Browsing Tag

keracunan

115563_GazaWaterCrisis_1633444315829
Jendela Dunia,

97 Peratus Air Di Gaza Kini Tercemar

no comment

SEMALAM Euro-Mediterranean Human Rights Monitor dan Global Institute for Water, Environment and Health (GIWEH) dalam kenyataannya memaklumkan sebanyak 97 peratus sumber air di Gaza telah tercemar dan tidak boleh diminum.

Mereka mendakwa sekatan terhadap Israel dalam tempoh jangka panjang menjadi punca kemerosotan keselamatan air. Penduduk Palestin yang tinggal di Gaza seperti mana yang digambarkan oleh dunia sebagai penjara terbuka yang besar, tidak mempunyai banyak cara untuk meningkatkan kualiti air akibat penjajahan Israel sejak dulu.

Kanak-kanak yang tidak mengerti bahaya meminum air yang tidak dirawat seringkali menjadi mangsa keracunan. Gambar: Middle East Monitor

Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu telah mendesak pihak berkuasa Israel dan masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan pantas bagi memastikan tahap keselamatan air dipulihkan segera.

Lebih daripada 97 peratus air untuk kegunaan harian di Gaza berada di bawah standard kesihatan minimum untuk penggunaan manusia. Sebilangan besar penduduk meminum air daripada alat pembersih yang dibekalkan syarikat swasta.

Banyak infrastruktur rosak dan musnah akibat pengeboman rejim Israel.

Peralatan pembersihan air sebelum ini telah rosak dan musnah akibat pengeboman Israel dan tidak dapat digunakan kerana tiada pemuliharaan. Serangan ketenteraan berterusan ke atas Gaza dan pengeboman berulang kali terhadap infrastruktur air dan kumbahan sebagai sebab utama krisis air Gaza. Kini Gaza tidak dapat lagi membekalkan air yang mencukupi untuk dua juta penduduknya.

Pengurus Wilayah Monitor Euro-Med di Eropah, Mohammad Shehadeh mengatakan kepada Majlis Hak Asasi Manusia bahawa mereka ingin menarik perhatian terhadap kemerosotan sumber air di negara itu. Ia dilihat teruk akibat pengepungan Israel yang berpanjangan, diselingi oleh serangan tentera yang berkala.

Dia menambah bahawa serangan Israel terbaru di Gaza pada bulan Mei menyasarkan infrastruktur dasar air hingga menimbulkan krisis air yang berpanjangan.

Faktor lain yang memburukkan adalah keadaan infrastruktur kumbahan air dan elektrik yang telah mengalami kerosakan teruk ketika pertempuran berterusan dengan Israel.

Menurut kenyataan itu lagi, krisis elektrik juga menghalang telaga air dan loji rawatan kumbahan beroperasi dengan betul. Akibatnya menyebabkan sekitar 80 peratus sistem kumbahan yang tidak dirawat dibuang ke laut sementara 20 peratus meresap ke bawah tanah.

Kes kematian melibatkan kanak-kanak akibat keracunan air yang tercemar sentiasa meningkat.

Kira-kira satu perempat penyakit yang tersebar di Gaza disebabkan oleh pencemaran air dan 12 peratus kematian kanak-kanak dan bayi berkaitan dengan penyakit usus. Ia berkaitan langsung dengan air minum, menurut data terbaru yang diberikan dalam kenyataan sama.

“Masyarakat Gaza tidak berdaya menghadapi situasi di mana anak-anak mereka turut terjebak dengan meminum air yang beracun dan yang kotor. Mereka seperti diracun secara perlahan-lahan,” kata Mohammad Shehadeh.

Kira-kira dua juta penduduk Palestin yang tinggal di Gaza telah mengalami sekatan Israel yang berpanjangan dan sekatan ekonomi yang teruk sejak tahun 2006.

Sumber: Anadolu Agency