Browsing Tag

Khazanah 114

Berita, Berita Semasa,

Rekod lebih 10 juta penonton, rancangan My #QuranTime bakal dibukukan tak lama lagi

RANCANGAN My #QuranTime mencetuskan fenomena apabila merekodkan lebih 10 juta penonton sejak mula bersiaran pada 8 Jun lalu.

Program berinteraksi dengan al-Quran yang disiarkan di TV Alhijrah itu menarik perhatian ramai dengan pengisian bacaan dan tadabbur kalam ALLAH.

Atas sambutan yang memberangsangkan itu, pengisian progam My #QuranTime bakal diterbitkan dalam bentuk buku iaitu Nota My #QuranTime dan Khazanah 114.

Bagi merealisasikan perkara itu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Karya Bestari dan para Panel Pemikir My #QuranTime berkampung selama tiga hari bermula 11 Julai lalu pada Program Bengkel Khazanah 114 yang diadakan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, inisiatif membukukan bahan My #QuranTime ini selari dengan visi mengQurankan bangsa, mengikhlaskan ummah.

“Buku tersebut diharapkan menjadi kitab khazanah yang memberi solusi masalah kehidupan individu, keluarga dan organisasi dengan berpandukan al-Quran dan hadis,” katanya pada program berkenaan baru-baru ini.

My #QuranTime

HUSSAMUDDIN (duduk, tengah) bersama barisan Panel Pemikir, Karya Bestari dan WUIF bergambar kenangan ketika Program Bengkel Khazanah 114 di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf; Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.

Tambah Hussamuddin, WUIF menjadi platform menyatukan ummah dengan al-Quran. Beliau turut mengajak orang ramai yang ikhlas membantu ummah dengan solusi al-Quran agar turut bersama WUIF.

Selain itu, beliau berharap lebih ramai asatizah dapat bergabung bersama WUIF sebagai pusat kecemerlangan untuk mengkaji al-Quran dan menyebarkan mesej ALLAH dalam bahasa yang mudah difahami orang awam.

“Dengan penggunaan media digital, ilmu al-Quran ini dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada pelbagai bangsa dan terus sampai ke hati,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pihaknya menyambut baik usaha untuk menerbitkan buku hasil pengisian My #QuranTime.

“Editor dan pereka grafik Karya Bestari memberi komitmen yang tinggi terhadap penghasilan buku yang dinanti-nantikan oleh peminat My #QuranTime.

“Mereka bekerjasama yang erat dengan para Panel Pemikir yang bertanggungjawab untuk mengkaji, menyelidik dan memperhalusi isi kandungan buku tersebut yang mengandungi tadabbur al-Quran, sinopsis, tafsir dan resolusi. Diharapkan penerbitan buku Nota My #QuranTime dan Khazanah 114 dapat dimanfaatkan kepada generasi akan datang dalam mengukuhkan kefahaman al-Quran,” katanya.

Kepada mereka yang berminat, Nota My #QuranTime Juzuk 1 sudah mula dibuka untuk pre-order menerusi pautan Karangkraf Mall sekarang.

Untuk maklumat lanjut, layari Facebook My #QuranTime Official.

Penulis: Fouziah Amir