Browsing Tag

khutbah terakhir Rasulullah

khutbah terakhir rasulullah SAW
Rindu Rasulullah,

Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda

INI pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda…

Tiada sebaik-baik insan yang diutuskan oleh ALLAH SWT untuk memimpin umat manusia melainkan Nabi Muhammad SAW.

Walaupun kita tidak berpeluang bertemu mata dengan kekasih ALLAH itu, namun kehadirannya tetap dirasai melalui setiap ajaran yang dititipkan oleh baginda buat pegangan sekalian umat Islam.

Tanggal 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah menjadi suatu tarikh penting dalam kalendar Islam. Masakan tidak, pada hari tersebut, Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbahnya yang terakhir buat para sahabat yang juga dikenali sebagai Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan).

Ketika itu, Rasulullah berkhemah di Lembah Uranah, Bukit Arafah untuk melaksanakan haji perpisahan sambil diiringi ribuan sahabat.

Baca juga Masjid Namirah, khutbah terakhir Nabi SAW kepada umatnya di sini

khutbah terakhir rasulullah SAW

SAHABAT Nabi SAW, Rabi’ah bin Umaiyah bertanggungjawab melaung dan menyampaikan ucapan baginda kepada orang ramai di padang Arafah.

Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.”

Begitulah bait pembuka bicara pesanan terakhir Rasulullah SAW seraya duduk di atas untanya, al-Qaswa’. Khutbah itu disampaikan oleh baginda saat merasakan bahawa usianya tidak lama lagi di atas muka bumi.

Jika diamati, Khutbatul Wada’ sarat dengan iktibar untuk dijadikan ikutan umat Islam walaupun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW. Sebahagian besar daripada mesej baginda menyentuh hubungan sesama manusia.

Antaranya berkaitan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu menerusi khutbah baginda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijah).”

Baca juga Benarkah Rasulullah tidak menyebut “umatku, umatku” tatkala kewafatan Baginda?

MASJID Namirah yang terletak di Makkah telah dibina atas kawasan yang mana Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah yang terakhir buat umatnya.

Sempurnakan hak, jauhi amalan tercela

Selain itu, umat Islam juga dilarang mengambil harta seseorang tanpa persetujuan pemiliknya. Sabda Rasulullah SAW: “Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui TUHAN kamu, dan DIA pasti akan membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.”

Dalam khutbah yang sama, baginda begitu menekankan supaya umatnya menjauhi amalan riba yang membinasakan.

Sabda baginda: “ALLAH SWT telah mengharamkan riba. Oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.”

Demikianlah Islam menolak sekeras-kerasnya amalan tercela itu kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Tindakan tersebut dikira menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih dalam keadaan kesempitan wang.

Baca juga [VIDEO] Hutang masih belum habis bayar, tapi tetap mahu bersedekah. Ini yang wajib kita ambil tahu

BEGITULAH agama memuliakan wanita sehingga Rasulullah SAW mengingatkan kita untuk menjaga hak kaum hawa.

Rasulullah SAW turut mengingatkan kita agar berhati-hati dengan gangguan syaitan. Sabda baginda: “Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.”

Dalam Khutbah Perpisahan tersebut, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Sabda baginda: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.

Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka.

Baca juga Fahami lima waktu diharamkan solat

Bukan itu sahaja, setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab berikut sebagaimana yang disabdakan oleh baginda SAW: “Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH SWT, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu.

SELAIN menunaikan lima rukun Islam, kita juga dipesan oleh baginda SAW agar saling menyantuni saudara Islam.

Sabda Rasulullah SAW lagi, “Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal soleh.

“Ingatlah bahawa kamu akan mengadap ALLAH SWT pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

‘Tinggalan’ berharga Rasulullah SAW

Seterusnya, Rasulullah SAW menegaskan serta mengingatkan tentang keimanan kepada ALLAH dan rasul dan bahawa tidak akan ada lagi sesiapa selepas baginda yang akan menjadi nabi.

Lantas, baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan as-Sunnah kerana ia tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat.

KITAB suci al-Quran adalah sebaik-baik panduan hidup buat umat manusia.

Rasulullah bersabda: “Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikanlah ya ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-MU kepada hamba-hamba-MU.”

Sesungguhnya, ia bukan sekadar pesanan semata-mata. Sama-samalah kita cuba fahami, hayati dan amalkan ‘wasiat’ bernilai Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.

Ini pesanan Rasulullah SAW dalam khutbah terakhir baginda…

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), IKIM.fm & People@UTM

Foto: Pexels & Unsplash