Browsing Tag

kucing rosakkan barang jiran

kucing
Berita Semasa,

Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini… 

Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini…

MASYARAKAT kita sememangnya suka membela kucing sebagai haiwan peliharaan mereka.

Masakan tidak, sifatnya yang manja dan telatahnya yang comel membuatkan sesiapa sahaja mudah jatuh cinta dengan haiwan berkenaan.

Kalau sudah namanya pun kucing belaan, pasti setiap keperluannya wajib dipenuhi. Bukan sahaja memberikannya makan, tetapi juga kemudahan untuk bermain dan membuang najis.

Sesekali kucing berkenaan akan dibiarkan bebas. Kadangkala haiwan berkenaan akan dilepaskan tuannya daripada sangkar atau rumah ketika keluar bekerja.

Baca juga Jagalah kucing dengan baik, elak dari dihumban ke neraka

Si bulus berkenaan bebas ke mana-mana sahaja sebelum kembali pulang ke rumah tuannya.

Pada masa itulah adakalanya haiwan comel berkenaan akan berkeliaran hinggakan rumah jiran sebelah pun dijejakinya.

Situasi itu kelihatan biasa. Namun, paling tidak seronok apabila kucing itu meninggalkan ‘tanda’ seperti membuang najis atau berak. Satu lagi adalah merosakkan barang di rumah jiran sebelah.

Ia kadangkala menimbulkan rasa kurang senang kepada jiran. Mahu diberitahu rasa serba salah. Bimbang jika hubungan kejiranan jadi tidak baik.

Apakah pandangan Islam tentang hal ini? Perlukah tuan kucing itu membersihkan najis kucing miliknya? Untuk barang yang rosak itu, perlukah tuan punya kucing itu membayar ganti rugi?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman berkata, jika situasi atau kerosakan berkenaan berlaku pada waktu siang, tidak perlu membayar sebarang ganti rugi.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apa yang dirosakkan oleh binatang itu sia-sia (tidak boleh dituntut).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

PU Salman turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi yang menyatakan: “Sepakat para ulama bahawa kerosakan yang dilakukan binatang pada waktu siang tidak ada ganti rugi sekiranya tiada sesiapa bersamanya, sekiranya ada yang menunggang atau yang menuntunnya, maka jumhur kata, dia kena ganti rugi.” 

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Jika sebaliknya yang mana kerosakan berlaku pada waktu malam, jelas PU Salman, tuan kepada haiwan tersebut perlu menggantikannya.

“Kerosakan waktu malam kena ganti termasuk berak (juga) kena cuci (najis) atau bayaran upah cuci.

“Kalau tak buat atau bayar (upah cuci) dianggap hutang,” katanya dipetik menerusi akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Namun begitu, bagi binatang buas seperti anjing, ganti rugi perlu dilakukan terhadap barang yang dimusnahkan oleh haiwan berkenaan, jelas PU Salman lagi.

Kepada mereka yang ada membela haiwan peliharaan, jangan buat tidak tahu sahaja apabila jiran merungut menyatakan kucing kita berak di rumahnya.

Bersihkanlah najis kucing peliharaan kita di rumah jiran jika haiwan itu melepaskan hajat di sana.

Baca juga Tak sah jual beli anak kucing yang masih dalam kandungan

Bagi yang mungkin tidak pernah ambil tahu perihal kucing peliharaan mereka ketika di luar, sesekali bertanyalah kepada jiran-jiran andai haiwan tersebut pernah membuat kerosakan di rumah mereka.

Bukan apa, kita tidak mahu hal-hal seperti ini membuatkan jiran tidak selesa, apatah lagi jika ia melibatkan ‘hutang’ yang tanpa kita sedari.

Tuan kepada kucing kena bersihkan jika haiwan peliharaannya berak di rumah jiran. Ramai yang pandang remeh perkara ini…

Sumber: Facebook PU Salman