Browsing Tag

kkm

zamzam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

zamzam

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

“Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

“Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang semalam.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan air zamzam secara runcit di Malaysia.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pula memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

zamzam

IKLAN yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM melarang penjualan air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Melalui pemantauan BKMM terhadap platform atas talian pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Baca juga Saintis Jepun Temui Rahsia dan Akui Keajaiban Air Zamzam

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Kata Dr Noor Hisham lagi, “KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di https://www.facebook.com/BKKMHQ.

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Foto: Facebook