Browsing Tag

kencing

Azab kubur
Isu,

Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

SETIAP kali tibanya waktu solat, pantas sahaja diri menunaikan kewajiban tersebut mengikut waktu. Begitu juga dengan ibadah-ibadah lazim yang lain seperti membaca al-Quran dan sebagainya.

Sebelum menyempurnakan ibadah berkenaan, umat Islam diwajibkan untuk bersuci terlebih dahulu.

Menyentuh tentang hal itu, ramai yang menyangkakan mereka sudah membersihkan diri dengan baik dan betul.
Apatah lagi selepas membuang air kecil dan besar. Namun, berhati-hatilah dengan sangkaan tersebut dan pastikan ia dicuci dengan sempurna.

Ini kerana terdapat sebuah hadis yang memerihalkan azab kubur menanti jika kemaluan tidak dibersihkan dengan betul.

Ibn Abbas RA berkata, Nabi Muhammad SAW telah melalui dua buah kubur lalu bersabda: “Sesungguhnya kedua penghuni kubur ini sedang diazab dan tiadalah keduanya diazab pada sebab yang besar. Adapun salah seorang daripadanya adalah dia tidak membersihkan diri daripada kencing. Dan adapun yang seorang lagi adalah berjalan dengan namimah (mengadu domba). Kemudian baginda mengambil akan sebatang pelepah kurma yang masih basah lalu dipatahkan menjadi dua bahagian maka ditanam pada setiap kubur akan satu pelepah. Berkata orang-orang-orang: “Wahai Rasulullah, kerana apa tuan lakukan perkara ini?” Sabdanya: “Mudah-mudahan diringankan dari kedua penghuni kubur ini sebelum pelepah ini kering.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Baca juga Berdoa Di Dalam Tandas, Ini Hukumnya

Menjelaskan lanjut tentang riwayat tersebut, pendakwah terkemuka, Azhar Idrus berkata, hadis berkenaan menerangkan tentang kewajipan membasuh kencing kerana ia adalah najis dan dosa melakukan namimah (mengadu domba).

AZHAR IDRUS

“Dua mayat yang menjadi penghuni dua buah kubur telah diazab bukanlah disebabkan dosa luar biasa yang dilakukan, tetapi gara-gara hanya tidak bersuci dengan betul daripada selepas kencing selepas buang air dan berjalan ke sana ke mari melakukan namimah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Tiada Ayat Tertentu Semasa Ziarah Kubur, Terpulang Kerana Membacanya Adalah Harus

Menyambung hujah, agamawan itu menjelaskan, hukum membasuh anggota badan dan pakaian yang terkena kencing selepas membuang air kecil itu adalah wajib.

Jelas beliau, ini kerana air kencing merupakan najis yang menjadi penghalang kesahan ibadah solat seseorang.

Azab kubur

SEBELUM menunaikan kewajipan solat, pastikan diri, pakaian dan tempat solat suci daripada sebarang najis.

“Barang siapa yang tidak bersuci daripada najis seperti kencing, lalu dia mengerjakan solat dengan badan atau pakaiannya terkena najis, maka solatnya tidak sah walaupun dia telah melakukan banyak bilangan solat.

“Ia tidak kiralah sama sama ada solat yang wajib mahupun yang sunat. Ini kerana syarat sah solat adalah suci daripada najis pada badan dan pakaian.

“Bukan itu sahaja, air kencing haiwan lain turut dikira najis tidak kiralah sama ada binatang itu boleh dimakan atau tidak. Perkara itu ada disebutkan dalam Kitab Ma’alim as-Sunan,” ungkapnya.

Paling ditakuti adalah asbab kencing tadi boleh mengundang dosa besar. Apa tidaknya, solat yang dikerjakan dengan najis adalah tidak sah, maka ia samalah dengan tidak mengerjakan kewajiban berkenaan, terang Azhar panjang lebar.

Justeru, berhati-hatilah dalam bab air kencing tersebut. Pastikan ia dibersihkan dengan sempurna.

Foto: Unsplash & Pexels