Browsing Tag

kentut

Solat sunat gerhana matahari
Ibadah,

Perhatikan lima jenis kentut dalam solat, lakukan perkara ini bila berlaku

Perhatikan lima jenis kentut dalam solat, lakukan perkara ini bila berlaku

KENTUT dalam solat atau ketika menunaikan kewajipan tersebut memang akan membatalkan ibadah yang dilakukan.

Ketetapan itu memang terang lagi bersuluh menerusi sebuah hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang perihal dirinya yang diganggu khayalan terdapat sesuatu (hadas seperti kentut) dalam solatnya.

Baginda SAW lantas bersabda: “Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bagaimanapun, ada segelintir orang mengalami masalah kerap membuang angin. Adakalanya ia menyukarkannya untuk beribadah.

Baca juga Terasa seperti terkentut tapi ragu, perhatikan dua perkara ini sebelum membatalkan solat

Masakan tidak, individu berkenaan terpaksa mengambil wuduk berkali-kali hanya untuk menunaikan solat fardu lantaran masalah dihadapinya itu.

Bagaimanapun, pendakwah Ustazah Asmak Husin memberikan panduan jelas tentang lima jenis kentut yang berlaku dalam solat bagi memudahkan kita menunaikan kewajiban sebagai hamba ALLAH dan umat Islam.

USTAZAH ASMAK

Beliau memperincikannya berdasarkan keadaan menerusi laman sosial Facebook miliknya seperti berikut:

1. Kentut keluar bunyi dan bau.

Dalam keadaan yang jelas itu, ia pasti membatalkan sembahyang.

2. Kentut, tetapi tidak keluar bunyi dan bau.

Meskipun tidak berbunyi atau ada bau, tetapi kita pasti ia benar-benar kentut, maka batallah solat yang dikerjakan.

3. Selalu terkentut terutama dalam solat.

Ada orang mengalami ‘penyakit’ kentut hinggakan setiap dua rakaat tarawih terpaksa mengambil wuduk baharu.

Ketahuilah, situasi itu perlu aplikasikan kaedah daimmul hadas (orang sentiasa berhadas).

Kentut dalam solat

WALAUPUN tidak berbunyi atau ada bau, tetapi kita pasti ia benar-benar kentut, maka batallah solat yang dikerjakan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Caranya adalah individu berkenaan perlu membersihkan kemaluannya dan perlu tunggu masuknya waktu solat, barulah mengambil wuduk.

Baca juga Terkentut ketika baca al-Quran, perlu ke berhentikan bacaan?

Kemudian, segerakan solat. Jika ada kesulitan yang menghalang untuk awal, tidak mengapa.

Namun, perlu diingat bahawa satu wuduk tadi hanya sah untuk satu solat fardu sahaja. Bagaimanapun, ia boleh digunakan untuk banyak amalan sunat lain seperti bertarawih dan membaca al-Quran.

4. Kerap rasa waswas sama ada keluar kentut atau tidak.

Kepada mereka yang mengalami masalah ini, banyakkan beristighfar dan mesti yakin sama ada keluar bunyi, bau atau rasa angin keluar dari dubur.

Jangan biarkan waswas menguasai diri kerana ia akan menyebabkan kita rasa malas untuk beribadah.

Ketahuilah bahawa apabila kita yakin bahawa ia bukan kentut, maka sah solat yang dikerjakan. Ia berdasarkan kepada kaedah fiqh ‘keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan’.

Baca juga Jangan layan sangat perasaan waswas bila hendak beribadah. Cuba sedaya upaya lawan penyakit gangguan syaitan itu…

5. Kentut vagina atau faraj.

Kentut dalam solat

KEBANYAKAN ulama menyatakan, kentut vagina atau faraj tidak membatalkan solat disebabkan oleh geseran otot dalam faraj. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Terdapat khilaf dalam hal itu. Namun begitu, kebanyakan ulama mengatakan, tidak batal solat yang ditunaikan disebabkan geseran otot dalam faraj.

Sama-samalah kita perhatikan keadaan kentut itu ketika solat. Pastikan diri kita tidak dibelenggu dengan perasaan waswas yang boleh mengganggu ibadah.

Semoga setiap amal yang dilakukan akan diterima oleh ALLAH SWT hendaknya.