Browsing Tag

kufur

buka tudung
Isu,

Isu buka tudung dan perkara lagha, ini pesan Nabi SAW terhadap orang yang ‘berubah’ ke arah kurang elok

Isu buka tudung dan perkara lagha, ini pesan Nabi SAW terhadap orang yang ‘berubah’ ke arah kurang elok

ADAKALANYA berita yang singgah di laman sosial tentang selebriti yang ‘berubah’ ke arah yang kurang elok agak mengejutkan, lagi-lagi jika kita telah lama menyimpan kekaguman dengan gaya hidup Muslim yang ditunjukkan sebelumnya.

Penampilan atau perwatakan lama seperti bertudung dan sebagainya habis ‘melayang’ dan disisihkan dengan alasan ‘tidak mahu bersikap hipokrit’ dan ‘ingin jadi sendiri’.

Siapa sangka fenomena ini sudah pun disebutkan oleh Rasulullah SAW suatu ketika dahulu sebagaimana dipetik menerusi portal tzkrh.

Baca juga Berfesyen menggunakan tudung menyerupai rambut, apa hukumnya?

buka tudung

Baca juga Benarkah amalan wanita tak berhijab tetap diterima ALLAH?

Islam di waktu pagi, kufur pada waktu petang
Sebagaimana disabdakan Nabi SAW, perubahan daripada gaya hidup berlandaskan Islam kepada sebaliknya merupakan suatu fitnah yang akan menimpa umat.

Pada sebelah paginya seseorang boleh beriman, tetapi menjadi kufur pada waktu petang. Dan jika petang dia beriman, pada paginya kufur.

Maka, baginda Nabi menggesa kita umatnya beriman dan melakukan amal-amal yang berguna sebelum sampai ujian.

Sabda Rasulullah SAW, “Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia.” (Hadis Riwayat Muslim, al-Tirmizi, Ahmad dan al-Tabarani)

Turut disyorkan [Video] Benarkah perempuan berusia tidak diwajibkan memakai tudung?

FENOMENA itu sememangnya suatu fitnah yang melanda umat akhir zaman, sebagaimana kata Nabi SAW. Foto: Pexels

Kufur yang dimaksudkan hadis

Kufur di sini bermaksud keluar dan menyeleweng daripada landasan iman atau menolak kebenaran Islam selepas menerimanya.

Kufur boleh berlaku dalam hal akidah (kufur besar) seperti tidak mempercayai para Nabi dan Rasul. Manakala kufur amalan (kufur kecil) seperti tidak menggunakan nikmat yang ALLAH berikan sebaiknya serta melakukan hal-hal yang dilarang dalam nas. Kufur jenis kedua ini tidak menyebabkan pelakunya keluar daripada Islam, tetapi statusnya tetap melakukan dosa.

Hadis tersebut memberi faham kepada kita bahawa fitnah (ujian) tidak mengenal siapa – sama ada artis, orang berpangkat, orang miskin, berharta, orang-orang biasa, dan termasuk kita yang sedang membaca.

Jika fitnah sudah menimpa seseorang, maka dia boleh berubah dari seorang yang beriman dan beramal dengan Islam dalam masa tidak sampai sehari!

Justeru berhati-hatilah kerana hakikatnya iman dan Islam yang dikurniakan ALLAH kepada kita boleh hilang jika tidak kita berusaha menjaganya dengan baik.

Sumber: Tzkrh 

Foto: Pexels & Unsplash

Isu buka tudung dan perkara lagha, ini pesan Nabi SAW terhadap orang yang ‘berubah’ ke arah kurang elok

Kemerdekaan
Semarak Patriotik: 65 tahun Malaysia Merdeka,

Kemerdekaan bebaskan diri daripada belenggu kejahilan, kekufuran

KEMERDEKAAN begitu tinggi nilainya dan tidak boleh diukur menggunakan alat penimbang serta selainnya. Ia juga tidak boleh dijual beli.

Menelusuri historiografi, kemenangan perjuangan umat Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW bermula dengan pembukaan Kota Makkah. Ini kerana ketika itulah bermulanya kemerdekaan warganya daripada kegelapan jahiliah kepada hidup dalam aturan Islam.

Memetik petikan khutbah bertajuk Memahami Erti Kemerdekaan Dalam Hidup oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu pada tahun lalu, sebaik sahaja Kota Makkah dibuka dan Rasulullah SAW bersama umat Islam memasukinya, baginda kemudian menuju ke Masjidil Haram dan bertawaf mengelilingi Kaabah.

Baca jugaBukan kita sahaja, Nabi SAW sendiri pernah zahirkan rasa cinta terhadap tanah air baginda 

“Malah, baginda SAW menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil membaca ayat 81, Surah al-Isra’.

“Seterusnya baginda memasuki Kaabah, solat di dalamnya dan bertakbir di setiap penjuru dalam Kaabah serta menyebut kalimah Tauhid. Baginda kemudian berucap di khalayah orang Quraisy di luar Kaabah dengan ucapan: ‘Wahai orang-orang Quraisy! Sesungguhnya ALLAH telah pun melenyapkan daripada kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan nasab keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah’.

Kemerdekaan

KETIKA memasuki Kota Makkah, Nabi Muhammad SAW menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah dan memasuki Kaabah, lalu menunaikan solat di dalamnya. -Gambar hiasan

“Selanjutnya, Nabi Muhammad SAW membaca ayat 13, Surat al-Hujurat,” kata artikel khutbah berkenaan.

Ternyata pendekatan yang dibawa oleh baginda SAW itu turut terungkap daripada ucapan seorang pahlawan Islam, Rib’ie bin Amir RA apabila ditanya oleh Rustum, seorang Panglima Perang Parsi. Lalu Rib’ie menjawab:

“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh ALLAH untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada menyembah YANG MAHA PENCIPTA. Daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kekeliruan dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Baca juga Ini Maksud Kemerdekaan Sebenar Dalam Islam,  Ramai Yang Masih Belum ‘Bebas’ Sepenuhnya

Melihat kepada ungkapan berkenaan, jelaslah bahawa maksud kemerdekaan yang hakiki bukan sekadar membebaskan fizikal manusia untuk bergerak ke sana atau ke sini.

“Sebaliknya ia juga bermaksud membebaskan rohani dan mental mereka daripada belenggu kejahilan dan kekufuran kepada kehidupan berlandaskan panduan wahyu Ilahi.

“Namun begitu, andai jiwa seseorang kosong tanpa petunjuk al-Quran mahupun as-Sunnah, maka ia akan mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara yang ‘berkiblatkan’ hawa nafsu. Impaknya, terjadilah pelbagai pemahaman salah tentang erti kemerdekaan antaranya menafsirkan kemerdekaan bebas daripada terikat dengan undang-undang dan hukum-hakam agama,” katanya.

Kemerdekaan

AL-QURAN dan as-Sunnah begitu penting supaya ia boleh menjadi petunjuk agar manusia tidak mudah tunduk kepada hawa nafsu.

Bercakap tentang Hari Kebangsaan negara dan Hari Malaysia, ketahuilah bahawa Rasulullah SAW begitu menyayangi dan mencintai negaranya, kata Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Buktinya, ketika dalam perjalanan hijrah meninggalkan Makkah, baginda telah melalui satu kawasan yang dinamakan sebagai Juhfah, iaitu sempadan di bahagian utara negeri Makkah.

Di situlah baginda memerhatikan Makkah lalu bersabda: “Aku tidak temui negeri yang lebih baik daripada engkau (wahai Makkah), dan tidak ada negeri yang lebih aku sayangi daripada Makkah. Kalaulah bukan kerana kaummu (iaitu Quraisy) telah menghalauku, aku tidak akan tinggalkan negeri ini.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Syeikh Abdullah Fahim, ulama dinamik yang menentukan tarikh kemerdekaan

Menurut Dr Ahmad Sanusi, luahan itu jelas menggambarkan betapa Rasulullah SAW begitu menyayangi Makkah.

DR AHMAD SANUSI

“Ia bukan suatu sifat yang terlarang kerana mencintai tanah air, tempat kita membesar adalah fitrah yang dialami oleh manusia.

“Malah, kecintaan Nabi Muhammad SAW dilihat berlaku secara konsisten setelah baginda berhijrah ke Madinah. Bukan sahaja bersungguh-sungguh membangunkan Madinah, tetapi juga kekasih ALLAH itu turut membentuk suasana harmoni dalam kalangan semua kaum serta menyemaikan rasa cintakan Madinah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Manifestasi kecintaan itu dapat dilihat menerusi doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi: “Wahai Tuhan kami, lahirkanlah rasa cinta kami kepada Madinah sepertimana kami mencintai Makkah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Malah, dalam sebuah hadis lagi ada digambarkan sikap Rasulullah SAW yang begitu menyayangi tanah airnya.

Kemerdekaan

CONTOHILAH Rasulullah SAW dalam menzahirkan kecintaannya kepada tanah air. -Gambar hiasan

Anas bin Malik RA berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu, sekiranya baginda pulang dari satu perjalanan yang jauh, apabila sampai sahaja di Madinah dan ternampak anak-anak tangga Madinah, (atau dinding-dinding rumah di Madinah), baginda akan menggesa untanya supaya berjalan cepat, seakan-akan rindu untuk sampai di Madinah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Kemerdekaan Satu Nilai Kebebasan

Dr Ahmad Sanusi yang juga Duta Yayasan Maghfirah itu kemudian mengemukakan nukilan al-Imam Ibn Hajar tentang hadis berkenaan. Ulama itu menyatakan, mencintai tanah air bukanlah suatu perkara yang dicegah oleh syariat.

“Semangat cintakan negara ini bukanlah suatu perkara yang asing di sisi manusia. Sesetengah kamum di dunia ini bersungguh dalam memupuk anak bangsanya agar mencintai negaranya sepenuh jiwa raga.

“Ya, cintailah negara Malaysia ini. Paling penting, jauhkan Malaysia daripada kerosakan agama dan pemikiran seperti pemikiran liberal yang merosakkan kefahaman anak muda tentang Islam,” ungkapnya.

Foto: 123rf, Freepik & Bernama

Sifat suka bertangguh
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Suka Bertangguh, Sifat Itu Dibimbangi Menyebabkan Diri Ditimpa Ujian Sehingga Kufur

no comment

LUMRAH kehidupan manusia ada pasang surutnya. Pada hari-hari tertentu, kita begitu bersemangat melakukan apa sahaja kerja dan mampu menyempurnakannya dengan baik sebelum tempoh masa ditetapkan.

Namun, adakalanya tatkala perasaan malas mula bertandang, ditambah pula dengan tekanan perasaan dan dihambat emosi yang berkecamuk, segalanya serba tidak menjadi. Ringkas kata, semua pekerjaan tertangguh atau sengaja ditangguhkan.

Seandainya situasi itu berlaku hanya sesekali, tidak mengapa kerana ia sudah menjadi fitrah seorang manusia. Ya, seperti kata peribahasa, langit itu cerah, sesekali awan mendung pasti akan kelihatan. Begitu jugalah dengan momentum kehidupan kita.

Namun begitu, jika sifat suka bertangguh-tangguh sudah acap kali tercetus, ia bukan dianggap sebagai satu perkara biasa lagi. Sebaliknya, ia sudah menjadi tabiat buruk yang perlu kita buang jauh-jauh.

Bukan sahaja tidak disukai oleh masyarakat sekeliling, bahkan agama Islam juga melarang keras umatnya daripada bersikap jelik sedemikian. Perilaku tersebut begitu bertentangan dengan kehendak agama. Mengapakah sifat suka bertangguh begitu dilarang dalam Islam? Benarkah ALLAH SWT akan melambat-lambatkan rezeki buat orang yang memiliki sikap mazmumah itu?

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan pandangan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

DR AHMAD SANUSI

Membuka bicaranya, beliau menjelaskan, pada hakikatnya, tiada satu dalil khusus yang boleh mengesahkan bahawa melambat-lambatkan pekerjaan itu merupakan satu penyakit rohani.

Namun, terdapat banyak dalil dalam al-Quran memerintahkan umat Islam agar segera melakukan sesuatu amalan sama ada pekerjaan dunia mahupun akhirat.

Baca juga Waspada Apabila Keluarkan ‘Fatwa’

Bersegera

“Sebagai contoh, ALLAH SWT memerintahkan kita agar segera melakukan amal soleh dan sifat orang yang bertakwa itu dikaitkan juga dengan langkah segera mereka untuk menggapai keampunan-NYA.

“Dalam Surah Ali ‘Imran misalnya, ALLAH SWT mengaitkan sifat bersegera mengejar keampunan-NYA sebagai sebahagian daripada sifat orang bertakwa. Ia seakan-akan ada kaitan antara kekuatan rohani seseorang dengan sifat bersegera melakukan amal soleh,“ katanya baru-baru ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Bersegeralah beramal sebelum munculnya fitnah yang datang bagaikan potongan-potongan malam yang gelap, seseorang yang pada pagi harinya beriman, namun boleh jadi waktu petangnya telah menjadi kafir.“ (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, hadis itu jelas memerihalkan bagaimana Rasulullah SAW mengaitkan perbuatan bersegera melakukan amalan soleh dengan kedudukan iman seseorang.

“Dibimbangi sekiranya lambat melakukan amal soleh, mereka akan ditimpa fitnah (ujian) yang menyebabkan seseorang boleh menjadi kufur,“ ujarnya.

Menyambung hujahnya, ahli akademik itu menjelaskan, sifat suka bertangguh kadangkala terhasil daripada sikap bermalas-malasan, sedangkan ia sangat ditegah dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri mendidik kita agar memohon daripada ALLAH SWT atas segala sifat lemah dan malas.

Sifat suka bertangguh

BERTANGGUH dalam sebarang urusan duniawi dan ukhrawi hanya akan merugikan diri sendiri.

“Malah, al-Raghib al-Asfani dalam karyanya, al-Zari‘ah pernah memberikan kata-kata yang keras mengenai sikap malas ini. Beliau menegaskan bahawa sikap malas pada hakikatnya mengeluarkan seseorang itu daripada sifat kemanusiaan.

“Manusia tidak seharusnya jatuh ke tahap malas kerana haiwan sendiri sangat rajin dalam melakukan pekerjaan mereka,“ tegasnya.

Dari perspektif lain pula, Dr Ahmad Sanusi turut menukilkan pandangan al-Imam Ibn al-Jauzi tentang sifat orang mukmin yang mana setiap perkara yang dilakukan golongan itu seharusnya mengingatkan mereka akan perkaitannya dengan kehidupan di akhirat.

“Andai pekerjaannya di dunia dikaitkan dengan hasil yang akan dituai di akhirat kelak, maka mereka akan lebih bersifat aktif.

“Sebagai contoh, mereka membayangkan pekerjaan masing-masing menyara keluarga sebagai sebahagian daripada usaha jihad, maka mereka juga akan terbayang akan menuai hasil pahalanya di akhirat kelak.

“Oleh yang demikian, orang beriman seharusnya bersikap cergas dan aktif dalam kehidupan dunianya kerana dunia ini ialah ladang semaian yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.

Sifat suka bertangguh

ORANG beriman seharusnya bersikap cergas dan aktif dalam kehidupannya termasuk ibadah kerana dunia ialah ladang semaian yang akan dituai hasilnya di akhirat kelak.

“Sikap suka bertangguh ini hanya akan melemahkan umat Islam. Atas dasar itulah Rasulullah melarang kita daripada bersikap malas dan tidak aktif,“ ujarnya.

Senjata iblis

Apakah sifat bersegera dalam beramal mungkin menyebabkan hasil kerja kurang sempurna kerana terpaksa melakukannya secara tergesa-gesa?

Menjawab persoalan tersebut, Dr Ahmad Sanusi menegaskan, sikap berkenaan bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh agama.

Sekalipun Islam memerintahkan kita segera melakukan sesuatu amalan atau pekerjaan, tegasnya, ia tidak bererti kualiti atau hasil pekerjaan itu hanya dipandang sebelah mata.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah menegaskan bahawa: “ALLAH sangat menyukai hamba-NYA yang menjalankan kerja dengan bersungguh dan cermat.“ (Riwayat Abu Ya‘la dan al-Tabarani)

Berkongsi pandangan yang sama ialah pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad.

DA’I FUAD

Ujar beliau, sikap suka bertangguh dalam beramal atau at-taswif dalam bahasa Arab begitu dilarang dalam Islam.

“Imam al-Ghazali Rahimahullah mengingatkan bahawa antara senjata iblis adalah menghasut manusia supaya menangguh-nangguhkan ibadah termasuklah pekerjaan dan keperluannya.

“Bahkan, kata Imam al-Ghazali lagi, ramai daripada kalangan insan yang suka bertangguh-tangguh itu akhirnya memberikan kemudaratan yang besar dalam kehidupan mereka,“ katanya.

Baca juga  Sultan Abdul Hamid II : Penentang Awal Zionis 

Bukan itu sahaja, Da‘i Fuad menjelaskan, al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya, Madarij as-Salikin juga pernah menyatakan, sifat bertangguhtangguh itu boleh menjadikan seseorang jatuh muflis dan akan membawa perkara yang buruk dalam kehidupan mereka.

“Berdosakah jika bersifat begini? Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada apa yang dilakukan. Rezeki barakah Jika perbuatan bertangguh itu pada asasnya melibatkan perkara-perkara ibadah, maka ia termasuklah perkara-perkara yang bakal memberikan kita dosa dan impak tak baik.

“Seandainya perkara tersebut tidak terkait secara khusus dalam agama dan keperluan ke atas kewajipan, maka ia tidaklah dikira sebagai berdosa,“ ujarnya.

Sifat suka bertangguh

SIFAT suka bertangguh kadangkala terhasil daripada sikap bermalas-malas, sedangkan ia begitu ditegah dalam Islam.

Da‘i Fuad kemudiannya berkongsi sebuah hadis yang menyeru kita untuk menyempurnakan sesuatu mengikut keperluan dan tidak mensia-siakan waktu.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW memegang kedua-dua bahuku lalu bersabda: “…Jika kamu berada pada waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.“ (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis berkenaan, ujar beliau, seandainya kita mempunyai kekuatan dan waktu, maka lakukanlah terus perkara yang mesti kita laksanakan.

“Bahkan, Abu Ishak Rahimahullah ketika didatangi seseorang yang meminta wasiat daripadanya, beliau berkata: ‘Jauhkanlah kamu daripada sifat suka bertangguh‘,“ jelasnya.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang suka menangguh-nangguh amalan pekerjaannya, maka akan dilambatkan hartanya.“ (Riwayat Muslim)

Disebabkan itu, jelas Da‘i Fuad, Islam menganjurkan umatnya supaya bangun awal pagi dan berpagi-pagian ketika mencari rezeki supaya meraih lebih banyak memanfaatkan kehidupan.

“Ya, memang semua orang yang berusaha akan peroleh rezeki. Begitu juga kepada mereka yang sebaliknya.

“Namun, ketahuilah bahawa rezeki yang barakah hanya akan diraih oleh orang Islam yang beriman dan bertawakal kepada ALLAH SWT,“ ujar beliau.

Usah tunduk dengan godaan syaitan & hawa nafsu

GODAAN syaitan dan hawa nafsu merupakan antara punca utama kepada sifat suka bertangguh, apatah lagi dalam melakukan amalan yang baik.

Pendakwah Wan Akashah Wan Abdul Hamid menjelaskan, individu yang mempunyai sifat sedemikian sebenarnya begitu mudah tunduk dengan hasutan yang sentiasa mengajak manusia ke arah kejahatan dan berperlakuan negatif.

WAN AKASHAH

Katanya, disebabkan sikap mudah terpengaruh itulah menjebakkan seseorang menjadi manusia yang gagal dalam kehidupannya.

“Ya, memang begitulah cara syaitan yang suka menggoda anak Adam di muka bumi ini agar sentiasa berada dalam kesesatan.

“Umpamanya, kita berniat untuk menunaikan solat atau bersedekah, namun makhluk ALLAH yang terkutuk itu berbisik ‘tak apalah, esokkan boleh buat‘. Nampak macam remeh, tetapi impaknya begitu besar kerana jika dilayan, ia akan menjadi tabiat yang buruk.

“Untuk melawan syaitan, kita kena sentiasa membaca ayat suci al-Quran. Jika ada bisikan supaya kita menangguh-nangguhkan kerja, cepat-cepatlah baca A‘uzubillahi minasy syaitanir rajim,“ katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Berbeza pula dengan hawa nafsu, Wan Akashah menjelaskan, kehendaknya begitu sukar untuk ditepis.

“Jika nafsu mahukan begitu, memang kita akan terus lakukan dan tiada pilihan lain kerana ia sememangnya ada dalam diri kita.

“Justeru, untuk melawannya, tidak boleh dengan membaca al-Quran sahaja. Sebaliknya, kita perlu bermujahadah melawan nafsu,“ tegas beliau.

Tatkala hati sudah memasang niat untuk melakukan amal kebaikan, pendakwah itu menasihatkan agar kita terus melunaskan hajat tersebut. Itulah pendekatan yang sebaikbaiknya.

“Jangan ada sebarang penangguhan kerana kelak jika kita berbuat demikian, barangkali ia akan menyebabkan kita terus terlupa dan akan membentuk tabiat suka berlengah-lengah.

“Ketahuilah, dalam kalamullah dan hadis Nabi Muhammad SAW, banyak gesaan supaya kita bersegera dalam melakukan amal kebaikan dan tidak menangguh-nangguhkannya,“ ujarnya.

Sifat suka bertangguh

BERSUNGGUH-SUNGGUHLAH dalam melakukan apa jua amalan termasuklah pekerjaan untuk urusan duniawi.

ANEKDOT

TIP elak diri daripada kerja berlengah

1. Buat semua senarai kerja yang harus diselesaikan.

Senaraikan semua tugasan yang diberi untuk memudahkan kita membuat penyaringan keutamaan kerja yang perlu disiapkan mengikut masa ditentukan.

2. Pilih senarai yang perlu dibuat terlebih dahulu.

Mana-mana tugasan penting yang telah disenaraikan tadi, maka tandakan supaya kita dapat menyelesaikannya dengan segera.

3. Tampal senarai kerja di tempat yang mudah dilihat.

Boleh tampal senarai tersebut di meja kerja dan seumpamanya supaya kita sentiasa ingat dengan tugasan yang perlu dibereskan.

4. Beri penghargaan kepada diri sendiri.

Jika tugasan tadi berjaya diselesaikan, jangan lokek untuk memberikan penghargaan kepada diri sendiri atas usaha keras itu. Walaupun hadiah yang kecil, ia begitu bermakna kepada diri.

5. Penglibatan orang lain.

Jika perlu, mintalah bantuan rakan sekerja, adik-beradik, ibu bapa, ahli keluarga dan sebagainya supaya mereka sentiasa mengingatkan kita tentang amanah yang perlu dilunaskan dengan sebaiknya.

Sumber: Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar (Da‘i Fuad)

Foto: Freepik