Browsing Tag

korea selatan

srab
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Mukbang Menular ke Arab Saudi, Amaran Kementerian Kesihatan

no comment

MUKBANG kini menjadi fenomena di seluruh dunia dan semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mukbang atau “eating show” yang bermula di Korea Selatan adalah rakaman video siaran langsung aktiviti makan yang disebarkan menerusi media sosial.

Kini mukbang telah menular ke negara Timur Tengah khususnya di Arab Saudi dengan pengaruhnya semakin meningkat.

Situasi itu membimbangkan kerajaan Arab Saudi apabila rata-rata pakar kesihatan menganggap ia sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri akibat aktiviti permakanan yang tidak sihat.

Mukbang gaya permakanan yang tidak sihat. Gambar: Al Arabiya.

Antara youtuber Arab Saudi yang popular dan kerap memuat naik video mukbang adalah Moe ASMR dengan jumlah pengikut di laman sesawangnya seramai 188,000; S7S (6.85 juta pengikut) dan Ameer Bros (7.08 juta pengikut). Kandungan video mereka hanya menceritakan pencarian tempat makanan baharu di negara mereka dengan penyediaan masakan istimewa.

S7S misalnya terkenal kerana mencuba pelbagai restoran di Jeddah dengan makanan yang mewah. Konsep mukbang bertujuan untuk menarik orang ramai dengan aktiviti makan sepanjang hari, kerana makanan dilihat sebagai salah satu aktiviti sosial dan melakukannya bersendirian dianggap menyedihkan.

Perkataan itu adalah gabungan daripada ‘muknun’ yang bermaksud makan dalam bahasa Korea dan ‘bangsung’ bermaksud penyiaran atau broadcast. Dua perkataan ini digabung membentuk perkataan ‘acara makan’ atau Mukbang.

Mukbang mula diperkenalkan di Korea Selatan bermula pada tahun 2010. Gambar Youtube.

Trend itu bermula pada tahun 2010 di platform streaming AfreecaTV dan bertujuan untuk menjadi sebahagian daripada kandungan popular yang dikenali sebagai ASMR. Akronim bermaksud ‘respons meridian deria autonomi’, dan video yang memaparkan ASMR bertujuan untuk menimbulkan sensasi yang menyelerakan. Ketika video mukbang disiarkan secara santai, suara makan akan diperdengarkan kuat bagi membangkitkan selera mereka yang menontonnya.

Video ini walaupun dianggap menyediakan topik yang ringan dan mudah, tetapi mempunyai tarikan penonton yang ramai. Pengacara yang mengendalikan rakaman itu biasanya akan berbual dengan penontonnya. Kadang kala ia hanya melibatkan hanya satu menu sahaja seperti ramen atau ayam goreng namun membuatkan penonton terpesona. Cabaran lain melibatkan pengambilan pelbagai makanan ringan dengan jumlah tinggi kalori seperti kerepek atau donat yang boleh membawa kepada risiko kesihatan.

Bagaimanapun, kecenderungan aksi itu mengundang kritikan pakar kesihatan yang memandangkan aktiviti itu sebagai tidak sihat dan seharusnya orang ramai mengambil berat soal penjagaan kesihatan dan berat badan yang optimum dalam kehidupan seharian.
Pakar Pemakanan di Jeddah, Dr. Ruwaida Idrees, berkata diet seperti itu boleh membawa akibat yang sangat teruk.

“Menikmati makanan dalam jumlah besar boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan kajian menunjukkan bahawa trend ini mendorong makan yang tidak terurus. Ramai mereka akan makan sebahagian besar makanan hanya untuk mengehadkan pengambilannya ketika berada di luar kamera.

“Tubuh tegap dan berotot biasanya menunjukkan bahawa seseorang itu sihat secara fizikal. Namun, jika orang ini makan terlalu banyak makanan yang tidak sihat dan membakar kalori dengan kaedah senaman yang teruk untuk mengekalkan berat badannya, itu mungkin bukan petunjuk kesihatan yang baik.

“Mentaliti pembakaran lemak adalah berbahaya. Sekiranya anda membakar 600 hingga 800 kalori dalam sesi senaman atau semasa berlari dan dibalas dengan makan burger cheese yang banyak, maka kehilangan lemak anda akan kembali ‘berjuang’ “katanya yang mengharapkan pihak Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran kepada mereka.

Dr. Ruwaida menjelaskan bahawa makan harus dirancang mengikut keperluan tubuh seseorang bergantung kepada usia, jantina dan aktiviti fizikal dan jumlah kalori harus dipertimbangkan, sama pentingnya untuk mempertimbangkan sumber kalori.

“Apa yang anda makan memberi isyarat kepada hormon anda untuk menyimpan atau membakar lemak, meningkatkan atau merosakkan metabolisme dan membina atau memecahkan otot. Tidak semua kalori dibuat sama.

“Anda tidak akan pernah mengatakan bahawa kalori dalam bayam adalah sama dengan kalori dalam segelas ais krim, bukan? Kalori dalam bayam mencetuskan tindak balas berbeza dalam badan anda,” katanya.

Tambahnya, memakan makanan yang tidak sihat dan membakarnya dalam jangka pendek menyumbang kepada tekanan dan keletihan dan menghabiskan tenaga yang diperlukan untuk aktiviti biasa, seperti bekerja.

“Dalam jangka panjang, ia dapat menyumbang kepada peningkatan risiko terkena tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung, gangguan makan dan kemurungan,” katanya.

Perunding Psikiatri Kanan, Pusat Gangguan Makan Stockholm, Mattias Strand, berkata pihaknya telah melakukan kajian pertama mengenai mukbang dan gangguan makan dan mengatakan bahawa video ini boleh menjadi factor yang merosakkan.

“Kesan fizikal pada pengacara video amat membimbangkan, apatah lagi rancangan mukbang juga boleh mengudang ikutan kepada penonton.

“Kami mendapati bahawa menonton mukbang boleh menimbulkan masalah bagi orang-orang yang sudah menderita isu makan yang tidak teratur.

“Sebilangan penonton akan terpengaruh untuk mencuba merasai pelbagai makanan dan akan kembali dengan gaya permakanan yang tidak sihat, tidak teratur dan seterusnya mendatangkan mudarat kepada tubuh badan,” kata pakar psikiatri itu.

Sumber: Arab News

CsJPJVgUkAAVY-_
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Salah Faham Islam di Korea Selatan

no comment

Dia bersembunyi di tandas awam stesen kereta api bawah tanah kerana malu, mencari perlindungan daripada menjadi tatapan masyarakat.

Ini adalah kali pertama dia memakai jilbab atau tudung bagi menutup auratnya.

Song Bo Ra mula memeluk Islam sejak 2007. Gambar Instagram

“Semua orang memandang, membuatkan saya merasa sangat malu, jadi saya pergi bersembunyi dan menunggu orang ramai bersurai,” kata Song Bo-Ra mengimbas kenangan lalu ketika mula mendapat hidayah untuk memeluk Islam.

Katanya, hanya kerana sehelai kain yang nampak sederhana, masyarakat Korea Selatan memandangnya seperti orang asing di bandar kelahirannya di Pelabuhan Tenggara Busan.

Song, yang berusia 30-an, memeluk agama Islam pada tahun 2007 setelah bertahun-tahun membaca mengenai agama itu.

Dia tertarik dengan sejarah dan budaya Arab sejak muda dan mendapati Islam adalah agama yang baik baginya.

“Ramai orang Korea bertanya mengapa saya memakai tudung. Mereka berpendapat bahawa tudung digunakan untuk mengawal kebebasan wanita dan bahawa kita dipaksa untuk memakainya.

“Bertukar penampilan adalah keputusan yang sangat peribadi, tetapi memakai tudung sebagai simbol kepercayaan membuatkan saya lebih menonjol dari orang ramai. Ia menarik pandangan walaupun masyarakat bercakap perkara yang menyakitkan hati kita mengenai Islam,” katanya.

Sejak berpindah ke Seoul tujuh tahun yang lalu, Song mula memakai tudung setiap hari apabila keluar dari rumahnya.

Dia yang tinggal di Itaewon yang juga dikenali sebagai kejiranan yang mempunyai kepelbagaian budaya di Korea Selatan, malah persekitaran itu juga memiliki sebuah masjid pertama di Seoul yang diberi nama Masjid Pusat Seoul.

Song Bo Ra pernah menjadi guru agama di Korea Selatan sebelum ini. Gambar-Kumparan

“Umat Islam berkumpul di masjid ini pada setiap hari Jumaat dan sebelum wabak Covid-19, pelancong muslim ramai yang datang ke sini untuk mendapatkan makanan halal. Di sini juga kita tidak merasa janggal apabila memakai tudung.

“Ramai orang Korea mempunyai salah faham mengenai Islam. Mereka bertanya mengapa saya memakai tudung.

“Mereka berpendapat bahawa tudung digunakan untuk mengawal wanita dan kebebasan mereka, dan kita dipaksa untuk memakainya,” katanya yang tetap dihujani dengan pertanyaan dari masyarakat senegaranya mengenai pilihan memakai tudung.

Song yang juga bekerja di Pusat Perniagaan & Kebudayaan Islam-Korea, kecewa kerana tudung sering dianggap sebagai simbol keganasan, malah pernah disindir oleh rakan senegaranya yang bertanya adakah dia menyokong kumpulan militan di Iraq dan Syria (ISIS) dan apakah dia telah bertemu dengan anggota ISIS.

“Saya hanya mampu ketawa sebelum menjelaskan bahawa kita semua mahu hidup dengan aman dan damai,” katanya.

Menurut Song, memandangkan agama Buddha dan Kristian adalah agama yang paling dominan di Korea Selatan, Islam sering disalahfaham dan tidak dipercayai selepas berlaku beberapa peristiwa yang dikaitkan dengan Islamfobia.

Tambahnya, ramai orang Korea mengaitkannya Islam dengan keganasan setelah penculikan 23 mubaligh Korea Selatan pada 2007 oleh anggota Taliban.

Dua terbunuh sebelum pemerintah Korea Selatan mencapai kesepakatan untuk memberkas kumpulan itu.

“Berita ini mendominasi berita utama selama berminggu-minggu sehingga menimbulkan kesan negatif terhadap Islam yang masih ada hingga hari ini.

Lee Seul bersama suaminya dari Malaysia, Muhamad Khalid Ismail di kampung halamannya di Kelantan ketika mereka melangsungkan perkahwinan tradisional orang Melayu pada tahun 2018. Gambar: Lee Seul

“Sahabat saya, Lee Seul, 32 yang berkahwin dengan orang Malaysia turut mengejutkan masyarakat Korea apabila memberitahu bahawa dia sudah memeluk agama Islam. Mereka pertama kali bertemu di sebuah majlis di Seoul tujuh tahun yang lalu dan dia menukar agamanya selepas mereka berkawan.

“Dia berkata kepada saya, bagaimana orang baik budi pekerti, kacak dan lulusan dari Universiti Korea serta sekarang memiliki pekerjaan yang baik di Samsung boleh dianggap sebagai pengganas?”

“Bagaimanapun, Lee Seul tetap merasa tertekan dengan anggap masyarakat terhadap Islam, lalu dia banyak mencari jawapan melalui internet dan ternyata kebanyakkan orang bercerita mengenai keburukan Islam.

“Akhirnya dia mendapat kesimpulan selepas membaca banyak artikel di dalam Bahasa Inggeris yang membincangkan mengenai Islam. Salah faham mengenai Islam semakin banyak diketahui Lee Seul dan itu menambah keyakinan dan kepercayaannya terhadap Islam apatah lagi melihat Islam semakin diterima dan berkembang di seluruh dunia,” katanya yang kini bahagia bersama suaminya, Muhamad Khalid Ismail, 33.

Song Bo Ra mempunyai pengikut hampir 200,000 di instagramnya. Gambar Song Bo Ra.

Song, yang mempunyai 198,000 pengikut di Instagram, mengatakan bahawa dia menggunakan saluran tersebut untuk mempromosikan persefahaman antara Muslim Korea dan non-Muslim selain untuk membantu Muslim asing memahami Korea Selatan dengan lebih baik.

Dia sering memasukkan gambarnya di media sosial dengan mengenakan pakaian tradisional Korea Selatan dan mendapati ia sesuai digayakan bersama tudungnya.

Walaupun berniat baik, namun Song tetap tidak terlepas mendapat kecaman daripada pembenci Islam yang menyindirnya dengan mengatakan dia yakin Song akan mengenakan jaket bom pula suatu hari nanti.

“Saya tidak membalas komen itu kerana pastinya mereka salah faham, saya akan cuba menjelaskan Islam kepada mereka,”katanya.

Namun, dia mengatakan dia mungkin akan berhijrah jika dia mempunyai anak suatu hari nanti kerana bimbang jika dilahirkan sebagai Muslim Korea, anaknya pasti akan dibuli di sekolah.

Menurut Persekutuan Muslim Korea (KMF), komuniti Islam di Korea Selatan sudah melebihi 200,000 orang atau 0.38 peratus daripada populasi penduduk Korea Selatan.

Kira-kira 10,000 penduduk Islam adalah terdiri daripada migran dari Turki, Pakistan dan Uzbekistan yang telah mendapat status penduduk tetap atau warganegara Korea Selatan dan mereka merupakan pekerja atau pelajar.

Islam dilarang di Korea selama berabad-abad lamanya sejak zaman Dinasti Joseon (1392-1910). Islam mula bertapak di Semenanjung Korea sejak abad ke-9 hingga ke-11 oleh orang-orang Arab yang mengembara di Jalan Sutera dan dibantu oleh tentera Turki yang terus bertahan hingga hari ini setelah bertempur dengan Perang Korea 1950-1953.

Kira-kira 15,000 askar Turki telah menjadi sukarelawan di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malah sebahagian daripadanya sempat menyebarkan Islam di kalangan orang Korea Selatan.

Timbalan pengarah Persekutuan Muslim Korea Jang Huseyin di hadapan Masjid Pusat Seoul. Gambar Chang May Choon

Timbalan pengarah KMF Jang Huseyin, berkata masyarakat Korea yang terpengaruh dengan Islam selepas tentera Turki melayani mereka dengan baik, menjadi pelindung mereka dalam situasi merbahaya malah tentera Turki juga berjaya membuka sekolah untuk anak-anak yatim dan menjaga mereka dengan baik.

“Tentera Turki juga berkongsi makanan mereka kerana dalam Islam, kita diajar untuk berkongsi makanan dengan jiran kita jika kita tahu mereka lapar, katanya Jang yang dilahirkan di Turki tetapi mengambil nama Korea sebagai warganegaranya.

Filem Turki berjudul Ayla 2017 mengambil inspirasi daripada kisah benar yang menceritakan seorang tentera Turki mencari seorang anak Korea yang pernah dijaganya semasa diletakkan di bawah jagaannya ketika perang berlaku.

Kisah itu mendapat perhatian stesen TV MBC dan usaha menemukan mereka akhir berjaya.

“Mereka bertemu di Turki dan situasinya sangat beremosi. Mereka berpelukan dan menangis dan dia mengundangnya ke Korea. Ini adalah kisah benar dan sangat indah, ”kata Jang.

Bangkitnya pengaruh Muslim Korea

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemuda Muslim Korea menggunakan media sosial untuk berkongsi pengalaman dan meningkatkan kesedaran mengenai Islam.

Ayana Moon. Gambar: Fajar

Antara yang paling berjaya adalah Ayana Moon yang berhijrah ke Indonesia dan mempunyai 3.3 juta pengikut di Instagram. Selain itu, Daud Kim yang menetap di Korea Selatan juga mempunyai 2.6 juta pengikut di YouTube setelah mendapat ramai peminat dari Malaysia.

Walaupun gembira melihat pemuda Muslim Korea aktif mengajak pengikutnya mendalami Islam, namun, Jang dari KMF mengatakan bahawa sebilangan mereka kekurangan pengetahuan mendalam tentang Islam dan akhirnya berkongsi maklumat yang salah. “Saya sedikit marah kerana ada di antara mereka yang hanya menggunakan Islam untuk menjana wang,” tambahnya.

Lee Seul dan suaminya dari Malaysia Muhamad Khalid Ismail dan ibu bapa mereka pada majlis perkahwinan tradisional Korea mereka pada bulan Oktober 2017. Gambar Lee Seul

Menurut Lee Seul lagi, dia bimbang dengan isi kandungan yang melampau beberapa YouTuber Muslim Korea, seperti berdoa di tengah jalan sehingga boleh mengundang persepsi buruk terhadap Islam.

“Saya akan memakai tudung di Malaysia kerana tidak ada yang akan mengganggu saya. Tetapi di Korea, orang mungkin menarik tudung saya, kata saya gila, memarahi saya dan saya tidak bersedia untuk diperlakukan seperti itu, saya tidak begitu berani.

Cik Lee Seul bersama suaminya dari Malaysia, Muhamad Khalid Ismail pada hari perkahwinan tradisional Korea mereka yang diadakan di bandar Suwon, selatan Seoul, pada bulan Oktober 2017. Gambar: Lee Seul

“Adakah jika saya mahu memakai tudung, saya hanya perlu berbahasa Inggeris bagi membolehkan orang Korea menganggap saya sebagai orang asing, adakah itu cara lebih mudah?

“Walaupun perbuatan ini mungkin memberi kemenangan kepada mereka kerana berjaya menghalang kebebasan beragama di Korea berbanding penerimaan Islam di negara-negara lain, namun mereka telah meletakkan negara itu dalam persepsi negatif kerana masih mencurigai Islam,” katanya yang mengakui masih belum bersedia untuk mengenakan tudung setiap hari.

Sumber: The Straits Times.