Browsing Tag

ketelusan

Untitled design (6)
Muamalah,

Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

ANTARA prinsip asas dalam muamalat Islam ialah prinsip taradhi yang merujuk kepada persetujuan bersama di antara dua pihak yang berkontrak dengan penuh rela hati.

Tuntutan berkenaan dijelaskan dalam Surah an-Nisa‘, ayat 29 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengasihani kamu.“

Memang tidak dinafikan kerelaan hati adalah suatu yang tersembunyi dalam sanubari yang hanya diketahui oleh ALLAH SWT. Namun, bagi memastikan ia (kerelaan) dapat dizahirkan, maka ulama telah menetapkan setiap urus niaga yang dibuat perlu wujud tawaran (ijab) dan penerimaan (qabul).

 

DALAM soal jual beli, sesuatu yang hendak dijual mesti dinyatakan dengan terang seperti menyebut spesifikasi barang dengan terperinci seperti dalam katalog.

Kedua-duanya menjadi wasilah dan cara untuk menzahirkan apa yang ada dalam hati. Malah, setiap ijab dan qabul perlu memenuhi syarat-syarat tertentu agar ia benar-benar menggambarkan wujudnya taradhi di antara kedua-dua pihak yang berkontrak.

Pihak yang membuat tawaran hendaklah menyatakan dengan jelas apa yang menjadi subjek kontrak (al-ma‘qud alaihi). Ketelusan dalam menyatakan subjek kontrak adalah sangat penting kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak.

Kejelasan

Dalam muamalat Islam, pernyataan kabur dan tidak jelas tentang subjek kontrak boleh menyebabkan batalnya kontrak. Ini kerana ia termasuk dalam bab gharar. Sebagai contoh, Ahmad dalam tawarannya menyebut begini:

‘Saya menjual salah seekor daripada lembu yang ada di dalam kandang dengan harga RM1,500‘ atau ‘Saya menjual salah satu daripada rantai yang ada dalam kotak simpanan dengan harga RM5,000‘ atau ‘Saya menyewakan salah sebuah rumah saya dengan sewaan RM1,000 sebulan.‘

Kesemua bentuk tawaran yang dinyatakan itu tidak mungkin dapat memenuhi prinsip taradhi sebagaimana yang dianjurkan disebabkan ada kekaburan dan ketidakpastian pada subjek kontrak. Pertikaian boleh berlaku pada kebiasaannya setelah pembeli menerima barang jualan.

Dalam jual beli misalnya, sesuatu yang hendak dijual mestilah dinyatakan dengan terang dengan menyebut spesifikasinya dengan terperinci seperti dalam katalog. Jika ia tidak wujud semasa akad dilakukan atau jika ada, hendaklah ditunjukkan mana satu (ta‘yin) supaya pembeli mengetahui apa yang dijual sebenarnya.

Pengetahuan yang nyata tentang barang jualan akan mempengaruhi pembeli untuk bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Maka, ketelusan dan kejelasan mampu ‘membuahkan‘ kerelaan dan persetujuan bersama di antara kedua-dua belah pihak yang berkontrak.

Bay‘ murabahah    

Ketelusan sebenarnya sangat penting dalam kontrak-kontrak pertukaran seperti kontrak jual beli dan sewaan (ijarah). Dalam perbankan Islam di Malaysia, kebanyakan pembiayaan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah berdasarkan kontrak bay‘ murabahah yang menggunakan mekanisme tawarruq yang lebih dikenali sebagai murabahah komoditi (commodity murabahah).

Di negara ini juga, kebanyakan transaksi murabahah komoditi menggunakan platform Bursa Suq al-Sila‘.

Bay‘ murabahah merupakan salah satu daripada jenis jual beli amanah yang mana pihak penjual wajib menyatakan harga kos dan jumlah keuntungan yang diambil. Ketelusan dalam aspek itu jika diabaikan akan membatalkan kontrak tersebut. Selain itu, ia (ketelusan) juga perlu dalam menyatakan spesifikasi komoditi yang kebiasannya menjadi subjek akad.

Alhamdulillah, masalah berkenaan memang diambil berat dalam industry kewangan Islam di Malaysia kerana segala transaksi sentiasa dipantau oleh syariah institusi kewangan Islam itu sendiri dan juga Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah