Browsing Tag

khalid basalamah

Suami beronani
Hukum,

Suami beronani kerana berjauhan dengan isteri. Ini penjelasan Islam.

MUNGKIN ada yang tertanya, adakah suami dibolehkan beronani kerana berjauhan dengan isteri?

Bagi dua individu yang ditautkan dengan ikatan sah suami isteri, sememangnya antara nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT adalah peluang untuk menjalinkan jasad bersama bagi mempereratkan silaturahim.

Tiada lagi larangan antara kedua-duanya, hubungan intim sesama suami isteri menjadi perkara lazim yang mengutuhkan suasana rumah tangga menjadi lebih harmoni.

Namun ada kalanya tuntutan hidup menyebabkan sesetengah pasangan tidak dapat bersama.

Suami beronani

KADANGKALA tuntutan hidup memaksa pasangan suami isteri untuk tinggal berjauhan.

Di saat gejolak untuk berhubungan intim muncul namun tiada pasangan yang hadir bagi melampiaskan nafsu itu, sang suami, terutamanya terpanggil ke arah perbuatan beronani atau melancap.

Persoalannya, adakah mereka yang sudah berada dalam ikatan yang sah dibenarkan memenuhi keperluan seksual sendiri tanpa adanya pasangan yang satu lagi.

Baca juga 5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

Seperti yang diterangkan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, onani berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani. Dari segi istilah, ia bermaksud perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan.

Kebanyakan ulama bersetuju perbuatan beronani atau melancap menggunakan tangan sendiri bagi melampiaskan syahwat atau mencari kepuasan sememangnya haram.

Suami beronani

BUYA YAHYA

Kata pendakwah Indonesia, Buya Yahya, sebaliknya Islam menganjurkan umatnya bernikah. Pergaulan sah suami isteri adalah saluran sebetulnya bagi meredakan golakan nafsu berkenaan.

Sekiranya, individu tersebut tidak berkemampuan untuk berkahwin, maka dia dikehendaki berpuasa. Ini sejajar dengan pesan Nabi SAW:

Hai para pemuda! Barangsiapa yang sudah ada kemampuan dalam kalangan kamu hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu lebih menjamin pandangan dan lebih kuat membentengi kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak ada kemampuan (untuk berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu menjadi pelindung kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, bagaimana pula jika pasangan suami isteri tidak mampu bersama atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan?

Sebab-sebab tersebut boleh jadi kedua-duanya sedang berjauhan atas tuntutan kerja mahupun si isteri berada dalam keadaan haid atau sakit?

suami beronani

AZHAR IDRUS

Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa hukumnya tetap haram untuk beronani menggunakan tangan sendiri baik bagi sang suami mahupun si isteri.

“Orang yang isterinya sakit sama sahaja seperti orang yang tidak mempunyai isteri. Maka dia perlu berpuasa,” ujarnya.

Namun, tidak ada masalah untuk melepaskan syahwat menggunakan tangan suami atau isteri.

“Mengeluarkan mani suami dengan tangan isteri, hukumnya harus. Begitu juga mengeluarkan mani isteri dengan tangan suami,” tambah Ustaz Azhar Idrus.

Suami beronani

APABILA suami isteri berbual menerusi telefon sehingga menimbulkan ghairah, itu dinamakan perbuatan ‘seks telefon’.

Ada juga halnya di mana suami isteri yang sedang berjauhan dan memanfaatkan teknologi seperti menelefon atau membuat ‘video call’ untuk melepaskan rindu setelah sekian lama tidak bertemu mata.

Tidak kurang juga sesetengah yang mengambil kesempatan bermain asmara, mengungkapkan ayat-ayat manis sehingga masing-masing dikaburi berahi meskipun jasad tidak berada di ruangan sama.

Perbuatan ini juga dikenali sebagai seks telefon.

Suami beronani

KHALID BASALAMAH

Mengulas tentang seks telefon, pendakwah bebas dari Indonesia, Dr Khalid Basalamah menerangkan bahawa tiada masalah jika sang suami mencapai klimaks disebabkan terlalu ghairah dengan perbualan yang dikongsikan asalkan ia tidak melibatkan beronani dengan anggota sendiri.

Aktiviti seks telefon tersebut juga hanya dibolehkan buat mereka yang sudah mempunyai ikatan sah dan membayangkan pasangan masing-masing ketika ianya dilakukan.

“Tetapi jangan lakukan perbuatan aneh seperti mencium telefon dan sebagainya. Sebaik-baiknya tinggalkan segala perkara yang boleh mengundang syahwat,” pesan Ustaz Khalid.

Adakah suami dibolehkan beronani kerana berjauhan dengan isteri?

Foto: Unsplash & Ammar TV