Browsing Tag

Kesesakan jalan raya

mohd-jon-ramlan-ASFdbVbux7I-unsplash (1)
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Jangan stres ketika berdepan kesesakan jalan raya, syaitan mudah ‘masuk’ dalam badan

MESKIPUN masih ada segelintir daripada kita bergilir-gilir kerja dari rumah pada ketika ini, namun, jalan raya dilihat sudah mula sesak. Ia tidak seperti Perintah Kawalan Pergerakan ketika awal pelaksanaannya pada tahun lalu.

Barangkali disebabkan oleh kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk merentas negeri dan daerah dengan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Tambahan pula, dalam tempoh dua minggu lagi, sesi persekolahan baharu akan dibuka. Maka, jalan yang selama ini lengang akan kembali sibuk.

Bermulalah kembali episod meredah kesesakan jalan raya untuk ke tempat kerja dan pulang ke rumah. Ya, situasi itu harus kita tempuhi terutama mereka yang duduk di sekitar Lembah Klang.

Ia sedikit sebanyak memberikan tekanan sebelum kita sampai ke tempat kerja. Apabila stres, sudah pasti diri kita lebih dikuasai oleh perasaan berbanding akal fikiran yang waras.

Apakah sebenarnya cara untuk kita mengurangkan tekanan atau stres apabila menghadapi jalan yang sesak?

Pendakwah Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, andai kita berada dalam situasi itu, beliau menasihatkan kita agar tidak stres pada masa tersebut.

Sebaliknya, jelas beliau, sentiasalah berzikir dengan menyebut nama ALLAH SWT.

“Begitu mudah menyebutnya. Contohnya, lafazkan Subhanallah wal hamdulillah, wa lailaha illallah, Allahu akbar.

“Usah sesekali mengumpat atau stres hingga menimbulkan perasaan amarah atau serabut kepada diri. Nanti syaitan akan ‘masuk’ dalam tubuh badan kita,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video TikTok yang dikongsikan menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Kesesakan jalan rayaSekalipun kita dalam keadaan kesesakan ataupun kepayahan, Ustaz Ahmad Dusuki mengingatkan bahawa ALLAH SWT sentiasa ada di samping hamba-NYA.

“Apabila ALLAH SWT ada dalam hidup kita, sentiasalah berzikir kepadanya.

Baca juga Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih

“Ambillah ruang waktu yang sesak begini, selain berzikir, kita berselawat juga ke atas Rasulullah SAW.

“Ketahuilah, selawat-selawat ini akan mendatangkan ganjaran yang banyak dalam hidup kita,” katanya.

Baca juga [SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL] Kalau tak berselawat, itu tandanya kita bakhil…

Beliau turut mengingatkan agar kita tidak tidur, berkhayal ataupun melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat sekalipun sedang bergelut dengan kesesakan jalan raya yang teruk.

“Sebaliknya, sentiasa mendekatkan diri kita kepada ALLAH walaupun kita dalam keadaan kesesakan,” pesannya.

Mudah-mudahan apa jua zikrullah yang diamalkan dapat menenangkan hati kita, di samping mendekatkan kita kepada ALLAH.

Semoga perjalanan kita selamat sampai ke destinasi yang dituju hendaknya.

Sumber: Instagram ustazahmaddusuki

Foto: Freepik & Unsplash