Browsing Tag

Lailatulqadar

Qiamullail
Ibadah,

Tak memadai bertarawih, jom tingkatkan qiamullail dan amalan-amalan sunat untuk memperoleh keutamaan lailatulqadar

Tak memadai bertarawih, jom tingkatkan qiamullail dan amalan-amalan sunat untuk memperoleh keutamaan lailatulqadar

KETIKA ini, ramai yang berlumba-lumba untuk melakukan qiamullail dan meningkatkan momentum ibadah masing-masing.

Masakan tidak, kita kini sudah pun memasuki 10 malam terakhir Ramadan untuk memburu malam yang begitu istimewa dikenali sebagai lailatulqadar.

Sebenarnya, menjelang saat-saat akhir Ramadan sebelum bulan teragung dalam Islam itu pergi meninggalkan kita, umat Islam sememangnya disarankan untuk meningkatkan amal ibadah mereka.

Baca juga Memburu Lailatul Qadar, 3 amalan Rasulullah 10 malam terakhir Ramadan

Perkara itu turut ditekankan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

DR WAN SALIM

Mengulas lanjut, jelas beliau, antara perkara yang boleh dikerjakan termasuklah menunaikan solat qiamullail kerana sepanjang bulan Ramadan itu, ALLAH SWT menjanjikan ganjaran pahala berganda.

Baca juga Nak qiamullail tak semestinya kena berjaga tengah malam…

“Lebih-lebih lagi jika melibatkan amalan ketaatan (kepada ALLAH SWT) dan ibadah yang dikerjakan itu menepati malam al-Qadr yang pahalanya melebihi ganjaran beribadah selama 1,000 bulan!

“Ya, ia menyamai 80 tahun empat bulan jika dihitung,” katanya ketika menerusi perkongsian ilmunya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Lantaran itu, beliau menasihatkan agar kita lebih bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh keutamaan lailatulqadar, di samping meneladani Rasulullah SAW.

Caranya bukan semata-mata memadai dengan melakukan solat sunat tarawih sahaja, ungkapnya.

“Sebaliknya, jika ingin memperoleh kelebihan maksimum pada bulan agung itu, umat Islam wajar juga mengerjakan solat-solat sunat yang lain seperti solat sunat tasbih, witir, hajat dan seumpamanya.

“Seterusnya ia ditambah lagi dengan amalan-amalan sunat lain termasuk tilawah al-Quran, bermunajat dan beristighfar pada waktu sahur, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur dan sebagainya,” terangnya panjang lebar.

Baca juga Memburu rahmat dan barakah 1,000 bulan, tetapi jangan sampai jadi hamba kepada Ramadan

Ketahuilah bahawa seorang Muslim amat digalakkan bangun pada pertengahan atau satu pertiga malam yang akhir untuk mengerjakan solat sunat qiamullai, ujar agamawan itu.

Qiamullail

SEORANG Muslim amat digalakkan bangun pada pertengahan atau satu pertiga malam yang akhir untuk mengerjakan solat sunat qiamullai. -Foto: Pexels

Jelas Dr Wan Salim, ia sebenarnya merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW yang wajar dituruti oleh umat Baginda.

“Semuanya bagi meraih pahala yang besar daripada ALLAH SWT dan mendapat keampunan-NYA terhadap segala dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan oleh seseorang.

“Malah, Rasullah SAW turut melakukannya sehingga bengkak kakinya walaupun Baginda seorang rasul,” ungkapnya.

Perkara itu jelas disebut oleh Saidatina Aisyah RA dalam satu riwayat bahawa: “Nabi Muhammad SAW melakukan qiamullail hingga telapak dua kaki Baginda pecah-pecah. Lantas Aisyah bertanya kepadanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kamu melakukan ini padahal ALLAH telah mengampuni dosamu yang lalu dan yang akan datang?” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak suka jika aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyambung hujah, Dr Wan Salim kemudian menyentuh perihal kelebihan apabila kita mendirikan solat qiamullail.

Agamawan itu menjelaskan, terlalu banyak fadilat yang bakal diraih andai kita melazimkannya.

Baca juga Ayuh segarkan setiap detik dalam bulan Ramadan dengan amalan kebaikan

Antaranya kita akan mendapat kasih sayang ALLAH SWT, selain keampunan-NYA terhadap segala dosa silam, ungkapnya.

Qiamullail

APA jua ibadah, lakukanlah dengan tekun, ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana ALLAH SWT. -Foto: Freepik

“Malah, kita juga akan mendapat rahmat dan keberkatan dalam kehidupan di dunia ini dan kebahagiaan pada hari akhirat kelak dengan segala jenis nikmat yang disediakan di syurga.

“Imbalan-imbalan yang dinyatakan itu hanyalah untuk mereka yang benar-benar melakukan ibadah dengan tekun dan ikhlas,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Dr Wan Salim mengajak umat Islam supaya merebut peluang keemasan yang terbentang luas di hadapan mata.

Baca juga Qiamullail amalan pencegah dan penghapus dosa

“Seorang Muslim disarankan menghampirkan diri ke hadrat Tuhannya untuk meraih rahmat dan maghfirah-NYA.

“Justeru, bersungguh-sungguhlah berusaha ke arah matlamat yang mulia ini. Jangan sesekali membiarkan diri terus berada di dalam kelalaian yang merugikan,” titip beliau.-SI+

***Foto: Pexels

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Kehebatan Ramadan
Isu,

Memburu rahmat dan barakah 1,000 bulan, tetapi jangan sampai jadi hamba kepada Ramadan

SUHU Ramadan kian hangat apabila memasuki satu pertiga terakhir pada minggu hadapan. Di situlah kemuncak kepada bulan penuh kemuliaan tersebut yang begitu didambakan oleh semua orang beriman.

Ya, Lailatul Qadr bakal datang pada bila-bila waktu dalam 10 malam terakhir nanti. Bilakah tarikhnya? Hanya ALLAH SWT YANG MAHA MENGETAHUI.

Sebagai hamba-NYA, tugas kita tidak lain tidak bukan, melakukan pecutan dan istiqamah menghidupkan baki Ramadan dengan ibadah serta amal soleh.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika datang bulan Ramadan: “Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan ke atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini, ada suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barang siapa diharamkan kebaikannya (tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).” (Hadis Riwayat Ahmad, Nasa’i dan al-Baihaqi)

Melihat kepada riwayat tersebut, tidak hairanlah mengapa ramai dalam kalangan kita yang memburu malam al-Qadr.

Apakah istimewanya malam tersebut sehinggakan disebut lebih baik daripada 1,000 bulan? Bagaimana pula andai kita berbuat dosa pada lailatulqadar?

Lebih baik daripada 1,000 bulan

Bagi mendasari topik penting dalam bulan Ramadan itu, Sinar Islam Plus mewawancara Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, Ustazah Noor Rashidah A Rahman.

USTAZAH NOOR RASHIDAH

Beliau memulakannya dengan memetik pandangan yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi tentang kelebihan lailatulqadar.

Sarjana Islam terkemuka itu menyatakan: “Malam al-Qadr mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan. Malam tersebut diberikan kebaikan yang banyak dan tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat, amalan dilakukan pada malam al-Qadr lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam al-Qadr.”

Disebabkan itulah, ujar Ustazah Noor Rashidah, umat Islam dianjurkan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan Lailatul Qadr dan bersedia dengannya.

“Caranya adalah dengan menambah ilmu di dalam dada berkaitan ibadah,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus secara maya baru-baru ini.

Berhubung tarikh sebenar Lailatul Qadr, beliau menambah, para ulama berbeza pandangan mengenainya. Pendapat yang terkuat mengikut para ulama, malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Begitupun, beliau mengingatkan agar semua umat Islam kekal istiqamah sepanjang Ramadan tanpa menimbang-nimbang detik tersebut.

“Ulama sepakat menyatakan, Lailatul Qadr terjadi pada bulan Ramadan. Ingatlah, kita mahu jadikan diri kita hamba ALLAH yang terus-menerus melakukan ibadah kerana ALLAH SWT. Kita ialah hamba Tuhan, bukan hamba Ramadan.

Baca juga Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

“Sebenarnya, ada sebab mengapa ALLAH SWT menyembunyikan tarikh sebenar malam agung berkenaan. Antara hikmahnya supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya.

Rahmat dan barakah 1000 bulan

KHATAMLAH al-Quran walaupun hanya sekali dalam bulan Ramadan kerana begitu besar ganjaran menanti.

“Pada masa sama, hikmah dirahsiakan saat tersebut supaya kita berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadah demi memburu Lailatul Qadr. Selain itu, ia juga bagi menyemai sifat ikhlas beribadah, bukan semata-mata untuk mencari dan meraih keberkatan bulan atau hari-hari tertentu,” ujarnya.

Singkir dosa silam

Melanjutkan perkongsian ilmunya, Ustazah Noor Rashidah kemudian menyentuh tentang fadilat dan barakah yang terkandung pada malam al-Qadr.

Bayangkan, para malaikat termasuk Jibril AS turun pada malam istimewa itu, ungkapnya.

Malah, katanya, Imam al-Qurtubi menukilkan, makhluk ALLAH SWT yang paling taat tersebut akan turun daripada setiap langit dan Sidratulmuntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut sehingga waktu fajar.

Rahmat dan barakah 1000 bulan

SEBELUM berbuka puasa, ambil kesempatan untuk berdoa kerana ia antara waktu mustajab.

“Sesungguhnya, pada malam berkenaan, takdir manusia akan ditentukan bagi tahun berikutnya sebagaimana yang disebutkan pada ayat 4, Surah al-Qadr.

“Bahkan, ayat 5 surah berkenaan jelas menyatakan bahawa sepanjang malam itu suasananya penuh kesejahteraan, keselamatan dan kebaikan sehingga terbitnya fajar.

“Bagi sesiapa yang menunaikan ibadah dengan penuh keimanan dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT, dosa mereka akan diampunkan,” katanya.

Bagaimana pula mereka yang melakukan kejahatan pada malam al-Qadr? Apakah dosa yang dilakukan itu umpama dilaksanakan selama 1,000 bulan juga?

Menjawab persoalan tersebut, Ustazah Noor Rashidah menegaskan, tiada nas yang menyokong pernyataan tersebut. Sebaliknya, apa yang digandakan hanyalah amalan kebaikan yang dilakukan pada malam barakah tersebut sepertimana yang dijelaskan pada ayat 3, Surah al-Qadr.

Menurut ad-Dahhaq: “ALLAH tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan.”

Sedangkan, Mujahid pula berpendapat: “Ia merupakan malam selamat yang mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.”

Begitupun, pendakwah itu mengingatkan, mereka yang melakukan dosa dan maksiat pada malam tersebut, tetap baginya balasan terhadap kebejatan yang dilakukan.

“Amatlah rugi dan malang andai malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan itu dihabiskan dengan melakukan perkara yang dimurkai oleh ALLAH SWT,” terangnya.

Dalam hal itu, pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran senada dengan Ustazah Noor Rashidah.

IMAM MUDA ARAN

Imam Muda Aran sekali lagi menjelaskan betapa beruntungnya umat Nabi Muhammad SAW dikurniakan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lebih kurang 83 tahun lamanya.

“Sesungguhnya, Lailatul Qadr hanya dikhususkan untuk umat baginda yang rata-ratanya mempunyai hayat sekitar 60 hingga 70 tahun saja. Jelaslah ia menunjukkan kemuliaan umat Nabi Muhammad SAW.

“Jika dibandingkan dengan umat nabi-nabi terdahulu, mereka lebih panjang usianya sehingga ribuan tahun dan berpeluang untuk beramal dalam tempoh yang lama.

Baca juga Ini dia kategori tidur yang tetap dapat ganjaran lailatulqadar

“Di sini, kita dapat mengambil iktibar bahawa ALLAH SWT itu MAHA ADIL. Walaupun usia tidak panjang, tetapi kita dapat menikmati lailatulqadar yang tiada tolok bandingnya,” ujarnya.

Kesempatan masih ada

Menjelang 10 malam terakhir Ramadan, Imam Muda Aran mengingatkan agar kita tidak mempersiakan kesempatan yang ada dan menyarankan supaya beriktikaf di masjid.

Rahmat dan barakah 1000 bulan

JANGAN lepaskan peluang tarawih secara berjamaah di masjid mahupun surau terutama pada 10 malam terakhir Ramadan.

Bukan sahaja Rasulullah SAW melakukan sedemikian, tetapi juga para ulama seperti Syeikh Muhammad Khatib asy-Syarbini, pengarang Kitab Mughni al-Muhtaj iaitu seorang ulama Mazhab Syafie turut beriktikaf.

Namun, beliau melakukannya sejak 1 Ramadan dan hanya akan keluar apabila tibanya 1 Syawal.

“Ya, kita memang tidak mampu untuk mengikut jejak solafus soleh yang lain, tetapi setidak-tidaknya buatlah sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW pada 10 malam terakhir Ramadan iaitu mandi antara Maghrib dan Isyak dan tidak bersama dengan isteri. Satu lagi, baginda akan menjadikan makan malamnya ke waktu sahur. Maksudnya, baginda SAW hanya berbuka sedikit saja.

“Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah pada 10 malam terakhir Ramadan. Kalau boleh, jangan tinggalkan solat sunat rawatib (qabliah dan ba’diyah), nawafil (sunat) serta membaca al-Quran. Khatamlah sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan ini.

Baca juga Awas! Kesilapan yang mungkin tak sedar kita buat ketika memburu malam lailatulqadar

“Pada masa sama, banyakkanlah bersedekah pada bulan yang mulia ini. Pendek kata, buatlah apa-apa sahaja amalan yang kita mampu. Ia termasuklah menghadiri majlis ilmu, menziarahi alim ulama dan orang soleh, berkhidmat kepada ibu bapa dan guru-guru serta bersifat ihsan kepada semua makhluk,” pesannya panjang lebar.

Rahmat dan barakah 1000 bulan

AJAKLAH anak kecil mendirikan solat sunat tarawih bagi meraih fadilat yang hanya datang sebulan dalam tempoh setahun.

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran menjawab: “Ramadan ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Ini kerana pada bulan-bulan lain, ALLAH SWT ‘mendekati’ langit dunia pada satu pertiga malam yang terakhir. Ini bermakna, waktu itu adalah antara masa yang afdal dan mustajab.

“Namun, apabila tibanya Ramadan, tiada had sebegitu kerana ada hadis menyatakan, apabila bermulanya tenggelam matahari masuk 1 Ramadan sehinggalah tenggelam matahari terakhir, ALLAH SWT akan memilih dalam kalangan hamba-NYA selamat daripada api neraka.”

Foto: Bernama, 123rf & Freepik

pexels-pixabay-355465
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Lailatulqadar disambut berbeza Seluruh Dunia

no comment

LAILATULQADAR adalah malam yang dicari-cari seluruh umat Islam. Ia adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Pastinya setiap negara memiliki cara dan pegangan yang berbeza dalam menantikan malam yang dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu malam daripada 10 hari terakhir bulan Ramadan. Sementara sebilangan besar ulama menyatakan bahawa ia adalah malam 27 Ramadan.

Penduduk Mesir akan menumpukan beribadah bermula selepas waktu berbuka puasa hingga ke subuh.

Mesir
Masjid-masjid pada malam 10 hari terakhir bulan Ramadan akan melakukan persiapan untuk menyambut Lailatulqadar dan pekerja masjid mulai menerima ratusan jemaah dalam suasana penuh keimanan. Pada malam 27 Ramadan, jemaah di masjid akan bersolat selepas waktu berbuka puasa hingga ke subuh. Presiden Mesir akan menyampaikan ucapan secara langsung menerusi tv dan radio kepada rakyatnya dan turut meraikannya.

Maghribi
Kepercayaan Lailatulqadar di Maghribi berbeza dengan kebanyakan negara. Setiap wilayah di Magribi mempunyai kepercayaan sendiri. Bagaimanapun, perayaan Lailatulqadarnya masih sama. Semua wilayah Maghribi berkumpul untuk meraikannya antara malam 26 dan 27 Ramadan.
Masjid-masjid dipenuhi jemaah hingga ke subuh. Keluarga di Maghribi akan membakar kemenyan yang istimewa selain menghias rumah dan masjid lain daripada kebiasaan bagi menyambut kedatangan Lailatulqadar. Mereka kemudian pergi melawat tanah perkuburan, menziarah keluarga dan saudara-mara dengan membawa kurma dan buah tin.
Orang Maghribi juga akan meraikan kanak-kanak pada malam itu. Ibu bapa akan mendorong anak kecil mereka untuk berpuasa buat kali pertama. Keluarga meraikan acara ini dengan membeli pakaian tradisional dan memakaikan inai. Mereka akan membawa anak ini kepada jurugambar untuk disimpan sebagai kenangan.
Sangat menarik untuk diperhatikan bahawa pada malam Lailatulqadar, anak-anak mula mendapat makan telur rebus sepenuhnya. Sebelum ini ibu bapa hanya akan memberi separuh telur rebus saja kerana mereka tidak berpuasa, kini dapat menghabiskan sebijik telur menandakan mereka telah mula berpuasa penuh.

Algeria
Dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, penduduk Algeria biasanya akan pergi ke pantai dan menyalakan lilin dengan pelbagai warna di sepanjang pantai. Gadis bujang dan mahupun wanita yang sudah berkahwin akan memadamkan lilin dengan air laut dan berdoa sama ada untuk jodoh, untuk memiliki anak atau untuk sembuh daripada penyakit.

Mencari keberkatan, kebiasaan masyarakat Tunisia akan mengadakan majlis berkhatan untuk anak-anak mereka.

Tunisia
Rakyat Tunisia meraikan Lailatulqadar dengan mengambil kesempatan melakukan persiapan untuk majlis perkahwinan. Malam itu, lelaki akan memberi pasangannya hadiah, mereka akan keluar bersama untuk membeli perhiasan emas untuk majlis pernikahan mereka nanti.
Keluarga memanfaatkan peluang ini untuk khatan anak-anak mereka. Kanak-kanak mengenakan pakaian tradisional. Keluarga yang berada juga akan menaja keluarga kurang berkemampuan untuk mengkhatankan anak-anak mereka pada majlis khas yang diadakan malam itu. Malah masyarakat Tunisia juga cenderung mengunjungi tanah perkuburan.

Mauritania
Pada malam itu, keluarga Mauritania menyalakan jenis kemenyan istimewa untuk mengusir roh jahat. Jarum dipanaskan dan digunakan pada bahagian tertentu badan kanak-kanak untuk mengelakkan syaitan.

Masjid Khartoum, menjadi kebanggaan masyarakat Islam Sudan untuk berhimpun beribadat menantikan Lailatulqadar.

Sudan
Masjid penuh dengan jemaah dan ramai keluarga mahu menghabiskan sepanjang malam itu di dalam masjid dengan membawa anak-anak mereka sekali.. Sebahagiannya mengedarkan buku dan berdakwah untuk memperkenalkan agama Islam. Mereka tinggal di masjid hingga solat subuh.

Ribuan jemaah akan mengunjungi Masjid Suleymaniye pada 10 malam terakhir Ramadan bermula waktu berbuka puasa hingga ke subuh.

Turki
Orang-orang Turki menunggu kedatangan Lailatulqadar seperti kebanyakan masyarakat dunia Islam yang lain, di mana orang-orang Turki gemar memberi salam kepada sesiapa saja yang ditemui.
Ribuan Muslim Turki dan warga Balkan berkumpul untuk menunggu kedatangan Lailatulqadar di Masjid Süleymaniye yang bersejarah di negeri Adrineh, barat laut Turki. Süleymaniye adalah karya seni bina arkitek Uthmaniyyah Sinan Pasha. Masjid-masjid lain juga sangat ramai pada malam yang diberkati itu dan dihidupkan kembali dengan membaca al-Quran dan melakukan ibadah serta menyanyikan lagu dan selawat setelah solat malam.

Bacaan al-Quran Abdul Basit Abdul Samad kebiasaannya akan menyerikan rumah-rumah masyarakat Islam Iran.

Iran
Orang Iran sangat berminat dengan Lailatulqadar dan mereka akan pergi ke masjid untuk mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah, bertaubat dan menangis hingga ke pagi. Kerajaan Iran juga membenarkan mereka tiba lewat dua jam untuk bekerja pada hari berikutnya.
Orang Iran suka mendengar bacaan al-Quran dari pembaca Mesir terutama Abdul Basit Abdul Samad.
Orang Iran merayakan Lailatulqadar pada malam ke 19, 21, 23 dan 27 Ramadan. Mereka juga meraikan kepercayaan pada hari-hari tertentu secara istimewa pada bulan Ramadan khususnya penganut Syiah. Hari ke-19 Ramadan, ulangtahun pemukulan emir orang-orang yang beriman kepada Ibn Abi Talib, hari ke-21 untuk syahidnya Imam Ali sebagai hari Jumaat terakhir bulan suci Ramadan disebut Yerusalem di mana berjuta-juta orang berpuasa turun ke jalan-jalan dalam perarakan menentang Israel dan kekejamannya.

Masjid Jama, India menjadi tumpuan umat Islam India sepanjang bulan Ramadan.

India
Dalam 10 hari terakhir bulan suci itu, umat Islam India menunaikan solat di masjid. Mereka sangat berminat untuk menyaksikan Lailatulqadar dan menganggapnya sebagai malam ke-27. Mereka bersiap untuk malam ini seolah-olah adalah malam hari raya di mana mereka memakai pakaian baru. Mereka berdoa dan membaca Al-Quran. Pada pagi 27, mereka mengunjungi kubur dan membaca al-Quran baik di hadapan kubur saudara-mara mahupun secara umum umat Islam yang telah tiada.

Masyarakat Islam Thailand percaya tanda Lailatulqadar ditunjukkan melalui kejadian unik alam.

Thailand
Umat Islam di Thailand percaya bahawa kejadian Lailatulqadar itu munculnya tanda-tanda yang biasa diperkatakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia seperti pokok bersujud, air membeku, langat yang terang dan jelas pada waktu malam dan sebagainya. Jika seseorang menemuinya pada malam itu, setiap doa yang dimohon kepada Allah pasti akan dimakbulkan. Mereka juga percaya Lailatulqadar akan hadir pada malam 27 Ramadan.

katerina-kerdi-TAfqq1B3-2s-unsplash
Berita, Berita Semasa,

Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

Oleh  RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

SEDAR atau tidak, kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan beberapa hari lagi.

Apa yang menanti bagi mereka yang benar-benar memanfaatkan kehadiran dan kemuliaan Ramadan ini adalah kehadiran satu malam yang cukup istimewa kepada umat manusia.

Malam tersebut hanya wujud dalam bulan Ramadan seiring dengan keistimewaan bulan ini berbanding bulan-bulan lain.

Bagi golongan yang lalai dan leka dengan permainan dunia pasti tidak akan merasai apa-apa meskipun Ramadan semakin menuju ke titik penamat.

Ramadan juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan di sisi Allah SWT kerana setiap amalan kita akan dilipat gandakan oleh-NYA.

Sudah tentu bagi orang-orang yang soleh, bulan Ramadan memberi kegembiraan yang tidak terhingga selagi mana dipenuhi dengan perkara-perkara yang membawa kepada keredaan ALLAH SWT.

Oleh sebab itu, salah satu keistimewaan bulan Ramadan yang di dalamnya terdapat satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman iaitu lailatulqadar.

Malam ini disebut malam yang cukup istimewa kerana ianya dinamakan sendiri oleh ALLAH SWT di dalam Al-Quran dengan mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah Al-Qadr bagi menjelaskan kepada manusia akan kewujudan malam yang cukup indah ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu malam. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan Al-Rub (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)

Para Ulama berbeza pendapat bagi menentukan tarikh yang tepat berkaitan dengan lailatulqadar ini.

Rahsia tarikh

Namun mereka bersepakat bahawa lailatulqadar berlaku dalam bulan Ramadan iaitu pada 10 malam terakhir. Sudah tentu ALLAH SWT mempunyai sebab untuk menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia.

Salah satu daripada sebabnya adalah bagi menggalakkan setiap manusia untuk bersungguh-sungguh beribadah sepanjang masa dalam bulan Ramadan tanpa mengira hari-hari atau waktu-waktu tertentu dengan harapan agar dipertemukan dengan malam yang teragung itu.

Jika malam  lailatulqadar telah ditetapkan lebih awal, sudah tentu setiap umat Islam itu hanya memberi penumpuan beribadah pada waktu itu sahaja.

Sedangkan setiap saat, minit dan jam dalam bulan ini haruslah digunakan oleh kita dengan sebaiknya dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meningkatkan amalan kebaikan dari semasa ke semasa.

Malam Al-Qadr ini dikaitkan dengan 10 malam terakhir di dalam bulan Ramadan yang penuh dengan kesitimewaannya.

Pada 10 malam terakhir inilah, Rasulullah SAW akan meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun bersama-sama bagi menghidupkan malam-malam tersebut dengan amal ibadah yang semaksimumnya.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:”Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malamnya. Baginda mengemaskan kainnya dan mengejutkan isterinya dan uzlah daripada isterinya (yakni tidak bersama dengan isterinya). ”

Antara amalan yang boleh sama-sama kita laksanakan ketika berada di dalam bagi menghidupkan 10 malam terkahir adalah menghidupkan malam hari dengan solat malam iaitu solat-solat sunat seperti tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya.

Kita juga disrankan untuk memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT dengan jumlah yang kita mampu tanpa memudaratkan diri.

Selain itu juga, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga yang lain untuk bersama-sama menyemarakkan malam dengan amal ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengejutkan dan mengajak anak-anak khususnya yang telah dewasa dengan berqiamullail agar dapat menghidupkan malam-malam tersebut.

Insya-ALLAH, keberkatan dan keredaan ALLAH SWT akan hadir dalam sesebuah keluarga yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadah dengan niat ikhlas semata-mata kerana-NYA.

Secara tidak langsung, akan terhasilnya keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

Pencarian malam yang teragung itu juga harus berlandaskan kepada niat yang ikhlas dan tidak hanya untuk mendapat pujian daripada manusia semata-mata.

Tidak juga hanya menumpukan segala ibadah pada malam-malam tertentu, sebaliknya Istiqamah bermula dari awal Ramadan lagi.

Sebab

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah SWT menurunkan malam Al-Qadr untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW melihat umur umatnya tidak sepanjang umat terdahulu.

Justeru, baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar memberikan peluang kepada umatnya kesempatan yang baik untuk beramal agar memperoleh nilainya yang sama dengan amalan umat-umat sebelum mereka.

Namun begitu, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW akan berjaya memanfaatkan kewujudan malam lailatulqadar ini?

Sesungguhnya, jelaslah bahawa salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kehebatan bulan Ramadab adalah wujudnya malam penuh kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatulqadar

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Ramadan sudah tiba kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan 1000 bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Beruntunglah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana memperolehi peluang yang sebesar ini dalam kehidupan kita.

Manakala amat rugi pula bagi sesiapa yang sedikit pun tidak berusaha untuk memperolehi ganjaran malam lailatulqadar sebagaimana dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam bulan yang mulia ini.

Sehinggakan Nabi Musa a.s ketika hayatnya pernah bermunajat dan memohon kepada ALLAH SWT agar menempatkan dirinya di dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW kerana mengetahui kelebihan dan ganjaran menanti kepada umat baginda yang mengabdikan sepenuh dirinya kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian, sebagai hamba Allah SWT yang beriman, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan berusaha bersungguh-sungguh di penghujung bulan Ramadan Al-Mubarak ini dengan memperbanyakkan amalan kita, sekali gus mengharapkan akan menemui lailatulqadar
dengan sebaiknya.

Ini kerana kita belum pasti, apakah kita masih diberi kesempatan berjumpa dengan bulan Ramadan ini pada tahun hadapan?

Adakah kita juga diberikan peluang sekali lagi oleh ALLAH SWT untuk berjumpa dengan malam lailatulqadar  kelak? Jika ya, alhamdulillah.

Jika sebaliknya, sudah pasti kita tidak mengetahui nasib kita pada masa akan datang.

Justeru, usahlah menoleh ke belakang lagi, sebaliknya penuhilah segala masa dan ruang yang telah diberikan oleh Allah SWT ini agar pada pengakhirannya kita akan menjadi insan yang tergolong dalam golongan orang-orang yang bertakwa.

Foto: 123rf, Freepik, Unsplash

hasan-almasi-kPWfbe65lb4-unsplash
Gaya Hidup, Panduan,

Kejut ahli keluarga beribadah, antara amalan Rasullulah SAW pada 10 malam terakhir Ramadan

BULAN Ramadan bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Kini memasuki fasa 10 malam terakhir, maka umat Islam diseru melipatgandakan amalan kepada ALLAH.

Sesungguhnya, ALLAH menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna diturunkan al-Quran iaitu Lailatul Qadar.

Ia adalah malam yang penuh keberkatan seperti firman ALLAH dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke tiga yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan.”

Itulah malam Lailatul Qadar dan ia pada bulan Ramadan seperti firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke-185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadan merupakan bulan yang diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan antara yang hak dan yang batil.”

Menerusi portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berikut merupakan amalan-amalan yang biasa dilakukan Rasulullah SAW ketika memasuki 10 malam terakhir.

1. Mengetatkan ikatan kain di pinggang baginda

Imam al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lataif al-Ma’arif menyatakan bahawa perbuatan mengetatkan ikatan kain di pinggang baginda membawa erti baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda.

2. Menghidupkan malam

Ganjaran menghidupkan malam dapat diperoleh sekiranya seseorang itu melakukan solat Isyak atau Subuh secara berjemaah.

Abd al-Rahman bin Abd ‘Amr meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, maka dia seumpama telah mendirikan solat separuh malam dan sesiapa yang solat Subuh berjemaah, maka dia seumpama telah mendirikan solat seluruh malam”. (Riwayat Muslim)

3. Membangunkan ahli keluarga untuk beribadah

Terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Baginda mengetuk pintu dan membangunkan Fatimah dan Ali bin Abi Talib lalu berkata: “Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat?” (Riwayat al-Bukhari).”

Selawat

SOLAT berjemaah adalah antara amalan yang dianjurkan oleh baginda SAW untuk meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Kelebihan beribadah pada malam Lailatul Qadar:

1. Waktu diturunkan al-Quran secara sekali gus.

Al-Quran diturunkan ALLAH SWT pada malam disebut malam al-Qadr.

Diturunkan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi Muhammad SAW.

2. Lebih baik dari 1000 bulan.

Firman ALLAH yang bermaksud, “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”. (Surah al-Qadr:3).

3. Dosa diampunkan.

Rasulullah memberi galakan beribadat pada malam al-Qadr dengan sabda baginda yang bermaksud;

“Sesiapa yang melakukan qiyam pada Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran beserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Riwayat al-Bukhari)

Qiyam bermaksud menghidupkan malam dengan ibadah.

Baca juga Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam 10 terakhir Ramadan:

1. Menunaikan solat terawih dan qiyamullail
2. Membaca al-Quran
3. Beriktikaf
4. Bersedekah
5. Menunaikan solat fardu berjemaah
6. Berbakti kepada ibu bapa
7. Berzikir dan beristigfar
8. Berdoa اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Semoga ia dapat memberi manfaat bagi membantu kita dalam meningkatkan ibadah bagi memburu malam Lailatul Qadar.

Moga ALLAH merezekikan kita ganjaran beribadah pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 malam.

Foto: Unsplash

Lailatulqadar
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Riak Apabila Bertemu Lailatulqadar

no comment

Oleh DR MOHD HASRUL SHUHARI

RAMADAN bakal meninggalkan kita tidak lama lagi. Maka, gunakanlah baki bulan yang ada itu dengan penuh beradab agar menjadi penyebab kepada kita untuk menggapai keampunan ALLAH SWT.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Jibril AS datang kepadaku dengan berkata: “Binasalah seseorang hamba itu yang sempat bertemu Ramadan kemudian berpisah dengannya dalam keadaan dosanya tidak diampunkan.“ (Riwayat al-Bukhari)

Adab dan fadilat berpuasa telah dijelaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Kitab Bidayah al-Hidayah. Menerusi monumental berkenaan, puasa bukan sekadar meninggalkan makan, minum dan jimak semata-mata bagi mereka yang sudah berkahwin, tetapi juga merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan.

Selain itu, orang berpuasa juga perlu menjaga perut dan kemaluannya iaitu tidak banyak makan dan berzina.

Ketika berbuka puasa, Imam al-Ghazali menasihati agar kita makan makanan yang halal dan tidak menjamah dalam kuantiti yang banyak.

Lailatulqadar

IMAM AL-GHAZALI berpesan supaya tidak makan dalam kuantiti yang terlalu banyak kerana ia memberatkan perut yang tidak memberi faedah kepada puasa seseorang.

Perbuatan itu hanya akan memberatkan perut dan tidak memberi faedah kepada puasa kita. Kita perlu ingat bahawa tujuan berpuasa adalah untuk memecahkan syahwat dan menambahkan ketakwaan.

Imam al-Ghazali juga menasihatkan umat Islam agar tidak sekadar berpuasa pada bulan Ramadan sahaja. Kita disaran untuk merebut ganjaran lebih tinggi dan mendapat kedudukan teratas ketika di akhirat dengan berpuasa sunat. Justeru, umat Islam perlu menjadikan semangat ibadah Ramadan kali ini dengan melakukan amalan ibadah puasa sunat yang lain.

Antara hari-hari terdapat fadilat untuk berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) bagi yang tidak mengerjakan haji ketika itu, hari ‘Asyura (10 Muharam), 10 hari awal bulan Zulhijah, 10 awal bulan Muharam, bulan Rejab, Syaaban, bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab), ayyam al-baid (hari-hari putih iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan hijrah), hari Isnin dan Khamis dan seumpamanya.

Kelebihan puasa sunat antaranya dapat menghapuskan dosa-dosa kecil sama ada yang dilakukan secara mingguan, bulanan atau tahunan.

Jelas Imam al-Ghazali, puasa adalah asas bagi ibadah dan kunci untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Maka, perlulah kita memperbanyakkan amalan berkenaan.

Lailatulqadar

BERPUASA sebenarnya merupakan kunci untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan semoga ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan itu dapat diteruskan pada bulan-bulan lain dengan melakukan puasa sunat.

Lailatulqadar

Antara kelebihan bulan Ramadan yang mencuri tumpuan ramai ialah malam lailatulqadar.

Baca juga Apa Sahaja Ibadah Dapat Ganjaran Hidupkan Lailatulqadar

Diriwayatkan bahawa pada zaman Bani Israel, terdapat seorang lelaki yang beribadah pada malam hari dan berjuang memerangi musuh pada siang harinya. Selama 1,000 bulan beliau melakukannya tanpa jemu.

Maka ALLAH menurunkan ayat Surah al-Qadr yang menjelaskan bahawa satu malam lailatulqadar adalah lebih baik daripada 1,000 bulan Bani Israel tersebut.

Ini adalah peluang keemasan kepada umat Islam pada akhir zaman untuk beribadah agar dapat menyamai atau melebihi ibadah umat terdahulu yang berumur panjang.

Ketahuilah, para malaikat termasuk Malaikat Jibril turun pada malam tersebut dengan membawa rahmat. Mereka (turun) dari setiap langit dan dari Sidratulmuntaha menuju ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut sehingga waktu fajar.

Lailatulqadar

BERUSAHALAH untuk beribadah untuk mengejar fadilat lailatulqadar dan istiqamah melakukan amal soleh meskipun Ramadan sudah meninggalkan kita.

Imam al-Qurtubi ketika memetik pandangan al-Dahhaq bahawa ALLAH tidak mentakdirkan pada malam tersebut melainkan keselamatan. Turut juga dinukilkan pandangan Mujahid bahawa malam tersebut adalah selamat kerana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada ketika itu.

Saidatina Aisyah berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, apa pendapatmu jika aku mengetahui bahawa pada suatu malam itu ia adalah lailatulqadar, apa yang perlu aku ucapkan?“ Baginda menjawab: “Ucapkanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu‘anni (Wahai Tuhanku ENGKAULAH Tuhan YANG MAHA PEMAAF yang menyukai kemaafan, maka maafkanlah daku).“ (Riwayat at-Tirmizi)

Namun, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berpandangan, terdapat kebimbangan akan menimbulkan riak dan hasad dengki jika seseorang mendedahkan bahawa dirinya berjaya menemui lailatulqadar kepada orang ramai. Ini adalah adab ketika seseorang itu mendapat nikmat ALLAH tersebut.

Ia berdasarkan kepada ibrah yang diambil daripada ucapan Nabi Yaakub AS kepada anaknya, Nabi Yusuf AS. Setelah bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya. Bapanya melarang Nabi Yusuf menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya kerana bimbang mereka mengatur rancangan jahat terhadapnya.

Lailatulqadar

JANGAN berbangga dan menghebohkan bahawa kita menemui lailatulqadar kepada orang ramai kerana ia dibimbangi akan menimbulkan riak serta perasaan hasad dengki.

Menurut al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Kitab Lataif al-Maarif pula, seseorang itu dikira telah menghidupkan malam lailatulqadar apabila mereka mendirikan solat Isyak secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah juga.

Ia mungkin selari dengan hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melaksanakan solat Isyak berjemaah, maka ia mendapatkan pahala solat separuh malam, dan barang siapa melaksanakan solat Isyak dan Subuh dengan berjemaah, maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Harapan saya, semoga umat Islam dapat melaksanakan ibadah pada bulan Ramadan dengan menjaga semua anggota badan di samping bersabar dan tidak menjadi pelahap dan membazir.

Semoga kita sama-sama memperoleh keberkatan daripada ALLAH YANG MAHA ESA.

***Dr Mohd Hasrul Shuhari ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin

Foto: Freepik

Lailatulqadar
Isu,

Apa Sahaja Ibadah Dapat Ganjaran Hidupkan Lailatulqadar

no comment

MASA berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, kita kini sudah memasuki fasa terakhir Ramadan. Bulan mulia itu hanya berbaki lebih kurang lapan hari lagi.

Dalam fasa ini, boleh dikatakan ia merupakan kemuncak kepada bulan agung ini. Masakan tidak, ramai ternanti-nanti saat tibanya lailatulqadar atau malam al-Qadar yang penuh keberkatan dan lebih baik daripada 1,000 bulan.

Ia hanya boleh digapai pada 10 malam terakhir Ramadan. Tiada siapa yang tahu bilakah tarikh sebenar malam penuh rahmat berkenaan. Apa yang pasti, secara spesifiknya, ia boleh diraih pada malam-malam yang ganjil.

Rasulullah SAW bersabda: “Carilah malam al-Qadar pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad)

Lailatulqadar

LAILATULQADAR lebih baik daripada 1,000 bulan.

Barangkali, lailatulqadar boleh sahaja jatuh pada malam ke-21 Ramadan tempoh hari atau mungkin juga malam ini (23 Ramadan), 25, 27 ataupun 29 Ramadan.

Hanya ALLAH SWT sahaja yang MAHA MENGETAHUI tarikh sebenarnya.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, hikmah paling utama mengapa tarikh sebenar lailatulqadar disembunyikan daripada pengetahuan semua supaya kita tetap bersungguh-sungguh beribadah pada hari-hari terakhir Ramadan.

“Maka tidaklah kita hanya beribadah dan bersungguh-sungguh pada satu malam tertentu sahaja,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya ketika menjawab pertanyaan warganet.

Apabila masuknya sahaja waktu Maghrib, beliau menyarankan umat Islam supaya melakukan apa sahaja jenis ibadah.

“Ketahuilah, apa sahaja ibadah dari malam (bermula Maghrib) hingga terbit fajar (masuk Subuh) telah dianggap mendapat bahagian daripada ganjaran menghidupkan malam al-Qadr,” jelaskan.

Beliau turut berkongsi pandangan Imam Sa’id Ibn al-Musayyib tentang ibadah pada lailatulqadar.

Imam Sa’id berkata: “Sesiapa yang melakukan solat Isyak pada malam al-Qadr, maka dia telah memperoleh bahagiannya daripada (ganjaran beribadah) padanya.” (Riwayat Malik)

Bagi wanita sedang dalam keuzuran ketika tempoh 10 malam terakhir, usah bimbang. Jelas Muhammad Fahmi, terdapat banyak amalan yang boleh dilakukan untuk mendapat pahala lailatulqadar.

Baca juga Edmonton dan Calgary Izin Laungkan Azan Sepanjang Ramadan

Antara amalan tersebut termasuklah:

1. Berdoa dan zikrullah.

Lailatulqadar

BANYAKKAN berdoa sepanjang bulan Ramadan.

Banyakkan berdoa dengan apa sahaja doa kebaikan dan zikrullah seperti tasbih, takbir, tahmid, tahlil serta lain-lain.

2. Mendengar al-Quran.

Walaupun wanita haid tidak boleh membaca al-Quran, namun mereka boleh sahaja mendengar bacaan ayat suci kalam ALLAH itu. Mendengar al-Quran juga suatu ibadah dan salah satu cara mengambil manfaat daripada kitab suci umat Islam.

3. Menuntut ilmu.

Menuntut ilmu khususnya ilmu fardu ain merupakan ibadah yang utama. Bahkan, ia lebih afdal berbanding solat sunat. Caranya dengan membaca atau mendengar kuliah dan ceramah ilmu.

4. Sekiranya seorang wanita itu menyediakan juadah bersahur, maka ia turut menghasilkan pahala ibadah pada malam al-Qadr.

Lailatulqadar

SEDIAKAN juadah bersahur untuk orang yang berpuasa juga akan dapat meraih ganjaran pahala.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.” (Riwayat Muslim)

Pendek kata, jelas pendakwah itu, apa sahaja ibadah yang tidak disyaratkan bersih daripada haid boleh dilakukan.

“Walaupun ibadah itu tidak saya nyatakan di atas, ia tetap akan menghasilkan pahala pada malam al-Qadr,” katanya.

Rupanya tidaklah sesukar mana untuk kita meraih imbalan pada malam agung itu. Marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan dengan meningkatkan amal ibadah dalam bulan Ramadan sebelum ia pergi meninggalkan kita.

Foto: Freepik