadamkan penjelasan pendakwah ini

Imam al-Qurtubi turut menceritakan tentang perlakuan Abu Musa yang begitu memuliakan al-Quran sehinggakan beliau berasa malu jika sehari berlalu tanpa ia menyapa, menyentuh dan melihat al-Quran.

Al-Quran atas lantai

JANGAN meletakkan al-Quran di bawah bantal. Sebaliknya, peliharalah kesucian kalam ALLAH itu. -FOTO: PEXELS

Kata Abu Musa: “Aku sungguh malu di hapadan Tuhan, jika sehari saja aku melwatkan hari tanpa al-Quran.”

Hukum letak al-Quran bawah bantal

Suatu perkara yang kerap kali dilakukan oleh masyarakat adalah dengan meletakkan mashaf di bawah bantal tidur.

Dalam hal itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi laman sosial Facebook miliknya menegaskan, haram hukumnya berbuat demikian kerana perbuatan itu seperti merendah-rendahkan al-Quran yang sangat mulia.

Beliau kemudian memetik pandangan daripada Kitab Mausu’atul Fiqhiyah al-Kuwaitiyah bahawa ijmak para ulama, haram meringan-ringankan dan menghina al-Quran dan mereka turut berijmak, wajib memuliakan mashaf dan memeliharanya. Disebabkan itulah tidak harus berbantalkan dengannya.

Baca juga Al-Quran Bukan Hiasan, Sebaliknya Perlu Dibaca Dan Diamalkan

Bukan itu sahaja, dalam Kasyful Qina’, ada disebutkan bahawa umat Islam juga dilarang untuk berbantalkan segala kitab ilmu agama yang ada di dalamnya bait-bait kalamullah. Haram hukumnya berbuat demikian.

“Sekalipun tiada ayat al-Quran di dalam kitab-kitab itu, maka makruh berbantalkannya,” katanya.

***Foto: Pixabay