Browsing Tag

Kempen bendera putih

Kibarkan bendera putih
Isu, Pilihan Editor,

Kibar Bendera Putih Untuk Minta Bantuan, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

no comment

KEMPEN mengibar bendera putih yang digerakkan oleh rakyat baru-baru ini seolah-olah memberi nafas baharu kepada individu yang dihimpit kesempitan.

Malah, langkah itu juga sebenarnya membantu masyarakat untuk mengesan golongan yang terdesak atau dalam kesusahan dalam situasi semasa Covid-19 yang masih belum menampakkan titik noktahnya.

Masakan tidak, terdapat isi rumah yang tidak mampu keluar mencari rezeki, sedangkan hidupnya sebelum ini kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada pula sebilangan orang yang terpaksa menerima pengurangan gaji kerana had masa bekerja yang terhad disebabkan pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan.

Namun begitu, kelangsungan hidup dan komitmen lain tetap perlu diteruskan hinggakan ada yang menggunakan wang simpanan yang tidak seberapa jumlahnya demi survival. Habis ditarah segala harta yang ada, namun masih tidak mencukupi pada waktu-waktu tertentu.

Sebab itulah kempen mengibarkan bendera putih dicadangkan bagi memberikan bantuan kecemasan.

Usaha murni itu bagaimanapun ditentang oleh pihak-pihak tertentu kerana ia seolah-olah membuka aib sendiri, bahkan menunjukkan sikap diri yang mengaku kalah serta berputus asa.

Kibarkan bendera putih

AGAMA Islam tidak menghalang umatnya daripada meminta bantuan jika dalam kesempitan dan menggalakkan penganutnya yang berkemampuan supaya mencari orang susah, fakir dan miskin untuk dibantu.

Ketahuilah bahawa Islam tidak melarang kita meminta bantuan tatkala dilanda kesusahan.

Malah, agama suci itu turut menganjurkan umatnya yang berkemampuan supaya mencari orang susah, fakir dan miskin untuk dibantu.

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Siri ke-588: Hukum Kibar Bendera Putih Untuk Meminta Bantuan yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kebanyakan kita beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dihimpit kesukaran.

“Hakikatnya, mereka yang diulit kesusahan itu lebih gemar memilih untuk memendam keresahan masing-masing dan berdiam diri,” katanya.

ALLAH SWT berfirman: “Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan ALLAH (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. ENGKAU kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya ALLAH sentiasa mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 273)

Kibarkan bendera putih

BERIKAN sedekah kepada mereka yang memerlukan.

Prof Dr Wahbah az-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir ketika menjelaskan tentang kalamullah itu menegaskan kepada orang mukmin bahawa sedekah itu hendaklah diberi kepada orang-orang yang memerlukan.

Antaranya, orang yang berjuang pada jalan ALLAH, orang yang tidak mempunyai keupayaan untuk mencari rezeki, orang yang menahan diri daripada mempunyai makanan dan pakaian kerana tidak mampu, orang yang jelas dalam kesusahan jika dilihat pada diri dan kehidupannya serta orang-orang yang dalam kesusahan tetapi tidak meminta-minta dan meminta bukan dalam kadar yang berlebihan.

Begitupun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, meminta-meminta adalah perbuatan yang buruk.

Pun demikian, ia hanyalah dilarang bagi orang yang mempunyai kemampuan dan cukup keperluannya, tetapi tanpa segan silu masih meminta-minta daripada orang lain.

Kibarkan bendera putih

GOLONGAN yang berkemampuan dan cukup keperluannya dilarang meminta-minta daripada orang lain.

Bahkan, terdapat banyak hadis yang memerihalkan tentang perilaku jelik berkenaan.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai kecukupan keperluan bagi dirinya maka dia sedang memperbanyakkan batu api neraka. Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah dikira sebagai cukup keperluannya?” Baginda menjawab, “Sesuatu yang mencukupi bagi dirinya (untuk makan) pada waktu siang dan malam.” (Riwayat Abu Daud)

Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang meminta harta daripada orang lain dengan niat untuk memperbanyakkan hartanya, maka dia sebenarnya meminta bara api neraka. Oleh itu, terpulanglah pada dia untuk meminta sikit atau banyak.” (Riwayat Ibn Hibban)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, maka jelaslah bahawa kita dilarang meminta-minta jika masih ada kemampuan untuk bekerja mencari rezeki dan mempunyai keperluan yang mencukupi.

Cuma, dalam keadaan memaksa atau begitu tersepit, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, meminta bantuan merupakan perkara yang wajar dan tidak termasuk dalam larangan meminta-minta yang dinyatakan.

“Dari konteks lain, Islam sememangnya menggalakkan umatnya agar mengambil berat terhadap masyarakat sekeliling terutamanya jiran tetangga.

“Ini kerana asas keimanan seorang mukmin adalah sifat tolong-menolong sesama jiran yang dalam kesusahan,” jelasnya.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah seorang itu dianggap orang beriman yang mana dia dalam kekenyangan dan dalam masa yang sama jiran sebelahnya kelaparan.” (Riwayat al-Baihaqi)

Baca juga Tidak Sempurna Iman Biarkan Jiran Kelaparan

Berdasarkan perbahasan tadi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan, meminta bantuan waima dari segi kewangan, makanan dan seumpamanya adalah dibenarkan bagi orang yang benar-benar dalam kesempitan.

Kibarkan bendera putih

HANYA mereka yang benar-benar terdesak dan dalam kesempitan boleh meminta bantuan.

Adapun, hukum menggunakan bendera putih sebagai cara untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif kita melihat perkara tersebut.

“Jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.

“Sebaliknya, jika kita lihat cara itu sebagai mengaibkan diri sendiri pula, maka wajar dielakkan.

“Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan. Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan.

“Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk yang bagaimana yang dirasakan selesa,” katanya.

Apa-apapun, pihaknya juga meminta agar isu berkaitan bantuan dan meminta pertolongan sewajarnya tidak dipolemikkan dalam suasana pandemik yang meruncing ketika ini.

“Keadaan sekarang ini adalah berbeza dan di luar daripada kebiasaan yang pernah kita hadapi. Terdapat ramai pihak yang hidup ditimpa kesusahan dengan pelbagai bentuk masalah melibatkan pelbagai latar belakang.

“Bagi yang ingin membantu, tanamkan keikhlasan dalam hati untuk membantu, manakala bagi yang memerlukan bantuan pula boleh memohon bantuan mengikut kaedah yang dirasakan selesa dengan cara masing-masing.

“Apa yang penting tunjukkan akhlak dan perilaku yang mulia di semua keadaan,” pesannya.

Foto: Freepik