Browsing Tag

Kuku

Kuku
Hukum,

Sunat tidak memotong kuku, rambut sehingga selesai ibadah korban

BAGI yang berniat menunaikan ibadah korban pada tahun ini, maka dianjurkan agar tidak memotong kuku dan rambut apabila masuknya 1 Zulhijah sehinggalah masing-masing selesai menyembelih haiwan korban mereka.

Mengikut kalendar, 1 Zulhijah jatuh pada lusa iaitu hari Jumaat. Ini bermakna, esok adalah hari terakhir bagi peserta ibadah korban untuk memotong kuku dan rambut.

Anjuran berkenaan bertepatan dengan berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA.

Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Esok hari terakhir potong kuku bagi yang sudah berniat

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri 12: Anjuran untuk Tidak Memotong Kuku dan Rambut bagi yang Ingin Melakukan Ibadah Korban Apabila Tibanya 1 Zulhijah yang disiarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apabila sudah masuk bulan Zulhijah, perkara tersebut sunat untuk dilakukan termasuklah tidak memotong rambut bukan sahaja pada kepala, tetapi juga pada badan atau wajah sehinggalah haiwan korban mereka disembelih.

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menjelaskan, sebahagian ulama memahami hadis yang dinyatakan tadi dengan mengatakan, haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada pada badan dan memotong kuku.

Kuku

MENURUT Imam Syafie dan ashabnya, larangan memotong kuku tersebut dihukumkan sebagai makruh tanzih dan bukannya haram.

“Demikianlah pandangan yang diutarakan oleh Sa’id bin al-Musayyib, Rabu’ah, Ahmad, Daud al-Zahiri, Ishak dan juga sebahagian ashab al-Syafie.

“Adapun, Imam al-Syafie dan ashabnya yang lain mengatakan bahawa larangan tersebut hanyalah makruh tanzih dan bukannya haram,” katanya.

Sesungguhnya, setiap anjuran tersebut pasti ada sebab-sebabnya yang tersendiri.

Ketahuilah bahawa antara hikmah yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam Syarahnya, anjuran tidak memotong kuku dan menggunting rambut bagi mereka yang mengerjakan ibadah korban itu adalah supaya semua anggota yang terdapat pada badannya itu akan dibebaskan daripada api neraka.

Kuku

ANJURAN tidak memotong rambut dan kuku bagi mereka yang berniat mengerjakan ibadah korban itu dalah supaya semua anggota yang terdapat pada badannya itu akan dibebaskan daripada api neraka.

“Ada pula pendapat lemah yang menyatakan, ia adalah untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaan ihram yang mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain,” kata artikel berkenaan.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

Sementara itu, mereka terpotong rambut dan kuku ataupun sengaja berbuat demikian sebelum melaksanakan ibadah korban, laman web people.utm.my menyatakan, memadai individu berkenaan memohon keampunan kepada ALLAH SWT.

Bahkan, orang itu juga tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda) sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Qudamah RA dalam kitab al-Mughni.

“Majoriti ulama dari Mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan, makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1 Zulhijah sehingga ibadah korban dilaksanakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.

Foto: Freepik & Unsplash