Browsing Tag

khianat

Amanah
Isu, Pilihan Editor,

Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

no comment

TATKALA diberikan suatu tanggungjawab mahupun amanah, ia bukanlah suatu tugas yang mudah. Semestinya tugas itu perlu dilunaskan dengan sebaik mungkin dan sesungguhnya tanpa sebarang keluhan ataupun alasan.

Selain itu, segalanya perlu disulami dengan keikhlasan kerana setiap apa yang kita lakukan di dunia akan disoal di hadapan ALLAH SWT pada hari perhitungan kelak.

Perasan atau tidak, kita sebenarnya sedang memikul banyak amanah. Bukan sahaja dalam menguruskan harta atau wang, tetapi juga ketika bekerja, menunaikan peranan sebagai sebagai ibu bapa, menjadi pemimpin dan seumpamanya.

Paling besar adalah amanah yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada hamba-NYA iaitu beribadah kepada Sang Pencipta dan melakukan segala perintah serta meninggalkan larangannya.

Bayangkan jika kewajiban yang besar itu pun adakalanya kita alpa, apatah lagi jika diberi kepercayaan melaksanakan tugasan lain.

Dalam al-Quran dan hadis, banyak ayat yang jelas menyuruh umat Islam supaya memelihara tanggungjawab dan tidak mengkhianatinya.

Adakah sifat amanah itu mengukur tahap keimananan seseorang? Adakah situasi-situasi tertentu yang menyebabkan amanah yang digalas itu boleh dielak?

Tunaikan hak

Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood untuk mengulas lebih lanjut mengenai topik amanah.

SITI FATAHIYAH

Ujar Siti Fatahiyah, sifat mulia itu begitu signifikan kerana dapat mewujudkan kehidupan aman dan damai di dunia, selain memberi ganjaran yang tinggi kepada pelakunya di akhirat kelak.

“Terlalu banyak manfaatnya jika mahu diungkapkan satu persatu. Ketahuilah, sifat itulah yang membawa kita kepada kehidupan yang penuh keadilan dan dapat menjauhkan kita daripada fitnah, kezaliman serta penindasan.

“Paling penting, setiap amalan yang dilakukan, waima secara zahir atau tersembunyi, akan dihitung satu demi satu saat tibanya hari kiamat kelak. Tiada seorang pun bakal bolos daripada perhitungan penuh adil tersebut,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan di atas setiap apa yang kalian pimpin.“ (Riwayat al-Bukhari)

Amanah bukan sahaja merangkumi sikap jujur, ikhlas dan tidak berbohong, tetapi skopnya lebih luas lagi. Perilaku itu kata Siti Fatahiyah, merangkumi sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan semua tuntutan dan hak mereka yang berada di sekeliling kita.

“Dalam surah al-Ahzab ada menceritakan kisah langit dan bumi serta gunung-ganang yang tidak berani memikul tanggungjawab untuk menerima amanah.

“Namun, manusia pada ketika itu sanggup menerimanya. Oleh itu, kita seharusnya berusaha dengan cara terbaik untuk melaksanakan setiap apa yang dipertanggungjawabkan,“ kata beliau.

Baca juga Tidak Sempurna Iman Biarkan Jiran Kelaparan

Menyambung hujahnya, antara amanah yang dekat dengan diri kita adalah penjagaan tubuh badan dan semua pancaindera.

“Sedarlah bahawa kita diciptakan di dunia ini untuk beribadah kepada ALLAH SWT. Justeru, kita perlu memastikan tubuh badan dan semua pancaindera kita tidak digunakan untuk perkara-perkara yang dilarang oleh-NYA.

Amanah

TUNAIKANLAH segala kewajipan kita sebagai umat Islam dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab kerana semua itu bakal dihitung di akhirat kelak.

“Pada masa sama, kita perlu menilai juga diri masing-masing sama ada sudah memenuhi segala amanah yang diberikan atau tidak. Umpamanya, amanah waris yang menjadi wali kepada anak saudara perempuan yang kematian ayah. Ia bukan hanya terletak kepada perwalian dalam pernikahan, tetapi waris tersebut juga perlu prihatin dan menjaga kebajikan anak saudaranya.

“Begitu juga waris yang diamanahkan menjaga harta anak yatim yang perlu diurus dengan baik dan perlu ada dokumentasi bagi mengelakkan perselisihan faham nanti,“ katanya.

Kepada yang bekerja terutama dari rumah akibat situasi Covid-19 yang masih meruncing, Siti Fatahiyah memberikan peringatan mesra, tetapi penuh dengan nada ketegasan.

Ungkap beliau, pastikan tugas kita dapat disempurnakan dengan sebaiknya walaupun bekerja luar dari lingkaran ofis.

“Jangan pula kita mengambil kesempatan. Namun, perlu diingatkan juga, jangan pula disebabkan kita berkerja dari rumah sampai melebihi masa sehingga mengabaikan peranan dan hak terhadap keluarga,“ nasihatnya.

Amanah

SEANDAINYA kita masih bekerja dari rumah, sempurnakanlah ia dengan sebaik-baiknya dan tidak berlengah-lengah ketika melaksanakan sesuatu tugasan itu.

Tiga jenis amanah

Bagi menjelaskan tentang hukum menjaga amanah, pendakwah Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai MK Azman berkata, sifat berkenaan merupakan prasyarat dalam menilai keimanan seseorang.

MK AZMAN

“Lawan kepada amanah adalah khianat. Orang yang pecah amanah dan tidak melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan serta menyeleweng adalah salah satu daripada tiga sifat orang-orang munafik iaitu apabila diberikan sesuatu amanah, dia mengkhianatinya.

“Hakikatnya, amanah adalah sifat terpuji yang mesti wujud dalam diri setiap manusia. Ia mesti diamalkan pada setiap saat di mana sahaja kita berada. Tidak kiralah sama ada ketika di pejabat, apatah lagi tatkala mendapat hasil atau gaji daripada apa yang dikerjakan.

“Pendek kata, sesiapa sahaja yang diberikan amanah, wajib baginya untuk melaksanakannya dengan seluruh kekuatan dan keupayaan yang ada,“ katanya.

Pendakwah itu turut mengingatkan, kelakuan luhur itu bukanlah sesuatu hiasan diri untuk dibanggakan atau sebagai cara untuk mendapatkan pangkat, kedudukan dan harta di dunia.

“Ingatlah, amanah adalah tanggungjawab untuk disempurnakan dan seseorang itu akan disoal oleh ALLAH mengenai apa yang telah diamanahkan kepadanya,“ katanya.

Amanah

SEBAGAI ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab kita terhadap amanah yang telah diberikan dan beri pendidikan sempurna kepada anak-anak supaya mereka dapat hidup dengan cara yang dianjurkan Islam.

Bolehkah amanah dikhianati dalam keadaan-keadaan tertentu? Ketika menjawab persoalan itu, MK Azman memetik pandangan Ahmad Musthafa al-Maraghi yang menyatakan bahawa amanah adalah sesuatu yang harus dipelihara dan dijaga agar sampai kepada mereka yang berhak memilikinya.

Menurut Ibn al-Araby pula, ia adalah segala sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya atau sesuatu yang diambil dengan izin pemiliknya untuk diambil manfaatnya.

“Berdasarkan pengertian tersebut, dapat difahami bahawa amanah adalah menyampaikan hak apa saja kepada pemiliknya, tidak mengambil sesuatu melebihi haknya dan tidak mengurangi hak orang lain.

Baca juga Kibar Bendera Putih Untuk Minta Bantuan, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

“Bukan itu sahaja, Ahmad Musthafa al-Maraghi turut membahagikan amanah kepada tiga jenis. Ia melibatkan amanah manusia terhadap Tuhan iaitu dengan melaksanakan semua perintah Tuhan dan meninggalkan semua larangan-NYA.

“Kedua, amanah manusia kepada orang lain dan amanah manusia terhadap dirinya sendiri. Tiga aspek ini adalah aspek amanah yang perlu dijaga oleh umat manusia,“ jelasnya.

Justeru, MK Azman menyarankan agar seluruh Muslimin dan Muslimat melunaskan amanah dengan seluruh keupayaannya melainkan tidak mampu.

“ALLAH SWT tidak akan membebankan umat manusia melebihi kemampuannya. Sebagai hamba yang lemah, kita dilarang meminta-minta diberikan amanah seperti amanah kepimpinan kerana bimbang tidak mampu menanggungnya.

“Namun begitu, andai ditakdirkan oleh-NYA bahawa kita diberi juga (amanah tersebut), maka tunaikanlah sebaik-baiknya, di samping memohon petunjuk dan pertolongan ALLAH,” ujarnya.

Amanah

APA sahaja pekerjaan yang dilakukan, tunaikanlah dengan sebaiknya semata-mata kerana ALLAH SWT. Ingatlah bahawa kerja juga merupakan suatu ibadah.

Ketika ditanya tentang perihal hadis yang menyatakan bahawa mengkhianati amanah antara petanda awal hari kiamat, MK Azman memberi penjelasan berikut:

“Sejak lahirnya Nabi Muhammad SAW, itu sebenarnya petanda awal bahawa kiamat makin hampir. Berdasarkan hadis baginda yang menyatakan bahawa ‘Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah datangnya kiamat‘, sebahagian ulama mengatakan, ia adalah tanda kecil hampirnya kiamat.

“Umat Islam semakin lama semakin hilang sifat amanah dalam diri. Urusan agama sama ada kepimpinan, keadilan dan penghakiman diserahkan kepada bukan orang yang selayaknya.

“Apabila amanah diuruskan oleh mereka yang bukan ahlinya, pasti akan berlaku kepincangan dan kehancuran.“

‘Mereka yang munafik‘

MENGKHIANATI amanah merupakan antara tanda-tanda sifat orang munafik yang disebutkan dalam hadis masyhur dan kalam ALLAH SWT.

Pendakwah Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz menjelaskan, orang munafik sudah ada sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Namun, kelompok itu hanya wujud di Madinah.

HASSAN MAHMUD

“Ketika di Tanah Suci Madinah, Islam sudah semakin kuat sehinggakan ada yang jadi munafik. Apabila mereka jumpa orang Islam, individu berkenaan mengakui dirinya mengikuti agama suci itu.

“Tatkala berjumpa dengan puak masing-masing, mereka menyatakan sebagai pengikut yang setia dan hanya olok-olok mengikuti Islam. Demikianlah maksud orang munafik pada zaman nabi.

“Jika dilihat pada zaman kita sekarang, kelompok munafik dipanggil sebagai talam dua muka dalam masyarakat kita. Orang tersebut kerap berdolak-dalik dan ketika berkawan dengan si A, dia memuji A. Apabila berkawan dengan B, dia puji pula si B tadi,“ katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Bahayanya orang munafik itu, ujar Hassan Mahmud, mereka ibarat ‘sebangsa‘ dengan orang kafir kerana bakal menerima azab yang pedih iaitu dihumban ke dalam neraka yang menjadi seburuk-buruk tempat.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orangorang kafir dengan neraka jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka dan ALLAH melaknatkan mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal.“ (Surat at-Taubah, ayat 68)

“Masakan tidak, antara tanda-tanda yang boleh kita lihat pada orang munafik adalah tidak menepati janji, suka mengumpat dan banyak sifat mazmumah lain.

“Semua itu merupakan sifat tercela yang menempah diri ke neraka. Orang munafik ini hendak kata imannya penuh pun tidak, separuh juga tidak. Cuma, dia tidak mahu isytihar dirinya kafir walaupun suka berbuat masalah dalam Islam,“ katanya.

Dalam pada itu, Hassan Mahmud berkata, golongan yang terang-terangan melakukan dosa dan maksiat serta tidak segan mempamerkannya di depan khalayak merupakan individu yang termasuk dalam kelompok fasik.

“Mereka ialah orang Islam dan kedudukannya atas sikit daripada orang munafik. Sifat mereka tidak menentang ibadah fardu seperti solat dan zakat. Cuma mereka malas hendak tunaikannya, tetapi dalam urusan lain seperti pernikahan atau makanan, mereka menggunakan cara Islam dan mencari hidangan yang halal.

“Kalau orang munafik, mereka memang menentang semua kewajipan berkenaan. Sebab itulah Rasulullah SAW dulu suruh robohkan masjid yang pernah dibina oleh orang munafik. Walaupun orang munafik mengaku dirinya Islam, tetapi hanya secara luaran sahaja. Namun begitu, dalam hatinya langsung tidak bersama Islam,“ katanya.

ANEKDOT

ANCAMAN mengingkari amanah

Amanah

JANGAN sesekali mengkhianati amanah yang diberikan.

– Orang yang mengkhianati amanah akan mendapat balasan dan ancaman ketika di dunia dan akhirat.

– Antara balasannya ialah orang yang khianat akan tergolong dalam kalangan orang munafik.

– Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga; jika berbicara, dia berbohong, jika berjanji, dia ingkari dan jika beri amanah, dia mengkhianatinya.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

– Para pengkhianat juga akan dimalukan oleh ALLAH SWT. Setelah semua manusia mati dan kehidupan di bumi selesai, maka mereka akan memasuki hari pembalasan atau kehidupan akhirat. Kemudian, semua perbuatan semasa hidup akan dihisab dengan adil termasuk para pengkhianat. Pada ketika itu, para pengkhianat akan mendapatkan bendera sebagai tanda.

– Justeru, jangan rasa senang hati jika kita melakukan khianat dalam melaksanakan amanah. ALLAH tidak menyukai para pengkhianat sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Anfal. Ini kerana pengkhianatan bukanlah sifat yang dimiliki oleh seorang mukmin.

– Pengkhianatan juga akan menimbulkan kerosakan, kerugian dan permusuhan, sedangkan Islam merupakan agama yang mengkehendaki perdamaian dan keselamatan.

– Khianat adalah salah satu jalan menuju neraka.

Sumber: Pendakwah Mohd Khairul Azman Md Daud (MK Azman)

Foto: Freepik