Browsing Tag

kos pengurusan

Sumbangan orang ramai
Muamalah,

Telus Isytihar Jumlah Kos Pengurusan Jika Libatkan Wang Sumbangan Orang Ramai

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PADA penghujung Ramadan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita tentang serangan yang dilakukan oleh pihak tentera Israel terhadap umat Islam yang sedang menunaikan solat di Masjidil Aqsa. Seperti yang kita sedia maklum, ia bukan kali pertama serangan seumpama itu dilakukan!

Tindakan tersebut telah mendorong Hamas untuk bertindak balas terhadap pihak Israel dengan melancarkan serangan bom ke kawasan yang dikuasai oleh puak Israel. Akhirnya, keduadua belah pihak saling berbalas serangan selama lebih kurang 11 hari.

Lantaran itu, banyak bangunan yang dahulunya berdiri gah kini sudah ranap. Ia termasuklah tempat tinggal, pejabat, sekolah, hospital dan sebagainya. Sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap penduduk Palestin yang sekian lama ditindas oleh pihak Israel, pelbagai pihak melancarkan kempen membantu saudara kita di sana. Salah satunya adalah dengan mengutip derma daripada orang ramai.

Di Malaysia sahaja, kempen yang mengajak orang ramai untuk memberi sumbangan begitu rancak dilakukan di platform media sosial. Kebanyakan usaha tersebut datang daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam kehangatan kempen membantu Palestin, tiba-tiba ‘meletup’ satu isu tentang sejauh mana wang daripada masyarakat itu benar-benar sampai kepada pihak Palestin. Antara isu lain yang berbangkit adalah perihal yuran pengurusan yang diambil oleh pihak yang mengurus dana berkenaan.

Dari perspektif muamalat Islam, saya berpandangan bahawa semua pihak yang mengendalikan dana daripada orang ramai untuk disampaikan kepada pihak Palestin adalah dikira sebagai wakil kepada mereka. Dengan perkataan lain, hubungan antara pengendali dana dengan para penyumbang melibatkan hubungan antara wakil dan pemberi wakil. Kontrak yang berlaku antara mereka adalah kontrak wakalah.

Sumbangan orang ramai


TIDAK salah untuk wakil mengambil yuran pengurusan dari segi hukum syarak selagi mana kedua-dua pihak yang berkenaan bersetuju dengan jumlah tersebut.

Sebagai wakil, adakah mereka berhak mengenakan yuran pengurusan? Pada asalnya, kontrak wakalah adalah akad tabarru’. Ini bermakna, perkhidmatan yang diberikan adalah secara percuma.

Baca juga Barang Diterima Tak Seperti Yang Dipesan, Ketahui Hak Kita Menurut Islam

Oleh itu, apabila NGO berkenaan ada mengambil yuran pengurusan, ia sekali gus membawa maksud bahawa khidmat mereka bukanlah secara percuma.

Mengambil yuran pengurusan sebenarnya tidaklah salah dari segi hukum syarak selagi mana kedua-dua pihak yang berkenaan bersetuju dengan jumlah tersebut.

Malah, amalan mengenakan yuran wakalah sudah lama dipraktiskan dalam industri kewangan Islam baik yang melibatkan perbankan Islam, takaful, pasaran modal Islam mahupun perancangan harta Islam.

Sebagaimana yang diketahui umum, industri kewangan Islam di Malaysia dikawal selia secara ketat oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berdasarkan bidang kuasa masing-masing. Setiap yuran yang dikenakan oleh pihak yang dikawal selia mesti dinyatakan secara jelas dan didedahkan kepada pihak pelanggan masing-masing.

Sumbangan orang ramai

BERSIFAT jujurlah ketika menyampaikan sumbangan yang diberikan oleh orang ramai kepada golongan sasar.

Namun, apabila melibatkan pihak NGO yang mengurus dana daripada orang ramai, boleh dikatakan kebanyakan pertubuhan tidak menyatakan secara jelas jumlah yuran pengurusan yang mereka ambil daripada jumlah keseluruhan dana yang terkumpul. Lebih teruk lagi, sekiranya tiada laporan tahunan dikemukakan bagi membolehkan orang ramai melihat dan menyemak sendiri ke mana dan bagaimana sumbangan mereka diurus.

Sepertimana yang telah saya sebutkan tadi, hubungan antara pengurus dana atau NGO dengan penyumbang adalah hubungan antara wakil dan muwakkil (pemberi wakil). Maka dengan itu perlulah dipastikan syarat-syarat wakalah dipenuhi.

Apabila terdapat yuran pengurusan yang dikenakan, jumlah tersebut hendaklah dinyatakan dengan jelas kepada para penyumbang supaya mereka tahu bahawa bukan 100 peratus jumlah sumbangan yang diberikan itu akan sampai kepada pihak yang disasarkan, tetapi hanya sebahagian sahaja setelah ditolak yuran pengurusan. Ketelusan dalam mengurus dana amat penting bagi meraih kepercayaan orang ramai. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik