Browsing Tag

kuno

TRT World
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Lebih 17,000 Barang Antik yang Dijarah AS Akan Dikembalikan ke Iraq

no comment

AMERIKA Syarikat (AS) akan mengembalikan semula lebih 17,000 khazanah arkeologi berusia 4,000 tahun yang dirampas sejak beberapa dekad ketika perang dan pemberontakan di Iraq.

“Ini adalah pengembalian barang antik terbesar ke Iraq,” kata Menteri Kebudayaan Iraq, Hassan Nazim, yang memujinya sebagai hasil usaha rundingan oleh pihak berkuasa Iraq bersama dengan kedutaan mereka di Washington.

Perdana Menteri Iraq, Mustafa al Kadhimi akan mengambil kembali artifak dari Mesopotamia kuno dengan pesawatnya, selepas pulang dari Washington untuk bertemu Presiden AS, Joe Biden.

“Sebilangan besar artifak adalah dokumen kuno sejak zaman Sumeria yang akan dipulihkan untuk dikomersialkan”, kata kementeriannya dalam satu kenyataan.

Artifak kuno berusia 4,000 tahun. Gambar: Reuters

Pemulihan dari Eropah

Barang-barang antik Iraq telah banyak dijarah selama beberapa dekad ketika perang dan pemberontakan. Ia dilakukan kumpulan jenayah terancang termasuk ketika pencerobohan Amerika Syarikat pada tahun 2003 yang menggulingkan kepimpinan Saddam Hussein.

“Tidak mungkin untuk kita mengukur jumlah artifak yang telah dicuri dari tapak arkeologi,” kata Qahtan al Obaid, Pengarah Barang Antik dan Warisan di Muzium Basra, kepada agensi berita AFP.

Tapak arkeologi di seluruh negara telah rosak dan diabaikan, manakala di muzium telah dijarah dengan lebih 15,000 artifak dicuri dari satu-satunya Muzium Nasional Iraq di Baghdad.

“Saya berharap dalam masa terdekat kita dapat memulihkan semula artifak ini terutama yang telah dirampas,” kata Nazim dalam kenyataannya.

Serpihan artifak Gilgamesh yang berusia 3,500 tahun. Gambar: Artnet News

Tablet Impian Gilgamesh

Antara barangan yang akan dikembalikan ke Iraq adalah tablet tanah liat berusia 3,500 tahun dengan ukiran epik Gilgamesh yang pernah berada di Muzium Alkitab Washington, kata Jabatan Kehakiman AS di Washington.

Serpihan tablet kuno itu menceritakan ukiran mimpi skrip epik dalam cuneiform Akkadian. Ia adalah salah satu daripada banyak artifak kuno dari Timur Tengah yang dikumpulkan oleh David Green, jutawan yang juga pemilik kedai seni dan kraf Hobby Lobby.

Ia dirampas oleh Jabatan Kehakiman AS pada tahun 2019, dua tahun setelah Green membuka muzium yang dikhaskan untuk sejarah Kristian kuno di pusat bandar Washington.

Tablet itu hanya satu daripada ribuan artifak asal Iraq, kebanyakan tablet itu berusia antara 3,000 hingga 4,000 tahun yang telah disita dari Hobby Lobby dan Muzium Alkitab untuk dihantar pulang ke Iraq.

Artifak yang mempunyai nilai tinggi sering diperdagangkan secara haram. Gambar: Middle East Online.

Artifak diperdagangkan secara haram oleh peniaga di Israel, UAE

Jabatan Kehakiman mengatakan artifak itu dijarah di Iraq, dan diperdagangkan secara haram oleh peniaga di Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Jabatan Kehakiman, Hobby Lobby membeli tablet berukuran enam kali lima inci (15.2 x 12.7 sentimeter) dari sebuah rumah lelong terkemuka pada tahun 2014 dengan harga US1.67 juta dolar.

“Pada asalnya barang itu dibawa secara haram ke Amerika Syarikat pada tahun 2003 oleh seorang peniaga yang membelinya di London dari seorang peniaga yang terkenal di Jordan.

“Ia kemudian diperdagangkan beberapa kali dengan surat asal palsu untuk meyakinkan pembeli bahawa ia diperoleh secara sah, bukan produk perdagangan barang antik sebenar.

“Pada tahun 2014, Hobby Lobby mengatur untuk membeli tablet di New York, tetapi melakukan transaksi di Oklahoma untuk mengelakkan cukai penjualan, menurut Jabatan Kehakiman.

Syarikat kemudian menyumbangkannya kepada koleksi Muzium of the Bible.

Sejak tablet itu disita pada tahun 2019, Jabatan Kehakiman telah menuntut hak milik rasmi melalui undang-undang pelucutan bagi memulangkan kembali kepada pemilik yang sah.

“Barang rampasan ini merupakan perkara penting dalam misi mengembalikan karya sastera dunia ke negara asalnya,” kata Pemangku Peguam AS, Jacquelyn Kasulis.

 

Sumber: AFP