Browsing Tag

khusyuk

Fikiran
Ibadah,

Fikiran menerawang ketika solat, bagaimana status ibadahnya?

MANUSIA semamangnya tidak boleh lari daripada berfikir. Ada sahaja perkara yang terlintas dalam ruang fikiran walaupun sedang melakukan kerja-kerja lain.

Ia termasuklah ketika sedang menunaikan solat. Entah mengapa dirasakan kita tidak habis-habis berfikir meskipun sedang menghadap ALLAH SWT.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, berfikir-fikir ketika solat sebenarnya memang hampir berlaku kepada semua orang.

Malah, katanya, Imam al-Bukhari turut meletakkan perkara itu sebagai salah satu bab bertajuk ‘Bab mengenai seseorang yang memikirkan sesuatu dalam solatnya’ menerusi kitab dikarangnya.

DR ZULKIFLI

Perawi hadis tersohor itu kemudian menukilkan kata-kata daripada Umar bin al-Khattab RA: “Sesungguhnya aku mempersiapkan tenteraku (memikirkan mengenainya), ketika aku sedang menunaikan solat.” (Sahih al-Bukhari)

Mengulas lanjut, agamawan itu menjelaskan, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani juga pernah menukilkan daripada al-Muhallab yang menyebut bahawa berfikir adalah perkara kebiasaan yang tidak mungkin dihindari oleh seseorang sama ada di dalam solat mahupun di luar sembahyang setelah ALLAH SWT menjadikan syaitan-syaitan itu ‘jalan’ ke atas manusia untuk menggoda mereka.

Baca juga Jangan layan sangat perasaan waswas bila hendak beribadah. Cuba sedaya upaya lawan penyakit gangguan syaitan itu…

“Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah teringat akan harta yakni emas yang berada di dalam rumahnya yang belum lagi dibahagikan ketika sedang mendirikan solat,” katanya sebagaimana dipetik menerusi maktabahalbakri.com.

Ia sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Uqbah bin Harith RA, beliau berkata: “Aku menunaikan solat Asar bersama Rasulullah SAW. Apabila selesai memberi salam, baginda SAW segera berdiri dan masuk ke rumah salah seorang daripada isterinya. Kemudian, baginda keluar dan melihat orang ramai terkejut disebabkan ketergesaannya, lalu baginda SAW bersabda: “Aku teringat ketika aku sedang menunaikan solat tentang emas yang kami miliki. Aku tidak suka jika sampai waktu petang – atau bermalam – emas itu masih ada pada kami. Maka aku pun memerintahkan supaya ia dibahagikan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dr Zulkifli kemudian memetik pandangan al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani yang menyatakan, hadis itu secara zahirnya menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW tidak mengulangi solatnya semula disebabkan perkara tersebut.

“Bahkan, sarjana Islam terkemuka itu menjelaskan, berfikir-fikir di dalam solat tidak menyebabkan solat seseorang itu menjadi tidak sah, selagi mana dia tidak meninggalkan mana-mana rukun solat.

Fikiran

WALAUPUN berfikir-fikir ketika solat tidak membatalkan sembahyang seseorang, tetapi sebaiknya elakkanlah sama sekali perbuatan tersebut. -FOTO: 123RF

“Dalam kalangan ulama, ada yang berpendapat bahawa berfikir-fikir dalam solat diharuskan sekiranya ia sedikit. Adapun, memikir secara terus-menerus dalam tempoh yang panjang sehingga tidak tahu berapa rakaat yang dilakukan, maka ia termasuk orang yang lalai dalam solatnya dan wajib mengulanginya semula. Demikian pandangan Ibn al-Tin.

“Bagaimanapun, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani pula tidak bersetuju dengan pendapat tersebut,” katanya.

Tidak digalakkan berfikir, berkhayal

Sebaliknya, ulama Mazhab Syafie itu berhujah bahawa Saidina Umar RA pernah memikirkan suatu perkara yang memerlukan suatu tempoh panjang seperti menghitung jizyah (cukai) yang terkumpul di Bahrain, sedangkan ketika itu khalifah berkenaan sedang mendirikan solat, ungkapnya.

Baca juga Bolehkah pejam mata ketika solat untuk tambah khusyuk?

“Diceritakan bahawa Saidina Umar RA juga pernah terlupa membaca Surah al-Fatihah ketika menunaikan solat fardu Maghrib kerana sibuk memikirkan mengenai rombongan yang beliau telah siapkan ke negeri Syam.

“Apabila menyedarinya, beliau mengulangi semula solatnya dan bacaan Surah al-Fatihah tersebut. Kemudian, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani menyimpulkan, ia menujukkan beliau mengulangi solatnya kerana meninggalkan bacaan Surah al-Fatihah dan bulannya disebabkan oleh tenggelam dalam fikirannya,” katanya.

Berdasarkan perbahasan tersebut, Dr Zulkifli menyimpulkan, baik sedikit ataupun banyak seseorang itu berfikir-fikir ketika sedang solat, ia tidaklah membatalkan sembahyangnya selagi mana seseorang itu tidak meninggalkan rukun-rukun solat.

“Bagaimanapun, jika perkara yang difikirkan itu tidak berkaitan dengan solat dan banyak, hukumnya adalah makruh.

“Begitu jugalah halnya jika seseorang memikirkan hal ehwal perempuan semasa mendirikan solat, sembahyangnya tetap sah sekiranya tiada apa-apa perkara yang membatalkannya seperti keluar sesuatu daripada kemaluannya yakni air mazi dan seumpamanya disebabkan oleh fikiran atau khayalannya,” katanya.

Fikiran

PELIHARALAH waktu solat dengan sebaik mungkin kerana ia merupakan tiang agama. -FOTO: 123RF

Meskipun solat dikerjakan tetap dianggap sah dan tidak batal, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu mengingatkan bahawa perbuatan berkhayal atau berfikir dalam tempoh lama atau banyak itu bukanlah suatu perkara yang digalakkan.

“Apatah lagi jika berfikir atau berkhayal mengenai perkara yang haram. Oleh itu, perbuatan tersebut hendaklah dihindari semampu mungkin.

“Di samping itu, kita juga dituntut untuk menghadirkan sepenuh hati dan khusyuk ketika menunaikan solat serta menghayati segala bacaan di dalamnya.

Baca juga Terasa seperti terkentut tapi ragu, perhatikan dua perkara ini sebelum membatalkan solat

“Khusyuk dalam solat merupakan salah satu ciri orang beriman yang berjaya sebagaimana dinyatakan dalam ayat 1, Surah al-Mukminun,” titip beliau.

Raih khusyuk ketika solat

Walaupun solat yang dilakukan dalam keadaan tidak khusyuk itu tidak membatalkan solat seseorang, tetapi ia boleh mengurangkan pahala sembahyang dan menjadikan solat seseorang itu tidak sempurna.

Demikian fakta yang dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa ke-145: Hukum Solat Tidak Khusyuk yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Jika seseorang melakukan perkara-perkara yang boleh menghalang kekhusyukan seperti banyak bergerak, berfikir perkara-perkara yang tiada kaitan dengan solat, banyak beralih ke kiri dan kanan, maka perbuatan tersebut adalah dimakruhkan,” jelas artikel berkenaan.

Bagi meraih khusyuk dalam solat, Sinar Islam Plus merujuk kepada artikel Al-Kafi #973: Solat Dalam Keadaan Berfikir Hal Keduniaan daripada laman web sama.

Berikut merupakan antara cara untuk khusyuk dalam solat sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Ghazali:

i. Menghadirkan hati ketika solat. Justeru, hendaklah berusaha membuang semua perkara duniawi yang tidak berkaitan dengan solat dan tiada hubungan dengan ALLAH.

ii. Memahami semua makna yang dilafazkan dalam solat seperti makna bacaan Surah al-Fatihah, lafaz ketika rukuk dan lain-lain.

Fikiran

RAIH kekhusyukan ketika solat sebagaimana yang disarankan oleh Imam al-Ghazali. -FOTO: 123RF

iii. Mengagungkan ALLAH dengan perasaan bahawa diri kita sangat kerdil dan hina di depan ALLAH SWT yang MAHA AGUNG.

iv. Menzahirkan rasa kehebatan ALLAH SWT dengan menghadirkan rasa takut dan gerun kita kepada-NYA.

v. Penuh pengharapan kepada ALLAH dengan sentiasa menaruh harapan agar amalan solat kita akan diterima oleh-NYA.

vi. Merasa malu kepada ALLAH atas kekurangan dan kelemahan diri kita.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Ayuh kita sedaya upaya meraih khusyuk ketika ‘bertemu’ ALLAH SWT. Ketahuilah bahawa syurga Firdaus menanti bagi orang yang khusyuk dalam solatnya.

Renungkanlah bait mutiara yang pernah diungkapkan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab Madaarij al-Saalikin yang berbunyi: “Solat orang-orang munafik adalah solat anggota badan, bukannya solat jantung hati.”

***Foto: Pexels