Browsing Tag

kompleks

d537108f-05ea-4318-ae5e-0bf1e36eee18
Berita Semasa,

AHK Medan Bekalan Akhirat Mercu Tanda Syiar Islam Pertama

SELURUH umat Islam diingatkan untuk terus melakukan persiapan sebagai bekalan akhirat dalam kita menanti hari kematian yang bakal tiba pada bila-bila masa.

Kehidupan yang pendek ini juga mengingatkan kita betapa amal ibadat dan amal jariah kita cukup atau tidak sebagai simpanan bagi memulakan kehidupan sebenar di negara abadi kelak.

Atas metodologi ini jugalah timbul ilham perancangan penubuhan Kompleks Anjung Husnul Khatimah (AHK) di bawah Yayasan Sabha sebagai lubuk menimba ilmu akhirat. Ia dirancang dibangunkan penghujung tahun ini dan bakal menjadi mercu tanda kebanggaan negara dalam menegakkan syiar Islam.

Datuk Dr Hasan Hj Mohamed Ali

Pengasas AHK yang juga Pengerusi Yayasan Sabha, Datuk Dr Hasan Hj Mohamed Ali, berkata kompleks itu akan menjadi organisasi yang unik dengan menggabungkan teori dan praktikal kepada masyarakat Islam yang ingin menambah ilmu sebagai bekalan sebelum mati.

Menurut Dr Hasan, AHK adalah Inisiatif yang pertama di dunia dan satu-satunya di Asia yang menyediakan modul pembelajaran mengikut konsep, metodologi dan kandungan program menjurus terus kepada ilmu dan amal ibadat secara intensif.

“AHK diurus menggunakan prinsip ‘non-profit making’, amal jariah, fisabilillah dan amal soleh. Ianya dibangun dan dikendalikan sebagai satu cabang dakwah yang menekankan kepentingan mewujudkan institusi, program dan gerak kerja berbentuk fizikal.

Tapak kompleks Anjung Husnul Khatimah di Bukit Cherakah, Selangor Darul Ehsan.

“Tapak kompleks seluas 1.3 hektar dengan nilaian tanah berharga RM2.5 juta itu telah diwakafkan atas nama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai pemegang amanah kepada harta wakaf milik ALLAH SWT itu.

“Ia akan dibangunkan di tapak Lot PT 29616, Bukit Cherakah, Selangor Darul Ehsan, berdekatan dengan Kampus Baru dan Fakulti Perubatan UiTM yang akan memulakan pembinaan pada penghujung tahun ini dan dijangka siap pada tahun 2023,” katanya pada sidang media atas talian, semalam.

Tambah Dr Hasan, AHK menyediakan program Pendidikan Hujung Usia dengan menyediakan modul kepada peserta lelaki dan perempuan berusia 40 tahun ke atas untuk memahami, mendalami, menghayati dan mempraktik ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.

Selain aktiviti motivasi, kaunseling, perkhemahan ibadah, majlis ilmu dan sambutan bulan Islam yang membawa kepada promosi dan pemasaran Kompleks Anjung Husnul Khatimah.

“Semua modul berasaskan amali dengan merangka kandungan program yang menekankan aspek amali dalam mana mereka boleh meneruskan sendiri apa yang dipelajari bila pulang ke kediaman masing-masing.

“Di sini kami menyediakan persediaan lengkap melibatkan dua kategori peserta iaitu yang pertama ibu, bapa atau individu dewasa dan kategori kedua bagi kanak-kanak berusia 15 tahun,” katanya yang turut menerima peserta dari negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Kategori pertama dibahagikan kepada lima modul dan kategori kedua disediakan empat modul di mana setiap satu modul akan dihabiskan peserta sepanjang program tiga hari dua malam. Antara modul-modulnya mengikut kategori seperti:-

Kategori 1
Modul 1: Tahap-Tahap Kehidupan Insan: Alam Rahim Ke Liang Lahad.
Modul 2: Mempraktik Kehidupan Seimbang Antara Tuntutan Dunia Dan Akhirat.
Modul 3: Ilmu Fardhu Ain Dan Fardhu Kifayah Bagi Warga Hujung Usia.
Modul 4: Membina Keperibadian Muslim Sejati Sebagai Pra-Syarat Mati Dalam Husnul Khatimah.
Modul 5: Menangani Cabaran Dan Halangan Menjadi Insan Yang Dicintai ALLAH SWT.

Kategori 2
Modul 1: Kasih Sayang, Dan Adab Tertib Menjaga Ibubapa Hujung Usia.
Modul 2: Mengurus Ibubapa Yang Sedang Nazak.
Modul 3: Tanggungjawab Anak-Anak Mengurus Jenazah Ibubapa.
Modul 4: Mengurus Harta Tinggalan Ibu bapa Bagi Mengelakkan Konflik Di Kalangan Ahli Waris.

Sementara bagi kos keseluruhan pembinaan kompleks AHK dianggarkan RM15 juta hingga RM20 juta membabitkan pelbagai kemudahan infrastruktur bagi keselesaan umat Islam. Sehingga kini AHK telah berjaya mengumpul dana daripada orang ramai yang dibuka sejak awal tahun ini telah mencecah RM1.5 juta.

Gambaran bangunan Kompleks Anjung Husnul Khatimah

Antara komponen-komponen bangunan yang akan dibina seperti:
• Pusat Islam
• 125 bilik penginapan (berhawa dingin)
• Auditorium (kapasiti 350 orang)
• 10 bilik kuliah (berhawa dingin)
• Ruang masak dan dewan makanBlok pentadbiran
• Bilik rawatan
• 2 unit Gymnasium (Lelaki & Wanita)
• Ruang rehat yang selesa
• Ruang tamu mesra
• Kiosk serba guna
• Ruang masak dan dewan makan
• 8 kuaters untuk staff
• Tandas awam
• Tempat letak kereta yang mencukupi
• Stor
• Kebuk sampah
• *Struktur bangunan dan kemudahan mengikut piawaian bertaraf 3 bintang.

Menurut Dr Hasan, mereka yang berkemampuan untuk menginfak, wakaf, sumbangan dan sedekah amat dialu-alukan bagi bagi menampung kos pengurusan, makan minum dan, penyelenggaraan. Orang ramai juga boleh terus menyumbang ke akaun Yayasan Kebajikan Sabha 5642 7652 7165 (Maybank).