Browsing Tag

Larangan ALLAH

Larangan ALLAH
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Mengapa masih seronok buat larangan ALLAH sedangkan solat cukup dan sudah baca al-Quran?

“SOLAT cukup, baca al-Quran pun sudah, siap dengan terjemahan lagi, tapi kenapa kita tetap buat perkara larangan ALLAH?”

Persoalan itu kadangkala menerpa ruang fikiran. Masakan tidak, semua sedia maklum bahawa solat itu pencegah kepada kemungkaran.

Namun, entah mengapa sukar benar mengawal diri daripada melakukan perkara yang tidak disukai ALLAH SWT. Jika bukan kerana bisikan syaitan, barangkali nafsu menjadi antara puncanya.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

Ya, itulah gejolak rasa dialami setiap manusia. Bukan mudah sebenarnya untuk bermujahadah melawan makhluk ALLAH yang terkutuk itu dan keinginan hati yang begitu membuak-buak.

Apatah lagi kita hanya manusia biasa yang punya kekurangan diri. Sudah tentulah ada ketika, terbabas juga melakukan kesalahan.

Sebenarnya, semua yang kita alami itu merupakan hakikat kehidupan. Hidup merupakan ujian.

Demikian peringatan yang diberikan oleh pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

USTAZ MUHAMMAD FAHMI

Perkara itu jelas dinyatakan dalam al-Quran menerusi Surah Muhammad, ayat 31 yang bermaksud: “Sesungguhnya, KAMI benar-benar akan menguji kamu sehingga KAMI mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu, dan KAMI akan uji kamu.”

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fahmi menjelaskan, ujian datang dalam dua bentuk utama iaitu meninggalkan suruhan ALLAH SWT dan melakukan larangan-NYA.

Mengambil contoh dosa yang dilakukan oleh Nabi Adam AS dan iblis, katanya, kedua-dua mereka diuji dengan salah satu bentuk ujian tersebut.

“Cuma bezanya, apabila Nabi Adam melakukan dosa, baginda menyesal dan mengaku salah, lalu berdoa memohon ampun kepada ALLAH SWT.

Baca juga Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

“Iblis pula bersifat sebaliknya. Dia berdosa, tetapi makhluk itu menjustifikasikan dosanya. Malah, berasa sombong dan langsung tidak berasa bersalah. Rasa apa yang dilakukan semua betul,” katanya.

Contoh yang diberikan itu sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan ujian yang dilalui oleh setiap manusia, ungkapnya.

Larangan ALLAH

PINTU taubat masih terbentang luas buat setiap insan tanpa mengira siapa pun kita, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sama-samalah berdoa semoga kita tetap istiqamah dan meninggal dunia dalam nikmat Islam dan iman. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

“Inilah yang saya maksudkan dengan ujian. Ujian nafsu, syahwat dan sebagainya. Isunya, bagaimana kita mendepani dan menanganinya?,” soalnya.

Tip hadapi ujian hidup

Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu turut berkongsikan tip bagi menghadapi situasi berkenaan seperti berikut:

i. Jangan sesekali menjustifikasikan maksiat tersebut. Salah tetap salah.
ii. Sentiasa bertaubat dan memperbanyakkan amalan ketaatan. Ingatlah, kebaikan memadamkan kejatahan sebagaimana disebut dalam Surah Hud, ayat 114.
iii. Penghuni syurga bukan tidak pernah berdosa semasa di dunia. Bahkan, mereka menghuni jannah itu kerana pahalanya lebih banyak berbanding dosa.
iv. Pentingnya amal soleh. Barangkali kerjanya hanya satu, tetapi ganjarannya dua iaitu dikurniakan pahala dan diampunkan dosa.
v. Paling penting, kadangkala kita masih menurut nafsu syahwat walaupun banyak solat kerana alat-alat pendorong syahwat itu banyak dan dekat. Jadi peralatan tersebut perlu dicantas.
– Ketahuilah, solat dan ibadah merupakan salah satu wasilah. Ia bukannya satu-satunya wasilah dalam meninggalkan maksiat.
– Jika telefon bimbit yang membawa kita menurut nafsu, maka cantaslah ia.
– Andai kawan-kawan yang membawa kita mengikut syahwat, ‘cantas’ rakan-rakan sebegini.
– Begitu juga tempat atau persekitaran yang menjebakkan diri kita ke arah maksiat, maka buanglah dan cari persekitaran yang baharu.

Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

Apa jua dugaan atau kesukaran yang dihadapi, bersabarlah dan berusaha untuk mencari solusinya. Mengertilah, selagi kita bergelar hamba ALLAH, selama itulah kita tidak akan pernah berhenti menerima ujian-NYA.

Larangan ALLAH

APABILA diuji dalam kehidupan, bersabarlah dan kembali kepada fitrah. FOTO: 123RF

Semua itu bagi menguji sejauh mana keimanan kita kepada Yang MAHA ESA.

***Foto: Freepik