Browsing Tag

ketika senang

Berdoa
Gaya Hidup,

Jangan Lupa Berdoa Ketika Senang, Ini Sebabnya

no comment

PERASAN atau tidak, saat dirundung kesedihan mahupun kesusahan, bibir mudah benar mengungkapkan doa supaya ditenangkan hati dan dilapangkan dada menghadapi semuanya.

Ketika itu, mulut kita tanpa henti merintih dan mengadu kepada YANG MAHA ESA dengan bersungguh-sungguh.

Masakan tidak, ada segelintir orang lebih selesa berbuat demikian berbanding berkongsi masalah dengan insan di sekeliling mereka.

Namun, tatkala hidup dilimpahi kesenangan, ungkapan doa kepada-NYA pula semakin dipinggirkan. Adakalanya langsung tidak berdoa.

Pendakwah Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan agar kita tetap terus berdoa waima hidup dihimpit kesempitan mahupun kesenangan.

MUHAMMAD FAHMI

Ujar beliau, salah satu fiqah dalam berdoa ialah kita berdoa sewaktu senang. Ia sama keadaannya sebagaimana kita berdoa saat berada dalam kesusahan.

“Ramai manusia ini apabila dia dalam keadaan senang, dia abaikan berdoa atau sekurang-kurangnya berdoa, tetapi tidak bersungguh.

“Namun saat dalam kesusahan, begitu bersungguh dia berdoa, menangis, berdoa berulang kali, rayu dan terus merayu.

“Sedangkan antara faktor ALLAH SWT menolong kita saat kita susah ialah kita banyak mengingati ALLAH saat kita senang,” katanya sebagaimana dipetik daripada ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga 4 Golongan Yang Mendapat Doa Malaikat

Fakta itu, jelas Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, ia bertepatan dengan maksud sebuah hadis masyhur.

Hadis yang dimaksudkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Kenalilah ALLAH semasa senang, nescaya DIA akan mengenali kamu semasa kamu susah.” (Riwayat Hakim)

Berdoa

INGATLAH ALLAH SWT pada setiap waktu, nescaya DIA akan mengingati dan mengenali hamba-NYA.

Dalam pada itu, agamawan itu turut mengemukakan pandangan Ibn al-Qayyim tentang perihal insan yang berdoa dan mengingati ALLAH SWT.

Ibn al-Qayyim menukilkan sebuah atsar yang menyebut: “Seorang hamba yang taat, yang sentiasa mengingati ALLAH apabila kesulitan menimpanya, atau apabila dia meminta sebarang hajat, maka para malaikat akan berkata: “Wahai Tuhan, ini adalah suara yang dikenali daripada seorang hamba yang dikenali.” (Rujukan al-Wabil al-Sayyib, Ibn al-Qayyim (87))

Justeru, apa jua keadaan kita, jangan sesekali lupa memanjatkan doa. ALLAH SWT suka mendengar rintihan hamba-hamba-NYA. Itu tanda kita berserah dan bergantung harap hanya kepada-NYA.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR

Foto: 123rf & Freepik