Browsing Tag

La Hawla wa la Quwwata illa billah

Jauhi maksiat dan dosa
Isu, Pilihan Editor,

La Hawla wa la Quwwata illa billah: Penyerahan jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa

no comment

LA Hawla wa la Quwwata illa billah” ialah penama bagi al-Hawqalah atau al-Hawlaqah. Kalimah zikir ini amat berharga dan tinggi kedudukannya dalam Islam. Dalam satu hadis, baginda SAW berkata kepada salah seorang sahabat: “Wahai Abdullah bin Qais, inginkan daku tunjukkan kepadamu satu perbendaharaan daripada perbendaharaan syurga”? Lalu jawabku: Sudah tentu wahai Rasulullah. Balas baginda: “La hawla wa la quwwata illa billah”. (Hadis riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberitahu ganjaran pahala bagi pengucap zikir yang bersifat dengan maksud yang terkandung dalam zikir ini disimpan untuknya sebagaimana perbendaharaan yang tertanam itu tersimpan untuk tuannya. (Lawami` al-Anwar: 1/50). Ganjaran pahala itu pula amat bernilai seperti nilai harta yang terdapat dalam perbendaharaan. (al-Futuhat al-Rabbaniyyah: 1/238).

Al-Hawqalah sarat dengan fadilat yang hanya Allah mengetahuinya. Makhul, seorang tabiin besar pernah berkata: Sesiapa mengucapkannya nescaya akan dihilangkan daripadanya 70 jenis kemudaratan, yang paling ringan ialah kefakiran. (Sharh Sahih al-Bukhari: 10/40).

Antara maksud La hawla wa la quwwata illa billah: Tidak wujud pergerakan, kemampuan dan daya upaya kecuali dengan Allah SWT, tiada daya upaya untuk menghindari keburukan dan tiada kekuatan untuk mendapatkan kebaikan kecuali dengan pertolongan Allah SWT atau tiada daya upaya untuk menghindari maksiat kecuali melalui penjagaan Allah dan tiada kekuatan untuk melakukan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah SWT. (al-Minhaj Sharh Sahih Muslim: 4:87).

Selain daripada pengertian al-Hawqalah di atas, terdapat satu pengertian atau maksud yang lebih umum.

Ia berpandukan kepada pengertian perkataan hawla dalam bahasa Arab yang memberi maksud ‘perubahan’ (daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain) dan perkataan quwwata yang bermaksud ‘kekuatan’ (untuk berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain).

Dari itu, zikir hawqalah ini memberi pengertian bahawa tiada bersuatu pun yang terdapat dalam alam, sama ada di langit atau di bumi, tiada satu pun pergerakan, perpindahan atau perubahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain, juga tidak ada kudrat dan kuasa untuk melakukan perubahan itu kecuali dengan pertolongan Allah SWT.

Kalimah zikir “La Hawla wa la Quwwata illa billah” ini sangat penting diamalkan, difahami maknanya dan direnung mendalam pengertian dah ajaran akidah yang terdapat dalamnya bagi menghilangkan kesedihan, kebimbangan dan kerawanan yang bersarang di hati.

Lebih-lebih lagi ketika menghadapi ujian besar, khususnya dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19 yang membimbangkan. Ramai sanak saudara dan rakan taulan yang kehilangan insan tersayang apatah lagi yang diuji dengan virus ini pada pagi hari lalu meninggal dunia pada petangnya.

Antara ubat mujarab bagi merawat hati yang dilanda derita akibat ujian dan bala ialah membiasakan diri dengan zikir “La Hawla wa la Quwwata illa billah”. Melalui zikir ini seseorang mampu memikul beban berat, sabar menanggung ujian getir dan akan berjaya menempatkan diri pada kedudukan yang tinggi. (Mawarid al-Zam’an: 1/533).

Kenapakah zikir ini dapat memberi kesan positif kepada seseorang yang menghadapi kesusahan?

Kerana dalam zikir ini terkandung ajaran akidah Islam yg sangat kukuh. Apabila ia meresap, mesra dan bersebati dalam jiwa, ia akan berfungsi menetapkan pendirian terpuji seorang Mukmin dalam menghadapi semua situasi.

Abd al-Rahman Habannakah mengatakan bahawa akidah yang kukuh itulah yang dinamakan iman. Iman itu pula unsur asas yang berfungsi menggerakkan emosi juga mengarahkan keinginan seseorang. Dengan itu, dia akan dapat mengawal perilakunya demi menjauhi perkara yang memudaratkan, menyakitkan dan merosakkan juga mendapatkan manfaat, kenikmatan dan kemaslahatan sama ada dengan kadar segera atau akan datang. (al-`Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha: 30)

Dalam konteks ujian hidup, seorang Mukmin mengetahui semua jawapan berkaitan dengan ujian. Apakah yang dinamakan ujian hidup? Siapakah yang mengenakan ujian? Apakah tujuan ujian? Apakah cara yang dianjurkan ketika berhadapan dengan ujian? Apakah tindakan yang dilarang ketika terkena ujian?

Dia mengetahui susah senang itu ujian. Allah SWT yang menguji hamba-Nya dan Allah itu Maha Adil, Allah Maha Mengasihani dan sekali-kali tidak menzalimi. Tujuan ujian untuk kebaikan; untuk diberikan pahala, dihapuskan dosa, diberikan kesedaran dan dinaikkan darjat. Ujian perlu dihadapi dengan sabar, reda dan syukur. Ujian tidak boleh dibalas dengan maki hamun, menyalahkan takdir dan membinasakan diri.

Setelah semua itu diketahui dan menjadi satu keyakinan dalam diri, pengetahuan dan keyakinan itu akan menjadi pemberi motivasi dan pengawal kepada setiap Muslim dalam berinteraksi dengan ujian yang menimpa. Dia sudah tentu akan melakukan perkara yang anjurkan untuk mendapatkan natijah yang baik dan menjauhi perbuatan dan sikap yang dilarang agar tidak mendapat akibat buruk daripada tindakannya.

Pada saat yang sama pengulangan zikir dengan penghayatan maknanya ini pula akan menguatkan lagi keyakinannya dan kebergantungannya kepada Allah SWT.

Keyakinan bahawa dirinya tidak boleh bergerak walau seinci tanpa kehendak Ilahi. Keperitan yang dialami tidak akan berubah menjadi kelegaan tanpa keinginan Allah.

Lalu diserahkan segalanya kepada Allah kerana kehendak dan kekuasaan-Nya sahaja yang boleh menempatkan ketenangan sebagai ganti kegusaran dan meleburkan segala kecelaruan yang bersarang dalam sanubari.

Jadi, jelaslah bahawa kekuatan zikir ini terserlah di sebalik penyerahan dan pergantungan diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan keyakinan bahawa hamba tidak boleh berubah dari satu keadaan kepada keadaan lain juga tiada kekuatan untuk dia lakukan perubahan itu kecuali dengan (pertolongan) Allah SWT (Jami` al-`Ulum wa al-Hikam: 1/482).

Sebagai kesimpulan, marilah kita memperbanyakkan zikir ini kerana selain ia mampu membentengi kita daripada terbelenggu dengan tekanan perasaan akibat kesusahan melanda, ia juga mempunyai kelebihan lain. Kemujaraban zikir ini biasanya akan dapat dirasai oleh mereka yang menjadikannya amalan setiap hari, juga yang mempunyai azam teguh untuk melepaskan diri daripada situasi perit yang menghimpit dengan memasrahkan diri hanya kepada Rabbulizzati.

Mereka yang memasrahkan jiwa raga kepada Allah sudah tentu Allah akan memberikan pertolongan dan perlindungan, menghindari daripada sesuatu yang menyusahkan, memenuhi keperluan dan menjadikan jiwa tenang daripada sesuatu yang ditakuti dan dikhuatiri.

Satu perkara penting perlu diingati. Berserah kepada Allah bukan bererti berpeluk tubuh tanpa melakukan usaha dan ikhtiar untuk keluar daripada ujian yang menyempitkan dada. Bukan juga mendabik dada mengatakan akulah yang berbuat dan akulah yang mesti mendapat!  Sebetulnya aku hamba-Mu ya Allah, aku berusaha semampu mungkin untuk mendapatkan kebaikan dan menjauhi keburukan. Namun aku meyakini sepenuhnya Engkaulah yang berhak memberi dan menegah. Berikanlah segala kebaikan kepada kami di dunia dan di akhirat.

Penulis, Dr. Syed Mohammad Hilmi Bin Syed Abdul Rahman

 

Ditulis oleh: Dr. Syed Mohammad Hilmi Bin Syed Abdul Rahman

Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,

Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya