Browsing Tag

korupsi

Aqidah,

Korupsi antara penyebab amalan tidak diterima selama 40 hari

KORUPSI berkait rapat dengan apa jua sogokan atau suapan untuk mendapatkan sesuatu dan demi kepentingan tertentu.

Demikian definisi rasuah dalam konteks Islam, kata pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Talhah kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

“Pendek kata, korupsi bukan sekadar melibatkan wang ringgit, tetapi mungkin juga pemberian kenderaan mewah, rumah banglo, percutian, pakej tertentu dan sebagainya yang melibatkan hadiah dua pihak,” ungkapnya.

Dalam hal itu, ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Baca juga Rasuah bukan sekadar duit kopi, ini realitinya

Malah, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH melaknat orang yang menyogok dan orang yang minta disogok dalam huraian masalah hukum.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

USTAZ MOHAMAD HADI

Melihat nas berkenaan, ujar agamawan itu, jelaslah bahawa memakan harta haram termasuk rasuah bukan sahaja berdosa besar, tetapi juga dilaknat oleh ALLAH SWT.

Ketahuilah, mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral itu akan menerima kutukan, kemurkaan, hilang keberkatan dan rahmat ALLAH SWT di dunia ini, selain mendapat seksaan neraka yang amat dahsyat, terangnya.

“Sebenarnya, rasuah ini melibatkan orang ramai. Ingatlah, jika berdosa dengan ALLAH, kita boleh memohon keampunan terus kepada-NYA. Mudah kata, senang untuk kita bertaubat dan ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT.

“Namun, andai melibatkan dosa kita dengan manusia lain, ia satu kezaliman kepada mereka. Ini kerana boleh jadi ia melibatkan harta syarikat, organisasi dan negara. Dari sudut untuk kita mendapatkan kemaafan daripada orang ramai agak sukar, sudah tentulah ancaman di akhirat tidak dapat dielakkan di akhirat.

Baca juga Tak boleh guna duit haram untuk bayar sewa rumah, beli pakaian dan seumpamanya. Ini penjelasannya

“ALLAH SWT tidak boleh menghindarkan azab seksaan tersebut pada hari kiamat kelak kerana tidak mendapat kemaafan orang ramai di dunia. Sebab itulah, kesan salah laku korupsi lebih besar daripada perbuatan maksiat lain seperti berzina,” katanya sambil mengingatkan agar umat Islam tidak memandang remeh perilaku keji berkenaan.

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohamad Hadi kemudian memberi peringatan bahawa mereka yang memakan harta haram akan menyebabkan amalan dilakukan ditolak selama 40 hari.

“Maknanya, sesiapa yang berbuat demikian waima memberi atau menerima suapan, segala amalan yang dilakukan tidak diganjari dengan pahala, tetapi mereka tetap kena tunaikan kewajiban yang difardukan ke atas umat Islam.

“Bukan itu sahaja, doanya juga tidak akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Baca juga Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar

Justeru, penceramah itu mengingatkan agar umat Islam menghindari diri daripada rasuah dan memerangi amalan tersebut dalam masyarakat.

Korupsi

AMALAN rasuah memberikan implikasi yang buruk bukan sahaja kepada diri, tetapi juga dalam sesebuah organisasi dan negara.

“Ingatlah, rezeki ALLAH SWT itu sangat luas. Barangkali kita hanya peroleh sedikit, tetapi berkat daripada dapat banyak, tetapi langsung tiada keberkatan di situ atau tidak halal. Mengapa kita mencari yang haram?

“Suka saya ingatkan bahawa benda haram itu boleh melorongkan kita ke arah perbuatan maksiat yang lain. Masakan tidak, apabila dapat duit haram bukan hasil titik peluh sendiri, terlalu mudah kita tidak kisah berbelanja termasuk berjudi mahupun menggunakannya ke arah maksiat yang lain.

“Disebabkan itu, kita lihat kebanyakan orang yang makan rasuah itu hidupnya tidak berkat, mungkin keluarganya lintang-pukang, wangnya dicuri ataupun ditimpa malapetaka dan musibah,” katanya menutup bicara.

Foto: 123rf & Freepik

Isu,

Rasuah bukan sekadar duit kopi, ini realitinya

DALAM Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kedudukan Malaysia menunjukkan penurunan selama dua tahun berturut-turut. Pada tahun lalu, negara berada pada tangga 62 daripada keseluruhan 180 buah negara.

Jika dibandingkan dengan CPI 2020 dan 2019, Malaysia di tempat ke-57 serta 51 sebelum ini. Dalam senarai negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak termasuk Brunei dan Palestin pula, Malaysia menduduki tempat ke-6 pada CPI 2021 iaitu di belakang Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Arab Saudi, Oman serta Jordan.

Berdasarkan rekod tersebut, ia menuntut komitmen yang tinggi buat negara memperbaiki skor dan kedudukannya dalam indeks berkenaan. Apatah lagi dalam era digital masa kini yang mencabar dengan pelbagai bentuk rasuah.

Malah, adakalanya bentuk-bentuk korupsi yang berevolusi tersebut langsung tidak terlintas dalam fikiran manusia.

Demikian pandangan yang dilontarkan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin dalam temu bualnya bersama Sinar Islam Plus baru-baru ini.

NURHAYATI

Jelas beliau, rasuah pada hari ini bukan sekadar duit kopi semata-mata. Sebaliknya ia boleh menjelma dalam pelbagai ‘rupa’.

Barangkali ia datang dalam bentuk markah peperiksaan, tambah nilai kad prabayar telefon, seks dan sebagainya, ungkapnya.

“Sebagai contoh, seorang pelajar jika dia tak tahu tentang rasuah, boleh jadi dia tidak akan dapat pekerjaan itu andai dirinya tiada kabel. Ketahuilah bahawa kabel, favouritism (pilih kasih), kronism dan seumpamanya merupakan antara bentuk-bentuk rasuah.

“Kita kena faham, definisi korupsi bukanlah hanya tertakluk sekadar memberi, menerima atau menjadi orang tengah kepada pemberian sesuatu barang semata-mata,” terangnya panjang lebar.

Baca juga RASUAH : Penyakit Sosial Dilaknat Allah

Ini kerana, menurut perspektifnya, rasuah terbahagi kepada dua jenis iaitu perbuatan boleh dilihat dan satu lagi pula dalam bentuk yang tidak nampak.

“Misalnya, menyalahgunakan kedudukan. Ia merupakan antara bentuk rasuah. Kadangkala kuasa tersebut bukan diletakkan pada tempatnya menyebabkan orang yang betul ‘tidak naik’ (memikul suatu jawatan), manakala orang yang tidak betul pula ‘naik’.

“Kesan-kesan rasuah itu memberikan implikasi yang tidak baik. Bayangkan masa depan negara dipertaruhkan begitu sahaja dengan ‘peluang-peluang tawaran’ yang kita tidak terfikir kerana bentuk-bentuk rasuah yang sekarang sudah berevolusi.

“Apatah lagi, dalam dunia pada hari ini, tekanan kewangan, kehendak hedonisme dan materialistik itu sangat tinggi. Adakah kita sanggup melihat anak masing-masing terbuai dengan tawaran laba mahupun habuan dunia yang jika dibiarkan menggadaikan masa depan negara?,” soalnya.

Rasuah

AMALAN rasuah memberikan implikasi yang buruk bukan sahaja kepada diri, tetapi juga dalam sesebuah organisasi dan negara.

Terapkan konsep imam, makmum

Bagi membanteras ‘barah’ korupsi, Nurhayati mengajak umat Islam menyelami konsep imam dan makmum yang boleh diimplementasikan dalam sesebuah organisasi mahupun negara.

Sebagai satu jemaah yang sama, jelas beliau, setiap daripada kita perlu mempunyai ilmu dan berhak membetulkan kepincangan dalam ruang lingkup berkenaan.

“Misalnya, sebagai makmum dan juga rakyat, kita berhak membetulkan apa yang tidak betul. Andai imam itu tersilap baca, kita mesti ada keupayaan untuk menggantikan tempatnya.

“Sementelah, imam sebagai ketua pula, dia perlu menjalankan peranannya dengan sehabis baik dan perlu rela ditegur untuk memastikan jemaah itu kekal bersama dan bersatu untuk suatu matlamat. Mudah kata, kita perlu lakukannya bersama-sama.

“Justeru, #RasuahBusters mengajak seluruh rakyat Malaysia bergabung tenaga untuk bersama-sama memerangi rasuah yang menjadi kehinaan kepada negara dan keluarga,” tegasnya.

Baca juga 7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

Meskipun impak akibat perbuatan jelik itu dilihat tidak jelas pada mata kasar, namun Nurhayati menegaskan, ia memberikan natijah tidak baik secara keseluruhannya.

Mengambil contoh, andai berlaku rasuah di sempadan negara dengan melepaskan mereka yang tiada dokumen perjalanan sah gara-gara sogokan RM500, tindakan itu memicu risiko lebih besar.

“Sekiranya individu yang terlepas itu merupakan perogol, pembunuh, perompak dan sebagainya, kemudian melakukan jenayah sama di negara ini, bagaimana? Benar, kita rasa memang bukan kita yang buat (rasuah), bukan?

“Namun begitu, bukanlah kerana penerimaan (suapan) tadi menyebabkan berlakunya pelbagai jenis jenayah? Tidakkah perbuatan kita itu ibarat bersubahat dengan perlakuan tersebut?

Rasuah

HINDARI rasuah yang mengundang bala kepada diri dan insan di sekeliling.

“Begitu juga kesan rasuah kepada ketirisan dalam mana-mana bentuk sistem pentadbiran negara. Mungkin jika tidak berlaku ketirisan, duit itu boleh buat penambahbaikan kepada sistem sosial sedia ada seperti jalan raya yang baik, sekolah lengkap, kemudahan hospital mantap dan seumpamanya,” ungkapnya.

Satu lagi contoh yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Nurhayati membangkitkan tentang perihal pelajar menipu, meniru mahupun ‘merasuah’ guru atau apa sahaja bentuk semata-mata untuk mendapatkan markah yang baik.

“Bayangkan apabila kajian yang dilakukan mereka merupakan hasil rujukan tidak tepat dan kemudian dirujuk pula oleh orang lain. Sama juga halnya apabila kita hendak bina bangunan dengan menggunakan sumber tidak tepat dan tak betul.

“Maka yang berlaku adalah kematian (akibat binaan bangunan tidak kukuh dan memenuhi piawaian). Lihatlah betapa besarnya implikasi rasuah yang bukan sahaja membawa kerosakan kepada harta, nyawa, akal dan maruah, tetapi juga semua yang ada dalam senarai maqasid syariah berkenaan,” jelasnya.

Baca juga Beri wang riba kepada fakir miskin untuk bersihkan harta haram, berikut hukumnya

Kepada satu soalan, Nurhayati menjawab: “Makan rasuah lebih hina daripada makan khinzir. Apa jua keadaan, rasuah tiada darurat tertentu, manakala khinzir pula jika waktu darurat, ia dihalalkan (untuk dimakan dengan syarat tertentu).”

Cabaran korupsi era digital lebih kompleks

Sementara itu, menurut Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar, amalan rasuah akan menjadi lebih kompleks kerana ia bukan sekadar dalam bentuk fizikal, tetapi boleh mengherot ke arah digital.

AKHBAR

“Evolusi rasuah dari segi digital adalah apabila pemberian korupsi itu bukan lagi secara fizikal, sebaliknya ada pelbagai cara lain. Dalam sistem maya, terdapat tiga jenis yang dipanggil internet iaitu internet itu sendiri, deep web (web tidak kelihatan atau tersembunyi) dan dark web (rumah kepada laman sesawang yang dihoskan tanpa nama dan banyak berurusan dalam aktiviti haram).

“Hanya empat peratus daripada keseluruhan informasi datangnya daripada internet, manakala 96 peratus lagi pula berdasarkan kepada deep web dan dark web.

“Bayangkan jika transaksi rasuah berlaku, ia sukar untuk dikesan dengan cepat. Namun agensi penguat kuasa kita mesti mempunyai kepakaran seperti ethical hacking (penggodam beretika) dan perakaunan forensik, di samping bersedia dengan perubahan korupsi itu kerana generasi Y, Z, alfa dan sebagainya pasti akan mencari jalan untuk menghilangkan jejak mereka dalam aktiviti rasuah secara digital,” katanya.

Akhbar yang juga Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah berkata: “Kehidupan kita sudah menjadi materialistik dan kebanyakan rasuah yang berlaku ditunjukkan oleh pemimpin, selain kes-kes besar yang disorot oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Dari segi teori fraud, tiga sebab utamanya adalah tekanan (pressure), peluang (opportunity) dan rasionalisasi (rationalization). Tekanan hidup mewah, orang rumah dan sebagainya memicu kepada amalan tersebut.

Rasuah

MEMAKAN harta yang batil dilarang keras dalam Islam dan ia boleh menjebakkan pelakunya dilaknat oleh ALLAH SWT.

“Malah, peluang terbentang di hadapan mata, selain sistem kontrak dan integriti pegawai yang lemah menyebabkan ada yang terjebak dengan korupsi. Begitu juga dengan rasionalisasi apabila dalam diri kita, wujud dialog bahawa ‘kalau orang atas buat, aku pun boleh buat juga’. Begitulah bagaimana punca-punca tersebut memicu kepada salah laku berkenaan.”

Dalam pada itu, mantan Presiden Tranparency International Malaysia itu turut mengakui sukar membanteras salah laku rasuah kerana krisis integriti dalam kalangan masyarakat meskipun mereka menyaksikan sendiri beberapa siri pertuduhan korupsi di mahkamah melibatkan individu berpengaruh sejak kebelakangan ini.

“Manusia ini bersifat hedonistik dan tidak pernah cukup. Kesedaran itu datang sekejap sahaja dan amalan itu boleh berlaku lagi kerana krisis integriti.

“Jika bukan kita yang memberi, pasti ada yang meminta suapan. Justeru semua pihak bertanggungjawab memperkasakan peranan masing-masing dalam membendung salah laku tersebut,” katanya.

Foto: 123rf & Freepik