Browsing Tag

kifarat dosa

Tukang sembelih
Isu, Pilihan Editor,

Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

no comment

PADA tahun ini, sekali lagi umat Islam dari luar Arab Saudi tidak berpeluang menjadi tetamu ALLAH SWT bagi menunaikan Rukun Islam ke-5.

Meskipun demikian, usahlah kita menyimpan rasa duka atau memendam lara di dalam hati. Apatah lagi kita bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai depan. Ini kerana masih terdapat satu ibadah lagi yang boleh kita lakukan pada hari kebesaran umat Islam itu.

Ketahuilah bahawa tiada amalan yang lebih disukai oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW saat tibanya Hari Raya Aidiladha, selain daripada melaksanakan ibadah korban.

Walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada pula sebahagian kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan, kita masih tetap boleh melaksanakan ibadah berkenaan dengan cara tertentu.

Justeru, kepada yang berkemampuan, sisihkanlah sedikit harta kurniaan-NYA untuk melakukan tuntutan mulia itu pada tahun ini. Apa kata kita bersama-sama berkongsi rezeki dengan insan lain, selain meraih reda daripada ALLAH SWT.

Sesungguhnya, terlalu banyak ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH SWT kepada mereka yang melakukan ibadah korban dengan ikhlas semata-mata kerana-NYA.

Antara persoalan yang selalu dilontarkan adalah benarkah ibadah korban dapat mengampunkan dosa-dosa individu yang berkorban? Adakah haiwan korban itu bakal menjadi tunggangan di akhirat kelak?

Baca juga Haram Makan Daging Korban Kerana Kasihan Pada Haiwan Yang Disembelih?

Dekatkan diri kepada ALLAH

Sinar Islam Plus melontarkan persoalan itu kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

SHARIFAH FADYLAWATY

Beliau membuka bicaranya dengan historiografi pensyariatan ibadah korban. Jelas beliau, ia bermula dari zaman Nabi Ibrahim AS. Baginda diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail AS bagi menyempurnakan suruhan dan ketaatannya kepada ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar.” (Surah al-Soffat, ayat 107)

Ujar ahli akademik itu, begitu besarnya makna ibadah korban kerana ia bermaksud menyembelih haiwan tertentu sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Ia dilakukan pada waktu tertentu iaitu bermula setelah selesainya Solat Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijah).

“Ibadah ini disyariatkan kepada umat Islam pada tahun ke-2 Hijrah. Pensyariatannya boleh dilihat menerusi ayat 2, Surah al-Kauthar,” katanya ketika ditemubual secara maya baru-baru ini.

Walaupun majoriti ulama termasuklah daripada as-Syafi’iyyah berpandangan bahawa melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi mereka yang berkemampuan, namun Sharifah Fadylawaty mengingatkan hukumnya boleh menjadi wajib dalam keadaan tertentu.

Jelas beliau, terdapat dua keadaan yang menyebabkan ibadah korban menjadi wajib. Pertama, apabila seseorang itu mengisyaratkan kepada haiwan-haiwan yang sesuai untuk korban kepunyaannya.

“Sebagai contoh, dia menyebutkan bahawa ‘Ini adalah korbanku’ atau ‘Aku akan korbankan kambing ini’. Dalam keadaan sebegini, maka dia wajib melakukannya.

“Begitu juga halnya apabila seseorang itu bernazar untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan melakukan ibadah korban.

“Misalnya, dia berkata ‘Wajib ke atasku korban kerana ALLAH SWT’. Jika begitu situasinya, maka ibadah korban menjadi wajib ke atasnya kerana nazar wajib ditunaikan,” jelasnya.

Ibadah korban

WAKTU ibadah korban adalah selama empat hari bermula setelah selesainya Solat Sunat Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijah.

Kepada satu soalan, Sharifah Fadylawaty menjawab: “Tidak salah jika sesiapa mahu melakukan ibadah korban saban tahun. Malah, digalakkan untuk berkorban kepada mereka yang berkemampuan, sekalipun pada setiap tahun. Namun, seandainya kita tidak melaksanakannya, ia tidaklah dihukumkan sebagai berdosa.”

Baca juga Antara Ibadah Korban Dan Akikah, Mana Perlu Diutamakan?

Ganjaran besar menanti

Menyambung hujahnya, pensyarah itu kemudian berkongsi tentang ganjaran istimewa yang menanti buat mereka yang melaksanakan ibadah berkenaan.

Terdapat banyak hadis menceritakan tentang ganjaran kepada golongan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT menerusi korban.

Antaranya Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh ALLAH selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda ALLAH SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” (Riwayat at-Tirmizi)

Bukan itu sahaja, Zaid bin Arqam berkata, sahabat Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah ertinya korbankorban ini?” Baginda menjawab: “Ia adalah sunah bapa kamu Nabi Ibrahim AS”. Mereka bertanya: “Apakah ganjaran korban bagi kami wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Setiap helai bulu pada kulit mendapat satu pahala kebajikan (kebaikan).” (Riwayat Hakim, Ahmad dan Ibnu Majah)

Tidak cukup sekadar itu, ujar Sharifah Fadylawaty, titisan darah haiwan korban yang keluar akan menjadi pengampunan dosa-dosa lalu kepada mereka yang melaksanakan ibadah berkenaan sebagaimana disebutkan dalam sebuah Hadis Riwayat al-Hakim.

Senada dengan fakta yang dikemukakan Sharifah Fadylawaty ialah pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran.

IMAM MUDA ARAN

Meskipun dijanjikan pengampunan dosa-dosa lalu, beliau mengingatkan, ia hanyalah melibatkan dosa-dosa yang kecil sahaja.

“Sementelah, dosa-dosa besar pula memerlukan taubat nasuha. Jika melibatkan dosa sesama manusia, ia perlu diselesaikan dengan meminta maaf daripada individu yang telah disakiti.

“Ibadah korban sebenarnya sebagai kifarat buat diri kita. Masakan tidak, sepanjang tahun, memang banyak kewajipan yang dilakukan termasuklah solat fardu, tetapi kekurangan yang ada padanya boleh ditampung dengan solat sunat.

“Sebaliknya, bagi perbuatan dosa pula, ibadah korban menjadi salah satu daripada kifarat dosa-dosa kita,” ujarnya.

Saksi ketaatan

Benarkah haiwan yang dikorbankan bakal menjadi tunggangan kita ketika di akhirat kelak?

Menjawab persoalan itu, Imam Muda Aran menjelaskan, antara ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang melakukan ibadah korban dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan ialah haiwan yang dikorbankan itu akan menjadi saksi terhadap segala amalan ketaatan yang dilakukan di dunia.

“Sebab itulah dalam hadis masyhur menyatakan bahawa ibadah paling afdal untuk dilakukan pada Hari Raya Aidiladha adalah dengan menumpahkan darah haiwan korban. Ini kerana binatang itulah yang akan datang di akhirat kelak sebagaimana keadaan asalnya tanpa ada kekurangan dan kecacatan.

“Disebabkan itu, kita disuruh supaya memilih haiwan korban yang terbaik, paling gemuk, tidak cacat, sempurna, paling elok dan sebagainya kerana ia akan menjadi tunggangan buat orang yang berkorban ketika melintas di titian sirat kelak.

Ibadah korban

BAGI mereka yang berkemampuan, lakukanlah ibadah korban yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, selain membantu golongan fakir dan miskin merasai kenikmatan daging korban.

“Meskipun ulama berselisih pendapat tentang hadis berkenaan, namun Syeikh al-Mubarakfuri menilainya sebagai hadis hasan,” katanya.

Sesungguhnya, terlalu besar ganjaran yang dijanjikan ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang berkorban semata-mata untuk taqarrub kepada-NYA, ungkapnya.

Pendakwah itu menambah, hikmah di sebalik ibadah itu adalah sebagai tanda kita bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.

“Nikmat itu datang dari tahun ke tahun. Sebab itulah mengapa kita melakukan ibadah korban saban tahun, bukannya seumur hidup sekali. Masakan tidak, dalam tempoh setahun itu, terlalu banyak kurniaan-NYA yang kita kecapi.

“Ada nikmat sihat, bahagia, kemewahan, harta dan paling penting adalah nikmat iman. Kita kekal sebagai Islam. Subhanallah, begitu banyak sekali pemberian-NYA yang kita peroleh,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Imam Muda Aran, ibadah mulia itu juga membantu golongan susah dengan membelanjakan harta untuk mereka.

“Ketahuilah, membantu orang susah merupakan sifat orang beriman. Ibadah korban yang kita buat untuk membantu golongan ini merasai nikmat makan daging. Secara tidak langsung, kita sebenarnya sedang bersedekah.

“Dengan asbab itu, ALLAH SWT akan lipat gandakan lagi harta dan pemberian-NYA kepada kita kerana menzahirkan rasa syukur dengan cara sebegitu,” katanya.

Ibadah korban

PILIHLAH haiwan yang terbaik, sempurna dan tidak mempunyai kecacatan untuk dikorbankan ketika Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Selasa depan.

Penuhi syarat jika mahu lakukan ibadah untuk orang lain

WALAUPUN ibadah korban sangat dituntut bagi orang yang baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan, namun terdapat syarat-syarat tertentu seandainya berhajat untuk melakukannya untuk pihak lain.

Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Da’i Syafiqah menjelaskan, terdapat dua pengelasan pihak lain sebagaimana disebutkan dalam syariat iaitu melakukan ibadah korban untuk orang yang masih hidup dan satu lagi melibatkan individu yang sudah meninggal dunia.

DA’I SYAFIQAH

Bagi melakukan korban untuk orang yang masih hidup seperti ibu bapa, individu yang ingin menampung perbelanjaan itu mestilah mendapatkan keizinan daripada empunya badan.

“Itu adalah syarat yang mengharuskan seseorang untuk melakukan korban bagi orang lain yang masih hidup. Ini kerana korban itu adalah satu ibadah. Melakukan ibadah untuk orang lain adalah ditegah, kecuali jika ada dalil yang mengharuskan untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, wali (bapa dan datuk sahaja) boleh melakukan korban daripada hartanya untuk orang yang di bawah tanggungannya seperti anak dan isterinya tanpa izin mereka.

“Namun begitu, ia tidaklah menggugurkan tuntutan korban ke atas orang-orang Islam berkemampuan yang lain kerana apa yang diperoleh daripada sembelihan wali atau ketua itu adalah perolehan pahala semata-mata bagi orang Islam,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Sementelah, bagi ibadah korban untuk individu yang sudah meninggal dunia, ujar Da’i Syafiqah, para ulama berselisih pendapat mengenainya.

“Namun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung dengan pandangan kebanyakan ulama as-Syafi’iyyah iaitu mesti ada wasiat daripada si mati untuk melakukan korban buat dirinya,” jelasnya.

Mengulas tentang pahala sedekah korban kepada orang lain khususnya bagi insan yang sudah menemui Sang Pencipta, Da’i Syafiqah menjelaskan, perkara itu dibolehkan.

“Menurut Dr Wahbah Zuhaili Rahimahullah, jika seorang itu melakukan korban dan meniatkan pahalanya buat ibu dan ayahnya yang telah meninggal dunia, pahala itu sampai kepada kedua orang tuanya itu dengan izin ALLAH SWT.

“Kepada yang sudah kematian orang tua, mereka masih boleh lagi melakukan ibadah korban untuk dirinya. Pada masa sama, pahala korban tadi boleh disedekahkan buat ibu ayah masing-masing,” katanya.

Ibadah korban

AGIHKAN daging korban mengikut ketetapan yang ditetapkan oleh agama Islam.

ANEKDOT

INFO tambahan mengenai ibadah korban

– Disunatkan kepada orang yang melakukan ibadah korban supaya tidak menggunting atau mencukur rambut dan memotong kuku apabila masuknya 1 Zulhijah.

– Menyembelih sendiri binatang korban. Jika tidak mampu, harus diwakilkan kepada orang lain untuk menyembelihnya dan sunat mewakilkan korban kepada orang yang alim mengenai hukum-hakam berkaitan ibadah itu.

– Menajamkan pisau supaya tidak menyeksa haiwan yang disembelih.

– Menyembelih dengan cara yang betul dan cepat dengan melalukan pisau secara pergi balik iaitu ke atas dan ke bawah.

– Hadapkan haiwan yang disembelih ke arah kiblat. Begitu juga tukang sembelih.

– Membaca bismillahir rahmanir rahim semasa memulakan penyembelihan.

Ibadah korban

UMAT Islam disarankan mengikuti sunah yang diajarkan ketika proses menguruskan ibadah korban.

– Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW semasa menyembelih dengan mengucapkan Allahumma salli ‘ala sayyidina Muhammad. Selawat dilafazkan selepas membaca bismillah.

– Mengucap takbir dengan melafazkan Allahu akbar selepas membaca bismillah dan berselawat.

– Berdoa selepas selesai penyembelihan iaitu: “Ya ALLAH, binatang korban ini adalah anugerah-MU dan dipersembahkan kepada-MU, maka terimalah ibadah korbanku.”

– Sekiranya haiwan korban tidak disembelih sendiri oleh individu yang berkorban, maka wakil yang menyembelihnya hendaklah membaca doa: “Ya ALLAH, binatang korban ini adalah anugerah-MU, maka terimalah korban si polan (niatlah nama individu yang berkorban.”

– Orang bermusafir juga disunatkan untuk melakukan ibadah korban.

– Sembelih haiwan korban pada waktu siang.

– Rebahkan haiwan disembelih di tempat yang lembut seperti di atas tanah dan memotong dua urat darah binatang yang disembelih iaitu halkum dan urat marih.

Sumber: Pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah (Da’i Syafiqah)

Foto: Freepik & Bernama