Browsing Tag

kongsi scan ultrasound imbasan bayi

Berita Semasa,

Kongsi scan ultrasound di media sosial? Ini pandangan dalam konteks agama

SAAT seorang wanita itu disahkan hamil, perasaan gembira dan teruja menguasai diri. Apatah lagi jika ia merupakan kehamilan pertama.

Bukan sahaja isteri, tetapi suami juga tidak kurang keterujaannya mendengar perkhabaran gembira itu. Berita itulah yang ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang sudah berkahwin.

Apabila terlalu teruja, kita akan mengekspresikan emosi berkenaan. Berita gembira itu pasti akan sampai juga kepada ibu bapa di kampung dan orang terdekat.

Kadangkala ada juga pasangan yang berkongsi gambar imbasan bayi dalam kandungan di media sosial masing-masing. Tujuannya hanyalah sekadar ingin berkongsi berita gembira bersama kenalan.

Begitulah yang dapat kita lihat pada hari ini. Masyarakat dengan media sosial berpisah tiada. Hampir segala yang dilakukan pasti akan dikongsikan dalam platform berkenaan.

Bagaimanapun, ada segelintir masyarakat kurang bersetuju jika imbasan janin dalam kandungan itu dipertontonkan kepada umum.

Apa tidaknya, perutkan merupakan anggota yang wajib ditutup. Namun, kita pula seolah-olah sengaja menunjukkan kepada khalayak di sebalik bahagian yang menjadi aurat berkenaan. Apakah pandangan Islam dalam hal ini?

Memang tidak elok sebenarnya kita melakukan perkara itu. Ketahuilah, perbuatan itu sebenarnya bertentangan dengan asal maksud janin itu sendiri.

Janin berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud ‘perkara yang tersembunyi’.

(Artikel berkaitan: Baca mathurat sambil riba anak, doktor muda ini kongsi amalan didik bayinya celik agama dari kecil)

Oleh sebab itu, tidak sepatutnya kita memperlihatkannya kepada umum melainkan ada keperluan seperti urusan perubatan atau tujuan pengajaran.

Ada sebab kenapa perbuatan itu tidak dibenarkan. Ia dikhuatiri akan mengundang fitnah seperti aib dan sangkaan-sangkaan manusia.

Pun demikian, gambar foto sebenarnya bukanlah aurat fizikal yang haram dilihat secara langsung kecuali ia membawa kepada syahwat dan fitnah.

Sama juga dengan organ dalaman manusia contohnya jantung, hati dan rahim. Ia juga bukanlah termasuk dalam kategori aurat sebagaimana makna perhiasan berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW dan para sahabat.

Sungguhpun demikian, lebih baik seandainya kita tidak mempamerkan ‘perkara yang tersembunyi’ itu. Ia demi kebaikan kita bersama.

Kepada bakal ibu dan bapa, ambillah perhatian tentang perkara ini. Jangan ambil mudah.

Sumber: Al-Kafi #417: Adakah Foto Ultrasound Rahim itu Aurat?, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan