Browsing Tag

Kuota haji

Ibadah dilakukan diterima
Berita Semasa,

Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

BERITA gembira buat rakyat di negara ini apabila diumumkan mendapat semula kuota penuh bagi musim haji pada tahun ini iaitu seramai 31,600 orang.

Baca juga Tiga kali ‘call’ Kementerian Haji sebab tak percaya, rakyat Malaysia cerita detik permohonan hajinya diluluskan

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar selepas menghadiri mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 pada Isnin.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini.

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan Rukun Islam kelima itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

MOHD NA’IM

Pada tahun lalu, kuota haji Malaysia menurun kepada 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima susulan kebimbangan pandemik Covid-19 demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji.

Baca juga Elakkan diri daripada ‘scammer’ pembuat badal haji.

Dalam mesyuarat khas tersebut, Mohd Na’im menjelaskan, Dr Tawfiq Fawzan memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya telah memberikan penegasan, TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Kepada semua umat Islam, sama-samalah berdoa kepada ALLAH SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini dan mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan para jemaah dengan baik serta lancar,” katanya.